Arkib Tag: coupe

Mercedes GLC Coupe dan Mercedes-AMG GLE Coupe 2023 dilancar, bermula RM470k

MERCEDES-Benz Malaysia (MBM) hari ini membawakan sepasang SUV Coupe untuk pasaran kita, iaitu GLC Coupe dan GLE Coupe.

Untuk GLC, ia hadir dalam varian GLC300 4Matic Coupe dengan harga RM469,888. Sementara itu bagi GLE, ia ditawarkan dalam versi prestasi Mercedes-AMG GLE53 5Matic+ Coupe dan ditawarkan pada harga RM873,888.

Mercedes GLC300 4Matic Coupe

Dengan varian GLC300, SUV ini dipacu oleh enjin 2.0-liter turbo yang menjana 258hp dan 400Nm tork, digandingkan dengan sistem mild hybrid berkuasa 17kW dan 205Nm.

Kesemua output ini disalurkan ke semua roda melalui sistem 4Matic. Pecutan ke 100km/j boleh dicapai dalam 6.3 saat, dengan kelajuan maksima 246km/j.

Spesifikasi luaran bagi model ini termasuklah kit AMG Line dengan pakej Chrome, rim 20-inci AMG, bumbung panoramik, dan lampu LED digital dengan Adaptive Highbeam Assist Plus.

Di dalam kabin pula, Mercedes GLC300 didatangkan dengan kemasan kulit nappa, pakej AMG Line, skrin melengkung dengan paparan instrumen digital, sistem MBUX, sistem penghawa dingin automatic Thermatic, dan Keyless-Go Comfort Package.

Ciri keselamatan pula seperti biasa cukup banyak. Ini termasuklah sistem Pre-Safe, Blind Spot Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Brake Assist, Guard 360, dan Active Parking Assist.

Mercedes-AMG GLE53 4Matic+ Coupe

Kini kita ke model lebih besar dan berprestasi. GLE53 mendapat nadi 3.0-liter turbo petrol 6-silinder sebaris yang mampu menghasilkan 435hp dan 560Nm tork, juga digandingkan dengan sistem mild hybrid 15kW/200Nm.

Kuasa disalurkan ke semua roda melalui sistem 4Matic+ dan ini membolehkan ia memecut ke 100km/j dalam masa 5.0 saat dan jika jalan cukup, mampu mencapai kelajuan maksima 250km/j. AMG Active Ride Control juga diatangkan standard.

Kemasan luar pada SUV ini cukup sporti, merangkumi kemasan AMG pada kit badan, gril, rim 22-inci, dan rongga udara serta diffuser yang agresif.

Di dalam pula, imej sporti dibawa terus dari luar melalui komponen AMG seperti kemasan papan pemuka, tempat duduk sports, stereng prestasi, serta kemasan gentian karbon.

Spesifikasi lain adalah sistem audio 3D Burmester, sistem pendingin hawa automatik Thermotronic, dua skrin besar bersaiz 12.3-inci setiap satu, MBUX Interior Assistant, dan MBUX Augmented Reality Navigation serta Driving Assistance Package Plus.

Galeri

Balik beraya dengan EV? Kami cuba sendiri dengan Volvo C40 Recharge

DUA benda yang diketahui umum mengenai kenderaan elektrik bateri (BEV atau EV); pecutan luar biasa oleh respon motor elektrik, dan jarak pemanduan terhad kerana lokasi mengecas yang belum menyeluruh.

Kali ini kami akan fokuskan perkara kedua iaitu jarak pemanduan terhad, atau benarkah begitu? Dan untuk itu, kami uji sendiri dengan memandu Volvo C40 Recharge Pure Electric pulang ke kampung menyambut Hari Raya.

Mahu tahu juga bab pecutan? Baiklah, Volvo C40 EV dibekalkan dengan struktur bateri 400-volt berkapasiti 78kWh. Pakej ini menghasilkan 402hp dan 660Nm tork, dihantar ke semua roda melalui dua motor elektrik.

Disebabkan C40 EV ini telah menjadi sebuah SUV pacuan semua-roda (AWD), tork setinggi 660Nm itu mampu ‘melontarnya’ ke depan mencapai 100km/j dalam hanya 4.9 saat walaupun ia mempunyai berat hampir 2.2 tan termasuk pemandu.

Bagaimana rasanya? Ada sedikit rasa seperti kapal terbang hendak berlepas, malah pecutan maksima ini mampu membuatkan penumpang anda rasa sedikit pening. Itu yang dikomen oleh rakan penulis semasa beliau ‘dibelanja’ dengan tork jentera EV.

Baik, cukup setakat itu. Seterusnya, mari penulis kongsikan ‘pengembaraan’ memandu EV di musim perayaan. Kita akan lihat segalanya dari kerisauan jarak (range anxiety), pemanduan lebuh raya, kesesakan trafik, hinggalah pengecasan.

Pengembaraan (atau cabaran?) EV di musim perayaan

Sebenarnya semasa mula ditawarkan oleh Volvo Car Malaysia untuk memandu uji C40 EV ini semasa cuti Hari Raya, penulis agak keberatan memandangkan isu-isu yang bakal dihadapi. Penulis hampir memilih model PHEV sahaja, kemudian penulis terfikir, apa kata ambil saja C40 ini. Anggap ia sebagai cabaran.

Dengan bateri penuh 100%, penulis bergerak dari ibu pejabat Volvo Malaysia menuju ke rumah. Setelah menyelesaikan beberapa urusan, petang itu penulis memulakan perjalanan balik kampung dengan bateri 89%. Penulis turut membawa isteri, dua anak kecil, dan barangan penuh.

Anda semua tahu kan macam mana orang rumah angkut barang semasa balik kampung beraya.

Ini bukan kali pertama penulis memandu jarak jauh dengan EV, tetapi ini kali pertama bersendirian. Sebelum ini dengan sesi media, jadi perancangan mengecas diatur oleh penganjur.

Kali ini, semuanya terserah kepada penulis. Volvo C40 dilengkapi dengan Google Maps binaan dalam yang diintegrasikan dengan fungsi kereta. Menurut Google Maps, penulis akan sampai ke Kuantan dengan bateri berbaki kurang 10%. Ok, gementar juga.

Di lebuh raya, penulis cuba tetapkan Adaptive Cruise Control pada 110km/j kerana lebih dari itu, ia tidak begitu cekap. Kebanyakan EV kurang efisyen di kelajuan tinggi memandangkan tiada kotak gear, maka motor elektrik beroperasi dalam keadaan ‘direct drive’.

Sangat ideal di kelajuan rendah, sangat tidak ideal di kelajuan tinggi. Walaupun anda keluarkan semua 402hp dan 660Nm sebaik lampu isyarat bertukar hijau, ia masih jimat, asalkan kelajuan tidak terlalu tinggi dalam bandar. Jadi, drag race di lampu isyarat memang makanan EV seperti Volvo C40 ini.

Berbalik kepada perjalanan penulis tadi, hanya beberapa ketika penulis pergi ke kelajuan sehingga 125km/j untuk memotong, kemudian kembali ke 110km/j.

Akhirnya penulis sampai ke bandar Kuantan dengan bateri berbaki 11%. Bila difikirkan semula, tidaklah teruk mana. Hanya 78% bateri digunakan untuk jarak kira-kira 280km tanpa perlu berhenti mengecas dalam perjalanan.

Perjalanan pulang dari Kuantan ke Shah Alam juga tidak seteruk yang disangkakan. Mulanya Google Maps menunjukkan bateri akan berbaki 8% semasa sampai, tetapi disebabkan penulis hanya tetapkan Cruise Control pada 105km/j, anggaran baki bateri perlahan-lahan meningkat kepada 15%.

Akhirnya sampai ke Shah Alam dengan bateri berbaki 16%.

Secara kasar, pemanduan EV adalah terbalik dengan kereta petrol. EV tidak risau jika tersekat dalam kesesakan berjam-jam kerana motor elektrik tidak bergerak jika kereta tidak bergerak, berbanding kereta petrol yang tetap membakar bahan api semasa kereta tidak bergerak.

Bila meluncur di lebuhraya, kereta petrol akan lebih jimat jika memandu di kelajuan tinggi kerana adanya kotak gear yang membolehkan rpm enjin beroperasi pada kelajuan optimum, berbanding motor elektrik EV yang terpaksa berpusing di kelajuan tinggi selaras dengan kelajuan kenderaan.

Di dalam bandar, tiada langsung isu kerisauan jarak. Penulis sempat menyelesaikan urusan persiapan akhir menjelang raya, menyambut raya, dan bersiar-siar tanpa gelisah. Berhenti lama di lampu isyarat atau pecut laju untuk tukar lorong dan memotong, bacaan baki bateri tidak turun mendadak.

Bila bateri dicas sehingga 90% mengikut saranan komputer Volvo untuk menjaga ‘tahap kesihatan’ bateri, ia masih berbaki kira-kira 40% selepas dipandu beberapa hari untuk perjalanan jarak dekat.

Kebanyakan masa penulis mengecas C40 di pengecas pantas DC berkapasiti 60kW di tengah bandar Kuantan, kerana lokasi pengecasan yang lain hanya menawarkan kapasiti sekitar 20kW atau 30kW sahaja.

Kadar bayaran pengecas bergantung kepada operator penyedia mesin pengecas itu sendiri. Ada yang sekitar RM0.80 setiap minit, RM1.20 hingga RM1.60 seminit. Seingat penulis, ada juga pengecas yang menawarkan kadar mengikut kW. Apa pun, pengecas EV masih mengamalkan pasaran terbuka.

Berikut disenaraikan nota setiap sesi pengecasan sepanjang lebih seminggu dan lebih 1,600km penulis memandu Volvo C40 Recharge EV ini:

1.
Baki bateri dan jarak: 9%, 45km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh masa: 64 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 87%, 340km

2.
Baki bateri dan jarak: 33%, 120km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh masa: –
Peratus bateri dan jarak baharu: 90%, 350km

3.
Baki bateri dan jarak: 69%, 260km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh: 18 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 90%, 330km

4.
Baki bateri dan jarak: 13%, 60km
Kapasiti mengecas: 89kW
Tempoh: 27 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 65%, 250km

5.
Baki bateri dan jarak: 12%, 55km
Kapasiti mengecas: 57kW
Tempoh: 65 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 90%, 380km

6.
Baki bateri dan jarak: 28%, 110km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh: 40 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 93%, 410km

7.
Baki bateri dan jarak: 10%, 44km
Kapasiti mengecas: 58kW
Tempoh: 16 minit
Peratus bateri dan jarak baharu: 32%, 120km

Sepanjang tujuh kali penulis sampai ke tempat mengecas, mujurlah kebanyakannya kosong dan tiada kereta yang sedang dicas sebelum itu. Cuma sekali sahaja terdapat sebuah BMW iX, itupun ia sudah melebihi 97%, dan telah penuh beberapa minit selepas itu.

Hanya sekali sahaja penulis berdepan dengan mentaliti tipikal rakyat Malaysia, semasa di R&R Gambang Arah Timur. Masa itu Hari Raya kedua, penulis dalam perjalanan balik ke Kuantan selepas beraya di Temerloh dan Jengka di hari sebelumnya.

Hari Raya kedua biasalah kereta sudah banyak di jalan raya kerana orang mula keluar berziarah, stesen minyak pun penuh. Sesampainya penulis di pengecas Gentari di Petronas itu, terdapat sebuah kereta petrol biasa parkir di depan tempat mengecas. Bukan di dalam petak, tetapi ia tetap menghalang penulis dari memasuki tempat mengecas.

Terpaksalah penulis membunyikan satu hon pendek mesra di situ. Dia malu atau marah, penulis tak mahu ambil tahu.

EV lebih jimat berbanding petrol?

Ini satu topik yang luas, sebenarnya perlukan satu artikel lain untuk dikupas. Tetapi untuk pendekkan cerita, boleh jadi jimat dan tidak jimat berbanding petrol.

Paling penting ialah, untuk hari ini, April 2023, mentaliti pemilikan EV di Malaysia ialah, “Aku beli untuk cuba teknologi baharu, untuk memahami dan mempelajarai mobiliti elektrik, dan untuk mengurangkan pelepasan karbon ke alam sekitar.”

Bukan untuk jimat belanja petrol ya. Dan penulis ingin tekankan, mentaliti ini akan berubah bergantung kepada rangkaian pengecasan di negara ini, harga purata model-model EV, dan jarak pemanduan yang ditawarkan.

Pemanduan premium, rupa unik

Secara keseluruhan, C40 Recharge EV masih sebuah kenderaan yang selesa dan nyaman dipandu, seperti model-model Volvo lain. Ianya diasaskan dari XC40 iaitu SUV kompak mereka yang cukup popular, tetapi C40 hanya hadir sebagai model EV, dan tidak ditawarkan dengan pilihan petrol atau PHEV.

C40 menampilkan rekaan lebih sporti dengan rupa SUV coupe. Walaupun harganya RM288,888 iaitu sedikit lebih mahal berbanding XC40 EV (RM278,888), C40 sebenarnya mempunyai saiz kabin lebih kecil sedikit, tetapi itulah pengorbanan yang perlu kita bayar untuk rupa yang lebih unik, bukan?

Volvo XC40 masih sebuah SUV yang sangat segak di mata penulis, tetapi C40 jauh lebih ‘segar’. Dengan lampu depan yang lebih sepet, panel gril flat yang menunjukkan ia sebuah EV, bumbung yang menurun ke belakang lebih sporti, spoiler bumbung dan spoiler di hujung but, serta rekaan lampu belakang berbeza yang cukup cantik, membuatkan ia mudah menjadi perhatian orang.

Semasa mengecas, orang merenung C40 ini kerana melihat kenderaan EV sedang dicas bukanlah suatu pandangan yang begitu biasa lebih-lebih lagi di Pantai Timur buat masa ini. Semasa dipandu perlahan di kawasan perumahan dan kampung juga orang cenderung memandang ke gril depan untuk mengenalpasti kereta apa yang mereka sedang lihat.

Mujurlah penulis pandu C40 dengan warna Crystal White yang dikira agak biasa. Jika penulis dapat unit dengan warna Thunder Grey atau Sage Green, mungkin lebih menyerlah.

Khas untuk Volvo C40 Recharge EV ialah kemasan topografi di papan pemuka yang begitu cantik, lebih-lebih lagi bila menyala di waktu malam. Ia hanya panel plastik keras, tetapi rupa dan rasa padanya cukup unik, tak pernah penulis lihat di kereta lain.

Ini sedikit sebanyak menunjukkan pereka Volvo kreatif dan membezakan kemasan kabin kenderaan mereka yang kelihatan hampir sama. Ia tidak membosankan, tetapi tidak seperti terlalu menunjuk.

Kualiti pemanduan Volvo C40 Recharge EV ini juga berada di tahap yang tinggi. Ia disumbangkan oleh gabungan seperti tempat duduk selesa, pendingin hawa nyaman CleanZone dengan sistem penapis udara PM2.5, dan sistem audio Harman Kardon 600W.

Ditambah pula dengan segala butang kawalan yang sedap dipegang dan digunakan, stereng dengan berat yang secukup rasa, semuanya membuatkan pemanduan jauh langsung tidak memenatkan.

Cuma anda jangan harapkan pemanduan sporti dari C40 ini, kerana rata-rata kenderaan Volvo bukan direka untuk mengejar catatan masa di litar atau mengacah Volkswagen Golf GTi. Ia cuma menawarkan pemanduan selesa, laju jika anda mahu, dan tetap terkawal.

Saya akan beli satu?

Soalan bonus, adakah penulis akan beli sebuah Volvo C40? Jika mampu, tetapi hanya ada dua kereta di rumah, mungkin penulis tak akan jadikan ia kereta kedua. Tetapi jika garaj lebih besar dan mampu memuatkan empat kereta, mungkin penulis akan ‘sumbat’ C40 ini.

Akhir sekali, sebagai menjawab semula tajuk artikel ini, ya, boleh pandu kenderaan EV untuk balik kampung, asalkan anda rajin merancang. Tiada perjalanan tiba-tiba di saat akhir.

Adakah penulis akan lakukannya lagi? Mungkin tidak untuk Raya Haji tahun ini. Tetapi untuk Raya tahun depan, mungkin ya. Kerana dapat dilihat semakin banyak lokasi pusat pengecasan sedang dalam pembinaan dan akan ditambah.

Spesifikasi Volvo C40 Recharge Pure Electric

Harga: RM288,888
Bateri: 400 volt, 78kWh
Sokongan pengecasan: Sehingga 150kW
Kuasa: 402hp
Tork: 660Nm

Mazda Vision Study Concept – Adakah kamu MX-5 generasi baharu?

MAZDA mengemaskini agenda mereka dengan membentangkan perancangan ke arah elektrifikasi untuk beberapa tahun akan datang. Ini mirip dengan hala tuju pengeluar-pengeluar lain, tetapi ada sesuatu yang menarik perhatian di sini.

Walaupun tidak disebut dalam siaran media, terdapat satu video menunjukkan sebuah coupe sports misteri. Apakah ia? Sebuah “Vision Study Model” buat masa ini.

Dalam video berdurasi 36 minit di saluran Youtube rasmi Mazda Japan, Presiden dan CEO iaitu Akira Marumoto berkata mengenai langkah-langkah jenama itu untuk karbon sifar menjelang 2050.

Lima minit terakhir menampilkan “visi Mazda untuk masa depan”, dan benda pertama anda akan lihat ialah MX-5 ND. Model-model MX-5 generasi sebelumnya juga membuat penampilan sebelum sebuah coupe berwarna putih muncul.

Ia mungkin gambaran awal MX-5 generasi kelima, atau mungkin kami salah. Tapi bagaimana jika ia memang MX-5 generasi baharu?

Model coupe itu menampilkan bumbung keras dan bukan bumbung convertible lembut seperti biasa. Tetapi model MX-5 hardtop bukanlah benda baharu, generasi NB sebelum ini pernah dihasilkan dalam versi sebegini di Jepun, hanya 179 unit pernah dibina.

Kemudian konsep coupe dalam video itu juga memaparkan pintu butterfly, tetapi sudah tentu versi produksi tidak akan menggunakan pintu sebegini.

Selain itu, ia memang mempunyai bentuk sebuah kenderaan pacuan roda-belakang melihatkan kepada bonet depan yang panjang dan di belakang yang pendek.

Pengeluar Jepun ini pernah ‘berjanji’ untuk memastikan formula RWD dan ICE (enjin pembakaran dalaman) dikekalkan untuk Miata generasi akan datang. Walaubagaimanapun, sedikit elektrifikasi mungkin dimasukkan untuk menepati piawaian emisi yang semakin ketat.

Ia juga sesuai sebagai ‘persediaan’ sebelum MX-5 menjadi model EV sepenuhnya jika perlu.

VW Arteon R-Line lebih baik dari BMW 3-Series? – Pandu uji

BILA berkata mengenai sedan premium, kita tidak akan dapat lari dari terfikirkan tiga jenama Jerman – Audi, BMW dan Mercedes-Benz. Namun, ada satu lagi jenama Jerman yang juga mantap, tetapi kita mungkin terlepas pandang; Volkswagen.

Volkswagen Arteon menawarkan prestij sebuah sedan premium tetapi dengan gaya lebih sporti jika dilihat dari penampilan fastback padanya, sama seperti Audi A5.

Eh memang kedua-dua kereta ni adik-beradik pun, Arteon dan A5 mempunyai platform mekanikal yang sama, cuma rupa luaran dan penampilan sahaja sedikit berbeza.

Jadi Arteon kini dengan pakej R-Line membawakan rupa lebih sporti antaranya kemasan serba hitam pada beberapa bahagian badan, lencana R-Line, dan juga spoiler kecil pada butnya.

Untuk siapa Volkswagen Arteon ini? Ia untuk mereka yang mahukan sedan-coupe dari Jerman, tetapi tidak mahu membayar harga Audi/BMW/Mercedes, Arteon merupakan sebuah produk berkualiti, sesuai untuk mereka yang tidak mementingkan jenama, tetapi mempunyai nilai yang baik.

Arteon R-Line mempunyai rupa yang kemas dan segak, susah untuk kita mencari perkara yang tidak berapa elok mengenai penampilannya. Lampu depan dengan DRL LED yang mempunyai garisan hingga ke dalam gril pastinya membuatkan anda ke tepi jika melihatnya di cermin pandang belakang.

Dari prestasi, sememangnya tiada rungutan. Enjin 2.0-liter turbo TSI menghasilkan 276hp dan 350Nm tork, lebih dari mencukupi untuk semua keadaan.

Enjin ini dipadankan dengan kotak gear DSG 7-kelajuan dan lebih menarik lagi, kuasa disalurkan melalui sistem 4Motion iaitu sistem pacuan semua-roda. Ini pastinya memberikan keyakinan dalam semua situasi pemanduan dan memerlukan teknik khas untuk menjinakkannya di selekoh.

Jemput tonton ulasan Abang Syamsul kita mengenai pemanduan Volkswagen Arteon R-Line ini.

Spesifikasi Volkswagen Arteon R-Line

Harga: RM248,692.97
Enjin: 2.0-liter turbo 4-silinder TSI
Kotak gear: Automatik DSG 7-kelajuan
Kuasa: 276hp @ 5,100rpm
Tork: 350Nm @ 1,700rpm
Pecutan 0-100km/j: 5.6 saat

Jaguar XJ Coupe muncul semula selepas 40 tahun, kali ini oleh Carlex Design

DIPERKENALKAN buat pertama kali pada 1975, Jaguar XJ Coupe atau nama ringkasnya XJ-C bukanlah calang-calang model dari pengeluar kereta British itu.

Reka bentuknya yang memukau terbukti popular di kalangan pembeli ketika apabila lebih 10,000 unit berjaya dijual dalam masa hanya tiga tahun.

Kini, setelah lebih 40 tahun sejak pengeluarannya dihentikan, XJ-C muncul kembali sebagai projek restomod terbaharu syarikat kustom terkenal dari Poland iaitu Carlex Design.

Ia merupakan model pertama yang akan dilancarkan dalam barisan Carlex Jewel, yang mana fokus utamanya adalah untuk memodenkan kereta klasik.

Ya, XJ-C restomod ini sememangnya kelihatan moden namun ia juga tampil sporti dan agresif, terutamanya dengan rekaan lampu ala turbin, gerbang roda lebar, rim jenis deep dish dan diffuser yang menempatkan sepasang muncung ekzos berkembar. Sudah tentu, hanya satu warna yang sesuai untuk kereta ini iaitu British Green.

Mengekalkan imej elegan yang ditampilkannya, ruang dalaman sedan dua pintu ini didominasi oleh upholsteri kulit mewah berwarna coklat dan kemasan kayu ala mahogani pada stereng dan papan pemuka.

Secara keseluruhannya, kokpit XJ-C ini kelihatan begitu kemas dan ringkas tanpa kehadiran elemen-elemen moden seperti skrin sentuh dan kluster instrumen digital.

Jika XJ-C yang asal boleh didapati dengan enjin 4.2-liter enam silinder sebaris dan 5.3-liter V12, versi restomod ini didatangkan dengan enjin V8 yang menghasilkan 400hp.

Carlex tidak mendedahkan dari mana enjin ini diperolehi, namun apa yang pasti kuasanya disalurkan ke roda belakang.

Di samping itu, Carlex turut menggunakan sistem brek dan suspensi moden, serta meletakkan rollbar di belakang bagi membantu meningkatkan ketegaran casis. Syarikat itu mendakwa kereta ini cukup selesa untuk digunakan sebagai kereta harian.

Buat masa ini, maklumat mengenai jumlah yang akan dihasilkan dan harga tidak tersedia. Namun memandangkan ia edisi restomod yang eksklusif, jumlahnya pasti terhad dan harganya pula sudah tentu tidak murah.

Mercedes SL 2022 serba baharu dilancarkan secara global, varian AMG sahaja, hingga 577hp

DENGAN sejarah sehingga 70 tahun, Mercedes SL-Class menjadi nama model paling lama untuk jenama Three-Pointed Star itu.

Kini, Mercedes memperkenalkan generasi terbaharu untuk roadster mewah ini dengan beberapa perubahan penting. Generasi R232 ini bukan lagi model Benz, tetapi hadir sebagai model AMG sahaja.

Ia kekal menggunakan konfigurasi roadster mewah dengan tempat duduk 2+2, tetapi kini menggunakan bumbung fabrik menjadikannya 21kg lebih ringan. Tiada lagi bumbung besi lipat seperti sebelum ini.

Dari segi rupa, Mercedes SL 2022 mendapat gril Panamericana yang garang dengan sirip menegak, diapit oleh sepasang lampu depan LED tajam seperti CLS.

Bahagian sisi kini lebih kemas dengan pemegang pintu elektronik jenis pop-up seperti pada S-Class terbaharu. Dengan menggunakan bumbung fabrik lebih ringan, secara langsung titik graviti SL ini lebih rendah, menjadikannya lebih dinamik untuk dipandu.

Di bahagian belakang, identiti AMG dapat dilihat dari ekzos quad dan diffuser besar. Spoiler belakang pula diintegrasi dengan but dan akan dinaikkan mengikut mod dan situasi pemanduan.

Untuk lebih aerodinamik, terdapat pilihan Aerodynamic Package yang hadir dengan dengan bampar, underbody dan diffuser lebih agresif.

Buat masa ini, Mercedes SL boleh didapati dengan varian SL55 dan SL63. Kedua-dua varian menggunakan enjin 4.0-liter V8 twin-turbo dimana SL55 menjana 469hp dan 700Nm tork, manakala SL63 menghamburkan sehingga 577hp dan 800Nm tork.

Output disalurkan melalui kotak gear automatik 9-kelajuan dengan buat pertama kali, SL dilengkapi dengan 4Matic+, menjadikannya jentera all-wheel drive.

Ciri lain adalah rear-wheel steering untuk belokan lebih tajam serta LSD elektronik untuk kestabilan apabila memecut keluar selekoh.

Bahagian kabin SL ini kekal sporti dan padat dengan teknologi terkini. Ini merangkumi tempat duduk AMG, stereng AMG, skrin besar 11.9-inci di tengah, paparan instrumen 12.3-inci, pemanas Airscarf, dan sistem MBUX terkini.

BMW 700 Coupe yang rare dan ikonik ini sedang dipamerkan di Regas Premium Auto, Kuching

Sebuah kereta klasik istimewa BMW 700 Coupe kini sedang dipamerkan di Regas Premium Auto, iaitu bilik pameran BMW di Kuching, Sarawak. Ia dipamerkan di sudut Heritage di bilik pameran flagship itu.

Apa yang menarik mengenai BMW 700 Coupe ini? Menurut Gavin Tay, Prinsipal Pengedar di Regas Premium Auto Kuching, “BMW 700 Coupe merupakan jentera BMW yang pertama menampilkan struktur monocoque, dan ia telah membantu BMW keluar daripada kancah kemuflisan pada tahun 1959.

“Malah, model ini juga telah membina sebuah legasi dalam dunia automotif bagi kenderaan kecil, sporti dan bertaraf premium yang masih digemari oleh ramai peminat BMW, walaupun 50 tahun sudah berlalu sejak keluaran terakhirnya.”

BMW 700 merupakan legasi Wolfgang Denzel, iaitu seorang jurutera automotif dan wakil pengedar bagi jenama ini di Austria.

Denzel telah bekerjasama dengan pereka berbangsa Itali, Giovanni Michelotti untuk merekabentuk konsep kenderaan tersebut berdasarkan casis jentera BMW 600 pada waktu itu.

Berbekalkan casis dan suspensi BMW 600 yang telah mantap penggunaannya, termasuk transmisi empat kelajuan ‘all-synchromesh’, diferential gear serong, unit kuasa berkembar – yang pada asalnya digunakan pada motosikal BMW, kemudian telah ditingkatkan saiznya daripada 600cc kepada 700cc.

Model konsep ini telah diluluskan pada Oktober 1958, dan ia telah menjurus kepada pengeluaran varian Coupé dan Sedan oleh BMW.

Pada 9 Jun 1959, Lembaga Pengurusan BMW yang dipimpin oleh Ketua Eksekutif Dr. Heinrich Richter-Brohm telah melancarkan BMW 700 Coupé yang baharu kepada orang ramai di Feldafing, Munich.

Ketibaannya telah diraikan di serata dunia kerana ia mampu mengekalkan tahap kelajuan dan pecutan yang tertinggi seperti model yang terdahulu – malah ia juga mampu melakukannya dengan ruang yang lebih besar tanpa berat berlebihan.

Pengeluar kenderaan premium ini berjaya menyerahkan lebih daripada 35,000 kenderaan pada tahun 1960, dan BMW 700 mencakupi 58 peratus daripada seluruh pendapatan jenama ini. Penyerahan jentera BMW 700 telah mencecah 190,000 unit menjelang akhir tahun 1965.

Meskipun hanya dikeluarkan selama enam tahun, jentera rare dan unik ini memperoleh status ikonik yang berkekalan dalam sejarah BMW Group, dan ia masih menambat hati ramai peminat jenama Bavaria itu hingga hari ini.

Jika anda tinggal di Kuching dan kawasan berdekatan, bolehlah melihat BMW ikonik ini di Regas Premium Auto.

Layari https://www.bmw-regas.com.my/ atau hubungi 082-467777 untuk mendapati butiran mengenai waktu kunjungan bagi seksyen Heritage ini dan membuat temujanji.

Mercedes E300 Coupe facelift tiba di Malaysia – kit AMG, 258hp, RM495k

SELEPAS memperkenalkan Mercedes E-Class facelift dua minggu lepas, kini versi coupe pula menyusul. Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini mendedahkan E300 Coupe, dengan satu pilhan varian iaitu AMG Line dan berharga RM495,071 (termasuk pengecualian cukai).

Pembaharuan facelift ini paling ketara di bahagian luar, dimana ia menampilkan gril radiator trapezoidal baharu dengan perumah hitam (sebelum ini krom). E300 AMG Line juga dilengkapi lampu LED Multibeam dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, dan rim aloi AMG 19-inci.

Kabinnya pula didatangkan dengan roda stereng baharu dibaluti kulti Nappa serta paparan dwi-skrin 12.3-inci dengan sistem MBUX, Apple CarPlay dan Android Auto. Kemasan kulit juga diberikan pada tempat duduk, papan pemuka dan panel pintu.

Trim kayu menggantikan Black Ash Wood menggantikan Piano Black sebelum ini. Ciri lain terdiri dari sistem pencahayaan kabin 64 warna, sistem audio Burmester, bumbung suria panoramik gelungsur, tirai belakang berkuasa, dan pengecaj tanpa wayar.

Tiada perubahan pada enjin, dimana E300 Coupe AMG Line 2021 mengekalkan unit M264 2.0-liter turbo 4-silinder. Ia menjana 258hp (pada 5,500 hingga 6,100rpm) dan 370Nm tork (dari 1,800 hingga 4,000rpm), dihantar ke roda belakang melalui kotak gear automatik 9G-Tronic 9-kelajuan.

Ini membolehkan Mercedes E300 Coupe memecut ke 100km/j dalam 6.4 saat, manakala kelajuan maksima dihadkan pada 250km/j.

E300 juga dilengkapi dengan suspensi Agility Control yang menjadikannya 15mm lebih rendah, serta Dynamic Select dengan mod Comfort, ECO, Sport, Sport+ dan Individual.

Ciri keselamatan pula terdiri dari Driving Assistance yang merangkumi Active Distance Assist Distronic, Active Steering Assist, Active Brake Assist, Evasive Steering Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Blind Spot Assist dan Pre-Safe Plus.

Mercedes E300 Coupe AMG Line ditawarkan dengan sembilan warna – Polar White, Obsidian Black, Rubellite Red, Graphite Grey, Mojave Silver, Brilliant Blue, High-tech Silver, Emerald Green dan Selenite Grey.

Supercar berharga bawah RM50,000 di pasaran Malaysia! Ada ke?

KERETA jenis supercar tidak dinafikan amat terkenal dengan ‘statusnya’ yang mewah, eksklusif, berkuasa tinggi dan pelbagai lagi ciri sophisticated.

Bagaimanapun, seperti yang diketahui harga supercar bukan ‘kaleng-kaleng’ menyebabkan ramai tidak mampu memilikinya.

Namun, tahukah anda masih terdapat supercar yang berharga mampu milik?

Tak percaya? Jom check it out!

Senarai supercar di bawah RM50,000

Berikut merupakan antara kereta jenis supercar yang berharga kurang RM50,000 yang boleh didapati di pasaran Malaysia.

Mitsubishi Airtrek

Mitsubishi Airtrek diketahui sebagai salah sebuah kereta mempunyai kelajuan memukau.

Menggunakan enjin 4G63, ia dilengkapi 240 kuasa kuda dan 343 tork!

Berapakah harga Airtrek di pasaran ketika ini?

Jangan terkejut! Harga bagi sebuah Airtrek boleh didapati bermula RM33,999.

Fiat Coupe Turbo

Mempunyai kapasiti enjin dua liter, Fiat Coupe Turbo dilengkapi enjin family 20V turbo 15 yang mana ia mampu menghasilkan 217 kuasa kuda 310 tork.

Fiat Coupe Turbo boleh didapati pada harga sekitar RM36,000 sahaja!

Toyota Altezza RS200

Nama Altezza bukan asing bagi kebanyakan peminat kereta negara ini.

Altezza mempunyai 200 kuasa kuda dan 216 tork.

Bagi sebuah Altezza second hand dan standard, ia dijual bermula pada harga RM37,000.

Toyota Caldina GT4

Sebut nama Caldina GT4, ramai masih ‘menggilai’ model ini.

Caldina GT4 bukan sahaja mempunyai kuasa memukau tetapi reka bentuknya yang ‘seksi’ membuatkan anda tak dapat tidur malam.

Antara kelebihan Caldina GT4 adalah enjinya yang boleh menghasilkan 260 kuasa kuda dan  324 tork!

Berapakah harganya? Cukup kalau anda hanya ada RM38,000!

Subaru Forester XT AWD

Subaru Forester XT AWD dikeluarkan bermula pada tahun 2009 hingga 2013.

Kereta ini menggunakan enjin 2.5 liter yang dinamakan sebagai EJ25 Turbo H4.

Kuasa kuda yang mampu dihasilkan adalah 227 dengan 320 tork.

Harganya bermula RM39,333.

Audi TT 1.8 Coupe

Okey Audi TT 1.8 Coupe memang ‘merecik’ habis!

Ia memiliki reka bentuk menarik selain enjin berkuasa tinggi.

Dikeluarkan pada tahun 2000 sehingga 2006, kereta ini mempunyai  225 kuasa kuda dan 280 tork!

Harga bagi Audi TT1.8 Coupe generasi pertama bermula RM43,200 sahaja!

Toyota Celica 1.8 VVTI L

Enjin terdapat pada Celica 1.8 VVTI L adalah 2ZZ GE14.

Mempunyai lima kelajuan transmisi manual, ia mampu menghasilkan 180 kuasa kuda dan 180 tork.

Harga yang boleh anda dapati di pasaran terkini negara ini bermula RM43,999.

Nissan Fairlady 350Z

Fairlady 350Z menggunakan enjin VQ35DE. Ia merupakan antara enjin terbesar di kalangan supercar yang disenaraikan di atas.

Model ini boleh menghasilkan 283 kuasa kuda dengan  352 tork. Laju ke tak guys?

Sebuah Fairlady 350Z keluaran 2002 sehingga 2003, harganya bermula pada RM44,999 sahaja.

Itu antara lapan kereta supercar yang boleh didapati pada harga RM50,000 ke bawah.

Jika anda mempunyai maklumat lain mengenai kereta supercar mampu milik, jangan segan untuk kongsikan di platform media sosial EnGear.

Oh ya! Jemput tengok video di bawah bersama Bro Adi untuk lebih fakta mengenai kereta supercar bawah RM50,000!!!

BMW218i Gran Coupe kereta mewah mampu milik

SEBUT nama BMW218i Gran Coupe ramai yang menganggap ia antara salah satu model termahal syarikat pengeluar asal Jerman itu.

Namun, jangan terkejut ia tidak semahal disangka.

Setakat artikel ini ditulis, BMW218i Gran Coupe bernilai sekitar RM211,367 sekaligus menjadikan ia antara model kenderaan mewah mampu milik.

Persoalannya, mengapa harganya tidak terlalu mahal berbanding model kereta mewah lain?

Apa keistimewaan yang ada pada BMW ini?

Reka bentuk unik

Tidak sah review sesebuah kenderaan jika gagal menilai aspek reka bentuk.

Model ini mempunyai keunikan tersendiri yang mana ia didatangkan dengan frameless doors.

Walau berkonsepkan coupe yang kebiasaan memiliki dua pintu tetapi bagi model ini ia mempunyai empat pintu!

Kidney grill terdapat pada model ini juga menampakkan rekaan lebih ‘seksi’ dan agresif.

Di samping itu, lampu diod pemancar cahaya (LED) yang ada pada BMW218i Gran Coupe ini juga amat menawan!

Antara bahagian kereta ini paling digemari penulis adalah reka bentuk belakangnya yang mempunyai elemen geometry.

Tayar yang didatangkan dengan size 18 inci juga agak cantik walau ia kelihatan sedikit kecil kerana reka bentuk kereta ini.

Rekaan dalaman

BMW ini tidak ketinggalan dengan rekaan dalaman yang cantik.

Butang yang ada sangat praktikal dan mudah dicapai bagi tujuan navigasi.

Bagaimanapun, ruangan dalaman model ini tidak seluas kenderaan sedan BMW yang lain.

Ia mungkin sedikit sempit bagi individu yang tinggi dan lebih selesa jika hanya dua penumpang di tempat duduk belakang.

Prestasi memukau

Memilki sistem pacuan roda bahagian depan nampaknya ia tidaklah mengecewakan.

Paling kagum kenderaan ini bukan sahaja stabil pada kelajuan tinggi malah cukup ‘sedap’ ketika mengambil selekoh.

BMW218i Gran Coupe memiliki enjin 1.5 turbo 3 silinder.

Kuasa yang dihasilkan pula adalah 140hp dan 220nm tork.

Enjin kereta ini dipadankan dengan 7 kelajuan dual-clutch transmission. 

Apa yang paling hebat, model ini mampu mencapai kelajuan 0-100km/h hanya dalam 8.7 saat.

Kesimpulannya, jika anda ingin miliki kereta BMW yang praktikal, model ini adalah jawapannya.

[thb_image_slider thb_equal_height=”true” images=”472307,472306,472301,472300,472293,472291,472292″]