Arkib Tag: eletre

Harga Lotus Eletre dan Emira naik sehingga RM96k di Malaysia

LOTUS Car Malaysia telah mengumumkan harga terkini bagi Hyper SUV Eletre dan kereta sport Emira yang berkuat kuasa serta merta.

Menurut pemegang francais tunggal itu, kemaskini harga ini adalah berikutan perkembangan pertukaran ringgit berbanding matawang asing utama dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Berbeza dengan harga anggaran asal yang diumumkan pada majlis pelancaran April lalu, harga cadangan untuk Eletre S adalah RM698,000 (naik daripada RM648,000). Sementara itu, varian tertinggi iaitu Eletre R kini berharga RM838,000 (naik daripada RM798,000).

Harga Eletre yang disenaraikan berkuatkuasa di Semenanjung Malaysia dan Langkawi. Harga baharu untuk varian asas Eletre akan diumumkan kelak memandangkan ia tidak ditawarkan sehingga sekurang-kurangnya pada tahun 2025.

Bagi Emira pula, harga asal untuk Emira i4 First Edition ialah RM1,095,000 di Semenanjung Malaysia dan RM509,000 di Langkawi. Unit terhad dengan harga pengenalan RM998,800 ditawarkan berdasarkan kepada siapa cepat dia dapat.

Emira V6 First Edition versi manual pula berharga RM1,289,000 di Semenanjung Malaysia (naik daripada RM1,205,800) dan RM529,000 di Langkawi (naik daripada RM478,800).

Emira V6 First Edition versi automatik kini ditawarkan pada harga RM1,309,000 di Semenanjung Malaysia (naik daripada RM1,225,800) dan RM539,000 di Langkawi (naik daripada RM493,800).

Mereka yang berminat untuk melihat secara dekat kedua-dua model ini boleh mengunjungi Lotus Store di Level 3, Pavilion Kuala Lumpur sehingga 30 September 2023. Di sana, Eletre S berwarna kuning Solar Yellow dan Emira V6 berwarna merah Magma Red ada dipamerkan.

Dibuka bermula 10am hingga 10pm setiap hari, bilik pameran itu menawarkan pengalaman tersendiri yang dibantu oleh Lotus Experts dan konfigurator yang membolehkan pelanggan menukar spesifikasi kereta mereka.

Lotus rugi RM852.58 juta pada 2022, mungkin buang sehingga 200 pekerja

SETELAH menamatkan pengeluaran Elise, Exige, dan Evora pada 2021, syarikat kereta sports itu hanya mengeluarkan satu model pada 2022 iaitu Emira.

Untuk SUV elektrik Eletre pula, mereka hanya mula memasang awal tahun ini manakala sedan EV yang akan menjadi lawan kepada Porsche Taycan akan hanya menyusul akhir tahun ini. Lebih buruk lagi, terdapat masalah bekalan bahan pada pertengahan kedua 2022 yang membantutkan lagi pengeluaran.

Jadi, Lotus hanya menyerahkan 576 kenderaan tahun lepas, penurunan angka mendadak berbanding 2021 dimana 1,566 kenderaan dikeluarkan. Ini menyebabkan mereka kerugian 145.1 juta Pound (RM852.58 juta) pada 2022, dan pada 2021 kerugian berjumlah 86.6 juta Pound (RM508.85 juta).

Untuk mengurangkan kos, Lotus kini mengurangkan struktur organisasi mereka bermakna mereka sehingga 200 staf bakal kehilangan pekerjaan.

Operasi Lotus di United Kingdom (UK) akan terkesan dengan keputusan ini memandangkan Lotus melaporkan kepada beberapa media tempatan akan cadangan mengurangkan sehingga 200 pekerja ini, melibatkan pangkalan di Hethel dan Warwickshire.

Jawatan-jawatan yang bakal terkesan adalah melibatkan kejuruteraan dan bahagian pengurusan, dan hal ini tidak akan melibatkan bahagian pemasangan dan pengeluaran kenderaan.

 

Malah, Lotus menjangka pemasangan tahun ini bakal mencipta rekod dimana pengeluaran Emira akan ditingkatkan, iaitu kereta ICE (enjin pembakaran dalaman) terakhir mereka, selain pengeluaran Eletre.

Evija juga masih perlu dikeluarkan, dan agak mengejutkan, tidak semua 130 unit pengeluaran telah terjual. Penghantaran hypercar elektrik itu dijangka bermula Ogos ini. Jika anda terlupa, Lotus Evija telah mula dipertontonkan pada Julai 2019.

Selain itu, Lotus sedang membangunkan kereta sports EV yang sepatutnya dibangunkan bersama Alpine. Walaubagaimanapun, kedua-dua syarikat mengambil keputusan untuk tidak meneruskan projek itu beberapa bulan lepas. Jika masih diteruskan, ia akan menjadi projek Lotus sepenuhnya.

Jika model ini dilancarkan kira-kira pada 2026 nanti, ia akan berentap dengan pengganti Porsche 718 (Cayman dan Boxster) yang juga model elektrik.

Berit aini suatu yang tidak dapat dielakkan walaupun agak menyedihkan dimana bakat-bakat bidang kejuruteraan dan pengurusan teratas terkesan. Tetapi, Lotus masih sebuah syarikat perniagaan yang harus bertahan dalam industri yang kompetitif.

Semoga pekerja-pekerja ini dapat diserap semula dalam Lotus sebaik sahaja mereka mula mencatatkan keuntungan nanti.

Lotus Type 133 akan jadi sedan prestasi selepas 30 tahun

Lotus Type 133 akan dilancarkan hujung tahun ini dan bakal menjadi sedan prestasi pertama mereka sejak Carlton yang diperkenalkan pada awal 1990-an. Jadi Lotus kembali ke segmen ini selepas kira-kira 30 tahun.

Gambar oleh: Autocar

Dengan panjang kira-kira lima meter, pesaing Porsche Taycan ini akan diposisikan sebagai model paling mewah dalam rangkaian Lotus. Type 133 kini dalam peringkat akhir pembangunannya. Prototaip ujian telah mula dilihat dengan camouflage manakala terdapat unit-unit yang telah dipasang di kilang Wuhan.

Type 133 menampilkan saiz serupa dengan Polestar 5, tetapi pengarah urusan Lotus, Matt Windle sebelum ini berkata walaupun terdapat perpindahan teknologi, Geely membenarkan jenama-jenama di bawahnya untuk membuat pembangunan secara bebas.

Ini bermakna Polestar 5 dan Lotus Type 133 tetap akan mempunyai perbezaan di aspek-aspek penting utama.

Gambar oleh: DrivingElectric

Dari imej-imej intipan, dapat dilihat Lotus Type 133 mempunyai penggayaan sleek dengan bumbung menurun ala coupe. Ia juga mendapat beberapa elemen rekaan dari Evija dan Eletre.

Lotus meletakkan fokus utama kepada pembangunan dinamik, memandangkan model ini akan berada dalam liga sama dengan Taycan dan Audi e-tron GT.

Type 133 akan didatangkan dengan teknologi casis sama dengan Eletre – termasuklah suspensi udara, stereng roda belakang, kawalan olengan aktif, aerodinamik aktif – tetapi dijuruterakan untuk profil yang sedikit berbeza.

Belum ada sebarang perincian teknikal didedahkan, tetapi ia dijangka mempunyai angka hampir serupa dengan Eletre. Ini bermakna model asasnya mungkin menawarkan kira-kira 602hp dari konfigurasi dwi-motor, sepadan dengan Taycan GTS.

Eletre varian tertinggi mempunyai motor di belakang yang lebih berkuasa, menjadikan output keseluruhannya 904hp.

Type 133 akan mengekalkan pek bateri 112kWh seperti Eletre, bermakna sedan sporti ini akan mendapat jarak pemanduan lebih 640km. Platform EPA ini juga membolehkan ia dicas pada kapasiti sehingga 420kW.

Mike Johnstone, wakil komersial Lotus memberitahu Autocar: “Jika anda lihat prestasi, kami akan berada di tempat yang bagus, dari segi pecutan dan pengendalian.”

Lotus sebenarnya belum mendedahkan nama rasmi sedan ini. Johnstone berkata ia akan mengikut tradisi Lotus dengan nama bermula huruf E. Ada laporan berkata ia akan dinamakan Envya, salah satu nama yang telah didaftarkan oleh Lotus.

Lotus Eletre dilancarkan di Malaysia – 3 varian, harga dari RM578k

LOTUS Cars Malaysia hari ini melancarkan SUV hyper bernadikan elektrik iaitu Lotus Eletre ke pasaran tempatan.

Ia ditawarkan dalam tiga varian iaitu Eletre, Eletre S dan Eletre R. Harga jualan bermula dari RM578,000 untuk varian asas, RM648,000 untuk varian S dan RM798,000 untuk varian tertinggi R.

Untuk waranti, Lotus Cars Malaysia menawarkan waranti pengilang untuk 5 tahun/150,000 km dan waranti bateri untuk 8 tahun/200,000 km.

Menurut syarikat itu, mereka telah menerima 140 tempahan daripada 200 unit yang tersedia untuk pasaran Malaysia bagi tahun ini.

 

Bagi aspek trenkuasa, Eletre dan Eletre S kedua-duanya mempunyai sebuah motor elektrik yang menjana 603 hp dan 710 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.5 saat dan mencapai kelajuan maksimum 258 km/j.

Eletre R pula didatangkan dengan motor elektrik berkembar yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 905 hp dan 985 Nm. Pecutan 0 hingga 100 km/j boleh dilakukan dalam hanya 2.95 saat, manakala kelajuan maksimum adalah 265 km/j.

Ketiga-tiga varian menggunakan bateri berkapasiti 112 kWh, namun dengan jarak pemanduan berbeza iaitu 600 km untuk varian asas dan S, serta 490 km untuk varian R.

Selain itu, ketiga-tiga varian juga menyokong pengecasan pantas sehingga 350 kW yang boleh memulihkan tenaga bateri dari 10 hingga 80 peratus dalam hanya 20 minit. Pengecasan AW 22 kW turut disertakan secara standard.

Dari segi penggayaan, Eletre menampilkan reka bentuk cab-forward, dengan tapak roda yang panjang serta overhang depan dan belakang yang pendek.

Kebolehan aerodinamiknya boleh dilihat menerusi liang-liang udara pada bahagian depan, sisi dan belakang, gril aktif, pemegang pintu jenis pop-up dan spoiler aktif pada bahagian tailgate. Sudut dan ketinggian spoiler ini bergantung kepada mod pemanduan yang dipilih serta kelajuan.

Untuk roda, Eletre dan Eletre S didatangkan dengan tayar Pirelli P Zero dan rim 22 inci, manakala Eletre R pula mendapat tayar Pirelli P Zero Corsa dan rim 23 inci.

Di dalam, ketiga-tiga varian didatangkan dengan konfigurasi lima tempat duduk dengan kapasiti but 688 liter. Pelanggan boleh memilih untuk versi empat tempat duduk yang merupakan sebahagian daripada Executive Seat Pack.

Di hadapan pemandu dan penumpang terdapat paparan kecil dengan ketinggian 30 mm yang berfungsi untuk memaparkan maklumat kenderaan, jarak, pilihan muzik atau lokasi menarik berdekatan.

Akses untuk sistem infohibur adalah melalui skrin sentuh 15.1 inci dengan sistem operasi Lotus Hyper, 5G dan kemas kini Over-the-Air. Paparan head-up dengan Augmented Reality (AR) disertakan pada semua varian.

Antara kelengkapan yang turut tersedia adalah sistem audio KEF Premium 15 pembesar suara untuk Eletre dan Eletre S, sistem audio KEF Reference 23 pembesar suara untuk Eletre R, serta sistem navigasi bersepadu yang dibangunkan dengan kerjasama HERE Technologies.

Sistem bantuan pemandu ADAS terdiri daripada Adaptive Cruise control, Rear Collision Warning, Rear Cross Traffic Alert, Front Cross Traffic Alert, Lane Keep Assist dengan Lane Departure Warning, Blind Spot Detection dan pelbagai lagi.

Apa yang menarik, pelanggan boleh beberapa pakej tambahan seperti Lotus Dynamic Handling Pack, Ceramic Brake Pack, Executive Seat Pack, Comfort Seat Pack, Carbon Fibre Pack, Extended Carbon Fibre Pack dan Interior Carbon Fibre Pack.

Lotus Eletre sebuah SUV elektrik dengan 600hp, jarak pemanduan 600km

SETELAH banyak pengeluar kereta sports berkecimpung dalam dunia SUV, kini tiba pula giliran Lotus. Pengeluar dari Hethel, UK itu baru sahaja mendedahkan SUV mereka yang diberi nama Eletre, yang bermaksud “coming to life” atau “lahir ke dunia” dalam beberapa bahasa Eropah Timur.

Eletre dibina pada pelantar Electric Premium Architecture milik Lotus. Menurut syarikat itu, beberapa varian SUV EV itu akan ditawarkan dengan output bermula 600hp dan motor elektrik pada gandar depan dan belakang.

Pecutan 0 ke 100km/j boleh dibuat kurang dari 3 saat dan kelajuan maksima ialah 260km/j. Walaubagaimanapun, Lotus belum mendedahkan berat SUV ini. Mungkinkah ia mampu menjadi SUV paling ringan dalam kelasnya?

Perincian seterusnya adalah kapasiti baterinya iaitu melebihi 100kWh yang akan memberikan jarak pemanduan sehingga 600km.

Eletre mampu dicaj dengan kapasiti sehingga 350kW, dan jarak pemanduan 400km dapat dicapai dalam hanya 20 minit.

SUV ini dilengkapi dengan suspensi udara dengan pelarasan ketinggian aktif, sistem stereng belakang, dan bar anti-oleng aktif.

Di bahagian depan, Eletre mendapat elemen rekaan dari Lotus Emira. Lampu DRL-nya di hujung hud, manakala lampu utama di bahagian bawah yang berwarna hitam.

Gril Eletre ini juga menampilkan aerodinamik aktif yang menggunakan panel tiga-segi berhubung yang akan terbuka apabila motor, bateri dan brek perlu disejukkan.

Eletre juga didatangkan dengan empat pengesan lidar – dua di atas bumbung, satu di atas cermin depan dan satu lagi di cermin belakang. Cermin sisi juga menggunakan kamera.

Lotus mendakwa Eletre mampu menjalankan pemanduan berautonomi sepenuhnya dan teknologi ini boleh dikemaskini secara over-the-air untuk penambahbaikan akan datang.

Tiada panel instrumen di depan pemandu, sebaliknya Eletre menggunakan skrin nipis setinggi kira-kira 30mm. Di tengah pula, terdapat skrin melintang 15.1-inci selain paparan head-up display.

Lotus Eletre akan dibina di kilang baharu mereka di Wuhan, China. Penghantaran pula dijangka bermula pada 2023 di China, diikuti UK dan Eropah.