Arkib Tag: bermaz

Mazda CX-3 2023 dikemaskini – spesifikasi 1.5 dan 2.0 Plus dipertingkat, dari RM116k

ANDA mencari SUV kompak yang berbeza dari kebanyakan orang? Mazda CX-3 mungkin boleh menjadi calon anda, kerana ia telah dikemaskini untuk 2023.

CX-3 kini ditawarkan dengan tiga varian seperti berikut:

CX-3 1.5 Plus – RM115,720
CX-3 2.0 Plus – RM126,159
CX-3 2.0 High – RM139,159

Ini bermakna tiada lagi varian 1.5 Core. Dari segi luaran, varian 1.5 Plus dan 2.0 Plus kini didatangkan dengan lampu LED dan DRL LED, cermin sisi boleh dilipat berkuasa, dan pengesan undur. 2.0 High pula mendapat rim aloi baharu.

Untuk bahagian dalam pula, Mazda memberikan paddle-shifter dan Apple Carplay tanpa-wayar untuk 1.5 Plus dan 2.0 Plus.

Kedua-dua varian juga kini dilengkapi dengan empat beg udara tambahan, selain pakej i-Activesense yang merangkumi High Beam Control (HBC), Blind Spot Monitoring (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Lane Departure Warning System (LDWS) dan Smart City Brake Support (SCBS).

Ciri pada CX-3 varian tertinggi iaitu 2.0 High dikekalkan, iaitu lampu LED, pengecas tanpa-wayar, Apple Carplay tanpa-wayar, bumbung suria, paparan 360 darjah, dan ciri keselamatan i-Activesense.

Enjin juga tidak berubah, dimana varian 1.5 dan 2.0 masing-masing dipacu oleh enjin 1.5-liter SkyActiv-G dengan 114hp/149Nm dan 2.0-liter dengan 154hp/204hp.

Kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear automatik 6-kelajuan dengan paddle-shifter dan mod pemanduan manual. Sistem start/stop automatik dan G-Vectoring Control Plus (GVC Plus) juga hadir sebagai standard.

Mazda CX-3 2023 boleh didapati dengan tujuh warna iaitu Snowflake White Pearl, Jet Black, Machine Gray, Polymetal Gray, Soul Red Crystal, Platinum Quartz (2.0L High sahaja), dan warna baharu Aero Gray.

Semua Mazda CX-3 2023 juga hadir dengan jaminan 5-tahun dan penyelenggaraan percuma 5-tahun.

Stellantis tubuh syarikat jualan nasional, ambil alih jenama Peugeot dari Bermaz

STELLANTIS dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa ia akan menubuhkan Syarikat Jualan Nasional (NSC) baharu di Malaysia pada suku pertama 2024.

Perubahan dalam strategi perniagaan itu adalah sebahagian daripada cita-cita pertumbuhan Stellantis di rantau ASEAN, selaras dengan rancangan elektrifikasinya serta strategi Global Dare Forward 2030 Stellantis.

Sejajar dengan peralihan strategik ini, Bermaz Auto Alliance (BAA), anak syarikat 55 peratus milik Bermaz Auto dan pengedar semasa jenama Peugeot di Malaysia, akan terus bekerjasama dengan Stellantis bagi penjualan kenderaan menerusi rangkaian pengedarnya.

“Kami berbesar hati untuk mengumumkan strategi perniagaan baharu bagi menyediakan pasaran Malaysia lebih banyak produk dan perkhidmatan di bawah pembentukan NSC. Ini termasuk pengenalan jenama baharu pada masa hadapan di Malaysia di bawah portfolio Stellantis,” kata Daniel Gonzalez, Ketua Pegawai Operasi dan Pengedar Am Stellantis bagi ASEAN.

Gonzalez turut menyatakan penghargaan kepada Bermaz Auto, dengan memberi penekanan terhadap peranan pentingnya dalam mewujudkan kehadiran kukuh jenama Peugeot di Malaysia dalam tempoh tiga tahun lalu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Dato’ Sri Ben Yeoh, Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto, dan  asukannya di atas segala apa yang telah dilaksanakan Bermaz Auto dalam membangun jenama Peugeot seperti yang dicapai ketika ini,” tambah Gonzalez.

NSC di Malaysia akan diketuai oleh Jamie Francis Morais, Ketua Selepas Jualan semasa bagi operasi ASEAN & Pengedar Am untuk Stellantis.

Morais mempunyai pengalaman selama 19 tahun dalam industri automotif bersama Toyota, BMW, Nissan dan Proton. Latar belakang kepimpinannya yang luas merangkumi operasi yang berbeza termasuk selepas jualan, rangkaian, perkhidmatan pelanggan, kualiti, jualan dan latihan.

BAA akan terus bekerjasama dengan Stellantis dalam tempoh peralihan terbabit, dengan kedua-dua syarikat kekal komited untuk terus berkhidmat kepada pelanggan Peugeot dengan menawarkan servis tanpa gangguan, alat ganti, waranti dan perkhidmatan selepas jualan di Malaysia.

Hala tuju dan strategi baharu Stellantis untuk rantau ASEAN termasuk cita-cita elektrifikasinya, dan menilai potensi kilang di Gurun, Kedah sebagai hab pembuatan serantau kenderaan elektrik berasaskan bateri (BEV) untuk pasaran domestik dan eksport di ASEAN, selain memacu penggunaan BEV di rantau ini.

Stellantis melabur lebih RM2 bilion (€400 juta) untuk memperkenalkan platform STLA Medium ke rantau ASEAN. Platform modular-by-design ini membolehkan Stellantis menghasilkan kenderaan berbilang tenaga (BEV, ICE, MHEV) dan mewujudkan pemasangan tempatan dari jenama Stellantis seperti Jeep dan Citroën.

Peugeot 2008 SE dapat kemasan hitam dan dekal khas, tambah RM2,900 sahaja

PEUGEOT 2008 merupakan antara SUV segmen-B paling bergaya dalam pasaran Malaysia. Tetapi Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd telah memperkenalkan pakej SE dan menjadikan 2008 ini lebih bergaya dan eksklusif lagi.

Peugeot 2008 SE didatangkan dengan dekal grafik unik di bonet depan dan sisi. Kemudian, bampar depan dan belakang serta trim sisi diberikan warna Matte Black. Pelengkap kepada pakej SE ini adalah kemasan Piano Black pada rim 17-inci padanya.

Peugeot 2008 SE ditawarkan dengan harga tambahan sebanyak RM2,900 berbanding model biasa, dan hadir bersama jaminan aksesori tulen Peugeot selama satu tahun dari tarikh pemasangan.

Produksi model Peugeot 2008 SE telah dilakukan bulan lepas dan penyerahan kenderaan dijangka bermula hujung bulan ini. Versi SE ini hanya hadir untuk warna Orange Fusion dan Pearl White.

Aspek lain pada Peugeot 2008 SE ini adalah serupa dengan model biasa, bermakna SUV ini dilengkapi lampu LED dengan DRL menyerupai taring, rekaan i-Cockpit dengan paparan instrumen digital 10-inci hologram, dan unit infotainmen 7-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Peugeot 2008 dikuasakan oleh enjin 1.2-liter PureTech tiga-silinder petrol turbo yang cukup untuk menghasilkan 130hp dan 230Nm tork.

Kotak gear pula ialah automatik 6-kelajuan yang menghantar kuasa ke roda depan. Terdapat tiga mod pemanduan boleh dipilih iaitu Eco, Normal dan Sport.

Peugeot 2008 SE kini dibuka untuk tempahan melalui semua cawangan pengedar rasmi seluruh negara.

Tiga unit Kia Carnival 2022 diserah kepada FAM untuk skuad Harimau Malaya

KIA menerusi syarikat pengedarnya, Dinamikjaya Motors Sdn Bhd (DJM), anak syarikat kepada Bermaz Auto Berhad (BAuto) telah menyerahkan tiga unit Kia Carnival 2022 baharu untuk kegunaan barisan jurulatih skuad Harimau Malaya.

Penyerahan itu adalah sebahagian dari kerjasama strategik antara jenama itu dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

MPV-MPV itu akan memudahkan urusan kerja Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon melakukan pemerhatian terhadap pemain-pemainnya di seluruh negara selain digunakan untuk melancarkan kerja-kerja logistik Unit Pentadbiran FAM.

Menurut Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, kerjasama bersama DJM ini telah bermula pada kempen Kelayakan Piala Asia 2023 Jun lalu namun kerjasama berkenaan ketika itu khusus untuk tempoh kejohanan sahaja.

“Menerusi kejayaan serta persembahan berkualiti Harimau Malaya pada Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, ia berjaya menarik perhatian DJM untuk meneruskan jalinan kerjasama bersama kami sekali gus menjadi rakan rasmi automotif FAM dan Harimau Malaya.

“Sebagai presiden FAM, sudah tentu jalinan kerjasama ini adalah pencapaian yang amat membanggakan di mana FAM dapat meluaskan lagi hubungan strategik bersama syarikat-syarikat gergasi di luar sana,” kata Datuk Haji Hamidin.

Sementara itu, Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Prima Auto Sdn Bhd/Dinamikjaya Motors Sdn Bhd, Dato Amer Hamzah Ahmed berkata: “DMJ komited terhadap pembangunan sukan di Malaysia di mana sukan adalah salah satu medium untuk mencipta serta menggalakkan persekitaran yang sihat demi membangunkan negara.”

Kia Carnival 2022 merupakan versi CKD yang dipasang di fasiliti Inokom di Kulim, Kedah, dan hadir dengan varian 7 dan 8 tempat duduk. Ia dijual pada harga antara RM231,228.80 hingga RM261,228.90.

Carnival 2022 dipacu oleh enjin 2.2-liter turbo diesel dengan output 199hp dan 440Nm tork, dipadankan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan.

Peugeot 2008 rasmi dilancar, 1.2 turbo dengan 130hp, RM127k

PEUGEOT 2008 telah rasmi mendarat di Malaysia hari ini, dibawakan oleh Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd selaku pengedar jenama itu.

Peugeot 2008 merupakan SUV kompak atau crossover segmen-B, bermakna ia bersaing dengan model-model seperti Honda HR-V, Proton X50, Toyota Corolla Cross, Hyundai Kona dan Mazda CX-3.

SUV ini dipasang secara CKD di kilang Stellantis di Gurun, Kedah. Menurut Peugeot, 2008 ini telah diuji melebihi 200,000 di jalanraya dan suasana Malaysia untuk memastikan ketahanannya di cuaca negara kita.

Bahagian luaran Peugeot 2008 ini menampilkan gril besar yang rata, bonet depan berbentuk unik, dan lampu depan LED berserta DRL LED yang ditarik ke bawah menyerupai taring.

Lampu depan dan belakang ini mengekalkan pencahayaan berbentuk tiga-cakaran yang menjadi identiti pada model-model Peugeot sebelum ini. Rim pula adalah jenis Black Onyx & Diamond Cut dengan gaya menonjol, bersaiz 17-inci.

Ciri lain adalah rel bumbung, keyless entry, pengesan parkir depan dan belakang, serta cermin sisi berkuasa dengan fungsi pemanas.

Rekaan i-Cockpit generasi terkini Peugeot 2008 ini juga cukup unik dengan susunan tersendiri dimana paparan instrumen digital 10-inci dipancar jelas seperti hologram.

Di tengah terdapat skrin infotainmen 7-inci yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay. 2008 ini juga hadir dengan sistem penghawa dingin automatik, brek parkir automatik, pengecas USB, serta perehat tangan di tengah dengan jahitan kontra.

Peugeot 2008 dikuasakan oleh enjin 1.2-liter PureTech tiga-silinder petrol turbo yang cukup untuk menghasilkan 130hp dan 230Nm tork.

Kotak gear pula ialah automatik 6-kelajuan yang menghantar kuasa ke roda depan. Terdapat tiga mod pemanduan boleh dipilih iaitu Eco, Normal dan Sport.

Ciri keselamatan merangkumi enam beg udara, Hill Start Assist, Electronic Stability Program (ESP), Anti-lock Braking System (ABS), Electronic Brake-Force Distribution (EBD) dan Emergency Brake Assist (EBA).

Terdapat juga ciri keselamatan lebih terkini seperti kamera belakang 180-darjah Visiopark 1, Active Lane Keeping Assist, Driver Attention Assist, Blind Spot Monitoring dan Active Safety Brake.

 

Harganya? Peugeot 2008 dijual pada RM126,753 dan ditawarkan dengan empat warna – Amazonite Grey, Nera Black, Pearl White dan Orange Fusion.

Peugeot 2008 ini juga hadir dengan jaminan lima-tahun atau 100,000km serta pakej servis percuma tiga-tahun atau 60,000km.