Arkib Tag: emgrand

Proton S70 dapat 5-bintang bagi ujian perlanggaran ASEAN NCAP

SEDAN terbaharu Proton yang baru sahaja dilancarkan, S70 telah memperoleh penarafan 5-bintang bagi ujian keselamatan yang dijalankan oleh ASEAN NCAP (ASEAN New Car Assessment Program). Keputusan itu disiarkan dalam laman web rasmi organisasi itu.

Unit yang diuji merupakan varian permulaan iaitu Executive, dan mendapat penarafan 5-bintang dengan skor keseluruhan 82.95 mata.

Proton S70 dinilai berdasarkan protokol penilaian terkini ASEAN NCAP 2021-2025 yang merangkumi empat perkara iaitu Adult Occupant Protection (AOP), Child Occupant Protection (COP), Safety Assist Technology (SAT), dan Motorcycle Safety (MS).

Berikut adalah skor bagi setiap perkara dalam penilaian terkini:

  • AOP – 36.46 mata
  • COP – 17.02 mata
  • SAT – 15.71 mata
  • MS – 13.75 mata

Proton S70 datang standard dengan ciri keselamatan seperti enam beg udara, Vehicle Safety Assist, Anti-lock Braking System, Electronic Brake Distribution, Brake Assist, Hill-hold Assist, Rear Collision Warning, Lane Change Assist, Rear Cross Traffic Alert, Door Opening Warning, dan pengesan undur.

Tetapi varian Flagship dan Flagship X didatangkan dengan sistem bantuan pemandu (ADAS) yang membawakan 13 sistem keselamatan seperti berikut:

  • Autonomous Emergency Braking
  • Forward Collision Warning
  • Adaptive Cruise Control dengan Stop & Go
  • Intelligent Cruise Control
  • Lane Departure Warning
  • Lane Departure Prevention
  • Lane Centering Control
  • Traffic Sign Information
  • Intelligent High Beam Control
  • Lane Change Assist
  • Door Opening Warning
  • Rear Collision Warning
  • Rear Cross Traffic Alert

Proton S70 dilancarkan semalam, dengan empat varian, dan harga permulaan RM73,800 untuk Executive hingga RM94,800 untuk Flagship X. Anda boleh baca laporan pelancaran penuh di sini.

Proton S70: Apa yang kami tahu setakat ini

SETAKAT ini, kerjasama antara Proton dan Geely telah menyaksikan kemunculan tiga model SUV iaitu X70, X50 dan X90.

Bagi kami Proton S70 agak istimewa kerana ia merupakan sedan pertama yang terlahir daripada kerjasama antara dua syarikat ini dan juga sedan pertama bagi pengeluar kereta nasional itu sejak Persona yang dilancarkan pada 2016.

Dalam satu sesi prebiu eksklusif media yang diadakan baru-baru ini, Proton telah mendedahkan perincian lanjut mengenai sedan itu.

S70 sedan lokal sebenar

Ya, umum tahu bahawa S70 adalah berasaskan Geely Emgrand yang dijual beberapa pasaran luar termasuk China dan Filipina. Namun S70 bukanlah sekadar model rebadge kerana menurut Proton, ia memerlukan 453 pembangunan parts baharu melibatkan 283 pembekal tempatan.

Bukan itu sahaja, proses pembangunannya juga mengambil masa kira-kira 260,000 jam kejuruteraan.

Platform segmen B tapi saiz segmen C

Seperti Emgrand, S70 dibina menggunakan platform B-Segment Modular Achitecture (BMA) yang turut digunakan oleh Proton X50, namun dengan ukuran (mengikut Emgrand) panjang 4,638 mm, lebar 1,820 mm, tinggi 1460 mm dan jarak roda 2,650 mm, saiznya lebih dekat dengan sedan segmen C berbanding sedan segmen B.

Malah, ruang butnya yang berkapasiti 500 liter sebenarnya lebih besar berbanding Honda Civic dan Toyota Corolla.

Enjin turbo

Dalam siaran media sebelum ini, Proton mengesahkan S70 akan dikuasakan oleh enjin 1.5-liter turbo tiga silinder dan kotak gear klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan.

Sesi eksklusif baru-baru ini mendedahkan bahawa enjin tersebut menghasilkan 150 PS dan 226 Nm, bermakna ia enjin turbo multi-port injection (MPI) dan bukannya TGDI. Ia mempunyai tiga mod pemanduan iaitu Eco, Sport dan Comfort.

Ride & handling mantap

Proton mendedahkan bahawa mereka menghabiskan masa selama kira-kira 75,000 jam dengan jarak perjalanan sejauh 1.2 juta km untuk menguji sistem suspensi.

Seperti X90, sistem stereng S70 menawarkan tiga mod iaitu Normal, Comfort dan Sport.

Empat varian

S70 akan ditawarkan dalam empat varian iaitu Executive, Premium, Flagship dan Flagship X. Varian paling basic iaitu Executive dilengkapi dengan enam beg udara, Lane Change Assist, brek parkir elektronik, rim aloi 16 inci, tempat duduk fabrik dan skrin infotainment lapan inci.

Premium menambah lampu depan LED, bar lampu belakang, upholsteri leatherette, pendingin hawa automatik dan kamera undur.

Flagship mendapat lebih banyak ciri tambahan termasuk ADAS, sistem pemantauan tekanan tayar, rim aloi 17 inci, kluster instrumen digital 10.3 inci, pelarasan kuasa tempat duduk pemandu, skrin infotainment 12.3 inci, pengecas wayarles dan kamera 360 darjah dengan paparan 3D.

Sebagai varian tertinggi, Flagship X mendapat satu ciri tambahan iaitu bumbung suria.

ADAS

Untuk sistem keselamatan dan bantuan pemandu, S70 menggunakan 12 sensor. Ini termasuk satu kamera monocular, dua radar belakang, empat kamera keliling dan lima sensor ultrasonik.

Terdapat 13 sistem keselamatan semuanya iaitu:

  • Autonomous Emergency Braking
  • Forward Collision Warning
  • Adaptive Cruise Control dengan Stop & Go
  • Intelligent Cruise Control
  • Lane Departure Warning
  • Lane Departure Prevention
  • Lane Centering Control
  • Traffic Sign Information
  • Intelligent High Beam Control
  • Lane Change Assist
  • Door Opening Warning
  • Rear Collision Warning
  • Rear Cross Traffic Alert

Warna

Secara asasnya, terdapat tujuh warna luaran yang ditawarkan oleh Proton namun ia bergantung kepada varian yang anda pilih.

Warna Snow White dan Space Grey tersedia untuk keempat-empat varian S70, namun Armour Silver dan Passion Red hanya ditawarkan untuk Premium dan Flagship.

Marine Blue dan Teal Bayou Green pula hanya untuk Flagship dan Flagship X manakala Quartz Black adalah eksklusif untuk Flagship X sahaja.

Harga? 

Buat masa ini, harga rasmi S70 masih belum didedahkan namun bagi mereka yang berminat, sedan ini sudah dibuka untuk tempahan dengan bayaran RM500.

Proton S50 sah akan dilancarkan dalam masa dua bulan lagi

IA bukanlah rahsia bahawa Proton sedang dalam proses membangunkan model sedan baharu untuk pasaran tempatan. Model tersebut, digelar sebagai Proton S50, sudah beberapa kali dilihat menjalani ujian di sekitar Lembah Klang.

Dalam perkembangan terbaru, rakan media Motoqar melaporkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong telah mengesahkan model berkenaan akan dilancarkan dalam tempoh dua bulan akan datang atau dalam suku keempat tahun ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Dr Li pada Majlis Penyerahan Kraf Budaya Malaysia kepada atlet bagi Muzium Sukan Asia Hangzhou yang berlangsung pada Selesa.

Untuk makluman, S50 (diberi kod nama SS11) merupakan model sedan berasaskan Geely Emgrand yang dibina menggunakan platform BMA seperti Geely Binyue/Proton X50. Ia bakal diposisikan di antara segmen B dan segmen C.

Bagaimanapun, ukuran dimensinya iaitu 4,638 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1460 mm tinggi dan jarak roda sepanjang 2,650 mm menjadikan Emgrand lebih besar dan panjang berbanding Honda City dan Toyota Vios.

Di China, Emgrand boleh didapati dengan enjin NA 1.5-liter yang dipadankan dengan transmisi CVT atau manual lima kelajuan. Enjin tersebut menghasilkan  114 PS dan 147 Nm.

Bagaimanapun, terdapat kemungkinan yang S50 juga akan ditawarkan dengan enjin 1.5-liter TGDI yang dipasang di Tanjung Malim.

Ini kerana sebelum ini Proton pernah mengumumkan ia akan melancarkan tiga model baharu pada 2023 dan 2024, dengan ketiga-tiganya menggunakan enjin turbo berkenaan. Model pertama iaitu X90 sudah dilancarkan pada Mei lalu.

Geely Emgrand 2021 dilancar di China – Ada peluang jadi pengganti Proton Persona?

JIKA diamati komen-komen warga netizen di laman sosial seperti Facebook dan Instagram, boleh dikatakan ramai juga yang mendesak Proton agar segera menggantikan Persona dengan model baharu daripada Geely.

Proton setakat ini masih belum memberikan sebarang petunjuk yang mereka akan berbuat demikian. Bagaimanapun, dengan pelancaran Geely Emgrand di China baru-baru ini, ada kemungkinan yang syarikat itu akan mempertimbangkan untuk menjadikan sedan kompak itu sebagai pengganti Persona yang telah berada di pasaran sejak 2016.

Ditayangkan buat pertama kali pada Jun lalu, Emgrand generasi keempat dibangunkan dengan menggunakan platform B-Segment Modular Architecture (BMA) yang menjanjikan ruang lebih luas, tahap keselesaan lebih tinggi dan pengendalian lebih baik. Platform keluaran Geely ini turut menjadi asas kepada model-model lain seperti Bin Yue/Proton X50, Bin Rui dan juga ICON.

Dari segi saiz, Emgrand mempunyai ukuran panjang 4,638mm, lebar 1,820mm dan tinggi 1,460mm. Agak menarik kerana ini bermakna ia lebih panjang, lebar dan rendah berbanding pesaing-pesaing terdekatnya iaitu Honda City dan Toyota Vios, dengan perbezaan yang agak besar. Dalam erti kata lain, saiznya lebih hampir kepada sedan segmen C berbanding segmen B.

Rekaan luarannya sesuai untuk digambarkan sebagai elegan, dengan gril dan lampu belakang LED yang lebar antara elemen yang membuatkan model ini kelihatan lebih menonjol. Walaupun mempunyai profil tiga kotak yang agak tradisional, ia mempunyai kadar drag coefficient yang rendah iaitu 0.27 Cd.

Masuk ke dalam, anda akan disambut oleh suasana yang moden dan premium, jauh berbeza dengan City dan Vios, apatah lagi jika dibandingkan dengan Persona. Bukan itu sahaja, penggunaan tema warna putih dan biru membuatkan seluruh ruang kabin terasa lebih tenang dan luas.

Seperti yang boleh dilihat, rekaan papan pemuka dan konsol tengah sangat bersih dan ringkas. Hanya beberapa butang sahaja diletakkan untuk kawalan sistem pendingin hawa, brek parkir elektronik dan sebagainya. Fungsi-fungsi selebihnya boleh diakses menerusi kluster instrumen digital 12.3 inci dan skrin tengah 10.25 inci.

Emgrand juga dilengkapi dengan beberapa teknologi yang boleh dianggap canggih untuk segmennya seperti sistem infotainmen GKUI, kemaskini perisan secara atas udara (OTA), fungsi kawalan suara AI, kamera dengan sudut pandangan 540 darjah, perakam pemanduan berdefinisi tinggi dan sistem pembersih udara CN95.

Hanya satu pilihan enjin yang ada untuk model ini iaitu enjin NA 4-silinder bersesaran 1.5-liter. Enjin aluminium itu menghasilkan 114PS dan 147Nm tork, dan boleh didapati sama ada dengan transmisi manual 5-kelajuan atau CVT 8-kelajuan. Turut disertakan adalah sistem ESP 9.3 keluaran Bosch.

Harga masih belum diumumkan namun melihat kepada reka bentuk dan spesifikasinya, pastinya ramai rakyat Malaysia yang inginkan Emgrand sebagai pengganti Persona. Jika Proton memutuskan untuk memasarkannya di sini dengan harga yang berpatutan, tidak mustahil ia boleh mengatasi jualan City dan Vios dalam tempoh masa yang singkat.