Arkib Tag: mewah

Range Rover Evoque facelift 2024 kini di Malaysia, dari RM499k

RANGE Rover Evoque facelift 2024 akhirnya tiba di Malaysia, setelah membuat pengenalan global pertengahan tahun lepas.

Untuk Malaysia, anda ada tiga pilihan varian dengan harga seperti berikut:

Evoque P200 Dynamic SE (M spec): RM498,800
Evoque P250 (H spec): RM529,800
Evoque P250 Dynamic HSE (L spec): RM565,800

Kesemua tiga varian dipacu oleh enjin 2.0-liter Ingenium petrol 4-silinder, tetapi dengan beberapa tahap output. P200 menjana 200PS dan 320Nm tork, memberikan prestasi pecutan 0-100 dalam 8.6 saat.

Seterusnya Evoque P250 dengan output 249PS dan 365Nm tork, mampu mencapai 100km/j dalam 7.6 saat.

Kesemua model walaubagaimanapun didatangkan dengan kotak gear automatik 9-kelajuan dari ZF, serta sistem pacuan semua-roda Efficient Driveline dengan fungsi Driveline Disconnect.

Kini kita lihatkan pembaharuan pada model facelift ini. Di bahagian luar, ia mendapat bahasa rekaan mirip ‘abang-abangnya’ iaitu Velar dan L460 Range Rover. Lampu LED dengan DRL lebih nipis, selain corak petak pada gril depan.

Lampu belakang berbentuk “U berkembar” kini digantikan dengan bentuk-U tunggal yang lebih lebar. Range Rover Evoque boleh didapati dengan warna Corinthian Bronze, Tribeca Blue, dan Arroios Grey.

Pembaharuan di bahagian kabin pula merangkumi paparan infotainmen 11.4-inci “terapung” yang baharu. Butang-butang fizikal dikurangkan, memberikan rasa minimalis tetapi anda juga dapat lebih banyak ruang simpanan.

Ciri lain termasuklah pengecas tanpa-wayar Qi, stereng baharu dengan kemasan Moonlight Chrome, dan tombol gear baharu.

Pakej standard pada P200 Dynamic SE terdiri dari rim aloi 20-inci, balutan kulit Ebony, tempat duduk pemandu dengan pelarasan 12-arah, pendingin hawa dwi-zon, paparan instrumen 12.3-inci, sambungan Apple Carplay dan Android Auto tanpa-wayar, sistem audio Meridian 400-watt, kamera undur, dan pintu but berkuasa.

Varian P250 mendapat tambahan lampu tinggi automatik, lampu kabus, kamera 360-darjah 3D, dan cermin pandang belakang ClearSight.

Versi tertinggi Dynamic HSE pula dilengkapi lampu matriks Pixel LED, rim 21-inci, balutan kulit Windsor, bumbung panoramik, pelarasan 14-arah untuk tempat duduk, suspensi adaptif, dan head-up display.

Kesemua varian ditawarkan dengan sistem keselamatan ADAS seperti Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control, Lane Keep Assist, Blind Spot Monitoring, Traffic Sign Recognition, dan Rear Cross Traffic Monitor.

BMW sedia masuk pasaran trak pikap mewah?

BEBERAPA tahun yang lalu, pasaran dilihat masih belum bersedia untuk menerima trak pikap mewah namun dengan kehadiran beberapa model menarik sejak kebelakangan ini, segmen itu dilihat semakin berkembang terutamanya di Amerika Syarikat.

Keadaan ini mungkin akan menarik minat BMW untuk akhirnya menceburi segmen yang masih baru tetapi mencabar itu.

Bercakap kepada CarBuzz, ketua pereka BMW Design iaitu Domagoj Dukec berkata pengeluar kenderaan itu sedang mempertimbangkan beberapa segmen baharu termasuk trak pikap.

Trak pikap konsep berasaskan BMW X7 yang diperkenalkan pada 2019

“Sejak saya menyertai BMW, orang sering meminta trak pikap BMW. Kami sentiasa mengandaikan bahawa trak hanya untuk AS. Mungkin keadaan sudah berubah,” kata Dukec.

“Segmen SAV sedang berkembang dan sebagai pengeluar kereta, kami pasti memerhatikan perkara ini,” tambahnya lagi.

Buat pengetahuan anda, SAV bermaksud “Sports Activity Vehicle” dan singkatan ini digunakan oleh BMW untuk merujuk kepada model SUV (Sports Utility Vehicle) keluarannya.

Walau bagaimanapun, pasaran trak pikap mewah bukan mudah untuk ditembusi. Jika anda masih ingat, pada 2017, seteru utama BMW iaitu Mercedes-Benz pernah menawarkan trak pikap berasaskan Nissan Navara iaitu X-Class.

Dipendekkan cerita, trak pikap itu tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan dan pada tahun 2020, Mercedes-Benz mengambil keputusan untuk menghentikan pengeluarannya.

BMW sebelum ini pernah menafikan bahawa mereka akan menghasilkan trak pikap kerana merasakan bahawa trak pikap mewah hanya boleh diterima di beberapa negara sahaja.

Mercedes-Benz X-Class gagal menarik minat pembeli

Bagaimanapun, syarikat itu merasakan bahawa lanskap telah berubah dengan kehadiran model-model seperti Toyota Tundra Capstone, GMC Sierra 1500 Denali Ultimate dan Ford F-150 Lightning Platinum.

Berikutan kerjasama dengan Toyota ketika membangunkan Z4 dan Supra, spekulasi mengatakan kedua-dua syarikat itu akan berganding bahu sekali lagi untuk menghasilkan trak pikap menggunakan platform TNGA-F, namun BMW tidak menganggap rebadge sebagai satu opsyen kerana mereka mahukan trak dengan pemanduan seperti BMW yang sebenar.

Jika trak pikap BMW menjadi kenyataan, adakah ia akan berjaya menarik perhatian pembeli atau adakah ia akan menemui kegagalan seperti X-Class?

Mercedes S-Class serba baharu tiba di Malaysia, 502hp, 750Nm, CKD

MERCEDES S-Class cukup sinonim dengan simbol kejayaan dan dikatakan antara kereta terbaik di dunia. Dan Mercedes sentiasa memberikan yang terbaik juga untuk sedan flagship ini dengan segala teknologi dan sistem terkini yang mereka ada.

Jadi Mercedes S-Class terbaharu telah tiba di Malaysia, dengan satu varian iaitu S580e dan ianya dipasang secara tempatan (CKD) di fasiliti Mercedes di Pekan, Pahang. Malangnya, harga Mercedes S580e baharu ini belum diumumkan kerana masih menunggu pengesahan.

S-Class ini merupakan generasi ketujuh dengan kod nama W223 dan mula dilancarkan secara global pada September tahun lepas.

Rekaannya mirip E-Class terkini dengan gril depan baharu yang lebih besar, diapit oleh lampu lebih lebar dan nipis. Lampu LED Digital Light ini terdiri dari 1.3 juta cermin mikro di setiap unit untuk nyalaan tepat tanpa menyilaukan pengguna jalan raya dari arah bertentangan.

Di bahagian sisi, S-Class ini mendapat pembuka pintu flush yang akan masuk kemas ke dalam badan bila tidak digunakan, memberikan permukaan minimalis selain menambahbaik aerodinamik.

Lampu belakangnya kini terdiri dari unit two-piece seperti CLS dan dihubungkan dengan bar krom di tengah. Menurut Mercedes, rekabentuk baharu badan S-Class ini memberikan pekali seretan (drag coefficient) serendah 0.22.

Konsep minimalis diteruskan ke bahagian dalam, dimana S-Class ini menampilkan papan pemuka dengan skrin sesentuh besar di tengah. Jadi di sini terdapat kebanyakan kawalan kenderaan.

Untuk pemandu pula, terdapat satu skrin khas di depan stereng untuk paparan instrumen yang juga boleh dikonfigurasi mengikut kehendak pemandu (Discreet, Sporty, Exclusive, Classic). Terdapat juga tiga mod iaitu Navigation, Assistance dan Service.

Dan seperti biasa, segala keselesaan dan kemewahan diutamakan untuk bahagian belakang dimana pemilik sebuah Mercedes S-Class selalu duduk. Di sini, terdapat bahan premium seperti kulit Nappa dan kayu Anthracite.

Tidak kurang juga dengan teknologi, Mercedes S-Class mendapat kelengkapan seperti:

Mercedes-Benz User Experience (MBUX)
E-Active Body Control
Rear-wheel Steering
Sistem audio Burmester
Pakej keselamatan PRE-SAFE

Mercedes S580e ini dipacu oleh enjin 3.0-liter 6-silinder turbo yang menjana 367hp dan 500Nm tork. Enjin ini mendapat bantuan sistem elektrik berkuasa 110kW (147hp) dan 440Nm, menjadikan output total S580e ini setinggi 502hp dan 750Nm.

Semua kuasa disalurkan ke roda belakang melalui kotak gear automatik 9-kelajuan 9G-Tronic. Ini membolehkan Mercedes S580e memecut dari pegun ke 100km/j dalam 5.2 saat, dan kelajuan maksima dihadkan pada 250km/j.

Apa pendapat anda mengenai Mercedes S-Class 2022 setakat ini? Atau anda lebih gemarkan BMW 7-Series, Audi A8 dan Lexus LS?

Tecnomar for Lamborghini 63 ‘mainan’ terbaharu Conor McGregor, enjin 48-liter berkuasa 4,000hp

DENGAN pendapatan mencecah ratusan juta dolar setahun, tidak hairanlah jika ikon UFC terkenal Conor McGregor gemar menunjuk-nunjuk barangan mewah miliknya seperti jam tangan, kereta, dan sebagainya.

Bagaimanapun, pembelian terbarunya ini adalah antara yang paling mahal pernah dilakukan oleh atlet seni bela diri campuran itu – ia merupakan sebuah bot laju Tecnomar for Lamborghini 63 yang bernilai USD3.6 juta (RM15 juta).

“Kapal layar Lamborghini saya sudah sedia,” kata atlet berusia 33 tahun itu menerusi satu kiriman di akaun Instagram miliknya.

Dibangunkan dengan kerjasama Lamborghini dan The Italian Sea Group, Tecnomar for Lamborghini 63 menampilkan rekaan yang diinspirasikan daripada model flagship Lamborghini iaitu Sian.

Jika Sian dikuasakan oleh enjin V12 hibrid, bot laju ini pula didatangkan dengan sepasang enjin twin-turbo diesel MAN, masing-masing berkapasiti 24-liter dan mampu menjana sehingga 2,000 hp.

Dengan kuasa keseluruhan mencecah 3,945 hp (2,942 kW), ia mampu mencapai kelajuan 60 knot atau bersamaan dengan 111 km/j, menjadikannya antara yang terpantas dalam kelasnya.

Nombor ‘63’ pada namanya bukan sahaja merujuk kepada tahun jenama Lamborghini diasaskan, malah juga ukuran panjang keseluruhan bot ini iaitu 63 kaki (20.42 meter). Sementara itu, ukuran lebarnya pula adalah 17.7 kaki atau bersamaan 5.4 meter.

Unit milik McGregor ini didatangkan dalam warna hijau Verde Green, manakala ruang kokpitnya menampilkan tempat duduk daripada Huracan Evo, serta stereng daripada Aventador.

Panel instrumennya turut diinspirasikan oleh model tersebut namun ia didatangkan dalam saiz yang lebih besar.

Menurut laporan, McGregor memesan bot tersebut pada Oktober tahun lalu di ibu pejabat Tecnomar di Itali.

Daripada 63 unit yang dihasilkan, beliau mendapat unit bernombor 12 bersempena dengan syarikat wiski Proper No. Twelve yang diasaskan olehnya pada 2018. Bagaimanapun, syarikat tersebut telah dijual pada April lalu pada harga USD150 juta (RM622 juta).

Bot ini hanyalah satu lagi tambahan terbaru ke dalam koleksi ‘permainan’ mewah McGregor.

Menerusi kiriman-kiriman sebelum ini, beliau pernah menunjukkan pelbagai jenis kereta miliknya seperti Lamborghini Aventador Roadster, Urus, McLaren 650S, Rolls-Royce Ghost, Phantom Drophead Coupe, Bentley Continental GT, BMW i8 dan banyak lagi.

Bugatti bekerjasama dengan GilleteLabs untuk pencukur serba mewah!

APABILA mendengar nama Bugatti, pasti anda terbayangkan sebuah hypercar mewah dengan kelajuan yang mampu memecahkan rekod dunia. Tetapi pengeluar Perancis ini kini mempunyai satu lagi produk selain kereta.

Malah, produk Bugatti terbaharu ini mungkin lebih mampu milik, iaitu pencukur misai. Ya betul, Bugatti bekerjasama dengan Gillette untuk satu produk kolaborasi edisi khas.

GilletteLabs x Bugatti diasaskan dari model GilletteLabs iaitu pencukur dengan fungsi pemanas yang sebelum ini pernah memenangi anugerah.

Diperkenalkan pada 2018, GilletteLabs menerima pengiktirafan oleh Time Magazine sebagai rekaan paling bijak tahun itu. Pencukur dengan pemanas itu menawarkan rasa hangat untuk cukuran selesa dengan hanya menekan satu butang.

Dalam kenyataan oleh Bugatti, mereka berkata kerjasama itu “untuk menjadikan setiap pengalaman mencukur sesuatu yang luar biasa.” Sudah tentu luar biasa memandangkan pencukur ini mempunyai logo Bugatti Macaron yang ditatahkan pada pemegang aluminium-zink premium dengan kemasan ala Churon Pur Sport.

“Sama seperti setiap Bugatti yang menjanjikan pengalaman memandu tiada tandingan, pencukur yang tepat ini bukan hanya direka untuk mencukur, tetapi juga untuk pengalaman mencukur di rumah yang cukup mewah,” kata Gary Coombe, CEO P&G Grooming.

Berapa harganya? Sayang sekali Bugatti tidak mendedahkan sebarang angka. Tetapi sebagai rujukan, Gillette Heated Razor ‘biasa’ berharga USD200 (sekitar RM838).

Jadi untuk edisi Bugatti, pasti ia labih mahal dari itu, yang mana ia turut hadir dengan tempat pengecas tanpa-wayar magnetik, dua bilah simpanan, kain pembersih khas Bugatti, dan plug Smart.