Arkib Tag: bomba

Pesawat ringan terhempas di Kapar, Klang

SEBUAH pesawat ringan terhempas dan terbakar di sekitar kawasan kebun kelapa sawit berhampiran Sekolah Kebangsaan Tok Muda, Kapar, Klang hari ini.

Kejadian itu disahkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.56 tengah hari tadi.

“Kita sampai di lokasi kejadian dan mengesahkan pesawat ringan jenis ‘Air Craft Aviation Safety Technology’ itu terhempas dan terbakar.

Tambah beliau lagi, dua jentera serta empat anggota keluaran Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kapar digerakkan ke lokasi kejadian.

“Kerja mencari mangsa sedang dijalankan dan jumlah mangsa masih belum diketahui,” katanya.

Helikopter AW189 Bomba terhempas, tujuh anggota selamat

PIHAK Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan insiden kemalangan helikopter jenis Leonardo S.p.A AW189, nombor pendaftaran 9M-BOF di kawasan apron UniKL MIAT Hangar dekat Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Gambar oleh: Youtube

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Norazman Mahmud berkata, helikopter yang dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu sedang menjalani ujian penerbangan.

Menurutnya, menara kawalan trafik udara Subang menerima laporan kemalangan pada 11:52 pagi dan Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) bertindak segera terhadap insiden terbabit.

“Terdapat tujuh penumpang termasuk juruterbang dalam helikopter terbabit dan kesemuanya dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bomba lancar ambulans udara pertama di Malaysia

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah melancarkan helikopter ambulans udara pertama yang dinamakan Emergency Medical Air Rescue Services (EMARS). Pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, EMARS ialah permulaan terbaik dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepada setiap lapisan masyarakat selari dengan hasrat kerajaan yang menitikberatkan ketersampaian perkhidmatan agensi kerajaan ke akar umbi.

“EMARS akan digunakan untuk pemindahan mangsa dari hospital ke hospital dan memudahkan ketersampaian perkhidmatan kepada penduduk di kawasan pedalaman khususnya komuniti Orang Asli yang diketahui sukar untuk menggunakan laluan darat,” katanya.

Menurutnya, ketika ini JBPM memiliki sembilan helikopter pelbagai jenis terdiri daripada Mil Mi-17, Agusta A109E, AgustaWestland AW139 serta AW189 dan sebuah helikopter Agusta A109E akan diubah suai bagi dilengkapkan dengan kemudahan perubatan awal pesakit bagi pelaksanaan EMARS.

Turut menyerikan majlis adalah dengan kehadiran YB Dr. Zaliha binti Mustafa, Menteri Kesihatan Malaysia dan YBhg. Datuk M Noor Azman bin Taib, Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan.

Pelbagai aktiviti menarik yang diadakan sempena kempen keselamatan tersebut antaranya, pameran kebombaan, program mewarna Kelab 3K, agihan bubur lambuk, pameran serta pertunjukan Helikopter Bomba serta tidak lupa agihan kuih raya kepada semua Pengarah Bomba .

Sebagai tanda simbolik kempen musim perayaan, YB Tuan Nga Kor Ming telah membuat sesi pelepasan ke atas pasukan ‘Kesiapsiagaan Musim Perayaan JBPM’ yang akan bertugas di musim perayaan ini nanti.

Naza Ria terbakar di stesen minyak, pemandu wanita nyaris rentung

SEORANG wanita hampir maut selepas kenderaan jenis MPV yang dinaikinya terbakar di hadapan stesen petrol di Kajang hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata mangsa berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian yang berlaku pada pukul 8 pagi itu. Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambah jurucakap itu lagi, sepasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 8 pagi.

Sementara itu, komander operasi Sharel Mohamad memaklumkan bahawa kebakaran tersebut berlaku di stesen PetronasLebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) yang terletak berhampiran Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

“90 peratus kereta tersebut musnah dan pemandunya, yang berseorangan ketika kejadian, berjaya melarikan diri sebelum ketibaan pasukan penyelamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Toyota Hilux 6×6 kustom khas untuk pasukan bomba Republik Czech

PASUKAN bomba Republik Czech telah menerima Toyota Hilux yang dikustom khas menjadi 6×6 untuk operasi kebakaran kereta elektrik (EV) dan di kawasan-kawasan dengan permukaan sukar.

Jentera pacuan enam-roda ini mempunyai tahap kelegaan tanah sehingga 185cm, memudahkannya pergi ke kawasan yang sukar dilalui jentera bomba biasa.

Casis tiga-gandar padanya direka dan dibekalkan oleh sebuah firma Republik Czech iaitu Dajbych dan setiap unit kustom akan dibina mengikut kehendak pelanggan sama ada mahukan single- atau double-cab.

Casis ini juga menepati piawaian Euro 6, dan ia 1,230mm lebih panjang dari Hilux 4×4 dan mempunyai kapasiti kargo sehingga 3 tan.

Casis 6×6 ini telah dibina dengan empat bingkai tubular untuk lebih ketegaran manakala transmisinya dibangunkan dan mempunyai pengunci pembeda belakang.

Kedua-dua pembeda depan dan belakang mempunyai pengunci berasingan, membolehkannya menggunakan konfigurasi 6×4 atau 6×6.

Untuk lebih kapasiti muatan, suspensi depan telah diubahsuai dan casis diberikan sistem suspensi udara boleh-laras yang akan mengesan muatan di belakang.

Hilux 6×6 ini boleh dikuasakan oleh dua pilihan enjin; 2.4-liter turbodiesel dengan 147hp dan 400Nm tork atau enjin 4.0-liter petrol 6-silinder dengan 224hp.

Untuk kegunaan bomba, Hilux 6×6 ini dilengkapi juga dengan bampar depan lebih kukuh, winch, lampu beacon, dan kamera infra-merah.

Kabinnya mempunyai empat pintu dan di belakangnya dipasang dengan struktur tambahan untuk pasukan bomba. Ini menempatkan segala alatan untuk pelbagai tugas, antaranya sistem pemadaman api bertekanan tinggi CCS Cobra.

Alatan lain termasuklah alat penyelamatan tanpa wayar, hos-hos tekanan tinggi, alat pengesan dan beberapa kelengkapan untuk Rapid Emergency Vehicle.

Nilai tahap risiko guna dron keupayaan terkini bomba berdepan banjir

KESUKARAN pemantauan kawasan terjejas akibat banjir diselesaikan dengan penggunaan dron oleh Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Penggunaan dron bukan sahaja memantau kawasan dinaiki banjir malah, memudahkan kerja menilai sebarang tahap risiko.

Pengarah Unit Udara JBPM Nazili Mahmood berkata, penggunaan teknologi robotik itu sekali gus menjadi pelengkap tinjauan menerusi pengoperasian udara.

“Kita lihat keperluan dron ini adalah sangat diperlukan khususnya untuk melakukan jangkauan dan menilai tahap risiko yang ada di kawasan yang terjejas banjir.

“Dron yang kita gunakan juga dapat berkomunikasi menerusi pesanan suara untuk meminta penduduk berpindah sekiranya perlu sekaligus memudahkan operasi menyelamat,” katanya.

Beberapa lokasi di Shah Alam, Selangor terjejas teruk kerana dinaiki air. – Foto ihsan Malay Mail

Kini, setiap negeri mempunyai unit dron JBPM yang dianggotai seramai enam pegawai dan anggota.

Kesemua mereka diberikan latihan khusus dan turut dibantu 10 pegawai dan anggota dari ibu pejabat JBPM.

Sementara itu, JBPM turut menyediakan tujuh helikopter untuk digerakkan ke seluruh negara bagi membantu pengoperasian ketika musim banjir.

Daripada jumlah itu lima digunakan di Semenanjung Malaysia sementara baki dua helikopter ditempatkan di Sabah dan Sarawak.

“Kita juga telah bersiap sedia khusus untuk logistik dan penyelamatan unit udara dengan adanya tujuh helikopter.

“Apa yang berlaku di Lembah Klang dan Pahang pada minggu lepas, kita menggunakan logistik udara untuk membawa mangsa-mangsa ke tempat selamat,” katanya lagi.

Warga emas rentung, kereta terbakar langgar pokok di Miri

KEMALANGAN membabitkan sebuah kereta jenis Honda di Jalan Taman Awam dekat Miri malam tadi menyaksikan seorang lelaki warga emas rentung.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.50 malam.

Memetik Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, mangsa dikenali sebagai Tan Kaw Tee berusia 61 tahun.

Jelas kenyataan itu lagi, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, sebuah jentera dengan kekuatan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku setelah kereta dipandu mangsa terbabas dan melanggar sebatang pokok sebelum terbakar.

Tragedi runtuhan pembinaan LRT 3 di Klang, seorang disahkan maut

BOMBA mengesahkan seorang pekerja binaan warga Bangladesh maut selepas tertimbus dalam runtuhan perencah pembinaan laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) di Bandar Bukit Tinggi, Klang.

Selain itu, turut cedera ringan adalah tiga lagi warga Bangladesh dan seorang warga Indonesia.

Kesemua mangsa adalah lelaki berusia dalam lingkungan 30-an.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.41 petang.

Mangsa meninggal dunia berjaya dikeluarkan daripada runtuhan sekitar jam 4.20 petang.

Memetik laporan Bernama, operasi menyelamat membabitkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dan Shah Alam.

Warga emas tunggang Honda EX5 maut ditimpa pokok tumbang

Sebatang pokok yang tumbang di Taman Universiti, Tanjung Malim menyebabkan seorang warga emas maut.

Kejadian berlaku sekitar jam empat petang semalam.

Menurut laporan Bernama, mangsa dikenali sebagai Chin Kock Heng.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, mangsa ditimpa pokok ketika menunggang sebuah motosikal.

“Anggota bomba tiba di lokasi kejadian mendapati sebatang pokok tumbang menghalang jalan raya dan menghempap seorang penunggang motosikal,” memetik satu kenyataan.

Chin disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya kemudian diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.

Anggota bomba turut melakukan pembersihan dan pemotongan pokok dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Operasi pembersihan selesai sekitar jam 5.32 petang.

Kemalangan libatkan haiwan, ini fakta perlu anda tahu

TERDAPAT beberapa kes kemalangan membabitkan kenderaan membawa muatan haiwan pernah dicatatkan di negara ini.

Semalam misalnya, sebuah lori membawa muatan babi terbabas di Kilometer 413 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke selatan.

Memetik laporan bomba, kemalangan menyebabkan seorang lelaki cedera selain beberapa ekor babi terlepas di kawasan insiden.

Insiden menimbulkan persoalan, sejauh mana serius akan perkara ini?

Ini memandangkan ia bukan kali pertama kemalangan lori membawa muatan haiwan mengalami kemalangan.

Paling membimbangkan, kemalangan bukan sahaja mengancam nyawa pengguna jalan raya lain malah, meragut nyawa haiwan tidak bersalah.

Seorang lelaki maut selepas terlanggar seekor lembu di Alor Gajah, Melaka pada Mac lalu.

Rekod kemalangan babitkan haiwan

Berdasarkan pencarian EnGear di platform internet, kami telah menemui beberapa kes melibatkan kemalangan membabitkan haiwan.

Jom kita lihat satu per satu!

Tujuh lembu maut kemalangan

Kejadian pada November 2019 menyaksikan tujuh ekor lembu mati bergelimpangan di Kampung Batu Karang, Kampar.

Memetik laporan Harian Metro, kesemua lembu terbabit maut selepas dilanggar dua buah kenderaan.

Lembu terbabit dipercayai berada di tepi jalan tanpa sebarang pengawasan penjaganya.

Insiden turut tular di media sosial.

Tapir maut kemalangan

Menurut statistik dikeluarkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, lebih 24 ekor Tapir Malaya mati akibat kemalangan jalan raya tahun lalu.

Setakat 2015 sehingga 2020, lebih 92 ekor spesies itu dilaporkan mati.

Apa yang membimbangkan adalah spesis haiwan itu yang semakin berkurangan akibat kemalangan jalan raya.

Penunggang motosikal maut langgar babi

Pada Januari, seorang lelaki menunggang motosikal maut di kilometre 59 Jalan Ipoh – Kuala Lumpur selepas terlanggar seekor babi hutan.

Kemalangan berlaku selepas lelaki terbabit gagal mengelak seekor babi hutan yang melintas sekitar jam satu pagi.

Paling menyedihkan, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Sebenarnya, terdapat banyak lagi kes membabitkan kemalangan dan haiwan berlaku di negara ini.

Di sini, kami di EnGear ingin berkongsikan beberapa tips atau langkah bagi mengelak perkara sama berulang di masa depan:

Semoga kita semua tidak menerima nasib sama seperti katak ini.

1. Elak bawa muatan haiwan berlebihan

Jika anda seorang pemandu lori, elak membawa muatan haiwan berlebihan.

Ini penting untuk memberi keseimbangan kepada lori sekaligus mengelak daripada terbabas.

Anda perlu faham, haiwan bukanlah ‘barang’ dan sudah pasti ia akan bergerak ketika berada di bahagian muatan.

2. Gunakan lampu tinggi ketika melalui kawasan gelap

Pastikan anda menggunakan lampu tinggi apabila melalui kawasan gelap.

Ia memudahkan penglihatan anda untuk melihat sebarang pergerakan di jalan raya.

Selain itu, anda juga akan lebih fokus untuk memandu jika jalan raya berada dalam keadaan cerah.

3. Jangan pandu laju

Kebiasaannya, kenderaan yang dipandu laju menyukarkan anda melakukan pengawalan sempurna.

Banyak kes melibatkan kemalangan dengan haiwan dalah kerana pemandu cuba mengelak atau terpaksa melanggar makhluk tidak berdosa itu.

Makanya paling senang, elakkan memandu laju!

4. Elak bunyikan hon ketika bertembung dengan haiwan

Jangan sesekali bunyikan hon kenderaan apabila bertembung dengan haiwan di jalan raya.

Bunyi hon akan menyebabkan haiwan terkejut dan berkemungkinan tinggi bertindak di luar kawalan.

Tidak mustahil anda juga mungkin ‘diserang’ jika haiwan itu ‘naik minyak’.

Itu serba sedikit tips untuk elak daripada berdepan kemalangan dengan haiwan di jalan raya.

Untuk pengetahuan anda, setiap haiwan yang dibawa menggunakan kenderaan perlu mempunyai permit sah.

Permit boleh dipohon daripada Jabatan Perkhidmatan Veterina dan jika gagal berbuat demikian silap hari bulan boleh kena denda ya!

Proton Wira dihempap pokok, lima sekeluarga terselamat

LIMA sekeluarga berdepan detik cemas selepas kenderaan jenis Proton Wira dinaiki dihempap sebatang pokok dalam satu kejadian di Alor Gajah, Melaka.

Kejadian pada 6.30 petang semalam menyebabkan pasangan suami isteri cedera di bahagian kepala sementara tiga anak mereka mengalami cedera ringan.

Insiden turut membabitkan seorang lelaki berusia 45 tahun yang memandu kereta jenis Honda Accord.

Laporan pihak bomba memaklumkan lelaki terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Semua mangsa berjaya dikeluarkan orang awam sebelum dibawa ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Siasatan awal mendapati kejadian pokok tumbang itu berlaku ekoran hujan lebat.

Lamborghini musnah terbakar dalam kemalangan di LPT

SEBUAH kereta mewah jenis Lamborghini Urus musnah dalam satu kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT), semalam.

Kemalangan menyebabkan kenderaan tersebut hangus 100 peratus akibat dijilat api.

Memetik laporan bomba, dua mangsa bersama seorang kanak-kanak terselamat dalam kemalangan terbabit.

“Sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran bersama sebuah jentera dan ambulans dikejarkan ke lokasi,” memetik laporan di Facebook Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat kenderaan hilang kawalan.

Pemandu, kelindan maut treler bawa bongkah batu terbabas

DUA individu maut selepas treler muatan bongkah batu yang dinaiki terbabas dalam satu kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak, semalam.

Laporan polis mendedahkan dua mangsa maut merupakan pemandu dan kelindan treler terbabit.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila treler tersebut yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bentong hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan.

Mayat kedua mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat.

Kes disiasat menurut Seksyen  41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.