Arkib Tag: carsome

Chery Malaysia, Carsome jalin kerjasama revolusikan tukar-beli kenderaan

CHERY Malaysia telah menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Carsome dan Akademi Carsome semasa taklimat tahunan perniagaannya pada Rabu, 10 Jan.

Fokus utama kerjasama ini adalah untuk merevolusi tukar-beli (trade-in) kenderaan dan meningkatkan kemahiran insaniah dalam rangkaian wakil jualan Chery.

Kerjasama dengan Carsome memudahkan proses bagi pelanggan Chery yang mengunjungi pusat pameran mereka. Dengan memilih untuk tukar-beli, pelanggan boleh meminta Carsome untuk menjalankan pemeriksaan kenderaan di lokasi pilihan mereka.

Selesai pemeriksaan, Carsome akan membuat tawaran harga bagi kenderaan yang hendak ditukar-beli. Apabila tawaran diterima, pelanggan boleh menyerahkan kereta lama mereka sebelum atau semasa mengambil kereta Chery yang baru.

Carsome juga menjalankan kempen istimewa untuk pengedar Chery dengan menawarkan tambahan RM500 di atas harga tawaran pertukaran untuk pelanggan mereka yang menukar kereta dari 15 Januari hingga 15 Februari 2024.

Sementara itu, MoU kedua bertujuan untuk memperkukuhkan kemahiran insaniah dalam rangkaian wakil jualan Chery.

Perjanjian di antara Chery Auto Malaysia dan Akademi Carsome akan memberi tumpuan kepada empat aspek iaitu Peningkatan Kemahiran Tenaga Kerja, Program Pemeriksaan Kenderaan Peneraju Skil, Latihan & Penempatan serta Inisiatif Pemasaran.

“Kerjasama dengan Carsome akan memberi manfaat dan penting bagi pengedar kenderaan Chery kami, terutama dengan peningkatan pelanggan yang ingin menukar kereta lama mereka dengan kereta Chery yang baru,” katanya Naib Presiden Chery Auto Malaysia, Lee Wen Hsiang.

Selain itu, dengan rancangan untuk memperluaskan pusat pameran kepada 48 cawangan menjelang akhir 2024, akan melihat peningkatan dalam tenaga kerja, termasuk wakil jualan dan pengurus jualan.

Oleh itu, memastikan kepentingan perkhidmatan pelanggan Chery menjadi langkah penting untuk kejayaan jenama itu pada masa hadapan.

Acara ‘Trade-in Turn-Up Saturday’ anjuran Proton-Carsome catat 624 tempahan, 320 tukar-beli

PROTON mengumumkan bahawa ia berjaya mencatat sebanyak 624 tempahan baharu menerusi acara ‘Trade-in Turn-Up Saturday’ yang diadakan dengan kerjasama syarikat e-Bidding (EBC), Carsome pada 14 Oktober lalu.

Acara yang diadakan secara serentak di 32 cawangan Proton itu menarik seramai 1,552 pengunjung, dengan 320 pelanggan memilih untuk tukar-beli kenderaan mereka.

Bukan itu sahaja, Carsome turut menjalankan 489 pemeriksaan kenderaan pada hari itu, jauh melebihi sasaran awal 320 unit yang ditetapkan sebelum acara itu.

Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar berkata, berikutan volum jualan yang terus berkembang, pihaknya perlu mempertimbangkan cara untuk memudahkan pengambilan, pengedaran dan pelupusan kereta terpakai untuk menyokong tempahan baharu.

“Bahagian pengurusan kereta terpakai (UCM) kami telah dibentuk untuk mencapai matlamat ini dan dengan bekerjasama dengan EBC, kami dapat menawarkan proses yang lebih cekap dan telus yang memudahkan pelanggan untuk memiliki kereta baharu.

“Penukaran dalam rangkaian dengan lebih banyak pilihan adalah penting bagi kami untuk mengekalkan pelanggan semasa kami setia kepada jenama dan salah satu caranya ialah menstabilkan nilai kereta terpakai bersama rakan kongsi kami,” katanya.

Bagi tahun 2023, bahagian pengurusan kereta terpakai telah menerima lebih 4,500 unit di 32 cawangannya dan berada di landasan untuk mencipta rekod baharu menjelang akhir tahun ini.

Menjelang tahun 2024 pula, terdapat rancangan untuk mengembangkan rangkaian kepada 60 cawangan dengan sasaran untuk mencapai sekurang- kurangnya 6,000 unit dengan menjalankan lebih banyak acara tukar beli pada setiap suku tahun.

Carsome buka pusat servis di Petaling Jaya dan Ampang

CARSOME secara rasminya meneroka pasaran servis kereta selepas jualan dengan pelancaran pusat servisnya yang tersendiri.

Platform e-dagang kereta bersepadu itu memulakan operasi di dua buah lokasi strategik yang terletak di Petaling Jaya dan Ampang. Pemilik kereta kini boleh membuat janji temu untuk pemeriksaan kali pertama melalui laman web Carsome.

Selain memenuhi keperluan pembeli kereta terpakai dari syarikat, pusat servis Carsome juga menawarkan perkhidmatan kepada mereka yang mencari kemudahan penyelenggaraan kereta tanpa kebimbangan selepas tempoh jaminan kenderaan mereka tamat.

Menurut data Carsome, 80 peratus daripada kereta Carsome telah melepasi tempoh jaminan sah lima tahun mereka. Ini membayangkan kemungkinan yang lebih tinggi untuk pemilik kereta menjalankan servis kereta mereka di bengkel biasa berbanding pusat servis bertauliah.

Sebagai sebahagian daripada komitmen Carsome dalam menyampaikan perkhidmatan yang dipercayai, pemilik kereta boleh menikmati perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan dengan kualiti terjamin yang disediakan oleh mekanik bertauliah.

Mereka juga akan menerima bil yang telus dan awal untuk perkhidmatan yang diperlukan. Setiap perkhidmatan penyelenggaraan kereta akan diberi 20 titik pemeriksaan percuma untuk mengenal pasti sebarang isu asas, sebelum disyorkan pakej penyelenggaraan terbaik.

Setelah diperiksa, pusat servis Carsome menawarkan tiga pakej untuk memenuhi pelbagai keperluan dengan perkhidmatan berkala, bersama-sama dengan pelbagai pilihan lain untuk memenuhi keperluan pengguna.

Untuk keadaan kereta yang lebih khusus, pusat servis Carsome akan memberikan sebut harga yang sewajarnya.

Carsome bakal berhentikan pekerja dalam tempoh 24 jam

CARSOME, pengendali jualan kenderaan terpakai secara atas talian kini dimaklumkan akan memberhentikan sebilangan pekerja.

Menurut TechWire Asia, perkara ini mungkin merupakan respon kepada perkembangan ekonomi yang dijangka perlahan tahun depan, menjurus kepada pengurangan jumlah pekerja sebagai salah satu solusi.

Firma itu telah membuat perkara sama di Thailand dan Indonesia, kini perkara sama akan dijalankan di Malaysia. Pemberhentian itu juga dilaporkan akan dibuat dalam tiga peringkat.

Carsome pada awal tahun ini dilaporkan mengambil ramai pekerja, namun perkara sebaliknya berlaku ketika ini. Pengumuman rasmi dijangka dibuat dalam masa terdekat.

Selain itu, syarikat-syarikat unicorn lain di rantau ini yang bakal mempunyai nilai tinggi juga akan berhadapan risiko serupa.

Di awal pandemik, firma-firma teknologi di rantau ini terjejas teruk disebabkan dana yang merosot dan syarikat-syarikat besar lain yang berhati-berhati dengan perbelanjaan mereka.

Carsome PJ Automall kini dibuka, siap dengan pusat pengecasan EV

CARSOME, platform e-dagang kereta bersepadu terbesar di Asia Tenggara telah melancarkan Carsome PJ Automall semalam.

Fasiliti itu merupakan pusat pengalaman Carsome terbesar di Malaysia setakat ini dan pertama yang dilengkapi dengan stesen pengecas kenderaan elektrik.

Carsome PJ Automall memberikan para pelanggan pengalaman pembelian kereta yang lebih baik – daripada melihat, memilih, hingga memandu uji.

Mereka dapat melengkapkan pembelian melalui kemudahan kewangan yang disediakan di Automall, di mana permohonan pinjaman boleh diproses dan diluluskan dalam masa satu hari.

Kemudahan tambahan termasuk perkhidmatan estetik kereta seperti perincian dan pemasangan cermin gelap untuk kereta yang baru dibeli juga disediakan.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng berkata Carsome PJ Automall menyasarkan untuk meningkatkan pengalaman pembelian kereta pelanggan dengan menawarkan kemudahan dan keselesaan di bawah satu bumbung.

“Pelancaran Carsome PJ Automall akan mengukuhkan tawaran hibrid dalam talian ke luar talian kami dan meningkatkan pengalaman pelanggan kami.

“Motivasi kami adalah untuk menjadikan pusat pengalaman ini sebagai pusat gaya hidup, di mana pelanggan boleh menikmati proses membeli kereta, dan lebih penting, menyerahkan kebimbangan dan kerumitan proses kepada pasukan kami yang berdedikasi,” tambah Cheng.

Carsome PJ Automall yang terletak di Lebuhraya Persekutuan di bilik pameran ikonik Naza Automall menempati ruang seluas lebih 100,000 kaki persegi.

Ia boleh memuatkan lebih daripada 200 buah kereta – daripada inventori dalam talian Carsome yang semakin berkembang dan kini mempunyai lebih daripada 1,600 buah kereta – untuk memudahkan pelanggan membuat pilihan, daripada model SUV, MPV, 4×4, sedan, hatchback hingga ke segmen kereta mewah.

Carsome PJ Automall juga menempatkan rakan kongsi perbankan seperti Maybank dan Public Bank; rakan kongsi perincian dan pemasangan cermin gelap kereta iaitu Ecotint dan Glass Auto, untuk mengukuhkan usaha Carsome dalam menawarkan pengalaman membeli kereta yang berbeza.

Bersempena dengan pelancaran Carsome PJ Automall, Carsome akan menganjurkan acara Shop and Dine Carsome CARnival selama dua hari pada hari Sabtu, 11 Jun dan Ahad, 12 Jun pada jam 12.00 tengah hari hingga 8.30 malam.

Pengunjung akan disajikan dengan pelbagai pilihan makanan, menikmati persembahan muzik dan juga berpeluang untuk mengambil bahagian dalam aktiviti dan permainan sambil melihat kereta pra-milik Carsome yang dipamerkan di Carsome PJ Automall sebelum membuat pembelian.

Mereka juga boleh menyertai cabutan bertuah dan berpeluang memenangi hadiah-hadiah bernilai sehingga RM12,000, termasuk Nintendo Switch OLED, jam tangan pintar Garmin Venu SQ dan banyak lagi.

Carsome Certified Lab ‘tukar’ kereta lama jadi kenderaan baharu

CARSOME terus tekad memberi perkhidmatan terbaik buat para pelanggan dengan melancarkan Carsome Certified Lab.

Mempunyai keluasan lebih 185,000 kaki persegi, Carsome Certified Lab dijangka memberi transformasi baharu dalam industri kenderaan terpakai.

Persoalannya, apakah itu Carsome Certified Lab?

Carsome Certified Lab merupakan kemudahan baik pulih kereta terbesar di Asia Tenggara.

Ini bermakna ia bertindak untuk ‘menukar’ kereta terpakai menjadi seperti sebuah kenderaan baharu!

Pengurus Besar Carsome Certified Malaysia berkata, setiap kereta akan melalui pemeriksaan 175 titik secara terperinci untuk memastikan bebas daripada kerosakan kerangka, kebakaran, banjir dan kemalangan besar.

“Kami mempunyai garis panduan yang boleh diukur untuk semua kereta Carsome Certified yang melibatkan proses membaik pulih yang menyeluruh.

“Kami mempunyai keupayaan pengeluaran yang tinggi, teknologi dan pakar berpengalaman, serta mampu membaik pulih sehingga 30 jenama kereta.

“Ia turut disertakan dengan waranti selama setahun,” kata Alan Cheah.

Cheah berkata demikian pada taklimat media secara maya sempena pelancaran kemudahan itu, hari ini.

Sementara itu, Carsome Certified Lab dikatakan mampu membaik pulih sehingga 2,000 buah dalam tempoh sebulan.

Terdahulu, Cheah berkata tiada yuran tersembunyi akan dikenakan bagi membina kepercayaan dan ketelusan pelanggan.

Harga tersebut termasuk yuran cukai jalan, yuran pemeriksaan Puspakom, yuran pemindahan pemilikan dan yuran permohonan pinjaman.

“Bagaimanapun, jika pelanggan memutuskan untuk mengubah fikiran, kami mempunyai jaminan wang dikembalikan dalam tempoh lima hari.

“Tiada soalan ditanya, bermakna anda boleh memulangkan kereta itu dalam masa lima hari dan kami akan memprosesnya dengan sewajarnya,” katanya lagi.

Setakat ini, Carsome Certified Lab dijangka akan diperluas dalam tempoh 12 bulan akan datang merangkumi Thailand dan Indonesia.

Carsome Certified Lab galak beli kereta terpakai

Carsome Certified Lab menjangkakan permintaan kereta terpakai akan baik dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Ia susulan pandemik Covid-19 sekaligus sebagai langkah penjimatan berganda buat para pengguna.

Pada masa sama, Carsome Certified Lab berpandangan membaik pulih kereta terpakai turut membantu memberi impak yang baik kepada alam sekitar.

Setakat ini, Carsome mempunyai lebih 1,000 kereta yang disenaraikan di laman webnya dan ia menawarkan pengalaman digital yang lancar.

Pengguna boleh menyemak dalam talian dengan gambaran 360 darjah, membeli satu dengan kertas kerja yang minimum dan kenderaan akan dihantar ke rumah.

Carsome jalin kerjsama dengan Grab, lancar kempen ‘Own Your Ride’

CARSOME menjalin kerjasama dengan syarikat Grab menerusi kempen ‘Own Your Ride’ di seluruh negara.

‘Own Your Ride’ bertujuan memanfaatkan lebih 100,000 rakan kongsi pemandu dan penghantaran Grab.

Menerusi kempen tersebut, rakan kongsi pemandu dan penghantaran Grab dapat menikmati diskaun pembelian sehingga RM600.

Selain itu, mereka juga layak menerima diskaun tukar beli RM1,000 dan perkhidmatan selepas jualan selama setahun apabila membeli kereta yang diperakui Carsome.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome berkata, kerjasama juga bertujuan membantu orang ramai bergerak ke hadapan terutama dalam keadaan ekonomi serba mencabar.

“Ketika ini kebanyakan sektor ekonomi dibuka secara meluas secara perlahan-lahan dan ini membolehkan orang ramai mulai keluar.

“Ia skaligus meningkatkan permintaan untuk perkhidmatan e-hailing,” kata Eric Cheng.

Perkhidmatan Grab semakin mendapat permintaan tinggi di Malaysia. – Foto ihsan Malay Mail

Terdahulu, Pengarah Operasi Nasional Grab Malaysia Rashid Shukor berkata, perkongsian dengan Carsome memberi banyak pilihan kepada rakan kongsi Grab.

Ia termasuk memberi peluang mendapatkan kenderaan baharu selain perkhidmatan menyelenggara kenderaan dengan berpatutan.

Kempen ‘Own Your Ride’ berlangsung dari sekarang hingga 30 April 2022.

Terbeli kereta curi dari platform jualan online, pasangan failkan saman RM100,000

SEPASANG suami isteri telah memfailkan saman cuai ke atas satu pengedar kereta terpakai online (atas talian) dan institusi kewangan berkaitan kerana urusan jualan kereta yang dilaporkan dicuri.

Mohd Zulikram Shamsidi, seorang jurutera, dan isterinya Nor Saidatul Wanida Mohd Hazani berkata mereka terpaksa melalui kesukaran dan kerugian wang dari penggunaan kereta itu.

Dalam saman yang difailkan di mahkamah seksyen dua bulan lalu, mereka menamakan Carsome Sdn Bhd dan Maybank Islamic Bhd sebagai defendan. Mereka menuntut ganti rugi berjumlah RM100,000 dari Carsome.

Mereka juga menuntut pengisytiharan pembatalan perjanjian sewa-beli dari Maybank Islamic, pemulangan semula wang tempahan, deposit, dan ansuran sebanyak dua bulan. Turut dituntut ialah kerugian RM123,647.86 dari institusi kewangan tersebut.

Dalam kenyataan tuntutan itu – difailkan oleh Messrs Sugu K & Partners – Zulikram berkata dia melihat kereta itu di lamab web Carsome dan mengambil keputusan membelinya pada harga RM103,697.81 pada November tahun lepas. Dia kemudiannya membuat pinjaman dan perjanjian sewa-beli dengan bank itu.

Pada 12 Februari lepas, Zulikram menerima panggilan dari polis yang menyatakan bahawa kereta dimilikinya itu berkemungkinan dicuri. Dua hari kemudian, polis menyita kenderaa itu untuk ujian casis oleh Jabatan Kimia.

Kemudian pada 18 Februari, menerima surat dari pihak insurans memaklumkan bahawa pemilik sebelumnya telah mengisytiharkan kereta itu ‘total lost’ pada 2018.

Zulikram berkata Carsome telah cuai dalam memastikan kereta itu bukan kenderaan curi sebelum memasukkannya ke dalam iklan.

Sementara itu, Carsome dalam kenyataan balas berkata, mereka bergantung kepada laporan Puspakom yang mendakwa casis kereta itu tidak diubah dan semuanya berada dalam keadaan baik sebelum diiklankan.

Habizan Rahman yang mewakili pasangan itu berkata, pengurusan kes akan diadakan pada 2 November nanti.