Arkib Tag: elise

Lotus rugi RM852.58 juta pada 2022, mungkin buang sehingga 200 pekerja

SETELAH menamatkan pengeluaran Elise, Exige, dan Evora pada 2021, syarikat kereta sports itu hanya mengeluarkan satu model pada 2022 iaitu Emira.

Untuk SUV elektrik Eletre pula, mereka hanya mula memasang awal tahun ini manakala sedan EV yang akan menjadi lawan kepada Porsche Taycan akan hanya menyusul akhir tahun ini. Lebih buruk lagi, terdapat masalah bekalan bahan pada pertengahan kedua 2022 yang membantutkan lagi pengeluaran.

Jadi, Lotus hanya menyerahkan 576 kenderaan tahun lepas, penurunan angka mendadak berbanding 2021 dimana 1,566 kenderaan dikeluarkan. Ini menyebabkan mereka kerugian 145.1 juta Pound (RM852.58 juta) pada 2022, dan pada 2021 kerugian berjumlah 86.6 juta Pound (RM508.85 juta).

Untuk mengurangkan kos, Lotus kini mengurangkan struktur organisasi mereka bermakna mereka sehingga 200 staf bakal kehilangan pekerjaan.

Operasi Lotus di United Kingdom (UK) akan terkesan dengan keputusan ini memandangkan Lotus melaporkan kepada beberapa media tempatan akan cadangan mengurangkan sehingga 200 pekerja ini, melibatkan pangkalan di Hethel dan Warwickshire.

Jawatan-jawatan yang bakal terkesan adalah melibatkan kejuruteraan dan bahagian pengurusan, dan hal ini tidak akan melibatkan bahagian pemasangan dan pengeluaran kenderaan.

 

Malah, Lotus menjangka pemasangan tahun ini bakal mencipta rekod dimana pengeluaran Emira akan ditingkatkan, iaitu kereta ICE (enjin pembakaran dalaman) terakhir mereka, selain pengeluaran Eletre.

Evija juga masih perlu dikeluarkan, dan agak mengejutkan, tidak semua 130 unit pengeluaran telah terjual. Penghantaran hypercar elektrik itu dijangka bermula Ogos ini. Jika anda terlupa, Lotus Evija telah mula dipertontonkan pada Julai 2019.

Selain itu, Lotus sedang membangunkan kereta sports EV yang sepatutnya dibangunkan bersama Alpine. Walaubagaimanapun, kedua-dua syarikat mengambil keputusan untuk tidak meneruskan projek itu beberapa bulan lepas. Jika masih diteruskan, ia akan menjadi projek Lotus sepenuhnya.

Jika model ini dilancarkan kira-kira pada 2026 nanti, ia akan berentap dengan pengganti Porsche 718 (Cayman dan Boxster) yang juga model elektrik.

Berit aini suatu yang tidak dapat dielakkan walaupun agak menyedihkan dimana bakat-bakat bidang kejuruteraan dan pengurusan teratas terkesan. Tetapi, Lotus masih sebuah syarikat perniagaan yang harus bertahan dalam industri yang kompetitif.

Semoga pekerja-pekerja ini dapat diserap semula dalam Lotus sebaik sahaja mereka mula mencatatkan keuntungan nanti.

Lotus Emira dipertonton di Malaysia – 3.5 supercaj V6, 400hp, pilihan manual 6-kelajuan, RM1.13 juta

LOTUS Emira akhirnya mendarat di Malaysia. Ia bukan pelancaran rasmi, tetapi sesi pratonton yang dibuat oleh Lotus Cars Malaysia hujung minggu ini (9 dan 10 April) di bilik pameran mereka di Bukit Jelutong, Shah Alam.

Lotus Emira ditawarkan dengan dua pilihan enjin di peringkat global iaitu unit 3.5-liter V6 supercaj (dari model Exige dan Evora sebelum ini) dan enjin 2.0-liter turbo 4-silinder dari AMG.

Tetapi buat masa ini, pasaran Malaysia mendapat Lotus Emira First Edition dengan enjin V6, dengan harga RM1,131,800.

Mahal? Anda harus faham Lotus Emira kini bukan lagi kereta sports “toy” yang sangat hardcore seperti Elise dan Exige, tetapi kini sebuah jentera lebih “matang” seperti Porsche Cayman dan BMW M2.

Lotus Emira juga merupakan model terakhir dengan enjin pembakaran dalaman (ICE), kerana syarikat itu akan semakin fokus ke arah elektrifikasi selepas ini.

Di belakang kabin Emira ini ialah enjin 3.5-liter V6 dengan supercharger Edelbrock 1740, menjana 400hp dan 420Nm tork. Kotak gear adalah manual 6-kelajuan sebagai standard.

Mahu automatik? Anda akan dapat automatik 6-kelajuan (tambahan RM15,000) berserta lebih tork iaitu 430Nm.

Lotus Emira mampu memecut ke 100km/j dalam masa 4.3 saat (4.2 saat untuk automatik) manakala kelajuan maksima ialaha 290km/j.

Pilihan powertrain AMG 2.0-liter turbo dengan kotak gear DCT dilaporkan akan tiba ke sini kemudian.

Emira dibangunkan dari casis baharu Lotus Sports Car Architecture yang juga menggunakan teknologi aluminium bonded extruded seperti Elise. Ia menggunakan suspensi double-wishbone untuk semua penjuru dan stereng berkuasa hidraulik.

Jentera sports ini mendapat lampu depan dan belakang LED dengan DRL, tip ekzos titanium, rim bilah-V 20-inci (berwarna perak atau hitam), dan boleh dipilih dengan empat pakej kemasan luaran.

Bahagian dalaman Emira tidak begitu “kosong” seperti Exige dan Elise, sebaliknya mendapat pilihan balutan kulit atau Alcantara, stereng flat-bottom, paparan instrumen TFT 12.3-inci, dan unit infotainmen 10.25-inci.

Terdapat juga tempat duduk berkuasa 12-arah dengan fungsi memori, sistem pendingin hawa automatik, keyless start, cruise control, dan pilihan mod pemanduan.

Seperti disebut tadi, First Edition hadir dengan beberapa pakej iaitu:

Design Pack: cermin privasi, pedal sports, balutan siling Alcantara, pilihan warna untuk angkup brek.
Convenience Pack: pengesan parkir depan, kamera undur, penggilap cermin auto, jaring ruangan kargo, lencana FE.
Drivers Pack (Tour): Tayar Goodyear Eagle F1  Supersport.
Drivers Pack (Sport): Tayar Michelin Pilot Sport Cup 2.

Oh ya, Lotus Emira juga hadir dengan ADAS yang merangkumi sistem seperti adaptive cruise control, anti-collision system, fatigue alert, road sign information, vehicle speed limiter, lane departure warning, rear cross-traffic alert, dan lane change assist.

Jika anda ingin melihat Lotus Emira dengan lebih dekat pada hujung minggu ini, bolehlah ke 43, Jalan Astaka U8/84A, Bukit Jelutong, Shah Alam.

Lotus Elise terakhir diserahkan kepada Elisa Artioli, orang yang menjadi inspirasi kepada namanya!

LOTUS telah membuat satu pengumuman di laman-laman media sosialnya bahawa mereka telah menyerahkan unit Elise terkahir yang dibina kepada pelanggan terakhir, Elisa Artioli.

Foto oleh: motor1italia

Jika anda tidak pernah mendengar namanya, baik, mari kita belajar sedikit sejarah mengenai Lotus. Semasa Elise hendak dilancarkan pada 1996, Romano Artioli menjadi pengerusinya.

Foto oleh: motor1italia

Apabila sampai masa hendak menamakan kereta sports dua tempat duduk itu, Romano melihat kepada cucunya, Elisa, untuk inspirasi. Ya, nama Elise diinspirasikan dari nama cucunya itu.

 

Jadi, Elisa Artioli pastinya pelanggan paling sesuai untuk unit terakhir Lotus Elise ini, seperti kembali kepada asalnya.

Untuk spesifikasi, ianya adalah sebuah Lotus Elise Sport 240, dan dicat dengan warna istimewa Championship Gold.

Foto oleh: Instagram Elisa Artioli

Elise Sport 240 dikuasakan oleh enjin 1.8-liter supercharge 4-silinder cukup untuk menjana 240hp dan sekitar 245Nm tork. Kotak gear seperti biasa ialah manual 6-kelajuan.

Dengan berat kurang satu tan (992kg), Lotus Elise ini mampu memecut ke 60 batu sejam (96km/j) dalam hanya 4.1 saat manakala kelajuan maksima ialah 237km/j.

Sebuah kisah yang cukup manis dan menarik!

Untuk pengetahuan, Elisa Artioli juga memiliki sebuah Lotus Elise S1 generasi pertama berwarna perak dan sering terlibat dengan aktiviti-aktiviti pemanduan bersama keretanya itu.

Berakhirnya sebuah era, pengeluaran Lotus Elise, Exige dan Evora ditamatkan

BERAKHIRNYA sebuah era dan bermulanya satu lembaran baharu apabila Lotus menamatkan pengeluaran Elis, Exige dan Evora. Penamatan ini bagi membolehkan kilang di Hethel dipersiapkan untuk pengeluaran Emira.

Pengeluar kereta sports yang berpangkalan di Norfolk itu mula memperkenalkan Elise Series 1 pada 1996, diikuti oleh Exige pada 2000 sebelum Evora pada 2009.

Ketiga-tiga model ini menerima banyak versi dan edisi, kini Lotus mengucapkan selamat jalan untuk semua model sekaligus. Sepanjang 26 tahun ini, sebanyak 51,738 unit telah dihasilkan.

‘Platform kereta kecil’ Elise dan Exige telah digunakan untuk menghasilkan 340R, Europa, 2-Eleven dan 3-Eleven. Ia juga menjadi model asas untuk Opel Speedster, Vauxhall VX200 dan Tesla Roadster.

Walaupun tidak dinyatakan dalam siaran media rasmi Lotus, harus diketahui bahawa Hennessey Venom GT (13 unit) juga dihasilkan dari platform sama, walaupun dimodifikasi secara menyeluruh. Venom GT digunakan untuk mencipta banyak rekod kelajuan tertinggi sebelum diganti oleh Venom F5.

Unit terakhir untuk setiap model diwakili oleh Elise Sport 240 Final Edition kuning, Exige Cup 430 Final Edition dalam warna Heritage Racing Green, dan Evora GT430 Sport dengan warna Dark Metallic Grey. Ketiga-tiga unit ini tidak akan dijual, tetapi akan disimpan untuk koleksi warisan.

Angka khas pengeluaran untuk setiap model adalah 35,124 unit Elis, 10,497 unit Exige dan 6,117 unit Evora.

Lotus Emira akan menggantikan ketiga-tiga model dan pengeluarannya akan bermula pada musim bunga tahun depan. Kilang sama juga memasang hypercar Evija yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.

Lotus Exige yang kecil cili api ini disumbat dengan enjin 6.2-liter V8 AMG!

LOTUS Emira dilancarkan Julai tahun ini untuk menggantikan tiga model berusia dari pengeluar British itu. Elise, Exige dan Evora kesemuanya dihentikan pengeluarannya tahun ini.

Model Elise dan Exige menerima versi Final Edition sebagai ucapan selamat tinggal, tetapi dengan varian itu pun masih belum mempunyai kuasa sebanyak kereta yang dipaparkan dalam video di bawah.

Quentin Boylan telah membina sebuah Lotus Exige istimewa yang mungkin paling berkuasa di dunia. Ya, ini kerana Lotus Exige yang kecil itu telah disumbat dengan enjin 6.2-liter V8 dari Mercedes-Benz SLS AMG!

Untuk itu, beberapa perubahan besar perlu dilakukan pada casis dan badan Exige untuk memuatkan enjin naturally-aspirated itu. Malah, terdapat acuan kustom khas yang terpaksa dihasilkan untuk memberi ruang secukupnya untuk unit V8 itu.

Hasilnya ialah sebuah roket kuning-hitam dan klip video ini ada menunjukkan aksinya di litar.

Boylan mengambil masa kira-kira lima tahun untuk menyiapkan projek ini dan enggan mendedahkan keseluruhan kos yang dibelanjakan untuknya.

Tetapi bukanlah untuk berahsia, cuma menurut Boylan, “Saya tidak tahu dan tidak mahu tahu.” Mungkin angkanya mempunyai banyak angka sifar…

Sumber foto: Speedhunters dan Cars.co.za

Anda kini boleh tempah Lotus Emira, bakal tiba di Malaysia Februari 2022

BERMINAT dengan Lotus Emira yang baru dilancarkan? Berita baik, ia akan dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada Februari 2022 depan. Anda boleh buat tempahan kereta sports terbaharu dari Norwich ini melalui Lotus Karz, iaitu pengedar rasmi di Malaysia.

Harga dan spesifikasi penuh belum ada, hanya akan didedahkan menjelang pelancaran nanti. Di United Kingdom (UK), harganya bermula sekitar 60,000 Pound (kira-kira RM345k).

Sebagai perbandingan, Lotus Evora 400 semasa tiba di Malaysia dulu berharga sekitar RM600k, jadi kita boleh jangkakan harga Emira nanti pasti lebih sedikit dari itu (sekurang-kurangnya).

Lotus Emira ialah model baharu sepenuhnya untuk menggantikan Elise, Exige dan Evora yang ikonik.

Emira dibangunkan dari casis baharu Lotus Sports Car Architecture yang juga menggunakan teknologi aluminium bonded extruded seperti Elise. Emira juga akan mendapat suspensi double-wishbone untuk semua penjuru dan stereng berkuasa hidraulik.

Lotus terkenal dengan ‘dietnya’, maka Emira ini juga agak ringan, kira-kira 1,405kg sahaja. Ia akan bersaing dengan kereta sports seperti Porsche 718 Cayman dan BMW M2.

Untuk enjin, dua pilihan akan ditawarkan. Yang pertama ialah unit 3.5-liter V6 supercaj, iaitu enjin dari Toyota yang digunakan pada Evora dan Exige.

Satu lagi pilihan enjin ialah 2.0-liter turbo dari AMG. Enjin M139 4-silinder ini ialah unit sama yang memacu model-model AMG 45 seperti CLA45 dan A45 S, dengan kuasa sekitar 400hp.

Sama seperti Mercedes-AMG, enjin ini akan digandingkan dengan transmisi dwi-klac 8-kelajuan. Jika anda mahu pilihan manual, anda harus pilih enjin V6 3.5-liter tadi.

Lotus tidak mendedahkan secara terperinci kuasa Emira, tetapi dari segi prestasi, ia mampu memecut ke 100km/j dalam kurang 4.0 saat, dan kelajuan maksima pada 290km/j.

Jika anda pilih Lotus Drivers Pack, ia akan turut dibekalkan dengan Launch Control, suspensi lebih keras, dan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 menggantikan Goodyear Eagle F1 Supersport standard.

Varian First Edition dengan enjin V6 akan diperkenalkan semasa pelancaran sebagai model flagship.