fbpx

Range Rover L460 dilancarkan di Malaysia – RM2.48 juta selepas cukai

Range Rover L460 01

SEPERTI yang dijanjikan, Jaguar Land Rover Malaysia secara rasminya telah melancarkan Range Rover generasi kelima ke pasaran tempatan.

Dikenali dengan kod L460, Range Rover baharu merupakan model pertama yang menggunakan platform Flexible Modular Longitudinal Architecture (MLA-Flex) yang menyokong pelbagai jenis trenkuasa termasuk enjin pembakaran dalaman, hibrid plug-in serta EV yang akan tiba pada 2024.

Untuk pasaran Malaysia, Range Rover didatangkan dalam varian P530 dengan spesifikasi HSE. Ia dikuasakan oleh enjin 4.4-liter twin-turbo V8 yang menghasilkan 530 PS dan 750 Nm dari 1,800 hingga 4,600 rpm.

Dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda Intelligent All-Wheel Drive (iAWD), ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Menurut Land Rover, penggunaan platform MLA-Flex membuatkan Range Rover 75 mm lebih panjang berbanding model terdahulu, manakala ketegaran casis meningkat sebanyak 50 peratus. Ini secara tidak langsung memberikan pengurangan bunyi sebanyak 24 peratus.

Dari segi spesifikasi, versi HSE didatangkan standard dengan lampu Digital LED, rim aloi 22 inci (boleh dinaik taraf kepada 23 inci), paparan digital pemandu berukuran 13.7 inci, sistem infohibur Pivi Pro dengan skrin sentuh 13.1 inci, sistem audio Meridian 1,600 W, Head-up Display dan pendingin hawa tiga zon.

Turut disertakan adalah teknologi Active Noise Cancellation yang menggunakan accelerometer dan mikrofon pada bahagian luar kenderaan untuk menghasilkan suasana yang lebih senyap.

Satu lagi teknologi yang terdapat pada SUV mewah ini adalah sistem Terrain Response 2 yang mengandungi pelbagai mod pemanduan seperti Comfort, Dynamic, Eco, Grass/Gravel/Snow, Mud & Ruts, Sand, Rock Crawl, Wade dan Auto.

Range Rover juga didatangkan standard dengan differential aktif elektronik dan sistem suspensi udara yang boleh menambah atau mengurangkan ketinggian kenderaan. Sebagai contoh, ketinggian suspensi akan dikurangkan sebanyak 16 mm ketika bergerak pada kelajuan 105 km/j bagi tujuan aerodinamik.

Sementara itu, sistem All-Wheel Steering pula memberikan ia radius pusingan kurang 11 meter serta kestabilan pada kelajuan tinggi, manakala ClearSight Ground View membolehkan pemandu melihat ‘menembusi’ bonet untuk memudahkan pemanduan terutamanya di kawasan sempit.

Harga jualan Range Rover L460 bermula daripada RM1,268,000 untuk bebas cukai dan RM2,488,000 untuk cukai berbayar.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved