Arkib Tag: naza italia

Maserati MC20 Cielo kini di Malaysia – RM1.2 juta sebelum duti, cukai

NAZA Itali telah mengumumkan ketibaan Maserati MC20 Cielo di pasaran Malaysia. ‘Cielo’ bermaksud ‘langit’ dalam bahasa Itali dan model ini secara asasnya adalah versi convertible kepada MC20 coupe yang dilancarkan di sini pada Jun lalu.

MC20 Cielo menampilkan bumbung jenis hardtop dengan panel kaca elektrokromik yang boleh ditukar dari telus kepada legap menerusi teknologi Advanced Polymer-Dispersed Liquid Crystal (PDLC).

Bukan itu sahaja, bumbung tersebut juga boleh dibuka dan ditutup dalam masa 12 saat, semasa kereta bergerak pada kelajuan sehingga 50 km/j.

Menurut Maserati, penggunaan bumbung kaca itu tidak menjejaskan ketegaran kilasan dan nisbah kuasa-berat jentera ini, dengan beratnya cuma bertambah sebanyak 65 kg berbanding versi coupe.

Dari segi kuasa, MC20 Cielo tampil dengan enjin Nettuno yang sama seperti yang terdapat pada versi coupe. Dilengkapi dengan pelbagai teknologi daripada F1, enjin tersebut menghasilkan 630 PS pada 7,500 rpm dan 730 Nm dari 3,000 rpm.

Dengan transmisi klac berkembar lapan kelajuan, ia mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 3.0 saat dan 0-200 km/h dalam 9.2 saat. Ia juga dikatakan boleh mencapai kelajuan maksimum melebihi 320 km/j.

Seperti versi coupe, MC20 Cielo mempunyai pintu butterfly yang dibuka ke atas. Versi pelancaran ini menampilkan warna metalik tiga lapisan yang dikenali sebagai Acquamarina, yang ditawarkan sebagai opsyen menerusi program kustomisasi Maserati Fuoriserie.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan pelbagai sistem keselamatan aktif seperti Autonomous Emergency Braking, Traffic Sign Information dan kamera 360 darjah, di samping ciri-ciri sedia ada seperti sensor parkir, kamera undur dan Blind Spot Monitor.

Turut disertakan adalah sistem multimedia Maserati Intelligent Assistant (MIA) dan Maserati Connect. Untuk pengalaman pemanduan yang lebih menghiburkan, pelanggan juga boleh mendapatkan sistem audio Sonus Faber dengan 12 pembesar suara.

Harga jualan MC20 Cielo bermula dari RM1,228,000 tidak termasuk duti dan cukai, opsyen dan insurans. Harga berkenaan termasuk waranti standard selama tiga tahun tanpa had perbatuan, dan program penyelenggaraan percuma untuk tiga tahun/60,000 km.

Ital Auto pengedar rasmi baharu Ferrari di Malaysia

SEPERTI yang anda mungkin sedia maklum, Naza Italia kini bukan lagi pengedar eksklusif Ferrari di Malaysia. Kerjasama antara kedua syarikat itu tamat berkuat kuasa 8 April lalu setelah hampir 15 tahun menjalin hubungan sebagai rakan perniagaan.

Kini, Ferrari telah mengumumkan bahawa peranan itu akan diambil alih oleh Ital Auto Malaysia Sdn Bhd bermula 5 Mei 2023. Ital Auto Malaysia adalah anak syarikat Ital Auto Pte Ltd yang merupakan pengimport dan pengedar rasmi Ferrari di Singapura sejak 2009.

Ital Auto pula merupakan sebahagian daripada Kumpulan Komoco yang turut bertanggungjawab mengendalikan beberapa jenama automotif lain termasuk Hyundai dan Maserati di negara republik itu.

Dalam satu kenyataan, Ferrari berkata Ital Auto Malaysia akan mengambil alih deposit dan tempahan sedia ada dari Naza Italia.

Seluruh pasukan operasi dari Naza Italia juga telah dipindahkan ke Ital Auto Malaysia bagi memastikan kesinambungan kepada pelanggan dan permulaan operasi yang lancar.

Selain itu, sebuah pusat servis sementara di Glenmarie juga sedang dalam proses pembinaan dan dijangka sedia untuk memberikan khidmat aftersales menjelang Jun 2023. Ini akan diikuti dengan sebuah bilik pameran sementara di Hotel Four Seasons Kuala Lumpur menjelang Ogos tahun yang sama.

Pusat 3S rasmi akan dibuka kepada pelanggan pada suku pertama tahun 2025.

Naza Italia tamatkan kerjasama dengan Ferrari, berkuat kuasa April ini

SELEPAS beberapa khabar angin kebelakangan ini, kini sah bahawa Naza Italia Sdn Bhd bukan lagi pengedar eksklusif kenderaan Ferrari di Malaysia, berkuat kuasa 9 April 2023. Perkara ini juga disahkan oleh pihak Naza dalam satu kenyataan media.

“Naza Automotive telah mengkaji semula jenama di bawah kami untuk melihat kesesuaian dengan strategi perniagaan. Kami telah bersetuju untuk menamatkan kerjasama dengan Ferrari S.p.A (Ferrari) disebabkan jangkaan mereka tidak selari dengan strategi kami,” kata kenyataan itu.

“Kami akan terus membekalkan sokongan kepada Ferrari untuk peralihan perniagaan yang lancar, hingga April 2023.”

Dengan ini, berakhirlah satu era yang bermula sejak 2008. Menurut wakil Ferrari di rantau ini yang dilaporkan oleh Caricarz, kerjasama mereka dengan Naza akan berakhir secara rasmi pada 8 April 2023.

Ferrari berkata: “Dalam tempoh peralihan ini, Ferrari S.p.A akan menetapkan perkara berkaitan jualan dan selepas-jualan untuk para pelanggan sehingga kami dapat mengesahkan rakan kongsi baharu.”

Ferrari juga menegaskan komitmen mereka untuk pasaran Malaysia dan akan terus menepati permintaan serta berhubung dengan pelanggan di sini.

Pada masa ini, Naza Italia hanya mempunyai jenama Maserati selain Ferrari. Di bawah naungan Naza Automotive Group pula adalah jenama-jenama sedia ada seperti Ducati, Suzuki, dan rangkaian pengedaran Mercedes-Benz.

Maserati Levante GT Hybrid kini di Malaysia, dengan 330hp dan supercharger elektrik eBooster

MASERATI Levante kini hadir dengan varian baharu, iaitu GT Hybrid, dilancarkan oleh Naza Italia. Varian ini menjadi tambahan selepas Ghibli Hybrid yang diperkenalkan sebelum ini.

Seperti pada namanya, ciri utama sudah tentulah enjin 2.0-liter 4-silinder turbo dengan mild hybrid 48V. Menurut Maserati, enjin 2.0 4-silinder ini memberikan kelancaran enjin 6-silinder dengan rev rendah seperti diesel.

Enjin ini juga 20kg lebih ringan dari 6-silinder, sementara bateri diletakkan di belakang untuk agihan berat lebih baik, menjanjikan pemanduan menyeronokkan.

Dari segi angka, Lavente GT Hybrid mempunyai output 330hp dan 450Nm tork, membolehkannya memecut ke 100km/j dalam 6.0 saat, dengan kelajuan maksima 245km/j.

Sistem mild hybrid 48V pula menggunakan Belt Starter Generator (BSG) dan supercharger elektrik eBooster untuk menghantar kuasa sebelum turbonya ‘masuk’. Kuasa dihantar ke semua roda melalui kotak gear 8-kelajuan, sistem AWD Q4 dan LSD belakang.

Ciri utama pada Maserati Levante GT Hybrid termasuklah lampu LED matriks, rim aloi 20-inci, suspensi udara boleh-laras, dan sistem keselamatan ADAS.

SUV sport mewah ini juga mendapat logo Trident terkini, yang terdapat pada gril dan tiang-C. Tulisan Maserati di pintu but juga baharu, selain lencana GT di ruang kemasukan udara sisi.

Maserati Levante GT Hybrid 2023 ditawarkan pada harga bermula RM738,000 termasuk cukai dan eksais, sebelum pilihan kustom dan insurans. Harga termasuk jaminan standard tiga tahun tanpa had perbatuan.

Ferrari 296 GTS dilancarkan di Malaysia – harga dari RM1.45 juta

Tidak sampai tiga bulan selepas diperkenalkan di peringkat global, Ferrari 296 GTS kini tiba di Malaysia menerusi Naza Italia selaku pengedar rasmi jenama itu.

Dijual pada harga bermula RM1,448,000 (sebelum duti, opsyen kustom, cukai dan insurans), 296 GTS secara asanya adalah versi convertible kepada 296 GTB yang dilancarkan di sini pada Mac lalu.

Ini bermakna reka bentuk keseluruhannya sama sahaja dengan versi GTB, cuma ia mempunyai bumbung jenis ‘retractable hardtop’ yang boleh dinaikkan atau diturunkan dalam masa 14 saat ketika kereta bergerak pada kelajuan sehingga 45km/j.

Apabila bumbung tersebut diturunkan, ruang kabin dan dek belakang dipisahkan oleh kaca penghadang yang boleh dilaras ketinggiannya. Ini bagi memastikan penumpang sentiasa berada dalam keadaan selesa walaupun kereta dipandu laju.

Menurut Ferrari, penggunaan bumbung hardtop itu memberikan 296 GTS berat tambahan sebanyak 70kg berbanding 296 GTB. Ini perkara biasa kerana kereta convertible mempunyai mekanisma untuk bumbung dan penambahan komponen pada casis bagi mengekalkan ketegarannya.

296 GTS mempunyai 830PS dan 740Nm yang dibekalkan oleh gandingan enjin turbo 2.9-liter V6 dan motor elektrik plug-in yang diletakkan di antara enjin dan kotak gear. Dengan transmisi klac berkembar lapan kelajuan dan E-Diff, jentera ini hanya memerlukan 2.9 saat untuk melakukan pecutan 0-100km/j dan 7.6 saat untuk pecutan 0-200km/j.

Sementara itu, kelajuan maksimum pula dikatakan melebihi 330km/j. Apa yang menarik, ia juga boleh dipandu dengan hanya kuasa elektrik sejauh 25km.

Selain butang Manettino, 296 GTS juga didatangkan dengan butang eManettino yang membolehkan pemandu memilih empat mod pemanduan elektrik yang disediakan iaitu:

eDrive – mod elektrik sepenuhnya
Hybrid – mod default apabila enjin dihidupkan
Performance – enjin sentiasa dihidupkan bagi membantu mencapai kecekapan bateri untuk kuasa sepenuhnya
Qualify – menyediakan prestasi maksimum namun kadar pengecasan bateri lebih rendah

Pelanggan yang dahagakan prestasi lebih hebat boleh mendapatkan pakej Assetto Fiorano yang merangkumi kelengkapan tambahan seperti penyerap hentak boleh laras Multimatic, tayar Michelin Pilot Sport Cup2R, kit aredinamik dan komponen-komponen gentian karbon yang boleh mengurangkan berat sebanyak 8kg.

Maserati MC20 dilancar di Malaysia – 630hp, LSD, dari RM1.078 juta

Maserati MC20 telah mendarat di Malaysia, kira-kira hampir dua tahun selepas pelancaran globalnya. MC20 ditawarkan pada harga bermula RM1,078,000 dengan jaminan tiga tahun tanpa had perbatuan.

Nadi kepada supercar serba baharu ini ialah enjin V6 Nettuno yang dibangunkan oleh Maserati sendiri, berupaya menjana 630hp dan 730Nm tork.

Enjin dengan teknologi F1 ini dipadankan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan dan LSD (limited-slip differential) mekanikal. LSD jenis elektronik juga ditawarkan secara standard.

Ini memberikan prestasi pecutan 0 ke 100km/j dalam 2.9 saat, dan 200km/j dicapai dalam 8.8 saat. Kelajuan maksima pula ialah melebih 325km/j.

Maserati MC20 dilengkapi brek Brembo 6-piston 380mm di depan, dan cakera 350mm 4-piston di belakang. Untuk lebih prestasi brek, brek karbon-seramik 390mm depan dan 360mm belakang ditawarkan untuk naik taraf.

Rim pula adalah 20-inci, dibaluti dengan tayar 245/35 di depan dan 305/30 di belakang. Suspensi menggunakan double-wishbone di kesemua penjuru.

Kabin MC20 menggunakan rekaan minimalis sama seperti model-model terkini yang lain, dengan dua paparan 10-inci; satu untuk instrumen di depan pemandu, dan satu lagi di tengah untuk infotainmen.

Terdapat juga tombol berpusing untuk pemilihan mod pemanduan GT, Wet, Sport, Corsa, dan ESC Off serta kawalan-kawalan lain.

Maserati MC20 hadir dengan enam pilihan warna – Bianco Audace (putih), Giallo Genio (kuning), Rosso Vincente (merah), Blu Infinito (biru), Nero Enigma (hitam) dan Grigio Mistero (kelabu).

Lebih mudah miliki Ducati idaman anda dengan Ducati Corse Credit

DUCATI Malaysia baru-baru ini memperkenalkan Ducati Corse Credit iaitu pembiayaan in-house untuk pemilikian motosikal Ducati baharu. Pengenalan itu dibuat semasa pelancaran enam motosikal baharu, antaranya Multistrada V2S, Panigale V2 Bayliss dan Streetfighter V4 SP.

Ducati Corse Credit adalah di bawah seliaan Naza Credit & Leasing Sdn Bhd yang telah berada dalam perniagaan kereta dan motosikal sejak 1984.

Pembiayaan ini menawarkan pelanggan lebih pilihan, akses dan kemudahan. Anda boleh menikmati kadar faedah serendah 4.88 peratus setahun, tempoh pinjaman sehingga tujuh tahun, dan bayaran muka serendah 10 peratus serta kadar kelulusan lebih cepat.

“Kami terus bekerja keras dalam memastikan kedudukan Ducati sebagai jenama motosikal premium terlaris di Malaysia”, kata Dennis Michael, Head of Company untuk Ducati Malaysia dan Next Bike Sdn Bhd.

Pengenalan dua lagi Ducati Centre di Malaysia

Dalam pada itu, Ducati Malaysia turut membuat pengumuman akan menambah dua lagi cawangan Ducati Centre di negara ini, iaitu di Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

Cawangan-cawangan baharu ini merupakan tambahan kepada fasiliti sedia ada di Sungai Buloh, Pulau Pinang serta Petaling Jaya yang merupakan pusat 3S terbesar jenama itu.

Ducati Centre Petaling Jaya ini juga merupakan biik pameran Ducati kedua terbesar di rantau Asia Tenggara dengan keluasan 16,339 kaki persegi, mempunyai lapan slot servis, dan mampu menservis 450 motosikal sebulan.

Ducati Centre Sungai Buloh kini dalam pembinaan dan dijangka siap menjelang hujung tahun ini.

Ferrari 296 GTB dengan V6 turbo baharu, 818hp, 0-100 2.9 saat, dari RM1.23 juta

NAZA Italia hari ini telah mendedahkan kehadiran Ferrari 296 GTB serba baharu untuk pasaran Malaysia.

Ferrari 296 GTB merupakan model enjin tengah (mid-engined) terkini yang dikira menggantikan F8 Tributo. Tetapi walaupun F8 Tributo menggunakan nadi V8, 296 GTB ini dikuasakan oleh enjin V6 baharu.

Enjin ini berkapasiti 2,992cc tetapi Ferrari memanggilnya 2.9-liter supaya boleh menggunakan nama 296, dan angka enam di hujung merujuk kepada jumlah silinder enjin.

Unit V6 ini dibina dengan barisan silinder bersudut 120-darjah untuk mendapatkan bentuk enjin yang lebih kompak dan rendah. Pengecaj turbo juga diletakkan di tengah-tengah bukaan silinder.

Berapa kuasa enjin ini? Ia menghasilkan 654hp tetapi disebabkan 296 GTB ini merupakan sebuah model plug-in hybrid (PHEV), enjin V6 padanya dipasang dengan motor elektrik yang memberikan output keseluruhan setinggi 818hp pada 8,000rpm dan 740Nm tork pada 6,250rpm.

Kuasa disalurkan ke roda belakang menggunakan kotak gear automatik dwi-klac seperti yang didapati pada model-model terkini lain seperti SF90 Stradale (dan Spyder), Roma dan Portofino M.

Prestasi pula adalah 2.9 saat untuk pecutan 0-100km/j dan lebih mengagumkan, 7.3 saat untuk 0 ke 200km/j. Kelajuan maksima ialah melebihi 330km/j.

Di belakang tempat duduk pemandu ialah unit MGU-K (Motor Generator Unit, Kinetic) yang membekalkan kuasa untuk motor elektrik.

Dalam mod pemanduan elektrik sepenuhnya (EV), Ferrari 296 GTB ini boleh dipandu sehingga 25km dengan kelajuan sehingga 135km/j.

Terdapat empat mod pemanduan yang boleh dikawal dari butang eManettino pada stereng. Mod-mod ini adalah eDrive, Hybrid, Performance dan Qualify.

Ferrari 296 GTB juga dilengkapi beberapa teknologi seperti eSSC (electronic Side Slip Control), eTC (electronic Traction Control), eDiff, dan 6w-CDS iaitu Chassis Dynamic Sensor 6-arah.

Sistem brek juga ditambah baik dengan brake-by-wire dan fungsi baharu ABS evo yang memastikan pedal brek tidak perlu ditekan banyak sama ada dalam pemanduan harian biasa atau semasa di litar.

Dari segi dimensi, Ferrari 296 GTB mempunyai jarak roda 50mm lebih pendek dari F8 Tributo untuk memberikan saiz yang kompak serta pengendalian lincah.

Rekaan dan rupa luaran Ferrari 296 GTB banyak mengambil inspirasi dari model-model retro seperti Dino, 250 LM 1963 dan P80/C.

Ferrari 296 GTB dijual pada harga permulaan RM1,228,000 sebelum cukai, pilihan kustom, cukai dan insurans. Untuk servis, Ferrari 296 GTB diselenggara setiap 20,000km atau setahun sekali.

Terdapat juga pakej Assetto Fiorano untuk lebih prestasi. Pakej ini memberikan beberapa komponen perlumbaan seperti penyerap hentak Multimac boleh-laras, komponen gentian karbon dengan lebih downforce, bahan-bahan lebih ringan, dan tayar Michelin Sport Cup 2 R.