fbpx

Rider Shopee sepak cermin sisi Porsche 911, agak-agak la bro!

rider shopee tendang cermin sisi porsche 911 (1)

Sebuah video yang memaparkan seorang penunggang penghantar (atau lebih dikenali sebagai ‘rider’) Shopee menyepak cermin sisi sebuah kereta sport mewah tular di media sosial hari ini.

Dalam rakaman kamera papan pemuka yang dikongsi oleh Ikhwan Saupi di laman Facebook Dashcam Malaysia itu, sebuah Porsche 911 yang memandu di lorong paling kanan dilihat memberikan lampu isyarat sebagai tanda ingin menukar lorong.

Bagaimanapun, pemandu 911 itu tidak dapat melakukan demikian kerana terdapat beberapa buah motosikal yang ditunggang laju di antara lorong kanan dan lorong tengah.

Seperti yang boleh dilihat, dua motosikal memintas kereta tersebut sambil membunyikan hon sebelum datangnya ‘rider’ Shopee tersebut yang bertindak ganas menendang cermin sisi 911 itu.

Kesan daripada tindakan itu, cermin sisi tersebut patah dan jatuh di atas jalan. Dengan ketiadaan cermin sisi sebelah kiri, pemandu Porsche itu dilihat mengalami kesukaran untuk menukar lorong namun beliau berjaya juga masuk ke lorong tengah selepas beberapa ketika.

Menerusi tinjauan di ruang komen, rata-rata netizen menyalahkan kereta tersebut kerana tidak memberikan masa yang cukup sebelum mengubah haluan. Tidak kurang juga yang mengecam tindakan ‘rider’ tersebut yang menunggang terlalu laju dalam kesesakan lalu lintas dan merosakkan harta benda.

Apa pendapat anda mengenai kejadian? Benar, mencelah antara kenderaan atau ‘lane splitting’ memang dibenarkan di Malaysia namun seharusnya ada tolak ansur dan saling menghormati antara satu sama lain.

Kalau dah tahu jalan tengah sesak, janganlah menunggang dalam keadaan laju. Untuk pemandu kereta pula, nyalakan ‘signal’ dan lihat cermin sisi untuk memastikan yang jalan betul-betul selamat sebelum menukar lorong.

Lihatkan Ulasan (1)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved