fbpx

Nilai tahap risiko guna dron keupayaan terkini bomba berdepan banjir

Drone merupakan antara teknologi yang kian digunakan oleh kebanyakan industri masa kini. - Foto ihsan Wikipedia
Drone merupakan antara teknologi yang kian digunakan oleh kebanyakan industri masa kini. - Foto ihsan Wikipedia

KESUKARAN pemantauan kawasan terjejas akibat banjir diselesaikan dengan penggunaan dron oleh Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Penggunaan dron bukan sahaja memantau kawasan dinaiki banjir malah, memudahkan kerja menilai sebarang tahap risiko.

Pengarah Unit Udara JBPM Nazili Mahmood berkata, penggunaan teknologi robotik itu sekali gus menjadi pelengkap tinjauan menerusi pengoperasian udara.

“Kita lihat keperluan dron ini adalah sangat diperlukan khususnya untuk melakukan jangkauan dan menilai tahap risiko yang ada di kawasan yang terjejas banjir.

“Dron yang kita gunakan juga dapat berkomunikasi menerusi pesanan suara untuk meminta penduduk berpindah sekiranya perlu sekaligus memudahkan operasi menyelamat,” katanya.

Beberapa lokasi di Shah Alam, Selangor terjejas teruk kerana dinaiki air. - Foto ihsan Malay Mail
Beberapa lokasi di Shah Alam, Selangor terjejas teruk kerana dinaiki air. – Foto ihsan Malay Mail

Kini, setiap negeri mempunyai unit dron JBPM yang dianggotai seramai enam pegawai dan anggota.

Kesemua mereka diberikan latihan khusus dan turut dibantu 10 pegawai dan anggota dari ibu pejabat JBPM.

Sementara itu, JBPM turut menyediakan tujuh helikopter untuk digerakkan ke seluruh negara bagi membantu pengoperasian ketika musim banjir.

Daripada jumlah itu lima digunakan di Semenanjung Malaysia sementara baki dua helikopter ditempatkan di Sabah dan Sarawak.

“Kita juga telah bersiap sedia khusus untuk logistik dan penyelamatan unit udara dengan adanya tujuh helikopter.

“Apa yang berlaku di Lembah Klang dan Pahang pada minggu lepas, kita menggunakan logistik udara untuk membawa mangsa-mangsa ke tempat selamat,” katanya lagi.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved