Arkib Tag: Jaguar Land Rover Malaysia

Range Rover Evoque facelift masuk pasaran Malaysia Januari 2024

JAGUAR Land Rover Malaysia (JLRM) mengumumkan bahawa ia akan melancarkan Range Rover Evoque facelift pada Januari tahun depan.

SUV mewah itu diperkenalkan di peringkat global pada Jun lalu dengan reka bentuk yang lebih segar dan pelbagai ciri terkini.

Pada bahagian luaran, bentuk asas Evoque masih lagi sama namun anda boleh melihat elemen-elemen baharu seperti gril yang direka semula, lampu Pixel LED dengan grafik DRL yang lebih menonjol, serta lampu belakang yang dikatakan lebih terang dan boleh mengurangkan silau.

Selain itu, efek bumbung terapung dan pemegang pintu yang tersembunyi dilengkapkan lagi dengan pilihan aksen dan warna baharu.

Di dalam, Evoque menampilkan sistem infohibur Pivi Pro terkini dengan skrin sentuh melengkung berukuran 11.4 inci yang menyediakan akses kepada semua fungsi kenderaan.

Kawalan bagi iklim dan kekuatan audio sentiasa terpampang pada skrin tersebut, dengan kawalan gelongsor berbilang fungsi pada sebelah kiri dan kanan.

Konsol tengah baharu memberikan ruang simpanan secukupnya dengan pengecas peranti tanpa wayar disediakan di bawah skrin sentuh.

Menurut JLRM, Evoque facelift akan ditawarkan dengan enjin petrol Ingenium namun varian yang sebenar tidak dinyatakan.

Mereka yang berminat untuk melihat dengan lebih dekat model ini siri jelajah JLRM yang akan diadakan dari 3 hingga 7 Januari 2024 di Bangsar Shopping Centre.

Jaguar Land Rover menang Retailer of the Year Award kali ketiga

JAGUAR Land Rover Malaysia (JLRM) sekali lagi menjulang anugerah Retailer of the Year Award (Asia Pacific) bagi tahun 2022/2023.

Meneruskan kemenangan mereka, ini merupakan tahun ketiga berturut-turut dan kali keempat kejayaan ini dicapai oleh JLRM.

Retailer of the Year Award tahunan mengiktiraf Jaguar Land Rover dari seluruh rantau dan menetapkan penanda aras untuk mereka mematuhi tahap piawaian tertinggi dalam usaha membawakan pengalaman pelanggan yang luar biasa.

Calon dinilai berasaskan kriteria prestasi khusus dalam tiga kategori berbeza: pemasaran, jualan dan perkhidmatan pelanggan, dan juga latihan kakitangan dan peragaan peruncit.

Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Sime Darby Motors, Asia Tenggara, berkata, “Sejajar dengan komitmen Sime Darby Motors terhadap kecemerlangan, anugerah ini sesungguhnya memperlihatkan prestasi JLRM yang membanggakan dan tumpuan yang utuh dalam menyediakan pengalaman automotif bertaraf dunia.

“Kejayaan ini juga membuktikan kesungguhan dan kegigihan seluruh pasukan, secara konsisten dalam setiap aspek perniagaan.”

Syed Ahmad Muzri Syed Faiz, Pengarah Urusan Jaguar Land Rover Malaysia menambah: “Selari dengan hala tuju peralihan masa depan, kami mendedikasikan anugerah ini kepada pelanggan dan di atas komitmen kami untuk mengekalkan kelebihan daya saing dalam segmen kereta mewah.

“Kami akan terus berusaha menjangkaui sempadan dan mempelopori inovasi, memastikan pelanggan kami menikmati hanya yang terbaik dalam kemewahan moden.”

Range Rover Sport generasi ketiga kini di Malaysia – RM1.7 juta

SELEPAS melancarkan Range Rover L460 dan Range Rover Velar, kini Jaguar Land Rover Malaysia (JLRM) melancarkan satu lagi model SUV ke pasaran tempatan iaitu Range Rover Sport.

Untuk pasaran Malaysia, Range Rover Sport generasi ketiga ini ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu P400 Dynamic yang menampilkan enjin petrol turbo.

Range Rover Sport membawakan penampilan luar serba mewah dengan gabungan DNA Range Rover seperti lampu depan LED digital (paling langsing pada Range Rover setakat ini), tingkap dan pemegang pintu yang sama rata dan bumbung yang dipasang dengan teknik kimpalan laser.

Elemen-elemen ini membantu model ini dari aspek aerodinamik, dengan kadar pekali seretan serendah 0.29 Cd. Gaya mewahnya dilengkap kan menerusi rim Style 5127 berukuran 22 inci yang didatangkan dalam warna kelabu gelap satin, dan pintu soft-close.

Ruang dalaman tidak jauh berbeza dengan Range Rover, menampilkan sistem infohibur Pivo Pro dengan skrin sentuh melengkung 13.1 inci, paparan pemandu interaktif 13.7 inci, head-up display dan sistem audio Meridian 400W.

Kelengkapan lain turut disertakan termasuk sistem Terrain Response 2, cermin pandang belakang digital ClearSight, pencahayaan ambien, pendingin hawa empat zon dan sistem penapis udara Cabin Air Purification Pro.

‘Nadi’ Range Rover Sport P400 adalah enjin 3.0-liter turbo mild-hybrid (MHEV) yang menghasilkan 400 PS dan 550 Nm. Dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.7 saat.

SUV ini dibina menggunakan platform MLA-Flex yang dikatakan 35 peratus lebih tegar berbanding platform terdahulu. Ia dipadankan dengan sistem suspensi udara dinamik yang mempunyai fungsi Automatic Access Height.

Untuk sistem bantuan pemandu (ADAS) pula, terdapat ciri-ciri seperti Emergency Braking, 3D Surround Camera, Wade Sensing, ClearSight Ground View, Adaptive Cruise Control dengan Steering Assist, Driver Condition Response, Lane Keep Assist dan Traffic Sign Recognition.

Harga jualan Range Rover Sport bermula dari RM1,698,000 termasuk cukai dan duti.

Range Rover Velar L560 facelift masuk pasaran Malaysia – harga dari RM639k

JAGUAR Land Rover Malaysia telah mengumumkan pelancaran Range Rover Velar L560 versi facelift ke pasaran tempatan.

Ia boleh didapati dalam tiga versi iaitu P250 Dynamic SE (M dan H Spec) dan P250 Dynamic HSE (L Spec), pada harga bermula daripada RM638,800.

Dari segi penampilan, model ini boleh dibezakan dengan yang terdahulu menerusi rekaan baharu pada lampu hadapan, lampu belakang dan gril radiator.

Versi L Spec dilengkapi dengan lampu hadapan Pixel LED yang nipis dengan lampu nyalaan siang berbentuk permata, serta lampu LED 3D pada bahagian belakang.

Untuk model facelift, Velar boleh didapati dalam dua warna luaran iaitu Metallic Varesine Blue dan Premium Metallic Zadar Grey.

Untuk rim, H Spec dan L Spec dilengkapi dengan rim Style 1075 berukuran 22 inci dalam warna kelabu gelap berkilat manakala M Spec mendapat rim 20 inci Style 1089 berwarna hitam berkilat.

Di dalam, terdapat sistem infohibur Pivo Pro yang boleh diakses menerusi skrin sentuh melengkung berukuran 11.4 inci. Sistem ini menawarkan antara muka baharu, sistem pengecaman suara AI dan kemas kini perisian melalui udara.

Selain itu, SUV mewah ini juga didatangkan dengan sistem pembatalan bunyi jalan raya aktif yang berfungsi dengan pembesar suara Meridian bagi menjadikan kabin lebih senyap, sekali gus membantu mengurangkan tahap keletihan semasa memandu.

Turut disertakan adalah Technology Pack yang merangkumi paparan head-up, kamera 3D, Park Assist dan Wade Sensing yang berfungsi ketika meredah air.

Sebagai tambahan, L Spec didatangkan dengan sistem pembersihan udara kabin dan sistem pencahayaan ambien dengan 30 pilihan warna.

H Spec dan L Spec dilengkapi dengan sistem Adaptive Dynamics dengan suspensi udara elektronik yang memastikan kekerasan suspensi dioptimumkan mengikut keadaan pemanduan. Sistem ini juga menyediakan kalibrasi khusus untuk pemanduan off-road.

Range Rover Velar L560 kini dibuka untuk tempahan. Sila layari https://www.landrover.com.my/ untuk maklumat lanjut.

Range Rover L460 dilancarkan di Malaysia – RM2.48 juta selepas cukai

SEPERTI yang dijanjikan, Jaguar Land Rover Malaysia secara rasminya telah melancarkan Range Rover generasi kelima ke pasaran tempatan.

Dikenali dengan kod L460, Range Rover baharu merupakan model pertama yang menggunakan platform Flexible Modular Longitudinal Architecture (MLA-Flex) yang menyokong pelbagai jenis trenkuasa termasuk enjin pembakaran dalaman, hibrid plug-in serta EV yang akan tiba pada 2024.

Untuk pasaran Malaysia, Range Rover didatangkan dalam varian P530 dengan spesifikasi HSE. Ia dikuasakan oleh enjin 4.4-liter twin-turbo V8 yang menghasilkan 530 PS dan 750 Nm dari 1,800 hingga 4,600 rpm.

Dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda Intelligent All-Wheel Drive (iAWD), ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Menurut Land Rover, penggunaan platform MLA-Flex membuatkan Range Rover 75 mm lebih panjang berbanding model terdahulu, manakala ketegaran casis meningkat sebanyak 50 peratus. Ini secara tidak langsung memberikan pengurangan bunyi sebanyak 24 peratus.

Dari segi spesifikasi, versi HSE didatangkan standard dengan lampu Digital LED, rim aloi 22 inci (boleh dinaik taraf kepada 23 inci), paparan digital pemandu berukuran 13.7 inci, sistem infohibur Pivi Pro dengan skrin sentuh 13.1 inci, sistem audio Meridian 1,600 W, Head-up Display dan pendingin hawa tiga zon.

Turut disertakan adalah teknologi Active Noise Cancellation yang menggunakan accelerometer dan mikrofon pada bahagian luar kenderaan untuk menghasilkan suasana yang lebih senyap.

Satu lagi teknologi yang terdapat pada SUV mewah ini adalah sistem Terrain Response 2 yang mengandungi pelbagai mod pemanduan seperti Comfort, Dynamic, Eco, Grass/Gravel/Snow, Mud & Ruts, Sand, Rock Crawl, Wade dan Auto.

Range Rover juga didatangkan standard dengan differential aktif elektronik dan sistem suspensi udara yang boleh menambah atau mengurangkan ketinggian kenderaan. Sebagai contoh, ketinggian suspensi akan dikurangkan sebanyak 16 mm ketika bergerak pada kelajuan 105 km/j bagi tujuan aerodinamik.

Sementara itu, sistem All-Wheel Steering pula memberikan ia radius pusingan kurang 11 meter serta kestabilan pada kelajuan tinggi, manakala ClearSight Ground View membolehkan pemandu melihat ‘menembusi’ bonet untuk memudahkan pemanduan terutamanya di kawasan sempit.

Harga jualan Range Rover L460 bermula daripada RM1,268,000 untuk bebas cukai dan RM2,488,000 untuk cukai berbayar.

Land Rover Defender 90 kini di Malaysia – 2 varian, harga bermula RM838,800

HAMPIR setahun selepas melancarkan Land Rover Defender 110 baharu, Jaguar Land Rover Malaysia kini membawa masuk versi ‘short wheelbase’ pula iaitu Defender 90.

Harga jualan (termasuk SST 10 peratus dan tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans) bermula dari RM838,800 bagi varian P300 dan RM1,098,800 bagi P400 MHEV.

Ia disokong oleh program Land Rover Care yang merangkumi jaminan dan pakej servis percuma selama lima tahun dan khidmat bantuan tepi jalan untuk tiga tahun.

Untuk pasaran Malaysia, Defender 90 boleh didapati dalam lima warna serta 170 akesori individu, pilihan terbesar yang pernah dihasilkan bagi sebuah Land Rover.

Seperti Defender 110, varian Defender 90 P300 dikuasakan oleh enjin 2.0-liter turbo empat silinder yang menghasilkan 300 PS dan 400 Nm, manakala varian P400 pula tampil dengan enjin mild-hybrid 3.0-liter enam silinder dengan output berjumlah 400 PS dan 550 Nm.

Kedua-dua enjin berkenaan merupakan enjin petrol dari keluarga Ingenium dan dipadankan dengan transmisi jenis automatik lapan kelajuan keluaran ZF.

Menurut JLR, Defender 90 mampu mengharungi air sedalam 900 mm. ‘Transfer box’ dwi kelajuan pula memberikan suntikan kelajuan dan kawalan tambahan untuk mengawal kuasa bagi menghadapi perjalanan mencabar seperti mendaki dan menuruni cerun curam.

Di samping itu, suspensi udara elektronik membolehkan pemandu melaraskan ketinggian kenderaan mengikut keperluan. Dengan ciri ini, suspensi boleh diturunkan sebanyak 40 mm daripada ketinggian normal atau dinaikkan sehingga 75 mm.

Bukan itu sahaja, bagi pemanduan off-road yang ekstrem, sistem suspensi tersebut juga menyediakan ketinggian tambahan sebanyak 70 mm.

Fungsi Dinamik Boleh Laras (Adaptive Dynamic) pula menggunakan data untuk mengoptimumkan kawalan dan keselesaan dengan serta-merta menerusi sistem peredam adaptif yang dapat menilai pergerakan badan kedneraan sehingga 500 kali sesaat.

Defender 90 menggunakan senibina Electronic Vehicle Architecture (EVA 2.0) yang menyokong sistem infohibur Pivi Pro dan kemas kini atas udara atau Software-Over-The-Air (SOTA).

EVA 2.0 terdiri daripada kamera digital terkini, sensor ultrasonik dan rangkaian dalam kereta yang pelbagai jenis teknologi bantuan pemandu. Ini termasuk kamera keliling 3D yang memberikan tahap keterlihatan 360-darjah, serta sensor Wade Sensing dan teknologi bonet lut sinar ClearSight.