Arkib Tag: Continental

Tayar Continental MaxContact MC7 kini di Malaysia

CONTINENTAL Tyres baru-baru ini melancarkan tayar MaxContact MC7 ke pasaran Malaysia. Tayar berprestasi tinggi ini direka khusus untuk kawasan bandar serta disesuaikan untuk memenuhi keperluan pemandu di Asia Pasifik (APAC).

Tolga Mutlu, Ketua Pengurusan Produk, Continental Replacement Tyres APAC berkata, MaxContact MC7 dibangunkan dan diuji oleh pasukan terdiri daripada 25 jurutera dan pakar bahan, melibatkan lebih 8,000 jam dalam penyelidikan dan pembangunan.

Menurut syarikat itu, tayar MaxContact MC7 memberikan pengendalian yang stabil ketika mengambil selekoh lebih tajam menerusi pengoptimuman pengagihan tekanan dalam tayar.

Ini dicapai dengan memaksimumkan kawasan sentuhan dengan jalan untuk mencipta jejak yang lebih luas dengan Cornering Macroblocks, sekali gus mengagihkan semula daya untuk pemanduan yang lebih terkawal dan stabil.

Kompaun ReFlex MaxContact MC7 juga menghasilkan rintangan yang lebih tinggi terhadap ubah bentuk tayar (tyre deformation) serta membawa kepada tindak balas dan ketepatan yang lebih baik.

Direka bentuk untuk memastikan keselamatan walaupun semasa musim hujan yang kerap di APAC, termasuk Malaysia, MaxContact MC7 mempunyai tahap cengkaman yang lebih tinggi serta jarak membrek yang lebih pendek untuk memastikan pemanduan yang stabil dan selamat.

3D Laser-cut Sipes meningkatkan cengkaman dan brek dalam keadaan basah, mengurangkan risiko penyatahan air (aquaplaning) dengan menolak keluar air melalui alur tayar dengan cepat.

Teknologi silika dalam sebatian ReFlex meningkatkan pemindahan tenaga kinetik kepada haba apabila membrek, sekali gus membawa kepada jarak membrek yang lebih pendek di jalan kering dan juga basah.

Two-in-1 Noise Breaker 3.0 yang telah dinaik taraf memecahkan gelombang bunyi, mencegah bunyi daripada terkumpul dan masuk ke dalam kabin kereta.

Menurut Continental, pengguna tayar maxContact MC7 boleh menikmati pemanduan yang lebih senyap walaupun memandu kereta sport.

Tayar MaxContact MC7 boleh didapati dalam saiz antara 16 hingga 21 inci, dan tersedia untuk pembelian di seluruh pasaran APAC mulai suku pertama 2024.

Beli tayar Continental musim Hari Raya ini, dapat kredit Touch ‘n Go e-Wallet sehingga RM200

DENGAN Hari Raya semakin berdekatan, Continental Tyres Malaysia menawarkan promosi istimewa untuk anda yang mencari tayar baharu.

Continental Tyres menawarkan sehingga RM200 dalam bentuk kredit Touch ‘n Go e-wallet bagi pembelian tayar daripada jenama terpilih Continental, Dunlop, dan Viking di seluruh negara.

Pelanggan akan layak secara automatik untuk menikmati promosi eksklusif Hari Raya dengan mendaftar Total Confidence Plan (TCP) melalui aplikasi Conti TCP.

Memandangkan tawaran istimewa ini diberikan kepada pelanggan baharu serta sedia ada sepanjang tempoh Ramadan dan Aidilfitri, kredit Touch ‘n Go e-wallet tersebut hanya akan diterima oleh pelanggan selepas proses pengesahan dan status penebusan.

TCP ialah suatu pelan yang menawarkan jaminan tambahan serta pakej komprehensif yang membolehkan pelanggan mendapatkan penggantian tayar satu untuk satu sekiranya berlaku kerosakan tayar berpunca daripada keadaan jalan yang tidak dijangka dalam tempoh satu tahun selepas pembelian.

Pengguna Continental, Dunlop, dan Viking boleh mendaftar dan memfailkan tuntutan waranti pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja melalui aplikasi Conti TCP yang tersedia di Apple App Store dan Google Play Store.

Tawaran ini sah dari 15 Mac hingga 30 April, dengan pembelian minimum dua tayar Continental dari 15-inci dan ke atas, atau dua tayar Dunlop dan Viking dari 17-inci dan ke atas.

Khas untuk kereta penumpang, SUV, MPV dan 4×4 daripada mana-mana peniaga yang mengambil bahagian di seluruh negara atau di Shopee dan Lazada rasmi Continental, kedai e-dagang untuk menebus kredit Touch ‘n Go e-wallet sehingga RM200.

Continental lancar tayar SportContact 7 di Malaysia, ada saiz 18 hingga 23 inci

CONTINENTAL Tyres baru-baru ini melancarkan tayar prestasi Ultra Ultra High Performance (UUHP) iaitu SportContact 7 ke pasaran tempatan.

Ia dibangunkan untuk memberi keyakinan kepada pemandu kereta sport ketika beraksi di jalan raya atau litar.

Boleh didapati dalam saiz dari 18 hingga 23 inci, tayar Continental SportContact 7 menampilkan corak adaptif yang dinaik taraf untuk memberikan cengkaman tambahan di atas permukaan asfalt.

Ia juga mempunyai ciri Force Clustering dan kompan ultra lekit BlackChili yang dikatakan dapat memberikan tahap kepuasan pemanduan yang lebih tinggi.

Bukan itu sahaja, tayar SportContact 7 mampu menawarkan cengkaman yang luar biasa di atas permukaan basah semasa membrek atau memecut, selain mengelakkan aquaplaning mikro ketika membelok.

Apa yang menarik, SportContact 7 merupakan tayar Continental pertama yang diperbuat secara khusus untuk setiap kelas dan berat kenderaan.

Ini selaras dengan matlamat akhir tayar ini iaitu untuk memberikan rasa sporty dan prestasi, serta kepuasan memandu, tanpa mengira apa jua kereta yang anda pandu.

Tayar SportContact 7 telah menerima pengiktirafan daripada beberapa pakar penilaian tayar pihak ketiga di Eropah termasuk Evo, AutoBild, Sport Auto, AutoExpress, WhatTyre, and Tyre Reviews.

Untuk maklumat lanjut mengenai tayar SportContact 7, kunjungi wakil pengedar Continental yang terdekat atau layari www.continental-tyres.com.my.

Continental tawar waranti tambahan dan ganjaran sehingga RM200

Sempena musim perayaan serta sambutan ulang tahunnya yang ke-60 sebagai pengeluar tayar pertama di Malaysia, Continental Tyre Malaysia telah melancarkan program waranti tambahan yang dikenali sebagai Total Confidence Plan (TCP).

TCP terdiri daripada perlindungan bahaya jalan raya untuk 12 bulan pertama, penggantian tayar 1 kepada 1, dan aplikasi mudah alih yang boleh digunakan dengan mudah sebagai saluran penyelesaian dan tuntutan sehenti. Ia disertai oleh lebih 100 pengedar di seluruh negara, sekaligus menambahkan lagi keyakinan pelanggan.

“Program TCP Continental adalah berkekalan, dan kami berharap para pengguna dan pemandu kami akan mengambil peluang ini untuk mendaftar bagi mendapatkan perlindungan tambahan dan ketenangan minda,” kata pengarah urusan Continental Tyre Malaysia, Andrea Somorova.

Sebagai sebuah penyelesaian digital yang mudah untuk para pemandu yang sentiasa sibuk, Total Confidence Plan ini boleh diakses di hujung jari mereka di mana pemandu boleh mendaftar dan memfailkan tuntutan pada bila-bila masa, tidak kira di mana sahaja.

Pertama sekali, pemandu perlu memuat turun aplikasi Conti TCP yang boleh didapati di Apple App Store atau Google Play Store dan mereka hanya perlu mendaftar butiran peribadi dan memuat naik invois rasmi.

Semasa pendaftaran tayar dalam aplikasi tersebut, pemandu dikehendaki mengimbas kod bar pada dinding tepi bahagian bawah tayar sebelum pemasangan.

Selepas mereka menerima waranti semasa dan tempoh tawaran, ia bermakna pendaftaran itu telah lengkap, dan pemandu boleh menikmati 12 bulan pertama Total Confidence Plan dengan Continental.

Sempena dengan pelancaran ini, pemandu yang membeli minimum dua unit tayar Continental di mana-mana pengedar yang mengambil bahagian di seluruh negara atau di kedai Shopee rasmi Continental layak menebus baucar e-dompet Touch n’ Go melalui aplikasi Conti TCP. Promosi ini sah sehingga 30 Jun.

Continental ComfortContact CC7 kini di Malaysia, dari saiz 13 hingga 16 inci

SUSULAN pelancaran UltraContact UC7 pada Ogos 2022, Continental Tyres kini memperkenalkan produk terbaharu dalam tayar generasi ketujuh mereka, ComfortContact CC7.

Tayar ComfortContact CC7 ini memberi penekanan kepada keselesaan, menampilkan teknologi Comfort+ yang merangkumi tiga ciri utama ZEN – Zero Shock Pattern, Everflex Compound, dan Noise Muter.

Menurut penyelidikan yang dilakukan oleh Continental, tayar menyumbang kira-kira 50 peratus daripada kebisingan yang dihasilkan ketika memandu.

Ketua R&D Continental Asia Pasifik, Bob Liu menjelaskan, “Apabila bergerak pada kelajuan yang lebih tinggi terutamanya, bunyi tayar yang bersentuhan dengan permukaan jalan dan angin bergelora meningkat dan menjadi lebih ketara.

“Bunyi bising daripada tayar turut menjadi faktor yang sangat penting untuk kenderaan elektrik yang mana sistem pemanduannya hampir tidak mengeluarkan bunyi.

“Untuk kedua-dua kenderaan ICE konvensional dan elektrik, ini bermakna pemilihan tayar yang selesa adalah penting kerana ia boleh menambah baik akustik di dalam kabin secara signifikan,” tambahnya.

ComfortContact CC7 boleh didapati dalam pelbagai saiz dari 13- hingga 16-inci. Untuk maklumat lanjut, layari www.continental-tyres.com.my.

Kereta ‘rare’ RM5,000 – Ada Mercedes, Citroen, Daihatsu, kisah sedih pun ada!

KALI ini, Tenyeh Enterprise ditugaskan mencari kereta ‘rare’ bawah RM5,000. Tetapi maksud ‘rare’ itu sendiri cukup luas, boleh jadi kerana kereta susah dijumpai, atau keadaannya yang agak unik. Mercedes, Citroen, BMW semua ada, malah kisah sedih pun ada.

1. Volkswagen Beetle (RM3,800)

Aduh, yang pertama ni dah la bumbung kena potong. Macam mana ni ye? Katanya ‘project car’. Ya betul, California style mungkin, tiada bumbung langsung.

Tapi tak berguna juga. Abang Syamsul pun pening. Jadikan alat ganti? Setidak-tidaknya biar lah cukup, tapi ni bumbung pun tiada. Nasib baik pintu ada lagi. Timbang kati je lah kot?

2. Mini Clubman (RM3,800)

Yang ini pula, kami tak tahu enjin masih hidup atau tidak. Kalau ada geran, kira ok lah. Kalau tiada geran dan semata-mata untuk alat ganti, hm kasi tenyeh…

3. Volvo 244 2.3GL (RM2,200)

Volvo 244 dengan harga ini, seeloknya biarlah boleh dipandu. Katanya working and driving conditions.

Tapi jika dilihat pada badannya dengan cat terkopak sana-sini, entahlah. Macam banyak juga kena ‘bikin’.

4. Mazda 323 (RM3,500)

Nampak gaya macam dimiliki oleh peminat kereta. Hud depan tu macam, “wow, ada turbo.” Unik, kalau minat version turbo memang menarik. Enjin tak tahu macam mana, tengok dalam macam tak teruk sangat.

5. Mitsubishi Galant (RM2,600)

Sebenarnya Mitubishi yang orang simpan ialah Lancer. Tapi kalau minat juga model Mitsubishi kereta eksekutif, ok juga yang ini. Tahun 1995, full sticker job katanya. Mungkin dia ‘balut’ kereta dengan pelekat sebagai alternatif untuk cat.

Aircond ada, boleh tukar nama, bagus. Boleh tenyeh sikit lagi kata Abang Syamsul.

6. Citroen Xantia (RM5,000)

Keunikan Citroen model ini ialah suspensi menggunakan hydro-pneumatic. Ia boleh melaras ketinggian kereta, jadi pemanduannya memang lazat.

Tapi bila dia ‘koyak’, dengan anda semua sekali ‘koyak’. Tapi dalam senarai ini, Citroen ini palikn elok, paling Syamsul suka. Kalau anda ada ‘pomen’ yang boleh jaga Citroen ni, memang ngam.

7. Fiat Ulysse (RM4,500)

Ceritanya, siap-siap dah ada masalah kotak gear. Syamsul kata tenyeh baik punya, sebab kotak gear itu dah susah cari, kereta pun dah lama.

Fiat Ulysse ni dulu ada kembar iaitu Citroen Evasion dan Peugeot 806. Kereta yang sama, kilang sama, cuma tukar trim luar dalam sikit. Kalau peminat Fiat, boleh simpan ni.

8. Daihatsu Charade 1.6 (RM4,500)

Seterusnya Daihatsu Charade. Kereta ini boleh dipandu, pendingin hawa pun sejuk. Kereta tak begitu cantik, biasa sahaja. Tetapi untuk guna seharian, elok sahaja.

9. Kia Carnival (RM3,500)

Ini sebuah MPV menarik. Dah la lawa, selesa, sedap dipandu. Tapi sayang ada masalah enjin. Menurut iklan, tabung ekzos pun tiada.

Kalau tahu mana nak cari atau baiki dengan harga munasabah, boleh ambil.

10. Toyota Ipsum (RM5,000)

Satu lagi MPV menarik dan ‘rare’. Enjin tak boleh hidup katanya. Mungkin enjin ok, cuma tak boleh hidup mungkin disebabkan masalah kecil seperti bateri.

Pemiliknya suruh datang bawa mekanik dan lori tunda. Kalau boleh ‘bikin’, memang boleh pakai 3-4 tahun lagi.

11. Mercedes-Benz E240 2.4 V6 (RM4,999)

Haa Mercedes pun ada, jangan main-main. ‘Rare’ sebab enjin V6 ni tak banyak masuk, tapi enjin ni macam-macam penyakit. Kalau nak kena repair, silap-silap dengan kita sekali masuk hospital.

Boleh tengok, tapi selidik habis-habis. Kalau ok, kasi on.

12. BMW 318i E36 (RM4,950)

Model yang agak popular, ramai budak-budak muda minat untuk bikin. BMW 318i ini dengan enjin 1.8, merupakan model CKD, tahun 1995.

Antara BMW moden terawal dengan elektronik. Tengok keadaan macam masih banyak untuk dibaiki. Tapi pelik dia cakap pembeli Sabah dan Sarawak dialu-alukan, padahal kereta di Negeri Sembilan.

13. Nissan Serena 1.5 (RM3,000)

Alamak yang ini dia buat kisah sedih pula. Jual untuk beli susu anak katanya. Tapi masalahnya kereta dia ‘togel’ sana sini.

Lampu tiada, gril tiada, papan pemuka dalam pun macam dah lompong. Rasanya berbaloi kalau beli scrap untuk alat ganti. Geran ada, tapi tak boleh tukar nama. Aiyo..

14. Mahindra Scorpio 2.0 (RM5,000)

Menurut Abang Syamsul, sepanjang pengalamannya, ini boleh dikatakan 10 kereta paling tak sedap dipandu. Kalau beli untuk lanyak masuk hutan, buat kerja, ok lah. Running condition, cuma pendingin hawa bermasalah.

Amacam senarai kali ini? 14 kereta kami kasi. Kalau nak tengok Abang Syamsul sembang penuh, boleh tonton video di bawah:

Continental UltraContact UC7 kini di Malaysia, untuk saiz 15 hingga 18 inci

CONTINENTAL Malaysia melancarkan generasi ketujuh untuk siri UltraContact mereka iaitu UC7. Tayar ini menawarkan keselamatan, keselesaan bunyi dan jangka hayat panjang.

Berbanding dengan UltraContact UC6 yang mempunyai reputasi cukup baik, UltraContact UC7 ditingkatkan terutamanya bagi aspek brek dan kawalan di permukaan basah. Aspek prestasi lain seperti kecekapan bahan api, brek kering, dan pengendalian juga dipertingkatkan.

Teknologi Confidence+ menggabungkan yang terbaik dari teknologi kompaun dan ciri reka bentuk pembinaan untuk mencipta tayar yang tidak berkompromi dengan mana-mana aspek keselamatan, keselesaan, pengendalian, atau jarak perjalanan.

Semasa fasa pembangunan sahaja, jurutera Continental menjalankan lebih daripada 850 ujian dalam pelbagai keadaan, dengan jarak gabungan yang boleh mengelilingi bumi sebanyak 12 kali.

Menampilkan “Diamond DNA“, – Diamond Compound, Noise Breaker 3.0 dan Aqua Channel Advanced, UltraContact UC7 baharu memberikan tiga kelebihan utama: prestasi basah yang luar biasa, pengurangan bunyi dan jangka hayat memandu yang panjang.

Prestasi basah UltraContact UC7 yang luar biasa adalah daripada jarak brek yang lebih pendek dan cengkaman pada jalan licin basah, disebabkan oleh permukaan sipes Aqua Channel Advanced di bahagian tengah corak yang cekap memindahkan air untuk mengurangkan risiko hidroplaning.

Pada masa yang sama, reka bentuk Noise Breaker 3.0 yang inovatif dengan Flow X-celerator memanfaatkan prinsip Venturi Effect untuk mempercepatkan aliran air melalui alur, mempertingkatkan sentuhan permukaan antara getah dan jalan raya.

Formulasi Diamond Compound UltraContact UC7 pula meningkatkan transformasi tenaga kinetik ke haba pada tahap optimum, justeru memberikan jarak brek yang lebih pendek walaupun di jalan basah.

Kelebihan kedua UltraContact UC7 adalah pemanduan yang lebih senyap dan harmonik akibat penurunan tahap bunyi dan frekuensi getaran yang lebih lancar.

Apabila gelombang bunyi bergerak melalui alur, Noise Breaker 3.0 mengganggu gelombang dengan mengganggu homogeniti alur.

Kelebihan ketiga ialah jangka hayat pemanduan yang panjang. Rangkaian polimer yang dioptimumkan dalam Diamond Compound memberikan rintangan haus untuk jangka hayat bunga tayar yang berpanjangan dan memastikan ketenangan fikiran sepanjang hayat boleh guna tayar.

UltraContact UC7 dicipta untuk pelbagai jenis kenderaan, boleh didapati dalam  saiz tayar 15 hingga 18-inci.

5 besi buruk Conti bawah RM5,000, jangan ingat tak ada!

KITA kembali lagi dalam segmen ‘besi buruk’, rupanya ramai juga peminat ya. Anda semua cari untuk kereta kedua atau hobi?

Apa pun, untuk besi buruk kali ini, kita lihat kereta Continental pula. Amacam, ada berani? Kereta Continental ni semua pun tahu sedap dipandu dan kalau yang tahun 90-an dan sebelumnya, kebanyakannya memang direka untuk tahan lama.

Jom kita lihatkan lima jentera Continental bawah RM5,000. Ya, jangan ingat tak ada!

1. BMW E32 520i – RM4,500

Yang pertama dalam senarai kita ialah sebuah BMW 520i dari generasi E34. Ia merupakan model CKD (pemasangan tempatan) dengan enjin 2.0-liter dan dengan transmisi automatik.

BMW tahun 1995 ini dikatakan antara model popular di kalangan peminat di Malaysia kerana merupakan 5-Series moden yang pertama.

Model yang kami jumpa berharga RM4,500, berkeadaan baik dan di Ipoh, Perak. Kereta nampak agak lama ditinggalkan, tapi pasti boleh restore!

2. Mercedes W123 E-Class – RM3,000

Seterusnya sebuah Mercedes E-Class, generasi W123. Ini kalau geng besi buruk tengok, memang tak gentar. Ada potensi.

Generasi W123 ini yang menariknya kerana dikatakan antara yang terakhir dengan badan seperti kereta kebal; berat dan solid.

Ini bukan running condition, nak baiki boleh, tetapi jika nak guna untuk jadikan alat ganti pun boleh. Projek nampaknya seperti tidak siap.

Menurut pemiliknya, klac pada Mercedes ini sudah haus, sebab itu ia lama tidak digunakan. Tetapi kalau dilihat harga, memang ok.

Dapat rim 17-inci dan rim 14-inci original sekali. Kasi on?

3. Volvo 940 GL – RM4,900

Kita ke Sweden pula, dengan Volvo 940 GL. Model tahun 1994 ini sebuah kereta yang agak ‘sejuk’, tapi tetap sebuah pilihan yang solid.

Unit yang kami jumpa merupakan model automatik, dan harga memang ok. Nampak cantik dan terjaga, boleh pakai hari-hari.

4. Volvo 240 GLE – RM4,500

Satu lagi model Volvo, yang ini lebih berusia, tahun 1987 dan dengan kotak gear manual.

Kereta ini nampak terjaga, baik, dan yang penting, semua masih standard. Ruang dalaman pun cantik, dengan meter-meter kecil pada papan pemuka yang nampak masih berfungsi.

Volvo 240 ini dalam keadaan running condition, nak bikin lagi pun boleh. Tapi Syamsul kata tak perlu ‘tekan’ sangat, kasi can pada dia!

Oh ya, satu lagi yang menarik, pemilik kata tiada processing fee (yuran proses), mantap!

5. Peugeot 405 SRI 2.0 Auto – RM4,888

Akhir sekali, model yang menjadi pilihan penulis dalam senarai kali ini – Peugeot 405 SRI 2.0 Auto. Sungguh hensem.

Kereta yang kami jumpa ini luar dan dalam nampak sangat cantik, tempat duduk pun tidak lunyai sangat.

Papan pemuka elok, pendingin hawa pun dikatakan sejuk beku. Semua pada kereta adalah standard dan original, itu yang menarik.

Amacam senarai besi Continental ini? Ada rasa nak sambar satu?

7 tips mudah beli tayar baru untuk kereta anda

TAYAR antara komponen penting dalam kereta sama ada untuk memberikan keselesaan atau keseronokan pemanduan. Ia juga memerlukan pemeriksaan berkala agar sentiasa berada dalam keadaan baik dan apabila sampai masanya, perlu diganti.

Terlalu banyak tayar dalam pasaran dan jika tersalah beli, menyesal pula. Jadi, berikut kami kongsikan 7 tips panduan mudah agar anda dapat tayar paling sesuai dengan kereta anda.

Anda boleh telitikan perkara-perkara ini semasa memilih tayar:

1. Lebar tayar

Lebar ditunjukkan dengan tiga digit pertama pada label. Sebagai contoh, tayar bersaiz 205/40/R17 mempunyai lebar 205mm.

Lebar tayar mempengaruhi tahap cengkaman dan bunyi. Tayar lebih lebar memberikan lebih cengkaman tetapi lebih bising.

2. Profil (ketebalan) tayar

Faktor seterusnya yang berkait dengan lebar ialah profil (ketebalan) tayar. Ini ialah ketebalan sidewall (dinding tepi) yang dikira sebagai peratus dari lebar tayar.

Sebagai contoh, 205/40/R17 bermakna ia mempunyai profil 40 iaitu kira-kira 40 peratus dari 205mm.

Profil lebih tinggi (lebih dari 50) secara umumnya memberikan lebih keselesaan dan ketahanan, tetapi profil lebih rendah dikatakan mempunyai rupa lebih menarik dan memberikan respon stereng lebih baik.

3. Saiz tayar

Untuk keselamatan, adalah penting untuk mendapatkan saiz tayar yang betul untuk kereta anda. Pada label 205/40/R17, saiz dirujuk pada angka R17 yang bermakna 17-inci.

Menggunakan saiz tayar yang salah akan mempengaruhi fungsi sistem-sistem seperti ABS, ESC, serta bacaan TPMS dan speedometer.

4. Nilai kelajuan

Speed rating atau nilai kelajuan ditunjukkan dengan huruf terakhir pada label tayar. Untuk 205/40/R17/V, maka V ialah speed rating. Ini akan merujuk kepada tahap kelajuan pada carta yang mana rating lebih tinggi memberikan cengkaman dan kemampuan brek pada kelajuan lebih tinggi.

Carta kelajuan:

Q – 160 km/h
S – 180 km/h
T – 190 km/h
U – 200 km/h
H – 210 km/h
V – 240 km/h
W – 270 km/h
Y – 300 km/h
(Y) – Lebih 300 km/h

5. Corak bunga tayar

Terdapat tiga corak: symmetrical, directional dan asymmetrical.

Symmetrical ialah corak paling lazim – paling bagus untuk kesenyapan, tetapi tidak begitu optimum untuk jalan basah.

Untuk prestasi terbaik pada permukaan basah, anda perlu tayar directional – corak berbentuk-V yang direka untuk berpusing pada satu arah sahaja. Dengan rekaan lebih lebar, corak ini lebih baik untuk mengalihkan air ke tepi dan memberikan lebih cengkaman. Tetapi tayar ini lebih bising dari symmetrical.

Tayar asymmetrical boleh memberikan kedua-dua fungsi – coraknya separuh untuk permukaan basah, separuh lagi untuk mengurangkan bunyi, jadi anda dapat kedua-dua manfaat. Biasanya tayar asymmetrical lebih mahal.

6. Usia tayar

Tayar mempunyai jangka hayat dan tayar yang disimpan serta tidak digunakan juga boleh rosak dan menjadi tidak selamat untuk digunakan.

Tarikh pengeluaran tayar boleh dilihat pada kod empat-digit pada dinding tepi tayar. Sebagai contoh, 3220 bermakna ia dikilangkan pada minggu ke-32 tahun 2020.

Tayar yang lebih berusia biasanya lebih murah (terdapat diskaun). Untuk lebih selamat, jangan guna tayar yang berusia lebih enam tahun.

7. Jaminan kilang

Pengeluar biasanya menawarkan waranti/jaminan untuk tayar mereka, tetapi agak terhad. Semasa memilih tayar, lihat pada jaminan yang ditawarkan agar sesuai dengan kehendak dan keperluan anda.

Jemput tonton video di bawah untuk penerangan santai yang lebih jelas.