fbpx

Roket ‘Hebat’ USM bakal bersaing di Amerika Syarikat

roket hebat usm

PASUKAN Wau Rocketry dari Universiti Sains Malaysia (USM) bakal membuat penampilan sulung dan menjadi wakil tunggal Malaysia ke Spaceport America Cup 2022 di Amerika Syarikat (AS).

Wau Rocketry menaruh harapan tinggi bahawa roket ciptaan mereka mampu memperoleh kejayaan bermakna dalam pertandingan berprestij dunia itu.

Pasukan Wau Rocketry USM

Bakal mempertaruhkan roket dikenali dengan nama ‘Hebat’, pasukan diketuai pelajar Tahun Tiga Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa universiti itu, A Vanmitha, 22, kini sudah membuat persiapan sehingga 80 peratus sebelum menyertai pertandingan berkenaan yang akan berlangsung pada 20 hingga 25 Jun di New Mexico, AS.

Vanmitha berkata, pasukan mereka sudah membuat persiapan untuk ke pertandingan itu sejak enam bulan lalu, selepas berjaya melayakkan diri dengan melalui tiga peringkat yang ditetapkan pihak penganjur.

“Bagi memasuki pertandingan besar ini, ia bukan mudah dengan hanya sekadar mengisi nama setiap peserta kemudian terus layak mendapat tempat.

“Di sini, kami perlu melalui tiga peringkat yang ditetapkan yang jika kami gagal pada peringkat pertama kami tidak akan layak ke peringkat seterusnya.

“Syukur kami berjaya melalui semua peringkat itu selepas mengisi penyertaan berkenaan pada September lalu, maka terus mengerah idea serta keringat untuk membuat persiapan menghasilkan roket bagi ke pertandingan itu,” katanya.

Menurutnya lagi, kriteria pertandingan itu mengambil kira konsep membentuk, membina dan menerbangkan roket yang mana pasukan perlu menerbangkan roket setinggi 10,000 kaki di samping membawa satelit nano bersama roket, seterusnya mendaratkan roket yang dilengkapi dengan payung terjun dengan selamat.

“Cabaran utama yang dihadapi dalam pembinaan roket ini adalah bagi memastikan pasukan kami dapat mengawal pendaratan roket dengan selamat kerana jika ada sedikit ralat, ia akan menyebabkan roket jatuh terhempas dan berkecai.

“Pasukan kami tidak boleh menguji roket di sini (Malaysia) kerana ia adalah syarat yang ditetapkan pihak penganjur yang mana roket ini akan dilancarkan sekali sahaja iaitu pada pertandingan itu nanti,” katanya.

Pasukan itu terdiri daripada 11 pelajar membabitkan lapan pelajar kejuruteraan aeroangkasa, dua (kejuruteraan kimia) dan seorang (kejuruteraan mekanikal) itu mendapat bimbingan daripada Penasihat projek, Dr Norilmi Amilia Ismail dan mentor, Julian Yie Jian Chee iaitu rakyat Malaysia yang mengajar di Wichita State University, AS yang pernah menerbangkan roket dalam pertandingan berkenaan sebelum ini.

Difahamkan, terdapat 151 pasukan dari 24 negara membabitkan 1,700 pelajar aeronautik termasuk negara tuan rumah akan bersaing dalam pertandingan itu.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved