fbpx

Berakhirnya sebuah era, pengeluaran Lotus Elise, Exige dan Evora ditamatkan

lotus elise exige evora 02

BERAKHIRNYA sebuah era dan bermulanya satu lembaran baharu apabila Lotus menamatkan pengeluaran Elis, Exige dan Evora. Penamatan ini bagi membolehkan kilang di Hethel dipersiapkan untuk pengeluaran Emira.

Pengeluar kereta sports yang berpangkalan di Norfolk itu mula memperkenalkan Elise Series 1 pada 1996, diikuti oleh Exige pada 2000 sebelum Evora pada 2009.

Ketiga-tiga model ini menerima banyak versi dan edisi, kini Lotus mengucapkan selamat jalan untuk semua model sekaligus. Sepanjang 26 tahun ini, sebanyak 51,738 unit telah dihasilkan.

‘Platform kereta kecil’ Elise dan Exige telah digunakan untuk menghasilkan 340R, Europa, 2-Eleven dan 3-Eleven. Ia juga menjadi model asas untuk Opel Speedster, Vauxhall VX200 dan Tesla Roadster.

Walaupun tidak dinyatakan dalam siaran media rasmi Lotus, harus diketahui bahawa Hennessey Venom GT (13 unit) juga dihasilkan dari platform sama, walaupun dimodifikasi secara menyeluruh. Venom GT digunakan untuk mencipta banyak rekod kelajuan tertinggi sebelum diganti oleh Venom F5.

Unit terakhir untuk setiap model diwakili oleh Elise Sport 240 Final Edition kuning, Exige Cup 430 Final Edition dalam warna Heritage Racing Green, dan Evora GT430 Sport dengan warna Dark Metallic Grey. Ketiga-tiga unit ini tidak akan dijual, tetapi akan disimpan untuk koleksi warisan.

Angka khas pengeluaran untuk setiap model adalah 35,124 unit Elis, 10,497 unit Exige dan 6,117 unit Evora.

Lotus Emira akan menggantikan ketiga-tiga model dan pengeluarannya akan bermula pada musim bunga tahun depan. Kilang sama juga memasang hypercar Evija yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved