fbpx

CFMoto tayang rangkaian motosikal baharu 2024 di EICMA

cfmoto 800nk gp 02

CFMOTO memanfaatkan acara EICMA di Fiera Milano bagi menayangkan rangkaian model-model 2024 mereka.

Syarikat dari Hangzhou, China ini merupakan antara pengeluar paling pesat membangun. Jadi, mari kita lihatkan apa yang bakal dibawa oleh mereka tahun depan.

125NK Concept

Pertama ialah bagi segmen 125cc, dengan 125NK Concept. Ia menggambarkan jentera yang seronok ditunggang dengan rekaan menyerlah.

125NK mendapat lengan ayun tunggal yang dibina bersama penutup gentian karbon di tayar belakang, manakala ekor yang tirus membaluti tempat duduk dan menempatkan ekzos sporti. Lampu depan adalah LED, dengan bahu dan tangki besar diapit oleh panel sisi yang unik.

MT-X Concept

Seterusnya ialah MT-X Concept dengan tema X. Model ini memfokuskan kepada visi berteknologi tinggi, dengan penggayaan unik bersama grafik dan warna oktanium.

Bahagian depan yang besar dan agresif dilengkapi dengan lampu LED. Motosikal ini juga mendapat skrin TFT sesentuh menegak 8-inci, sayap sisi terapung, rim depan 21-inci, jarak kelegaan tanah yang tinggi, dan suspensi tinggi.

Enjin 675

Enjin 675cc ini merupakan unit tiga-silinder pertama dari CFMoto, yang dibangunkan mereka sendiri. Ia menampilkan berat yang rendah, dengan ketahanan tinggi, pecutan pantas, dan penghantaran kuasa lancar.

Enjin ini mampu menghasilkan lebih 100hp dan 68Nm tork, dan menurut CFMoto, mampu memberikan pecutan ke 100km/j dalam masa hanya 3 saat. Sukar dipercayai?

450MT

Model seterusnya adalah jentera adventure, iaitu 450MT. Dengan enin 449cc parallel-twin yang ditala untuk menghasilkan 44hp pada 8,500rpm dan 44Nm pada 6250rpm, ia juga turut mendapat pengimbang khas untuk kelancaran respon dan mengurangkan gegaran.

Motosikal ini mempunyai berat sekitar 175kg. Ia turut hadir dengan suspensi KYB dengan pergerakan 200mm, pelarasan preload, ia dibina khas untuk ditunggang di jalan off-road. ABS dwi-saluran, Traction Control, dan paparan TFT dengan Bluetooth diberikan secara standard.

800NK GP

Bagi mereka yang berjiwa kelajuan, jangan risau, anda boleh lihat 800NK GP. Ini merupakan model paling berkuasa dalam rangkaian dan telah menjadi tunjang kepada projek Moto3 CFMoto.

Motosikal ini mempunyai posisi tunggangan sporti, dan komponen-komponen berorientasikan perlumbaan seperti suspensi boleh-laras, ekzos slip-on, pemijak kaki tinggi, bar hendal direndahkan, pelindung fork dan lengan ayun, serta konfigurasi satu tempat duduk.

CL-C Low Ride dan CL-X Spirit

Akhir sekali tidak ketinggalan ialah motosikal untuk para peminat kustom, dimana CFMoto mempertaruhkan CL-C Low Ride dan CL-X Spirit.

CL-C Low Ride didatangkan dengan ekor belakang gaya bobber, rim dengan tayar saiz besar, ekzos berkembar, tempat duduk dengan jahitan kontra, bahagian badan krom, dan tangki minyak berbentuk teardrop.

CL-X Spirit pula merupakan jentera scrambler yang dilengkapi ekzos berkembar dengan profil baharu, kemasan kulit premium, tayar off-road dengan rim spoke, suspensi dan brek dikemaskini, dan bingkai tubular.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved