fbpx

Ferrari 296 GTS supercar V6 terbaharu untuk memandu sambil menghirup udara segar, 830hp dan 740Nm

ferrari 296 gts 01

Ferrari pada Jun 2021 memperkenalkan supercar V6 terbaharu mereka iaitu 296 GTB yang tiba ke negara ini pada Mac 2022.

Kini pengeluar Prancing Horse itu membawakan pula versi convertible, persilakan 296 GTS (Gran Turismo Spider) untuk mereka yang sukakan pemanduan sambil menghirup udara segar.

Seperti model-model convertible Ferrari yang lain, 296 GTS hadir dengan bumbung hardtop boleh dilipat, jadi ini dapat mengekalkan rupa coupe semasa bumbungnya dinaikkan.

Bumbung ini naik dan turun dalam masa 14 saat dan boleh dioperasikan pada kelajuan sehingga 45 km/j.

Dengan cermin di bahagian belakang, anda masih boleh mengamati enjin 3.0-liter V6 yang menjana 663hp itu. Tetapi dengan ‘kerjasama’ motor elektrik, Ferrari 296 GTS menghasilkan output keseluruhan 830hp dan 740Nm tork.

Ini cukup untuk melonjakkannya ke 100km/j dalam hanya 2.9 saat, manakala 200km/j boleh dicapai dalam 7.6 saat.

Jika diberikan jalan dan ruang yang cukup, 296 GTS mampu memecut sehingga kelajuan maksima 330km/j. Oh ya, supercar ini mampu dipandu dalam mod elektrik juga, dengan kelajuan dihadkan kepada 135km/j.

Transmisi ialah unit dwi-klac 8-kelajuan sama seperti 296 GTB, SF90 Stradale/Spider, Roma dan Portofino.

Sebagai sebuah convertible, berat biasanya menjadi isu utama. Ini kerana mekanisma bumbung hardtop yang boleh dilipat serta penambahan komponen untuk mengekalkan ketegaran casis sememangnya menyumbang kepada pertambahan berat.

296 GTS mempunyai berat sekitar 1,540kg (dengan pakej Assetto Fiorano), bermakna ia 70kg lebih berat dari versi GTB.

Sama seperti GTB, 296 GTS juga mempunyai jarak pemanduan EV sekitar 25km dari bekalan bateri 7.45kWh padanya.

Ferrari 296 GTS bukan satu-satunya model yang akan dilancarkan tahun ini, sebaliknya pengeluar Itali itu dijangka menutup tirai 2022 dengan pengenalan Purosangue, SUV pertama mereka.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved