Arkib Tag: fast and furious

Pelakon lagak ngeri Fast and Furious 9 nyaris terkorban, pengarah disaman RM4.66 juta

Seorang pelakon lagak ngeri (stuntman), Joe Watts telah mengalami kecederaan “yang mengubah hidupnya” selepas terjatuh kira-kira 25 kaki dari tali keselamatan di studio Warner Bros. di Leavesden, United Kingdom (UK).

Eksekutif kesihatan dan keselamatan (HSE) kerajaan UK mendapati pasukan penggambaran Fast and Furious 9 (FF9) tidak menilai risiko secukupnya seperti tali putus, rosak, pemeriksaan keadaan, atau regangan di antara babak.

Ini bermakna mereka bertanggungjawab terhadap insiden Watts, dimana beliau jatuh dan mengalami keretakan tengkorak, trauma kecederaan otak, dan mengakibatkan pelakon itu mempunyai kecacatan dan kurang upaya kekal.

Laporan juga mengatakan tali keselamatan yang menyokong Watts tidak diperiksa dalam tempoh enam bulan dan penerbit FF9 tidak menyediakan sebarang alas sekiranya berlaku sebarang insiden tidak diingini.

FF9 Pictures Limited didapati bersalah dan disaman kira-kira USD1.05 juta (RM4.66 juta). Pegawai HSE, Roxanne Barker berkata, “Kecederaan Watts mengubah hidupnya dan dia boleh terkorban.

“Dalam kerja-kerja aksi lagak ngeri, ia bukan berkenaan mengelakkan terjatuh tetapi meminimakan risiko kecederaan,” katanya.

HSE sebelum itu menyiasat penerbit Squid Game: The Challenge, selepas laporan peserta-peserta mengalami kecederaan saraf dan hipotermia.

Watts kini mengumpulkan sekitar USD1.2 juta untuk kecederaan peribadi, menyatakan dia tahu tidak akan dapat bekerja lagi. Dia juga menggesa industri filem untuk membuatkan set mereka lebih selamat.

“Saya tidak mahu apa yang terjadi kepada saya berlaku kepada orang lain,” ujar Watts.

Mungkin akan ada filem Fast and Furious ke-12 – Vin Diesel

VIN Diesel telah mendedahkan francais filem Fast & Furious akan ditamatkan dengan tiga filem, dan bukan dua seperti yang diberitahu sebelum ini.

Komen dari pelakon dan juga pengarah F&F itu ‘muncul’ semasa penampilannya bersama heroin Michelle Rodriguez dalam acara karpet merah Fast X di Rom, Itali.

Apabila ditanya oleh Nan Perez dari Fandango mengenai apa yang boleh dijangkakan mendatang untuk Dominic Toretto – yang bakal berada di pawagam 19 Mei ini – Diesel berkata: “Ia satu soalan yang sangat bagus.

“Apa yang saya boleh katakan, semasa menghasilkan file mini, pihak studio telah bertanya sama ada ini boleh menjadi dua bahagian.

“Dan selepas studio melihat ini, bahagian pertama, mereka berkata, bolehkah anda membuat Fast X, finale, sebuah trilogi?”

“Ianya tiga bahagian dalam satu cerita,” usik Rodriguez.

Perez terus bertanya adakah ini pengesahan rasmi bahawa mereka berdua akan membuat filem Fast & Furious ke-12, Diesel berkata, “Mungkin,” sebelum mereka berdua terus beredar dari temubual itu tanpa berkata terlalu banyak.

Fast X sebelum ini dikatakan sebagai penutup terakhir francais Fast & Furious dimana Dom dan krewnya menentang Cipher pengganas cyber (Charlize Theron) dan rakannya, Dante (Jason Moma) dengan bantuan Tess (Brie Larson).

Fast x juga menampilkan Tyrese Gibson, Sung Kang, Chris “Ludacris” Bridges, John Cena, Jason Statham, Alan Ritchson, Nathalie Emmanuel, Michael Rooker, Helen Mirren, Daniela Melchior, Jordana Brewster, Cardi B and Scott Eastwood, Rita Moreno dan Leo Abelo Perry.

Anak mendiang Paul Walker, Meadow pula akan muncul dalam filem ini untuk menghormati legasi ayahnya, dimana dia juga mendedahkannya dalam media sosial.

Tonton temu ramah dengan Vin Diesel di bawah:

10 kereta paling mahal dalam Fast and Furious: Tokyo Drift

TAHUN awal 2000 merupakan era yang menarik untuk peminat lumba jalanan dan scene kereta. ‘Budaya’ ini juga ditampilkan sebagai sesuatu yang ‘cool’, semuanya hasil populariti permainan video seperti Need For Speed dan francais filem Fast and Furious.

Edisi F&F: Tokyo Drift pula membawa penonton jauh dari Amerika Syarikat, terus ke Tokyo, Jepun dan scene JDM di sana.

Kali ini, kita lihat senarai kereta-kereta Tokyo Drift paling mahal. Jom!

Nissan 350Z – RM71k

Anda past terkejut jika lihat Nissan 350Z atau Fairlady ni antara kereta paling murah dalam senarai ini. Hakikatnya, model 2022/03 yang digunakan dalam Tokyo Drift bernilai kurang dari RM142k pada masa itu.

Hari ini, anda boleh beli pada separuh harga tersebut. Tetapi jika nak cakap pasal kereta sebenar yang digunakan dalam file mini, harganya mencecah RM640k semasa terjual dalam satu lelongan.

Nissan Silvia S15 Spec-R – RM95k

Silvia S15 Spec-R merupakan kereta pertama dipandu Sean semasa dia tiba di Jepun. Ia juga menjadi kereta yang Sean kalah teruk kerana pada mulanya hero kita tidak tahu cara drift. Hancur kereta rare..

Jika dilihat, produksi filem ini tidak meletakkan terlalu banyak modifikasi pada S15 Spec-R ini. Jadi sebab itu peminat boleh hasilkan semula Silvia versi Tokyo Drift dengan harga permulaan sekitar RM95k.

Mazda RX-8 – RM95k

Di tempat kelapan, Mazda RX-8. Kereta yang digunakan dalam Tokyo Drift ini mendapat kit badan Veilside dan dipandu oleh heroin, Neela. Antara babak paling penting ialah bila Neela membawa Sean drift dalam RX-8 ini di jalan pergunungan.

RX-8 ini juga dilengkapi kit turbo dan unit engine management system dari GReddy. Ia juga menghasilkan lebih banyak kuasa berbanding kereta stock kerana sistem ekzos Tanabe padanya.

Tapi sayang, RX-8 ini tak dapat banyak perhatian dalam filem ini, jadi ia seolah-olah dilupakan.

Chevrolet Monte Carlo 1971 – RM142k

Chevrolet Monte Carlo 1971 ialah sebuah muscle car klasik Amerika yang popular, ia juga salah satu dari tiga muscle car yang ditampilkan dalam Tokyo Drift.

Kereta ini digunakan dalam babak awal yang sangat popular, dimana Sean memandunya untuk berlumba dengan Dodge Viper, dan kalah.

Sean yakin ia mampu mengalahkan Viper 500hp itu. Dikatakan pihak produksi membeli sembilan buah Monte Carlo untuk semua aksi filem itu. Harganya sekarang bermula pada RM142k standard, tanpa modifikasi. Mahal juga untuk kereta 70-an.

Mitsubishi Lancer Evo IX – RM190k

Lancer Evo 9 ialah antara kereta hero paling popular dalam keseluruhan filem ini, dan memang ada sebabnya. Ianya merupakan kereta yang digunakan Sean untuk belajar drifting, dan Evo itu sendiri sebuah lejen. Perlu sebab lain lagi? Ada yang tak kenal Evo?

Drive shaft dalam Evo ini telah dicabut untuk menjadikan ia RWD, sebab tu anda nampak ia drift cantik dan smooth saja.

Filem ini pun tidak melakukan modifikasi terlalu banyak pada Evo 9 ini, jadi kalau korang nak buat replika Evo Tokyo Drift tidak begitu sukar.

Harga permulaan? Sekitar RM190k.

Nissan Skyline GT-R R33 – RM308k

Anda tak silap, memang ada Skyline GT-R R33 dalam filem ini, walaupun babaknya sedikit, tapi ia babak paling cool.

Han mempamerkan kemahiran driftnya, dia memandu RX-7 dan drift di sekeliling Skyline itu yang dinaiki dua orang gadis cantik.

Kereta ini juga ditampilkan kemudian dalam babak di lebuh raya. Dengan RM308k harga permulaan, anda boleh miliki Godzilla ini.

Dodge Viper SRT10 2003 – RM308k

Siapa yang boleh lupa dengan Viper SRT10 berwarna merah ini dalam babak lumba awal Tokyo Drift. Kita boleh bercakap mengenai horsepowernya sebanyak 500hp atau sistem ekzos Borla padanya, tapi nanti risau Sean perli kita pula cakap, “pandai baca brochure…”.

Get it, get it?

Dodge Viper antara kereta paling ikonik dari Dodge dan model 2003 ini berharga sekitar RM308k.

Ford Mustang 1967 – RM332k

Mustang 1967 Fastback ni sendiri dah jadi antara muscle car paling ikonik sepanjang zaman, tanpa Tokyo Drift pun ia dah popular seluruh dunia.

Dan unit yang ditampilkan dalam Tokyo Drift ni antara yang paling mantap, disumbat dengan enjin RB26 Skyline GT-R.

Sebuah kereta aksi lagak ngeri dari filem ini pernah terjual sekitar RM850k, tetapi Mustang 1967 biasa kini berharga bermula pada RM332k ‘sahaja’.

Mazda RX-7 Veilside FD – RM380k

Han ialah antara karakter paling badass dalam filem ni, jadi dia berhak la dapat kereta yang setaraf, kan? Ini dia, Mazda RX-7 1997 dengan kit badan Veilside yang berharga RM80k tambahan (body kit sahaja).

Nak buat replika? Korang kena ambil RX-7 1996 dengan harga sekitar RM118k, tambah pula kit turbo HKS T04Z, HKS intercooler, dan engine management system Apexi. Mod ni saja berharga RM284k, jadi kos keseluruhan menjadi lebih RM400k.

Plymouth Roadrunner GTX 1970 – RM593k

Plymouth Roadrunner 1970 yang ikonik ini digunakan oleh Dominic Toretto semasa dia muncul semula di babak akhir filem.

Kereta ini sering muncul dalam Fast and Furious lain, dan dikatakan unit yang digunakan dalam Tokyo Drift masih ada sehingga hari ini. Ia pernah terjual pada harga RM887k.

Tetapi jika anda hendak mencari sebuah untuk buat koleksi atau jadikan replika, ia boleh didapati pada harga RM593k. Inilah dia kereta paling mahal dalam Fast and Furious: Tokyo Drift.

Gambar teaser Fast X terdedah, trailer pertama 10 Februari depan

PARA peminat Fast and Furious semua, anda sudah bersedia untuk one last ride bersama ‘keluarga’ hero lumba jalanan?

Pelbagai aksi telah mereka tempuhi. Mereka telah berhadapan dengan pengganas, pasukan special force, lompat merentasi bangunan tinggi, keluar kapal terbang, malah pernah menerbangkan Pontiac Fiero ke angkasa. Apa pula aksi kali ini?

Jawapannya hanya akan dapat diketahui Mei ini, dimana filem kesepuluh bagi francais Fast and Furious tiba di pawagam. Buat masa sekarang, ia akan dikenali hanya sebagai Fast X. Berdasarkan foto teaser yang tersebar online, kita akan dapat menonton trailer pertama dalam seminggu sahaja lagi.

Bulatkan 10 Februari dalam kalendar anda.

Serba sedikit yang telah diketahui mengenai filem ini ialah Brie Larson dan Jason Momoa telah menyertai kumpulan pelakon, sebagai Tess (Larson) dan Dante (Momoa).

Ura-ura juga mengatakan Gal Gadot akan kembali sebagai Gisele, tetapi tidak dipastikan sepenuhnya kerana namanya tiada dalam senarai IMDB (Internet Movie Database). Gisele sebelum ini terbunuh di penghujung Fast 6, walaupun dia hanya hilang dalam kegelapan.

Tetapi memandangkan karakter Han (lakonan Sung Kang) boleh dibawa balik selepas meletup dalam Tokyo Drift, sudah pasti tidak sukar untuk mengembalikan watak Gisele. Dan ya, Sung kang juga disenarai dalam barisan pelakon kali ini.

Francais ini dikatakan bakal berakhir sepenuhnya selepas filem ke-11. Apa pun, sama-sama kita nantikan trailer pertama 10 Februari nanti.

Vin Diesel umum nama filem Fast And Furious terbaharu: Fast X

MARK Sinclair atau nama glamournya Vin Diesel telah mengumumkan nama untuk filem terbaharu Fast and Furious ke-10 iaitu Fast X. Beliau membuat pengumuman itu di laman Instagram miliknya.

Sementara itu, penggambaran untuk filem Fast ke-10 itu juga telah bermula, dimana ia akan dipecahkan kepada dua bahagian. Tayangan premiere dijangka diadakan pada 19 Mei 2023.

Justin Lin akan menjadi pengarah sekali lagi, bersama dengan Diesel. Lin sebelum ini telah mengarah F9 (2021), Fast & Furious 6, Fast Five, Fast & Furious, dan juga The Fast and the Furious: Tokyo Drift.

Francais ini merupakan yang terbesar dari Universal dengan kutipan USD6.6 bilion (RM28.3 bilion) seluruh dunia.

Perincian plot cerita masih belum diketahui, tetapi barisan pelakon biasa diteruskan iaitu Vin Diesel, Michelle Rodriguez, Jordana Brewster, Chris “Ludacris” Bridges, Tyrese Gibson dan Sung Kang.

Mereka akan disertai oleh Jason Momoa (Aquaman), Brie Larson (Captain Marvel), and Daniela Melchior (The Suicide Squad).

Diesel turut berkongsi beberapa posting di Instagram dengan tulisan “Day one…” menandakan penggambaran bahagian pertama Fast X itu telah bermula.

John Cena yang mula membuat kemunculan dalam F9 masih belum dipastikan sama ada bakal membintangi filem terbaharu itu.

Cena berkata, “Saya sangat berharap anda dapat melihat saya dalam Fast 10. Saya tahu mereka sudah bersiap untuk penggambaran, tiada apa yang saya harapkan melainkan untuk kembali ke francais itu.”

“Saya sendiri pun seorang peminat,” tambah Cena semasa dalam temu bual oleh Good Morning America pada Januari lepas.

Velocity Motor Show 2022 janji pameran dan aksi untuk peminat permotoran

VELOCITY Motor Show (VMS) telah berlangsung baru-baru ini di Stadium Bukit Jalil iaitu pada Sabtu dan Ahad (5 dan 6 Mac 2022).

Antara intisari utama VMS adalah MDCC Drift Challenge, himpunan terbesar kereta dengan suspensi udara, dan himpunan motosikal Harley-Davidson yang dijangka akan tercatat dalam Malaysian Book of Records.

Syukur kerana ia dapat diadakan semula dan menurut penganjur, VMS edisi kelima 2023 akan diadakan di lokasi yang sama.

Selain itu, terdapat juga pameran kereta, motosikal, kenderaan 4×4 dan jentera-jentera pelik.

Paling menarik bagi penulis ialah ruang pameran oleh No Equal dimana mereka menghimpunkan pelbagai kereta sports ikonik JDM, Eropah dan buatan Malaysia sendiri.

Antara kereta yang dipamerkan di ruangan ini adalah Nissan GT-R R34, Nissan Skyline R34, Honda Integra Type-R (DC2 dan DC5), Honda S2000, Honda NSX, Toyota Supra, Mitsubishi Lancer Evo, Mazda RX-7, Renault Megane RS, Renault Megane R26 Edition, Suzuki Swift Sport ZC33.

Terdapat juga Porsche 911 (996) yang kelihatan seperti jentera lumba GT3 Cup (penulis tidak sempat melihat dengan lebih teliti), dan sepasang Porsche Cayman (dua generasi berbeza) dengan transmisi manual 6-kelajuan!

Dan sudah tentu, hero negara kita, iaitu trio Proton Satria R3, Proton Satria Neo Lotus Racing Edition, dan Proton Satria Neo R3 Clubsport.

Acara sampingan juga termasuklah persembahan drift oleh Prince of Drift negara, Tengku Djan dimana beliau juga menjadi juri pertandingan drift serta duta Toyo Tires.

Oh ya, pameran lain yang menarik juga termasuklah barisan jentera Fast and Furious (Mitsubishi Evo, Nissan Skyline R34, Nissan 350Z, Toyota Supra dan Mitsubishi Eclipse), serta pameran oleh kelab-kelab tempatan.

VMS 2022 merupakan edisi keempat setelah diadakan pada 2016, 2017 dan 2018. Ia ‘hilang’ untuk beberapa tahun disebabkan – seperti semua sedia maklum – pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.