fbpx

Lamborghini Revuelto pengganti Aventador, masih enjin 6.5-liter NA!

lamborghini revuelto 04

DENGAN penamatan pengeluaran Aventador pada September 2022 lepas, maka berakhirlah satu era sepanjang kira-kira 12 tahun.

Kini pengganti supercar itu telah didedahkan, iaitu Lamborghini Revuelto. Menariknya, dalam zaman EV dan turbo sekarang, Lamborghini masih ‘berdegil’ dengan memberikan Revuelto enjin naturally-aspirated 6.5-liter V12 berkuasa 813hp.

Tetapi enjin itu telah mendapat bantuan tiga motor elektrik, memberikan output keseluruhan setinggi 1,0001hp. Ia masih AWD, tetapi kini kuasa disalurkan melalui kotak gear baharu, dwi-klac 8-kelajuan.

Hasilnya, pecutan 0-100 dalam 2.5-saat, dan 200km/j boleh dicapai kurang 7 saat. Kelajuan maksima pula ialah 350km/j. Dengan motor elektrik yang dibekalkan, Lamborghini Revuelto boleh dipandu dalam mod EV secara senyap sejauh 9.6km.

Dari segi penggayaan, Revuelto masih membawakan sedikit rupa dan bayangan Aventador. Tetapi perincian pada Revuelto termasuklah elemen Y pada banyak komponen badan seperti lampu depan, lampu belakang, papan pemuka, dan ruang kemasukan udara di sisi.

Menurut Lamborghini, elemen Y itu dikaitkan dengan aeroangkasa masa kini. Lebih tepat lagi, jet pejuang F-35 Lightning II. Oh ya, scissor door masih dikekalkan, yang menjadi identiti kenderaan Lamborghini.

Revuelto dibina dari casis monocoque baharu dengan struktur depan dari gentian karbon sepenuhnya. Ia mendapat tayar Bridgestone Potenza Sport khas dengan profil 265/35/20 di depan dan 345/30/21 di belakang. Tak cukup agresif? Anda boleh pilih kombinasi 265/30/21 dan 355/25/22.

Untuk bahagian kabin, Lamborghini Revuelto dilengkapi paparan instrumen digital 12.3-inci, dan paparan instrumen potret bersaiz 8.4-inci di tengah.

Penumpang juga mendapat paparan sendiri sebesar 9.1-inci, dimana Lamborghini mengatakan boleh menggalas tugas sebagai co-pilot bagi pemandu. Fungsi seperti pendingin hawa, navigasi, dan muzik boleh dikawal penumpang, maka pemandu boleh fokus kepada pemanduan.

Terdapat sedikit elemen mesra alam pada supercar ini, dimana proses pembuatannya kini lebih cekap. Balutan kulit di dalam pula menggunakan polyester kitar semula.

Lamborghini mengklasifikasikan Revuelto sebagai high performance electrified vehicle (HPEV). Ciri prestasi lain pada Revuelto termasuklah sistem stereng roda belakang, struktur lebih keras, dan beberapa komponen belakang yang diintegrasikan menjadi satu.

Lamborghini Revuelto bakal dilancarkan secara rasmi hujung tahun ini. Harga belum didedahkan, tetapi sila jangkakan peningkatan dari Aventador sebelum ini.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved