Arkib Tag: dashcam

Lokatag perkenal peranti tol, GPS, AI, dan dashcam – harga RM1,799

LOKATAG yang sebelum ini mula diperkenalkan pada 2019 sebagai aksesori tol, hari ini memperkenalkan produk baharu mereka.

Dikenali sebagai Lokatag Pro, ia merupakan peranti pembaca tol untuk kad Touch n Go (TNG), tetapi turut menampilkan kamera perakam digital (dashcam), fungsi AI, dan GPS. Kesemua ini menjadikan Lokatag Pro sebagai peranti semua-dalam-satu.

Menurut Amtel Holdings Berhad, produk ini direka untuk memenuhi permintaan pemandu-pemandu masa kini.

“Kita memasuki era baharu dalam aksesori automotive dimana keselamatan, inovasi, dan ketersambungan digabungkan dalam pelantar pintar dikenali sebagai ‘Loka Ecosystem’”, kata Chester Koid, CEO Kumpulan Amtel Holdings Berhad.

Lokatag Pro menggunakan teknologi infra-merah Efkon dan menyokong kad TNG NFC generasi baharu dan lama.

Untuk keselamatan tambahan, dashcam dibekalkan dengan pengesan Sony IMX336 yang merakam sehingga resolusi 2K.

Fungsi AI Voice pula memberikan kemas kini terkini berkenaan baki kad dan notifikasi lain – didapati dalam tiga Bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, dan Mandarin. Suara AI ini juga mampu membuat peringatan untuk pembayaran insurans.

E-sim yang dibekalkan pada Lokatag Pro pula membekalkan perkhidmatan ketersambungan seperti GPS, amaran, kemas kini Over The Air (OTA), dan pengesan-G yang boleh mengenal pasti aktiviti mencurigakan terhadap kereta.

Lokatag mensasarkan 500,000 pengguna dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Sementara itu, Lokatag mengumumkan kerjasaman dengan Zurich Malaysia sebagai rakan kongsi insurans. Kerjasama ini dijangka menambah baik proses tuntutan insurans dan takaful dalam aplikasi Loka App, yang juga diperkenal dalam acara pelancaran yang sama.

Lokatag Pro ditawarkan pada harga RM1,799 dan untuk setiap pra-tempahan, Zurich menawarkan pakej insurans percuma. Maklumat lanjut berkenaan pakej insurans ini akan diumumkan dalam masa terdekat.

Pertama kali dalam sejarah, motosikal ini ‘bayar’ tol

UMUM mengetahui bahawa motosikal tidak dikenakan bayaran untuk melalui plaza tol kerana kenderaan ini mempunyai lorong khas.

Tetapi terdapat segelintir penunggang motosikal yang keras kepala melalui lorong kereta atau kenderaan penumpang, menyebabkan kereta itu terpaksa membayar tol dua kali.

Anda yang memandu kereta pernah terkena situasi ini pasti geram, bukan? Kita dah bayar tol, motosikal itu melepasi palang, kemudian palang tertutup dan kita perlu membuat bayaran kali kedua.

Sebenarnya perkara ini kerap terjadi dan dikongsi oleh pemilik kenderan yang mempunyai kamera perakam digital (dashcam), dan perkara sama terjadi oleh pemilik dalam video kali ini.

Bezanya, pemandu kereta ini telah mengejar motosikal terbabit dan kedua-dua mereka dilihat berhenti di tepi jalan. Difahamkan pemandu kereta ini telah meminta bayaran dengan penunggan motosikal terbabit.

Jadi secara teknikalnya, ini kali pertama motosikal membayar tol, walaupun terpaksa!

Video ini dikongsi di laman Facebook We are Malaysians. Rata-rata komen netizen berpuas hati dengan insiden itu.

“Good job, kejar sampai dapat dan kasi ajar. Lebih baik kalau ada video macam tu, dah dapat segala butiran pelaku, buat laporan polis. Penunggang motor seperti ini mungkin buat lagi,” komen seorang netizen.

“Kena ajar macam ni baru betul,” komen netizen lain.

Sebenarnya mudah sahaja, patuhi semua undang-undang jalan raya. Dan kami juga faham mungkin ada masanya lorong motosikal rosak atau mengelirukan.

Jika anda penunggang motosikal dan terpaksa melalui lorong kereta, mungkin boleh lalui palang itu serentak agar pemandu tidak menyumpah anda.

Sekurang-kurangnya angkat tangan kepada pemandu kereta, budi bahasa kan budaya kita?

Pelakon sambilan ditahan pandu melulu sehingga kekasih tercampak

POLIS telah menahan seorang selebriti susulan tular rakaman video Perodua Myvi dipandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Hulu Kelang pada 27 Disember lalu.

Video berdurasi 43 saat itu menunjukkan Myvi yang dipandu suspek itu menukar lorong secara melulu berkali-kali sebelum merempuh bahagian sisi kiri sebuah Toyota Innova.

Pelanggaran itu menyebabkan penumpang hadapan Myvi yang dipercayai kekasih pelakon sambilan itu tercampak keluar daripada kenderaan dan mengalami kecederaan ringan. Mangsa dilaporkan berusia 25 tahun.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku berpunca daripada kecuaian pemandu Perodua Myvi yang memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan.

“Siasatan juga mendapati berlaku pertengkaran di antara suspek dan mangsa ketika kejadian,” katanya.

Tambah beliau lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Suspek yang juga seorang peniaga telah ditahan untuk siasatan lanjut.

CamScore bantu anda pilih dashcam berbaloi, dua model 70mai raih skor tertinggi

INSTITUT Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan CyberSecurity Malaysia telah bekerjasama dalam menghasilkan satu program kepenggunaan yang dapat membantu pengguna memilih kamera papan pemuka (dashcam) untuk kenderaan mereka.

Program yang dinamakan sebagai CamScore atau Dashcam Safety Score Card ini telah melalui fasa penilaian awalan dan versi pertama senarai kamera yang dinilai akan dihebahkan untuk rujukan pengguna.

Dengan adanya program ini, anda bukan sahaja dapat mengetahui dengan lebih lanjut tentang kualiti kamera malah pengguna juga dapat memastikan pembelian mereka berbaloi dengan harga.

Fasa awalan CamScore ini menilai spesifikasi dashcam melalui tiga ciri iaitu ciri asas (basic features), ciri termaju (advanced features), serta ciri bantuan pemanduan (Advanced Driving Assistance System – ADAS).

Keputusan penilaian CamScore telah dilancarkan secara rasminya bersempena persidangan Pakar Kenderaan Moden (Modern Vehicle Expert – MOVE) yang berlangsung di Hotel Dorsett, Putrajaya.

Pengurus Projek Forensik Kenderaan yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Kenderaan dan Biomekanik, Ts. Zulhaidi Mohd Jawi berkata, “CamScore adalah kesinambungan pelbagai program penarafan yang telah dibangunkan oleh MIROS termasuk penilaian kenderaan.

“Ini merupakan inisiatif MIROS dalam memastikan panduan untuk membeli dan memiliki kamera papan pemuka (dashcam) yang sesuai dapat digunakan oleh pengguna tanpa ragu-ragu.”

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab menambah: “CyberSecurity Malaysia akan terus komited dalam memastikan perlindungan paling optimum untuk rakyat Malaysia berkenaan keselamatan digital.

“Kerjasama strategik bersama MIROS ini adalah simbolik kepada perubahan semasa di mana janaan data digital telah semakin dominan dalam industri automotif, berbanding sebelum ini yang tertumpu kepada isu internet, peranti dan perkomputeran.”

Keputusan pertama CamScore menyenaraikan lima model dashcam yang berjaya mencapai taraf lima bintang, iaitu tiga dari jenama 70mai, dan masing-masing satu model dari jenama DDPAI dan Thinkware.

Selebihnya, 15 model tersenarai sebagai empat bintang, 19 model bertaraf tiga bintang, dan satu model dua bintang.

Dua model keluaran 70mai iaitu 70mai A800S dan 70mai Pro Plus+ A500S mencatat skor tertinggi iaitu 4.59 daripada markah keseluruhan 5.00.

Rider Shopee sepak cermin sisi Porsche 911, agak-agak la bro!

Sebuah video yang memaparkan seorang penunggang penghantar (atau lebih dikenali sebagai ‘rider’) Shopee menyepak cermin sisi sebuah kereta sport mewah tular di media sosial hari ini.

Dalam rakaman kamera papan pemuka yang dikongsi oleh Ikhwan Saupi di laman Facebook Dashcam Malaysia itu, sebuah Porsche 911 yang memandu di lorong paling kanan dilihat memberikan lampu isyarat sebagai tanda ingin menukar lorong.

Bagaimanapun, pemandu 911 itu tidak dapat melakukan demikian kerana terdapat beberapa buah motosikal yang ditunggang laju di antara lorong kanan dan lorong tengah.

Seperti yang boleh dilihat, dua motosikal memintas kereta tersebut sambil membunyikan hon sebelum datangnya ‘rider’ Shopee tersebut yang bertindak ganas menendang cermin sisi 911 itu.

Kesan daripada tindakan itu, cermin sisi tersebut patah dan jatuh di atas jalan. Dengan ketiadaan cermin sisi sebelah kiri, pemandu Porsche itu dilihat mengalami kesukaran untuk menukar lorong namun beliau berjaya juga masuk ke lorong tengah selepas beberapa ketika.

Menerusi tinjauan di ruang komen, rata-rata netizen menyalahkan kereta tersebut kerana tidak memberikan masa yang cukup sebelum mengubah haluan. Tidak kurang juga yang mengecam tindakan ‘rider’ tersebut yang menunggang terlalu laju dalam kesesakan lalu lintas dan merosakkan harta benda.

Apa pendapat anda mengenai kejadian? Benar, mencelah antara kenderaan atau ‘lane splitting’ memang dibenarkan di Malaysia namun seharusnya ada tolak ansur dan saling menghormati antara satu sama lain.

Kalau dah tahu jalan tengah sesak, janganlah menunggang dalam keadaan laju. Untuk pemandu kereta pula, nyalakan ‘signal’ dan lihat cermin sisi untuk memastikan yang jalan betul-betul selamat sebelum menukar lorong.

Kenderaan tidak berhenti walaupun lampu pejalan kaki hijau, inilah Malaysia!

BANDAR raya seperti Kuala Lumpur pastinya sibuk dengan kenderaan dan pejalan kaki, terutamanya pada waktu puncak.

Baru-baru ini seorang lelaki meluahkan rasa kecewa apabila pengguna jalan raya di bandar raya ini tidak memberhentikan kenderaan walaupun lampu isyarat bertukar warna merah dan lampu lintasan pejalan kaki berwarna hijau.

Hijaz Ridzwan berkongsi satu video pendek berdurasi 15 saat di akaun Facebook miliknya tentang hal ini. Katanya, dia dan keluarga sedang berjalan dari hotel ke KLCC.

“Apabila sampai pedestrian crossing (lintasan pejalan kaki), alangkah terkejutnya kami apabila tidak ada satu pun kereta berhenti walaupun lampu mereka dah merah,” tulisnya.

“Nasib baik anak-anak tak terus lari lintas jalan. Selamat datang ke KL.”

Dia turut menambah dalam nota tambahan bahawa mereka melihat dengan mata sendiri bahawa lampu isyarat untuk kereta bertukar merah, bukannya isu lampu rosak.

Perkongsian itu telah mendapat lebih 3,400 Like, 1,800 komen dan 4,000 Share semasa artikel ini ditulis.

Ia mendapat pelbagai respon dari warganet yang rata-ratanya mengecam tindakan pengguna jalan raya yang tidak menghiraukan lampu isyarat dan tidak meghormati pejalan kaki.

Kami memang bersetuju dengan komen warganet kerana pengguna jalan raya patut peka dengan sebarang isyarat, halangan atau papan tanda di depan. Kita semua belajar benda yang sama semasa mengambil lesen memandu, bukan?

Tetapi kita juga boleh mengambil kira faktor-faktor lain seperti papan tanda sebelum lintasan pejalan kaki, adakah ia jelas memaparkan maklumat, adakah ia dalam keadaan baik dan tidak dilindungi pokok dan sebagainya.

Mungkin juga faktor lintasan pejalan kaki yang kadang-kadang tidak konsisten, ada di tempat yang tidak disangka. Kebiasaannya, lintasan pejalan kaki diletakkan di simpang-simpang dengan lampu isyarat.

Jika diletakkan di jalan lurus yang panjang, terdapat kemungkinan pengguna jalan raya tidak perasan atau terpaksa brek mengejut di saat-saat akhir.

Apa pun, pandu dan tunggang dengan selamat semua, dan sama-sama kita hormati pejalan kaki.

Kenderaan polis iring trak tunda potong di garisan berkembar, ini penjelasan Pemangku Ketua Polis Kelantan

POLIS Kelantan mengesahkan video kejadian sebuah kenderaan pengiring polis mengiringi dua buah trak tunda dan sebuah pikap memotong di garisan berkembar yang tular di media sosial sejak semalam berlaku di Jalan Gua Musang-Kota Bharu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun menjelaskan, kenderaan pengiring tersebut telah memberi amaran atau peringatan secukupnya dengan membunyikan siren dan lampu kecemasan kepada pengguna jalan raya lain.

Tegasnya, selain itu, berlaku kekeliruan dalam kalangan orang ramai mengenai perkara itu kerana kenderaan tersebut mempunyai pergerakan dan arahan yang sah untuk mengiringi ketiga-tiga kenderaan berkenaan.

“Persoalan orang ramai mengenai video yang tular adalah kereta pengiring itu mengundang bahaya. Sebenarnya, kereta pengiring itu menjalankan tugas mengatur dan mengawal mengikut Seksyen 21 Akta Polis 1967 iaitu tugas di jalan awam.

“Ini bermakna, pengguna jalan raya yang lain perlu memberi kerjasama sama ada memperlahankan kenderaan, memberi laluan kepada kereta pengiring atau berhenti bagi mengelakkan sesuatu berlaku.

“Kenderaan pengiring ada peraturan tersendiri malah mereka tidak boleh sewenang-wenangnya kerana sedang bertugas. Saya tidak menyalahkan sesiapa, namun mungkin ramai yang masih keliru dengan perkara tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berharap pengguna jalan raya sentiasa memberi kerjasama apabila berdepan dengan kenderaan pengiring polis di jalan raya. Ini kerana tugas kenderaan pengiring tidak seperti pengguna jalan raya yang lain.

Terdahulu, tular rakaman video dashcam berdurasi 11 saat di media sosial yang memaparkan sebuah kenderaan polis pengiring yang memotong di garisan berkembar sehingga hampir menyebabkan kemalangan.

Menerusi video itu, kenderaan itu sedang mengiringi dua buah trak tunda dan sebuah pikap memasuki lorong bertentangan dalam keadaan laju sehingga menyebabkan kenderaan lain terpaksa mengelak ke tepi jalan.

Insiden itu menyebabkan ramai yang mengecam tindakan bahaya kenderaan pengiring polis yang dilihat membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

Pemandu lori tunjuk gangster dengan gadis Axia, terus kena tahan polis!

SETIAP kali melihat insiden yang dapat balasan setimpal di depan mata, pasti memberikan satu kepuasan lain macam. “Instant karma”, orang putih kata.

Begitulah yang terjadi dalam insiden antara seorang pemandu lori dengan pemandu Perodua Axia.

Pemandu lori itu terus ditahan polis di sekatan jalan raya tidak lama selepas cuba berlagak samseng dengan pemandu Axia.

Dalam kejadian yang dirakam oleh kereta di belakang itu, pemandu lori dilihat telah turun dari kenderaannya dan berdiri di depan Perodua Axia, memarahi pemandu kereta tersebut.

Tidak dapat dipastikan siapa yang bersalah, tetapi video bermula dengan keadaan itu. Perakam yang berada di belakang juga sempat menegur, “Hoi jangan gaduh-gaduh…”.

Selepas Perodua Axia yang dipercayai dipandu oleh seorang wanita itu berlalu, pemandu lori seperti tidak puas hati dan masih mengekori rapat Axia itu walaupun dalam kesesakan trafik.

Apabila sampai di sekatan jalan raya, polis menyuruh pemandu Perodua Axia meneruskan perjalanan. Tetapi pemandu Axia dilihat seperti memberitahu sesuatu kepada anggota yang bertugas.

Mereka terus mengarahkan lori di belakang untuk ke tepi jalan. Pemandu lori pada mulanya cuba melarikan diri sebelum ditahan oleh beberapa lagi anggota polis.

Dia akhirnya berhenti di tepi jalan dan kelihatan dimarahi oleh anggota-anggota kerana tidak patuh kepada arahan.

Tahniah dan syabas kepada anggota polis kerana bertindak segera, perakam di kenderaan belakang juga begitu berpuas hati dan ketawa melihat insiden itu.

Pengajarannya di sini, bertimbang rasalah semasa memandu dan jika berlaku perselisihan faham, selesaikan dengan cara baik agar tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Jika kita bersalah, jangan segan juga untuk meminta maaf. Tidak dinafikan kadang-kala kita boleh melakukan kesilapan seperti terlupa menyalakan lampu signal atau tidak perasan kenderaan di sebelah sebelum kita menukar lorong.

Gunakan kuasa tangan rakyat Malaysia untuk menunjukkan tanda “maaf”, pasti semua pihak dapat meneruskan perjalanan dengan gembira.

Video ini pada asalnya dikongsi di Twitter dan telah mendapat 16,000 Like dan lebih 12,400 Retweet semasa artikel ini ditulis.

Padah tak mahu sabar, Land Rover Discovery terbalik selepas terlanggar Toyota GR Yaris!

DIHARAPKAN kami bukan orang pertama yang memberitahu anda bahawa SUV (sports utility vehicle) mempunyai risiko lebih tinggi untuk terbalik berbanding kereta penumpang biasa. Ianya fizik.

Ini kerana SUV mempunyai titik graviti lebih tinggi. Satu insiden yang berlaku di Burmingham, United Kingdom baru-baru ini menunjukkan contoh dengan baik sekali.

Rakaman dashcam itu dimuatnaik di Twitter yang menunjukkan trafik di sekitar bulatan Robin Hood Island di tenggara Birmingham.

Kemudian terdapat sebuah Land Rover Discovery Sport putih, dia memberi laluan kepada sebuah SUV lain sebelum mula memasuki bulatan.

Kemudian trafik di lorong tengah terhenti dan Land Rover Discovery ini tidak bersabar dan mahu terus menukar lorong ke kanan kerana lorong itu lebih sedikit kenderaan. Pemandunya terus menekan minyak sambil cuba bergerak ke lorong kanan.

Namun bahagian bucu bampar depan kirinya terlanggar bucu belakang kanan sebuah Toyota GR Yaris yang sedang berhenti di lorong tengah. Land Rover Discovery ini terus terbalik seperti kura-kura sementara GR Yaris itu kekal pada kedudukannya dengan hanya kerosakan kecil.

Tak pasal-pasal Toyota GR Yaris yang tak bersalah menjadi mangsa, sudahlah kereta pun rare! Harap tiada kerosakan serius pada tayar atau suspensi belakang kanan.

Disebabkan pemandu Land Rover Discovery itu tidak mahu bersabar dan terburu-buru menukar lorong, dia sudah memalukan diri sendiri dan merosakkan kenderaan orang lain. Malu kerana dalam keadaan trafik yang sesak pun dia boleh terbalik!

Pengajarannya di sini, kita perlu bersabar dan berhati-hati. Tindakan sebegini jika di Malaysia juga akan mengundang bahaya kepada penunggang motosikal yang mungkin mencelah di antara lorong.

Kecundang di litar Ulu Yamburgring, pemandu Nissan Cefiro bertembung dengan Honda BR-V

KERAJAAN telah melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) dan membenarkan rentas daerah serta aktiviti sosial tertentu, dan bagi kaki kereta, pastinya aktiviti seperti track day dan weekend drive dinanti-nantikan.

Namun sayang sekali ‘pemanduan sukan’ di jalan raya awam sering berakhir dengan tidak begitu baik apabila apabila segala ‘bakat’ yang lama dipendam cuba dicurahkan dengan cara yang salah.

Sebuah Nissan Cefiro telah bertembung dengan Honda BR-V dari arah bertentangan selepas gagal membrek dan mengelak kenderaan yang diekorinya.

 

Dari dua klip video yang tersebar di aplikasi Whatsapp dan Facebook itu, kejadian difahamkan berlaku di Ulu Yam semalam (Ahad, 3 Oktober 2021). Kedua-dua video memaparkan rakaman dari pandangan belakang dashcam.

Video pertama yang berdurasi 15 saat menunjukkan sebuah kereta (dipercayai BMW) yang mengekori kereta kamera seperti memperlahankan kenderaan dan mengelak sesuatu sebelum perlanggaran berlaku di belakang mereka.

 

Video kedua pula yang dipercayai dari kereta di belakang BMW tadi, jelas menunjukkan kereta kamera memperlahankan kenderaan, sebelum sebuah Nissan Cefiro putih yang sedang laju cuba membrek.

Ia seperti tersasar atau cuba mengelak dan bergesel dengan sisi kereta kamera lalu bertembung dengan Honda BR-V dari arah bertentangan.

Tidak dapat dipastikan bagaimana keadaan pemandu dan penumpang kedua-dua kereta (Cefiro dan BR-V). Tetapi komen di Facebook mengatakan pemandu BR-V selamat dan hanya cedera ringan.

Kami belum dapat maklumat lanjut dari insiden ini.

Yang pasti, kami ingin sampaikan satu pesanan yang membosankan tetapi cukup penting, iaitu jalan raya bukanlah tempat berlumba.

Sentiasa amalkan pemanduan defensif di jalan raya awam kerana kita berkongsi dengan pemandu-pemandu lain.

Dan jika hendak menguji kemampuan diri dan kenderaan, lakukannya di tempat yang selamat dan betul seperti di kursus pemanduan lanjutan (advanced) atau di sesi track day.