fbpx

Lotus Emira i4 kini di Malaysia – Dari RM998,800, 2.0-liter 360hp/430Nm

lotus emira i4 2023 01

LOTUS Cars Malaysia telah membuka tempahan bagi Emira i4 First Edition. Apa pula bezanya dengan Lotus Emira sebelum ini? Versi i4 ialah yang menggunakan nadi 2.0-liter turbo dari Mercedes-AMG, dan model ini ditawarkan pada harga permulaan RM998,800 termasuk cukai, tanpa insurans.

Harus diketahui bahawa harga ini hanya untuk kenderaan yang dikeluarkan pada 2023, selepas ini harganya akan meningkat sedikit kepada RM1.095 juta untuk Semenanjung Malaysia, dan RM509,000 untuk Langkawi.

Menurut Lotus, unit pertama untuk pelanggan Malaysia akan tiba pada November ini. Setiap unit Lotus Emira i4 hadir dengan jaminan tiga tahun, tanpa had perbatuan.

Dari segi rupa, Emira i4 nampak serupa dengan versi enjin V6. Bezanya, Emira i4 dipacu oleh enjin M139 Mercedes-AMG bersesaran 2.0-liter yang juga menjadi nadi kepada A45, CLA45 dan GLA45.

Enjin ni menjana 360hp dan 430Nm tork, dan dipadankan dengan kotak gear yang sama, iaitu dwi-klac AMG Speedshifft 8G. Tetapi tidak seperti Mercedes-AMG yang menggunakan pacuan semua-roda, Lotus Emira i4 tetap sebuah RWD (pacuan roda belakang).

Lotus Emira i4 juga menggunakan sistem kemasukan dan sistem ekzos berbeza dari AMG, yang pastinya memberikan bunyi serta respon berbeza pada jentera sports mid-engined ini.

Sebagai perbandingan, Emira V6 menggunakan enjin dari Toyota berkapasiti 3.5-liter dengan supercaj, dan menjana 406hp dan 420Nm. Dari segi pecutan, Emira i4 memecut ke 100km/j dalam 4.4 saat, hanya 0.1 saat lebih perlahan dari versi V6 manual, dan 0.2 saat di belakang Emira V6 automatik.

Lotus Emira i4 dibina dengan casis aluminium Lotus Sports Car Architecture yang sama dengan V6, tetapi perbezaan enjin menyebabkan versi i4 memerlukan subframe berbeza. Emira i4 juga 12kg lebih ringan.

Suspensi adalah sama, iaitu double-wishbone di depan dan belakang, dengan spring Eibach dan penyerap hentak monotube Bilstein untuk varian Tour dan Sport.

Rim adalah 20-inci dibaluti dua pilihan tayar iaitu Goodyear Eagle F1 Supersport (casis Tour) atau Michelin Pilot Sport Cup 2 (casis Sport). Profil tayar adalah 245/35 di depan dan 295/30 di belakang.

Ia datang standard dengan brek AP Racing bersaiz 370mm di depan, dan 350mm di belakang. Emira i4 juga dilengkapi dengan sistem stereng elektrohidraulik, sistem ESC yang ditala semula, dan e-Diff yang melaras brek belakang untuk menyalurkan tork pada tayar yang mempunyai cengkaman lebih tinggi.

Ciri lain pada Lotus Emira i4 termasuklah lampu LED, paparan instrumen 12.3-inci, paparan infotainmen 10.25-inci dengan sambungan Apple Carplay dan Android Auto, tempat duduk berkuasa, balutan kulit Nappa atau Alcantara pelbagai pilihan warna, dan kemasan krom.

Anda boleh pilih sehingga 13 warna untuk badan, antaranya Hethel Yellow, Magma Red, Vivid Red, Dark Verdant, Seneca Blue, Atlantis Blue, Meridian Blue, Osmium Silver, Nimbus Grey, Shadow Grey, Zinc Grey, Mist White dan Cosmos Black.

Ciri khas pada model First Edition adalah empat pakej yang boleh anda pilih iaitu Lower Black Pack, Design Pack, Convenience Pack, dan Lotus Drivers Pack.

Emira akan menjadi model Lotus terakhir dengan enjin pembakaran dalaman (ICE), jadi adakah ini bermakna ia bakal mencapai status future classics dan harganya meningkat?

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved