fbpx

Stellantis pertimbang jadikan kilang di Gurun sebagai hab serantau BEV

stellantis

STELLANTIS telah menggariskan rancangan bagi mewujudkan penyelesaian mobiliti baharu di rantau ASEAN, serta hasrat untuk menerajui peralihan kepada elektrifikasi.

Stellantis merupakan antara pengeluar kereta terbesar dunia dengan 14 jenama ikonik seperti Peugeot, Citroën, Ram, Maserati, Alfa Romeo, Jeep dan banyak lagi. ASEAN merupakan salah satu daripada tiga pasaran utamanya.

Syarikat itu menyasarkan untuk memperkenalkan platform STLA Medium ke rantau ASEAN yang telah diperkenalkan secara global pada Jun 2023.

STLA Medium ialah platform global ‘BEV-by-design’ dengan ciri-ciri canggih termasuk menawarkan jarak perjalanan 700 km, kecekapan tenaga, kuasa terbaik, dan kuasa pengecasan.

Selaras dengan komitmennya terhadap kelestarian jangka panjang dan sasaran untuk mencapai strategi Dare Forward 2030, Stellantis melabur lebih RM2 bilion (€400 juta) untuk memperkenalkan platform STLA Medium.

Platform itu membolehkan Stellantis menghasilkan kenderaan pelbagai tenaga (BEV, ICE, MHEV) di ASEAN untuk ASEAN yang mampu mewujudkan peluang penyumberan untuk pembekal dan pengilang tempatan melebihi RM5 bilion (€990 juta) dalam tempoh empat tahun akan datang.

Melalui pelaburan ini, Stellantis komited untuk menerajui peralihan kepada elektrifikasi dalam pasaran ASEAN yang mana dapat membuka banyak peluang baharu menjangkaui aspek pembuatan.

Ini boleh merangkumi pertumbuhan berdasarkan ekosistem elektrifikasi tempatan, termasuk pemasangan pek bateri secara tempatan dan peluang pekerjaan baharu berkaitan, yang merangsang perniagaan tempatan serta memberi kesan positif kepada ekonomi.

Daniel Gonzalez, Ketua Pegawai Operasi dan Pengedar Am Stellantis bagi ASEAN berkata potensi EV sangat besar di ASEAN dan pihaknya mahu menghasilkan EV di ASEAN, serta melibatkan pembangunan dan kejuruteraan kenderaan yang disesuaikan dengan keperluan khusus pengguna tempatan di rantau ini

Selaras dengan matlamatnya, Stellantis telah bekerjasama dengan kerajaan Indonesia dan pihak berkepentingan lain di negara terbabit, sebagai sebahagian daripada penyetempatan dan pelan pelaburan bahan untuk bateri huluan untuk menyokong strategi elektrifikasinya.

Ini termasuk perjanjian dengan Indomobil Group, syarikat automotif bersepadu tempatan yang berpengalaman bagi memulakan aspek pemasangan tempatan kenderaan elektrik Citroën pada 2024.

Selain itu, pada Julai 2023, Stellantis menjadi ahli konsortium antarabangsa yang dibentuk untuk membangunkan  ekosistem kenderaan elektrik hijau yang bertanggungjawab di Indonesia.

Inisiatif ini akan membantu Stellantis mengembangkan kehadirannya di Indonesia, sekali gus menyokong matlamatnya di rantau ini.

Pada 2021, Stellantis memperoleh 100 peratus kepentingan pemilikan kilang di Gurun, Kedah dan menubuhkan Ibu Pejabat Wilayah India serta Asia Pasifiknya di Kuala Lumpur, iaitu sebagai sebahagian daripada pelan hala tujunya “Built in ASEAN for ASEAN”.

Stellantis sedang menilai potensi kilang di Gurun sebagai hab pembuatan serantau untuk mengeluarkan kenderaan elektrik berasaskan bateri (BEV) untuk pasaran domestik dan eksport di ASEAN.

Kilang terbabit kini mengeluarkan Peugeot 2008, 3008 dan 5008 yang diedarkan ke pasaran di rantau ini termasuk Malaysia, Filipina, Thailand dan Kemboja.

Antara inisiatif pertumbuhan tambahan di rantau ini termasuk penubuhan Akademi Latihan Serantau dan pusat peningkatan kemahiran berasaskan kecekapan dalam Perkhidmatan Produk, Komersial dan Perkhidmatan Selepas Jualan.

Organisasi ASEAN & Pengedar Am adalah bahagian penting di rantau India & Asia Pasifik (IAP). Rantau IAP ialah salah satu kawasan pertumbuhan “Enjin Ketiga” (Third Engine) Stellantis bersama-sama dengan Amerika Selatan dan Timur Tengah & Afrika.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved