fbpx

Bagaimana proses VTA dibuat? JPJ jalankan demo pada BMW iX 2022

jpj vta bmw ix 07

SELAIN dari menguatkuasakan undang-undang seperti anda biasa lihat di jalan raya, skop tugas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga melibatkan aktiviti menguji dan membuat kelulusan kenderaan, lebih tepat lagi VTA.

VTA (Vehicle Type Approval) atau kelulusan jenis kenderaan ialah suatu prosedur wajib dilalui dan dipatuhi oleh semua model baharu kenderan bermotor sebelum ianya layak dipasarkan ke dalam negara ini.

Model kenderaan yang telah melalui dan lulus prosedur VTA akan diberikan pensijilan khas yang mengesahkannya untuk berada dalam pasaran. VTA dilakukan bagi memastikan kenderaan mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedahnya.

Jadi, bagaimana prosedur VTA dilakukan? Engear berpeluang melihat sendiri demonstrasi ringkas yang dikatakan pertama kali diadakan untuk para media. Sesi demonstrasi ini adalah kerjasama pihak JPJ dan BMW Group Malaysia dan ia dibuat pada model iX xDrive40i 2022 serba baharu.

Menurut JPJ, prosedur VTA biasanya mengambil masa 20 hingga 30 hari dari proses penyerahan dokumen, pemeriksaan fizikal kenderaan, ujian dinamik (pandu uji) hingga homologasi pengesahan.

Antara aspek yang disemak semasa pemeriksaan fizikal kenderan adalah identiti kenderaan (nombor casis dan enjin), nombor motor elektrik (EV sahaja), dimensi kenderaan, spesifikasi tayar, komponen isyarat dan lampu, tali pinggang keselamatan, roda stereng, panel meter, dan ketelusan cahaya pada cermin.

Pemeriksaan fizikal kenderaan ini memerlukan sekurang-kurangnya dua pegawai JPJ dari bahagian kejuruteraan automotif dan boleh mengambil masa kira-kira sejam.

Kesemua penilaian VTA akan berdasarkan rangka kerja World Forum Harmonization of Vehicle Regulation (WP29) yang menghimpunkan 63 negara di bawah satu perjanjian.

Di bawah perjanjian ini, satu peraturan teknikal yang dikenali sebagai peraturan United Nations (UN) telah dibangunkan dan digunapakai secara seragam oleh semua negara anggota termasuklah Malaysia.

Sebarang ujian yang sah dilakukan oleh mana-mana negara anggota akan terus boleh diterima dan diguna pakai di kesemua 63 negara anggota.

Sebagai contoh, model Proton atau Perodua yang pertama kali diuji oleh VTA JPJ, jika lulus, pensijilannya juga sah untuk kegunaan di negara-negara anggota seperti Jerman, Sweden, Itali, Korea Selatan, dan Jepun.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Kami berbesar hati kerana JPJ telah mempertimbangkan kami di BMW Malaysia sebagai rakan kongsi bagi pendemonstrasian proses VTA dan homologasi kenderaan di Malaysia.

Sementara itu, Dato’ Zailani Hj Hashim, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan berkongsi, “Sebagai badan berkuasa yang bertanggungjawab untuk menjalankan penilaian, ujian dan kelulusan kenderaan di Malaysia, prosedur VTA adalah diwajibkan bagi semua kenderaan sebelum ia dibenarkan untuk menyusuri jalan raya Malaysia.

“Saya berharap penglibatan media serta publisiti yang diberikan ke atas demonstrasi hari ini dapat membekalkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai peranan dan fungsi Jabatan Kejuruteraan Automotif, JPJ serta prosedur VTA, yang turut menggambarkan peranan kerajaan dan JPJ untuk menjamin tahap keselamatan yang optimum bagi pengguna jalan raya di dalam negara.”

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved