Arkib Tag: Aventador

Lamborghini Revuelto pengganti Aventador, masih enjin 6.5-liter NA!

DENGAN penamatan pengeluaran Aventador pada September 2022 lepas, maka berakhirlah satu era sepanjang kira-kira 12 tahun.

Kini pengganti supercar itu telah didedahkan, iaitu Lamborghini Revuelto. Menariknya, dalam zaman EV dan turbo sekarang, Lamborghini masih ‘berdegil’ dengan memberikan Revuelto enjin naturally-aspirated 6.5-liter V12 berkuasa 813hp.

Tetapi enjin itu telah mendapat bantuan tiga motor elektrik, memberikan output keseluruhan setinggi 1,0001hp. Ia masih AWD, tetapi kini kuasa disalurkan melalui kotak gear baharu, dwi-klac 8-kelajuan.

Hasilnya, pecutan 0-100 dalam 2.5-saat, dan 200km/j boleh dicapai kurang 7 saat. Kelajuan maksima pula ialah 350km/j. Dengan motor elektrik yang dibekalkan, Lamborghini Revuelto boleh dipandu dalam mod EV secara senyap sejauh 9.6km.

Dari segi penggayaan, Revuelto masih membawakan sedikit rupa dan bayangan Aventador. Tetapi perincian pada Revuelto termasuklah elemen Y pada banyak komponen badan seperti lampu depan, lampu belakang, papan pemuka, dan ruang kemasukan udara di sisi.

Menurut Lamborghini, elemen Y itu dikaitkan dengan aeroangkasa masa kini. Lebih tepat lagi, jet pejuang F-35 Lightning II. Oh ya, scissor door masih dikekalkan, yang menjadi identiti kenderaan Lamborghini.

Revuelto dibina dari casis monocoque baharu dengan struktur depan dari gentian karbon sepenuhnya. Ia mendapat tayar Bridgestone Potenza Sport khas dengan profil 265/35/20 di depan dan 345/30/21 di belakang. Tak cukup agresif? Anda boleh pilih kombinasi 265/30/21 dan 355/25/22.

Untuk bahagian kabin, Lamborghini Revuelto dilengkapi paparan instrumen digital 12.3-inci, dan paparan instrumen potret bersaiz 8.4-inci di tengah.

Penumpang juga mendapat paparan sendiri sebesar 9.1-inci, dimana Lamborghini mengatakan boleh menggalas tugas sebagai co-pilot bagi pemandu. Fungsi seperti pendingin hawa, navigasi, dan muzik boleh dikawal penumpang, maka pemandu boleh fokus kepada pemanduan.

Terdapat sedikit elemen mesra alam pada supercar ini, dimana proses pembuatannya kini lebih cekap. Balutan kulit di dalam pula menggunakan polyester kitar semula.

Lamborghini mengklasifikasikan Revuelto sebagai high performance electrified vehicle (HPEV). Ciri prestasi lain pada Revuelto termasuklah sistem stereng roda belakang, struktur lebih keras, dan beberapa komponen belakang yang diintegrasikan menjadi satu.

Lamborghini Revuelto bakal dilancarkan secara rasmi hujung tahun ini. Harga belum didedahkan, tetapi sila jangkakan peningkatan dari Aventador sebelum ini.

Selepas 11,465 unit sejak 2011, pengeluaran Lamborghini Aventador akhirnya tamat

SELEPAS mengeluarkan 11,465 unit sejak 2011, Lamborghini akhirnya menamatkan pengeluaran dan pemasangan Aventador.

Unit terakhir yang dikeluarkan adalah merupakan Avantardor Roadster Ultimae dengan warna biru khas yang dipilih melalui program kustom Ad Personam. Kereta terakhir ini akan pergi ke seorang pembeli di Switzerland.

Sebenarnya, ini kali kedua Lamborghini menamatkan pengeluaran Aventador. Sebelum ini 15 buah dari 4,000 unit kereta tenggelam dalam insiden kapal kargo Felicity Ace. Lamborghini terpaksa memulakan semula pengeluaran untuk menggantikan unit yang musnah itu.

Aventador terbukti sebagai salah satu model Lamborghini paling berjaya dengan jumlah jualan melebihi gabungan model-model V12 lain. Malah, jualan Aventador melebihi Murcielago hanya dalam tempoh lima tahun selepas pengenalannya.

85 peratus pelanggan memilih Aventador mereka melalui program kustom Ad Personam, bermakna terdapat lebih dari 200 kombinasi warna dan trim di luar sana.

Lamborghini memperkenalkan Aventador dalam konfigurasi LP700-4 coupe pada 2011 di Geneva Motor Show. Ia dikuasakan oleh enjin 6.5-liter V12 dengan sudut silinder 60-darjah.

Versi awal menghasilkan 690hp dan 690Nm tork, membolehkan supercar itu memecut ke 100km/j dalam hanya 2.9 saat, dengan kelajuan maksima 350km/j.

Sepanjang pengeluaran Aventador, Lamborghini juga telah mengeluarkan beberapa varian dan menggunakan model itu sebagai asas kepada model-model terhad.

Ini termasuklah SVJ yang mencatatkan rekod masa pusingan di Nurburgring Nordschleife dalam hanya 6 minit 44.97 saat. Terdapat juga model lain seperti Veneno, Centenario, Sian FKP 37, dan Countach LPI800-4.

Pengganti Aventador dilaporkan telah mula menjalani ujian, dan ia nampak hampir sama dengan model sekarang. Ia juga akan mendapat sistem elektrifikasi hibrid, tetapi enjinnya masih V12.

Pengganti ini dikatakan bakal dilancarkan pada 2023. Berakhirlah satu era dalam Lamborghini. Selamat jalan, Aventador.

Insiden Felicity Ace, Lamborghini terpaksa produksi semula Aventador?

LAMBORGHINI berkemungkinan terpaksa membuka kembali barisan produksi model Aventador.

Ia susulan kebakaran kapal Felicity Ace yang membawa model tersebut untuk dipasarkan di Amerika Syarikat.

Memetik laporan media, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lamborghini Amerika Andrea Baldi bagaimanapun masih belum mengesahkan jumlah keseluruhan kerugian dialami.

Sebelum ini, Lamborghini mengesahkan tidak lagi akan memproduksikan model Aventador.

Kesemua unit Aventador dikatakan habis terjual dan akan digantikan dengan model baharu.

“Ketika ini kami masih tiada maklumat lanjut dan harus berdepan dengan apa jua masalah.

“Semua unit Aventador telah habis terjual dan terdapat kemungkinan sebilangan kecil pelanggan mahukan model pengganti.

“Namun, kami berharap sekurang-kurangnya beberapa unit Aventador di atas kapal itu terselamat daripada sebarang kerosakan,” katanya.

Kelihatan Felicity Ace sedang terbakar dengan dilitupi asap tebal. – Foto ihsan Business Insider

Kapal Felicity Ace dilaporkan terbakar ketika berlayar ke Davisville, Rhode Island selepas berlepas dari pelabuhan Emden, Jerman.

Bagaimanapun, kesemua anak kapal dalam keadaan selamat selepas diselamatkan sebuah kapal tangki dan anggota keselamatan Portugal.

Felicity Ace turut dikhabarkan hanyut di lautan Atlantik memandangkan tiada sebarang kru mengemudi kapal berkenaan.

Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Lamborghini Countach 2022 ini supercar hibrid 800hp yang akan jadi ‘poster’ telefon pintar anda

INI dia, Lamborghini betul-betul menghasilkan semula Countach baharu sepenuhnya. Buat kali pertama, pengeluar dari Sant’Agata itu menghidupkan nama lama mereka selepas 30 tahun.

Countach dikatakan menjadi pencetus kepada segmen supercar dan terus menjadi poster bilik tidur budak lelaki pada masa itu. Mungkin Lamborghini Countach 2022 ini akan menjadi wallpaper telefon pintar pula?

Apalah sebuah Lamborghini jika kita tidak menceritakan bab enjinnya. Nadi kepada Countach baharu ini masih V12 seperti dulu, tetapi versi moden mengambil unit 6.5-liter dari Aventador. Malah, Countach LPI 800-4 ini memang berasaskan Aventador.

Gambar oleh: Lamborghini

Tetapi Lamborghini Countach ini menerima penambahan sistem hibrid pada enjinnya. V12 6.5-liter itu sahaja menjana 769hp ditambah oleh motor elektrik berkuasa 25kW (34hp), menjadikan jumlah outputnya sebanyak 803hp.

Kuasa dihantar ke semua roda melalui kotak gear automatik 7-kelajuan, membolehkan Countach ini memecut dari pegun ke 100km/j dalam 2.8 saat, 200km/j dalam 8.6 saat dan mencapai kelajuan maksima 356km/j.

Sudah tentu rekaannya perlu mengambil elemen dari kereta asal. Jadi Countach LPI 800-4 ini mendapat muncung depan yang rata dan lampu dengan posisi hampir sama (walaupun tiada lagi pop-up).

Ruang kemasukan udara sisi mempunyai rekaan segi tiga mirip corong NACA pada Countach asal, dan rekaan belakang mendapat ‘ekor’ yang leper berserta empat ekzos. Oh ya, tidak dilupakan pintu scissor untuk pelengkap gaya dramatik.

Rim Countach baharu ini mengambil bentuk dail telefon lama dan bersaiz 20-inci di depan, 21-inci di belakang.

Baik, untuk harga, Lamborghini tidak mengumumkan sebarang angka, tapi ada yang berkata ia sekitar USD1 juta (RM4.24 juta). Apa yang pasti, hanya 112 unit akan dibina. Penghantaran akan bermula pada suku pertama 2022.

Gambar Lamborghini Countach 2022 bocor! Gaya klasik sebuah ikon, tiada lampu ‘pop up’

HANYA beberapa hari selepas Lamborghini menyiarkan teaser mengenai Countach baharu, kini bocor pula beberapa gambar yang menunjukkan rupa sebenar supercar V12 itu. Countach LPI 800-4 sepatutnya dilancarkan hujung minggu ini di Monterey Car Week.

Gambar-gambar yang diperoleh daripada laman Instagram @varryx_ itu mendedahkan rupa sebenar Countach yang menunjukkan ia mendapat banyak elemen rekaan dari ‘atuknya’ yang ikonik.

Gambar oleh: Instagram – varryx_

Sayang sekali tiada lampu depan pop-up walaupun posisi lampunya mirip model asal. Di bahagian tepi pula dapat dilihat ruang kemasukan udara di belakang tingkap dan di pintu dengan bentuk seperti Countach terdahulu.

Lamborghini Countach LPI 800-4 ini berasaskan Aventador, tetapi akan menerima sumber kuasa hibrid, seperti boleh dilihat pada designasi “LPI” padanya. Enjin V12 6.5-liter itu akan menjana 789hp dengan bantuan mild-hybrid 48-volt, dan mendapat pacuan semua-roda.

Model Aventador kian sampai ke penghujung hayatnya, jadi pengenalan supercar baharu ini bersesuaian pula dengan Lamborghini yang akan menyambut ulangtahun ke-50 model Countach itu. Difahamkan hanya 112 unit akan dibina, dan pastinya sekejap sahaja habis.

Tiada maklumat pilihan warna badan, dan tiada gambar dalaman yang bocor buat masa ini.

Kami akan kongsikan lebih maklumat terperinci apabila ia dilancarkan secara rasmi nanti.

Tiada lagi ‘Aventador’, Lamborghini keluar edisi terakhir LP780-4 Ultimae

NGAUMAN enjin aspirasi natural (NA) V12 yang ‘garang’ menjadikan Lamborghini Aventador digemari ramai.

Namun, setelah lebih 10 tahun berada di pasaran sayangnya legasi supercar itu bakal berakhir bagi memberi ruang kepada model generasi baharu dengan tren kuasa hibrid dan elektrik.

Bagaimanapun, sebelum pengeluaran Aventador dihentikan buat selama-lamanya, Lamborghini telah melancarkan edisi terakhir dikenali sebagai Aventador LP780-4 Ultimae.

Lamborghini memaklumkan hanya mengeluarkan 600 unit dengan pecahan 350 bagi varian Coupe dan 250 bagi jenis Roadster.

Aventador Paling Berkuasa

Pengeluar supercar dari Itali itu berkata, Ultimae adalah model Aventador paling berkuasa pernah dihasilkan.

Ini kerana ia didatangkan dengan enjin 6.5 liter yang mampu ‘menghamburkan’ kuasa maksimum 780 PS (peningkatan 40 PS dan 10 PS jika dibandingkan dengan Aventador S dan Aventador SVJ.

Namun, tork bagi Ultimae adalah masih sama seperti SVJ iaitu 720 Nm pada 6,750 rpm.

Tidak dinafikan model kenderaan dihasilkan Lamborghini mampu ‘memukau’ mata setiap memerhati. – Foto ihsan Lamborghini

Selain itu, enjin Ultimae masih dipadankan dengan transmisi automatik tujuh kelajuan dan sistem pacuan semua roda (AWD).

Terdapat pengurangan berat keseluruhan sebanyak 25 kilogram yang mana menyaksikan pecutan 0 hingga 100 km/j hanya dalam masa 2.8 saat! Kelajuan maksimum pula mampu mencecah 355 km/j!

Apa lagi menarik yang ada pada Ultimae?

Sistem brek karbon seramik terdapat pada Ultimae membolehkan ia berhenti dari kelajuan 100 km/j dalam jarak hanya 30 meter.

Selain kuasa, perhatian turut diberikan terhadap aspek pengendalian. Sama seperti versi S, Ultimae didatangkan standard dengan sistem kawalan stereng empat roda.

Sistem ini telah dikalibrasikan bagi menyalurkan lebih banyak tork ke roda belakang.

Setakat ini, masih belum diketahui harga bagi seunit Ultimae. – Foto ihsan Lamborghini

Sementara itu, sistem Lamborghini Dynamic Steering (LDS) pula memastikan pemandu dapat menikmati tindak balas stereng lebih tepat dan pantas ketika mengambil selekoh.

Sistem ini diuruskan oleh Lamborghini Dinamica Veicolo Attiva (LDVA) yang mendapat data daripada sensor diletakkan pada bahagian badan kenderaan.

Rekaan paling ‘mantul’

Menurut Lamborghini, rekaan luaran Ultimae menggabungkan elemen terdapat pada versi S dan SVJ.

‘Splitter’ dan bukaan besar pada bampar hadapan meningkatkan kecekapan aerodinamik serta membantu menyejukkan radiator.

Spoiler aktif di belakang mempunyai tiga posisi berbeza yang diaktifkan mengikut kelajuan.

Ruang Kabin Ultimae

Ruang dalaman dihiasi dengan campuran material kulit dan Alcantara dalam konfigurasi dua tona.

Ia juga menerima sentuhan perincian warna merah pada tempat duduk, panel pintu dan papan pemuka bagi versi Coupe.

Terdapat juga motif ‘Y’ dan cetakan ‘Ultimae’ pada tempat duduk, serta plak nombor siri pada tiang A sebelah pemandu.

Ultimae didatangkan dengan rim berukuran 20 inci di hadapan dan belakang.

Terdapat 18 pilihan warna standard dan 300 lagi rona unik yang boleh dipilih menerusi katalog Ad Personam.

Sambut gol ke-100 bersama Juventus, Dybala shopping Aventador kuning

PELBAGAI cara disambut bagi meraikan sesuatu kejayaan dalam hidup.

Ada yang berparti, menganjurkan kenduri, bercuti dan banyak lagi.

Namun, bagi pemain bola sepak Juventus Paulo Dybala, kejayaan menjaringkan gol ke-100 untuk kelabnya disambut dengan shopping kereta.

Kereta yang dibeli pula bukannya calang-calang, Lamborghini Aventandor S!!!

Jelas Dybala, kereta itu menjadi pilihannya selepas melakukan lawatan ke kilang Lamborghini di Sant’Agata Bolognese, Itali.

“Sudah lama saya menanti untuk mendapatkan kereta ini. Ia seperti satu penghormatan besar kerana dapat memilikinya,” katanya seperti dilapor Times of Malta.

Dybala merupakan pemain bola sepak kelahiran Argentina.

Berusia 28 tahun, Dybala telah beraksi sebanyak 29 kali untuk pasukan kebangsaan negaranya.

https://www.youtube.com/watch?v=IhDFUd0_s1I&t=11s

Aventador S Roadster

Aventador S Roadster merupakan supercar keluaran Lamborghini.

Mempunyai sistem stereng roda belakang, ia dijana enjin V12 berkuasa 740hp dan tork 690Nm.

Apakah kelebihan jentera ini?

Buat pengetahuan anda, Aventador S Roadster  mampu memecut 0 – 100 km/j kurang daripada tiga saat!

Kelajuan maksima yang boleh dicapai pula mencecah 350 km/j.

Setakat ini, harga bagi sebuah Aventador S Roadster mencecah $460,247 (sebelum cukai) atau bersamaan RM1,904,870.28!!!

Agak-agak bila pula kita mampu beli ya?