Arkib Tag: hrv

Honda Malaysia serah HR-V kepada pemilik pertama

HONDA Malaysia hari ini mengumumkan penyerahan HR-V baharu kepada pemiliknya yang pertama, cik Nurul Hafida Binti Mhd Jais dalam satu majlis di MJN Motors Sdn Bhd di Cheras, Selangor.

Selain dari menjadi pemilik pertama Honda HR-V RS e-HEV, Nurul Hafida juga dihadiahkan dengan Honda Authorised Accessories, Ultra Glass Body Coating, dan Honda Official Merchandise bernilai RM5,700 sebagai penghargaan dari pihak Honda Malaysia.

Bercakap di majlis penyerahan itu, Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura berkata: “Maklum balas yang kami terima untuk HR-V serba baharu sangat positif, dan kami yakin model ini berjaya seperti sebelumnya.”

“Hari ini, kami menyerahkan HR-V baharu kepada pemilik pertamanya, Nurul Hafida. Tambahan itu, Honda Malaysia juga telah menyerahkan lebih 1,300 unit HR-V dalam tempoh sebulan selepas pelancarannya.”

“Kami ingin menggunakan peluang ini untuk menzahirkan penghargaan kepada semua pelanggan kami di atas sokongan mereka terhadap Honda,” tambahnya.

Sementara itu, Nurul Hafida dan keluarganya yang turut hadir berkata, “Saya telah membuat kajian sebelum pelancaran rasmi Honda HR-V di Malaysia. Gaya luarannya menarik perhatian saya dan sebab itulah saya menempah kereta ini sebaik sahaja ia dibuka untuk tempahan.”

“Saya sangat terkejut apabila mengetahui yang saya menjadi pelanggan pertama yang menerima kereta ini. Apa yang lebih mengujakan ialah hadiah tambahan yang diterima dari Honda!”

Rekaan luaran HR-V diberikan pembaharuan menyeluruh yang menjadikannya lebih bergaya dan premium. Ini boleh dilihat menerusi bentuk keseluruhannya yang sedikit lebih bersegi berbanding model terdahulu, serta rekaan fastback dan lampu LED yang memanjang pada bahagian belakang.

Sebagai varian tertinggi, RS mendapat kit badan RS yang merangkumi kemasan hitam pada bampar depan dan belakang serta skirt sisi, logo RS pada gril dan juga efek ‘smoked’ pada lampu belakang.

Untuk model generasi baharu ini, HR-V didatangkan dalam empat varian dengan tiga pilihan enjin. Varian S dikuasakan oleh enjin 1.5-liter i-VTEC, manakala varian E dan V mendapat enjin 1.5-liter i-VTEC Turbo. Varian flagship e:HEV RS pula hadir dengan trenkuasa hibrid.

Dari segi kuasa, varian S mempunyai 121PS dan 145Nm, sementara E dan V pula mempunyai 181PS dan 240Nm. Dengan enjin 1.5-liter i-VTEC dan dua buah motor elektrik, varian e:HEV RS tampil dengan 131PS dan 253Nm. Varian ini mempunyai tiga mod pemanduan iaitu EV Drive, Hybrid Drive dan Engine Drive.

Untuk maklumat lanjut mengenai crossover popular ini, anda boleh baca laporan penuh pelancarannya di sini.

Honda recall: 1,527 kenderaan terlibat – City, City Hatchback, HR-V dan BR-V

HONDA Malaysia mengumumkan panggil semula (recall) beberapa produk merangkumi model City, City Hatchback, HR-V dan BR-V atas tujuan keselamatan. Sejumlah 1,527 kenderaan terlibat, dengan perincian seperti berikut:

Situasi A

City (2021) dan City Hatchback (2022) – 1,068 unit

Situasi B

HR-V (2020) – 343 unit
BR-V (2021) – 116 unit

Untuk Situasi A, recall melibatkan pemeriksaan nat pada Alternating Current Generator (ACG) pada wayar enjin. Ini mungkin menyebabkan sentuhan kurang baik pada terminal dan bateri yang boleh menjurus kepada enjin tersengguk atau mati semasa memandu, atau enjin tidak boleh dihidupkan selepas berhenti.

Untuk Situasi B pula, pemeriksaan diperlukan untuk memeriksa bolt earth grounding yang boleh menyebabkan kelonggaran wayar enjin. Ini juga boleh menyebabkan enjin kehilangan kuasa semasa memandu atau sukar untuk dihidupkan selepas berhenti.

Honda Malaysia memohon maaf di atas kesulitan dan menegaskan bahawa model yang sedang dijual tidak terlibat dalam recall ini.

Setakat ini juga, tiada kes atau insiden dilaporkan dari isu ini di Malaysia.

Semua pelanggan yang terlibat akan dimaklumkan melalui surat. Honda Malaysia memohon mereka yang terlibat untuk membuat temujanji di mana-mana pusat servis sah untuk memeriksa kenderaan mereka dan membaiki jika perlu.

Seperti biasa, semua pemeriksaan, baik pulih dan penggantian komponen untuk recall ini akan ditanggung oleh Honda Malaysia sepenuhnya.

Honda HR-V 2022 dilancar di Indonesia dengan enjin 1.5 VTEC NA dan turbo, dari RM104k

HONDA HR-V 2022 serba baharu telah dilancar di Indonesia dengan empat varian. Tiga darinya dengan enjin 1.5-liter petrol VTEC naturally-aspirated (121PS dan 145Nm) manakala satu lagi versi tertinggi dengan 1.5-liter VTEC turbo (177PS dan 240Nm). Kedua-dua enjin dipadankan dengan kotak gear CVT.

Ini sedikit berbeza dengan penawaran di Thailand, dimana crossover segmen-B itu mendapat varian hibrid e:HEV. Ini menampilkan enjin 1.5-liter Atkinson-cycle berkuasa 105hp dan 127Nm tork, digabungkan dengan dua motor elektrik yang dikuasakan oleh bateri lithium-ion.

Output keseluruhan untuk HR-V e:HEV ini adalah 131hp dan 253Nm tork.

Dari segi harga, Honda HR-V di Indonesia ditawarkan dengan harga seperti berikut:

HR-V S: 355.9 juta Rupiah (RM104,738)
HR-V E: 379.9 juta Rupiah (RM111,798)
HR-V E SE: 399.9 juta Rupiah (RM117,701)
HR-V Turbo RS: 499.9 juta Rupiah (RM147,070)

Kelengkapan standard terdiri dari lampu LED penuh dengan DRL, rim 17-inci, panel instrument TFT dan skrin audio 7-inci dengan sambungan telefon pintar, serta pakej keselamatan Honda Sensing.

Walaubagaimanapun varian HR-V E SE ditambah dengan kelengkapan lebih premium iaitu lampu signal sequential, bumbung panoramik kaca, lampu kabus LED, rim 18-inci, skrin infotainmen 8-inci, dan Honda LaneWatch.

Sementara itu, varian tertinggi Turbo RS pula dilengkapi dengan kit badan khas, ekzos berkembar, kemasan kulit hitam dengan jahitan merah, stereng balutan kulit, skrin instrumen TFT boleh dikustom, serta mod pemanduan Sport, Normal dan Econ.

Ia juga mendapat pintu but belakang berkuasa dengan fungsi hands-free, dan enam beg udara.

Honda HR-V di Indonesia ditawarkan dengan enam warna iaitu Crystal Black Pearl, Platinum White Pearl, Lunar Silver Metallic, Meteoroid Grey Metallic, Sand Khaki Pearl 2-Tone dan Ignite Red Metallic 2-Tone.

Teruja untuk Honda HR-V baharu di Malaysia?

Honda Malaysia ada mengumumkan bahawa model serba baharu yang akan dibawa ke pasaran kita akan mendapat enjin VTEC Turbo dan hibrid e:HEV.

Crossover segmen-B ini juga dijangka tiba tahun ini, salah satu dari dua model serba-baharu yang dirancang untuk 2022.