fbpx

Kia Sportage 2025, lima perkara yang perlu anda tahu – Pandu Uji Ringkas

20250123_KIA00344

Beberapa hari sebelum sambutan perayaan Tahun Baru Cina, pihak Dinamijaya Motors selaku pengedar tunggal kenderaan jenama Kia menjemput para pengamal media automotif untuk menguji SUV segmen C yang baharu sahaja dilancarkan – Kia Sportage 2025.

Untuk makluman, pasaran kita boleh dikatakan agak lambat menerima kehadiran model Sportage ini, memandangkan generasi kelima Sportage telah diperkenalkan sejak tahun 2021 lagi di pasaran global.

Namun usah risau, kerana unit Sportage yang dilancarkan ini merupakan unit CKD (pemasangan tempatan) yang lahir dari kilang Inokom, Kulim, Kedah, bermakna ia datang dengan harga yang cukup kompetitif.

Kami diberikan peluang untuk memandu uji dua varian teratas, iaitu Sportage 1.6T 2WD High dan 1.6T AWD High.

Berikut merupakan input kami berdasarkan pemanduan singkat yang dibuat tempoh hari:

 

1. Rupa luaran yang lebih menonjol

Reka bentuk luaran Kia Sportage membawakan satu anjakan perubahan yang cukup besar berbanding generasi terdahulu.

Menggunakan pendekatan yang dinamakan sebagai Opposites United, Kia Sportage menampilkan muka hadapan yang agresif, dimulakan dengan struktur jeriji hidung harimau serta unit lampu nyalaan siang (DRL) LED berbentuk bumerang yang memisahkan jeriji dengan lampu utama.

Elemen bumerang itu turut dipadankan pada unit lampu belakang, namun dengan bukaan yang lebih kecil.

Profil sisi SUV ini dikemaskan dengan jalur krom memanjang yang menghiasi bahagian bawah perumah kaca, serta kemasan warna hitam pada setiap sudut gerbang roda.

Rekaan yang serba agresif ini mampu menjadi satu ‘plus point‘ buat para pemilik yang mahukan kelainan di atas jalan raya, dan mungkin sekali sesuai bagi mereka yang rasa jemu dengan kewujudan SUV buatan China yang ‘sepesen’ rupanya.

Apapun, sila tepuk dada dan tanya selera masing-masing terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

 

2. Rekaan kokpit berorientasikan pemandu

Penulis cukup suka dengan susun atur papan pemuka Kia Sportage serba baharu ini.

Cukup kemas dan paling penting rekaannya yang berorientasikan pemandu di mana papan skrin tengah dan panel kawalan di bahagian bawah corong pendingin hawa disudutkan ke arah pemandu.

Dengan postur dan kedudukan pemandu yang optimum, tiada sebarang masalah untuk mencapai komponen yang disebutkan itu tadi untuk mengubah tetapan semasa memandu.

Walaupun tiada butang kawalan fizikal untuk sistem pendingin hawa, panel berasaskan sentuhan itu amat mudah untuk digunakan, dan pemandu tidak perlu untuk menyelongkar tetapan yang tertanam di dalam skrin utama.

Menjadikan baris pertama nampak lebih lapang ialah penggunaan tombol rotari PRND di bahagian konsol tengah.

Selain itu, masih wujud butang-butang kawalan fizikal di bahagian tersebut untuk fungsi yang sangat diperlukan, seperti penukaran mod pemanduan, Auto Hold dan kamera keliling.

Untuk penggemar Apple CarPlay dan Android Auto, usah risau kerana ciri ini sememangnya wujud pada Kia Sportage.

 

3. Kabin yang selesa dan praktikal

Diposisikan sebagai SUV segmen C, Kia Sportage merupakan satu alternatif bagi mereka yang tidak menggemari SUV bersaiz besar seperti Kia Sorento.

Dengan ukuran saiz yang menghampiri dimensi sebuah Honda CR-V, nyata ruang bukanlah satu masalah besar buat Kia Sportage ini.

Paling penting, penumpang belakang boleh menikmati sudut sandar yang lebih besar julatnya, sama ada kedudukan yang lebih tegak atau sudut yang lebih selesa sepanjang perjalanan.

Satu perkara yang penulis suka pada Kia Sportage ini ialah kehadiran cangkuk besar pada struktur perehat kepala yang boleh digunakan untuk menggantung jaket, beg membeli belah atau tudung bawal.

Ruang kargo adalah sebesar 543 liter secara standard, dan boleh mencapai kapasiti sehingga 1,829 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

 

4. Pemanduan

Terus terang penulis cakap, pemanduan yang ditawarkan oleh Kia Sportage ini berjaya memenuhi apa yang dijangkakan.

Dengan respons stereng cukup tepat dan hidup, penulis tidak berdepan dengan masalah sepanjang mengendalikan SUV segmen C ini, baik di atas lebuh raya, Litar Antarabangsa Karak, serta jalan lama yang penuh dengan selekoh berliku.

Malah, sistem pembetulan putaran stereng juga beroperasi dengan cara yang lebih mesra pemandu, tidak terlalu agresif sehinggakan pemandu rasa jengkel seperti yang dirasakan pada sesetengah model pesaing.

Kia Sportage 1.6T ini mampu menjana kuasa setinggi 177 hp dan 265 Nm, dipadankan dengan kotak gear klac berkembar (DCT) tujuh nisbah kelajuan.

Bermula dengan unit 1.6T AWD, respons pecutan yang dirasakan sedikit kurang bertenaga berbanding dengan varian 2WD yang kami uji selepas makan tengah hari.

Namun, ia bukanlah satu masalah besar jika anda bukan tergolong di dalam kategori kaki tekan.

Ini kerana anda harus tahu kelebihan Kia Sportage yang seterusnya: ruang kabin yang senyap untuk kelajuan yang normal.

Dengan talaan suspensi yang cukup berkesan untuk pelbagai kualiti jalan raya di Malaysia ini, sukar juga untuk kami merasakan gegaran dan kekasaran yang ketara di dalam ruang kabin, melainkan jika anda memandunya dengan cara yang lebih agresif.

 

5. Harga

Kia Sportage 2025 untuk pasaran Malaysia dijual pada harga bermula dari RM149,781.78 untuk varian 2.0G, manakala unit yang kami pandu uji ini bermula dari RM179,599 untuk varian 1.6T 2WD, dan dari RM189,599 untuk varian AWD.

Apa pula beza antara varian 1.6T 2WD dan 1.6T AWD?

Tiga benda sahaja yang membezakan kedua-dua varian tersebut, iaitu sistem pacuan semua roda lengkap dengan kekunci pembeza, rel bumbung, dan sistem audio Harman Kardon lapan pembesar suara.

Jadi, tidak salah pun untuk anda memilih model 1.6T 2WD kerana ia juga turut dilengkapi dengan sistem keselamatan menyeluruh termasuklah enam beg udara, amaran pelanggaran titik buta (BCW), bantuan suluhan tinggi (HBA), sistem pemantauan titik buta (BVM), dan tidak ketinggalan kawalan jelajah pintar (SCC).

Lebih banyak info akan kami kongsikan pada artikel pandu uji yang lebih menyeluruh akan datang.

 

Spesifikasi Kia Sportage 2025

Enjin: Gamma II 1.6 liter turbo, empat silinder sebaris
Kuasa: 177 hp @ 5,500 rpm, 265 Nm @ 1,500 rpm
Transmisi: DCT tujuh kelajuan
Suspensi hadapan: Topang MacPherson
Suspensi belakang: Multi-Link
Rim: 18 inci

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved