fbpx

CamScore bantu anda pilih dashcam berbaloi, dua model 70mai raih skor tertinggi

dashcam

INSTITUT Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan CyberSecurity Malaysia telah bekerjasama dalam menghasilkan satu program kepenggunaan yang dapat membantu pengguna memilih kamera papan pemuka (dashcam) untuk kenderaan mereka.

Program yang dinamakan sebagai CamScore atau Dashcam Safety Score Card ini telah melalui fasa penilaian awalan dan versi pertama senarai kamera yang dinilai akan dihebahkan untuk rujukan pengguna.

Dengan adanya program ini, anda bukan sahaja dapat mengetahui dengan lebih lanjut tentang kualiti kamera malah pengguna juga dapat memastikan pembelian mereka berbaloi dengan harga.

Fasa awalan CamScore ini menilai spesifikasi dashcam melalui tiga ciri iaitu ciri asas (basic features), ciri termaju (advanced features), serta ciri bantuan pemanduan (Advanced Driving Assistance System – ADAS).

Keputusan penilaian CamScore telah dilancarkan secara rasminya bersempena persidangan Pakar Kenderaan Moden (Modern Vehicle Expert – MOVE) yang berlangsung di Hotel Dorsett, Putrajaya.

Pengurus Projek Forensik Kenderaan yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Kenderaan dan Biomekanik, Ts. Zulhaidi Mohd Jawi berkata, “CamScore adalah kesinambungan pelbagai program penarafan yang telah dibangunkan oleh MIROS termasuk penilaian kenderaan.

“Ini merupakan inisiatif MIROS dalam memastikan panduan untuk membeli dan memiliki kamera papan pemuka (dashcam) yang sesuai dapat digunakan oleh pengguna tanpa ragu-ragu.”

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab menambah: “CyberSecurity Malaysia akan terus komited dalam memastikan perlindungan paling optimum untuk rakyat Malaysia berkenaan keselamatan digital.

“Kerjasama strategik bersama MIROS ini adalah simbolik kepada perubahan semasa di mana janaan data digital telah semakin dominan dalam industri automotif, berbanding sebelum ini yang tertumpu kepada isu internet, peranti dan perkomputeran.”

Keputusan pertama CamScore menyenaraikan lima model dashcam yang berjaya mencapai taraf lima bintang, iaitu tiga dari jenama 70mai, dan masing-masing satu model dari jenama DDPAI dan Thinkware.

Selebihnya, 15 model tersenarai sebagai empat bintang, 19 model bertaraf tiga bintang, dan satu model dua bintang.

Dua model keluaran 70mai iaitu 70mai A800S dan 70mai Pro Plus+ A500S mencatat skor tertinggi iaitu 4.59 daripada markah keseluruhan 5.00.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved