Arkib Tag: AMG

Hamilton jawab isu persaraan, mengaku lalui jalan sukar musim lalu

DUA bulan tamatnya saingan Formula Satu (F1) 2021, cakap-cakap mengenai masa depan pelumba kelahiran Britain Lewis Hamilton terus diperkatakan dalam kalangan peminat sukan itu.

Hal ini kerana Hamilton dilihat ‘mengunci’ mulut daripada mengeluarkan sebarang komen selepas gagal menjuarai saingan musim lalu.

Bagaimanapun, baru-baru ini Hamilton kembali bersuara mengenai masa depannya dalam satu temubual ketika majlis pelancaran jentera Mercedes-AMG F1 W13 E Performance.

Mengakui kecewa dengan prestasi musim lalu, Hamilton tetap berasa bersyukur kerana masih mempunyai sokongan keluarga, rakan sepasukan dan peminat.

Lewis Hamilton dan Max Verstappen selepas perlumbaan di Qatar pada musim lalu. – Foto ihsan F1

Justeru, juara dunia tujuh kali itu bertekad untuk kembali bertenaga dan memberi lebih fokus pada musim 2022.

“Saya ada keluarga dan mereka telah memberikan sokongan amat bermakna. Ia menjadi pendorong untuk saya kembali ‘bangkit’ pada musim ini.

“Saya gembira dengan apa yang dicapai selama ini. Tidak mungkin saya akan meninggalkan sukan dengan pasukan terbaik seperti sebuah keluarga sendiri,” katanya seperti dilaporkan portal TopGear.

Musim lalu, Hamilton gagal mengekalkan kejuaraan selepas kecundang ditangan pelumba Red Bull Racing Max Verstappen.

Mercedes-AMG F1 W13 E Performance. – Foto ihsan mercedesamgf1.com

Perlumbaan di Abu Dhabi berlangsung dengan penuh dramatik sehingga ia terus diperkatakan dalam kalangan peminat F1 sehingga ke saat ini.

Musim baharu F1 akan bermula pada 18 Mac di Litar Antarabangsa Bahrain.

Mercedes-Benz S73 T AMG – Wagon ‘sleeper’ dengan enjin supercar!

SULTAN Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah terkenal dengan koleksi kereta mewah baginda yang dipercayai antara yang terbesar di dunia.

Sudah tentu, daripada ribuan yang tersimpan di garaj Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan, ada sejumlah kereta yang dihasilkan khusus untuk baginda dan tidak boleh dibeli oleh orang lain.

Salah satu daripadanya adalah Mercedes-Benz S-Class versi wagon yang dikenali sebagai S73 T AMG. Sekilas pandang, tiada apa yang istimewa sangat mengenai kereta ini, selain bahagian hadapan yang diambil daripada 600SEC Coupe dan bentuk badannya yang membuatkan ia kelihatan unik.

Namun, buka bonet dan anda akan dapat lihat apa yang menjadikan wagon ini begitu istimewa.

Ini kerana ia dikuasakan oleh enjin 7.3-liter V12 yang turut digunakan pada Pagani Zonda C12S dan juga Mercedes-Benz SL73 AMG, model edisi khas yang pengeluarannya terhad kepada 85 unit sahaja.

Enjin aluminium buatan tangan yang dikenali dengan kod M120 itu ditala bagi menjana 565hp dan 750Nm.

Jumlah itu mungkin tidak begitu mengujakan pada zaman kini namun 24 tahun yang lalu, ia sudah cukup untuk menggerunkan sesiapa sahaja yang memandunya, lebih-lebih lagi apabila 100 peratus output disalurkan ke roda belakang sahaja.

Tugas ini diserahkan kepada kotak gear automatik 5-kelajuan. Masa pecutan 0-100km/j tidak diketahui namun wagon ‘gila’ ini dikatakan mampu mencapai kelajuan melebihi 300km/j.

Selain itu, Mercedes turut menggunakan sistem suspensi sport AMG, rim aloi monobloc berukuran 19-inci, sistem brek yang dinaik taraf dan sistem ekzos sport.

Untuk ruang dalaman pula, selain tombol gear yang diperbuat daripada gentian karbon, ia tampak tidak jauh berbeza dengan S-Class biasa.

Menurut khabar angin, Sultan Brunei memesan sebanyak 15 buah SL 73 T AMG tetapi hanya 10 sempat disiapkan dan diserahkan kepada baginda.

Tiada siapa tahu keadaan terkini wagon-wagon tersebut namun ada yang mengatakan ia terbiar reput tanpa diselenggara bersama-sama dengan kereta-kereta lain, yang mana kebanyakannya dimiliki oleh Pengiran Muda Jefri Bolkiah, adik kepada Sultan Hassanal.

Bagi peminat AMG, anda tidak perlu gusar kerana angka ‘73’ dalam barisan divisyen itu tidak akan mati begitu sahaja.

Ini kerana pada 2018, Daimler AG dilaporkan telah memfailkan tanda dagang bagi ‘S73’ yang dikatakan akan digunakan pada model hibrid plug-in yang mempunyai lebih 800hp dan 1,000Nm.

Mercedes SL 2022 serba baharu dilancarkan secara global, varian AMG sahaja, hingga 577hp

DENGAN sejarah sehingga 70 tahun, Mercedes SL-Class menjadi nama model paling lama untuk jenama Three-Pointed Star itu.

Kini, Mercedes memperkenalkan generasi terbaharu untuk roadster mewah ini dengan beberapa perubahan penting. Generasi R232 ini bukan lagi model Benz, tetapi hadir sebagai model AMG sahaja.

Ia kekal menggunakan konfigurasi roadster mewah dengan tempat duduk 2+2, tetapi kini menggunakan bumbung fabrik menjadikannya 21kg lebih ringan. Tiada lagi bumbung besi lipat seperti sebelum ini.

Dari segi rupa, Mercedes SL 2022 mendapat gril Panamericana yang garang dengan sirip menegak, diapit oleh sepasang lampu depan LED tajam seperti CLS.

Bahagian sisi kini lebih kemas dengan pemegang pintu elektronik jenis pop-up seperti pada S-Class terbaharu. Dengan menggunakan bumbung fabrik lebih ringan, secara langsung titik graviti SL ini lebih rendah, menjadikannya lebih dinamik untuk dipandu.

Di bahagian belakang, identiti AMG dapat dilihat dari ekzos quad dan diffuser besar. Spoiler belakang pula diintegrasi dengan but dan akan dinaikkan mengikut mod dan situasi pemanduan.

Untuk lebih aerodinamik, terdapat pilihan Aerodynamic Package yang hadir dengan dengan bampar, underbody dan diffuser lebih agresif.

Buat masa ini, Mercedes SL boleh didapati dengan varian SL55 dan SL63. Kedua-dua varian menggunakan enjin 4.0-liter V8 twin-turbo dimana SL55 menjana 469hp dan 700Nm tork, manakala SL63 menghamburkan sehingga 577hp dan 800Nm tork.

Output disalurkan melalui kotak gear automatik 9-kelajuan dengan buat pertama kali, SL dilengkapi dengan 4Matic+, menjadikannya jentera all-wheel drive.

Ciri lain adalah rear-wheel steering untuk belokan lebih tajam serta LSD elektronik untuk kestabilan apabila memecut keluar selekoh.

Bahagian kabin SL ini kekal sporti dan padat dengan teknologi terkini. Ini merangkumi tempat duduk AMG, stereng AMG, skrin besar 11.9-inci di tengah, paparan instrumen 12.3-inci, pemanas Airscarf, dan sistem MBUX terkini.

Lotus Exige yang kecil cili api ini disumbat dengan enjin 6.2-liter V8 AMG!

LOTUS Emira dilancarkan Julai tahun ini untuk menggantikan tiga model berusia dari pengeluar British itu. Elise, Exige dan Evora kesemuanya dihentikan pengeluarannya tahun ini.

Model Elise dan Exige menerima versi Final Edition sebagai ucapan selamat tinggal, tetapi dengan varian itu pun masih belum mempunyai kuasa sebanyak kereta yang dipaparkan dalam video di bawah.

Quentin Boylan telah membina sebuah Lotus Exige istimewa yang mungkin paling berkuasa di dunia. Ya, ini kerana Lotus Exige yang kecil itu telah disumbat dengan enjin 6.2-liter V8 dari Mercedes-Benz SLS AMG!

Untuk itu, beberapa perubahan besar perlu dilakukan pada casis dan badan Exige untuk memuatkan enjin naturally-aspirated itu. Malah, terdapat acuan kustom khas yang terpaksa dihasilkan untuk memberi ruang secukupnya untuk unit V8 itu.

Hasilnya ialah sebuah roket kuning-hitam dan klip video ini ada menunjukkan aksinya di litar.

Boylan mengambil masa kira-kira lima tahun untuk menyiapkan projek ini dan enggan mendedahkan keseluruhan kos yang dibelanjakan untuknya.

Tetapi bukanlah untuk berahsia, cuma menurut Boylan, “Saya tidak tahu dan tidak mahu tahu.” Mungkin angkanya mempunyai banyak angka sifar…

Sumber foto: Speedhunters dan Cars.co.za

Brabus 900 Rocket Edition Mercedes-AMG GLE63 S Coupe

DENGAN 612PS dan 850Nm, Mercedes-AMG GLE63 S Coupe boleh dikatakan sangat berkuasa untuk sebuah SUV moden. Namun, bagi syarikat tuner yang terkenal dengan rekaan-rekaan yang ekstrem seperti Brabus, angka ini masih boleh dipertingkatkan ke satu tahap yang lebih tinggi. Maka dengan itu, terhasillah Brabus 900 Rocket Edition.

Sudah tentu, tumpuan utama jentera ini terletak di bawah bonet, di mana kapasiti enjin biturbo V8 telah diperbesarkan dari 4.0-liter kepada 4.5-liter.

Digabungkan dengan pelbagai naik taraf lain, enjin tersebut kini menghasilkan 900PS dan 1,050Nm. Ini membolehkannya melakukan pecutan 0-100km/j dalam hanya 3.2 saat dengan bantuan daripada transmisi automatik 9-kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic+.

Bergantung kepada kombinasi tayar yang digunakan, 900 Rocket Edition mampu mencapai kelajuan 330km/j sebelum pengehad elektronik diaktifkan. Menariknya, enjin tersebut mampu menjana kuasa kilas sehingga 1,250Nm, namun ia dikurangkan bagi melindungi enjin dan transmisi.

Untuk perbandingan, GLE63 S Coupe ‘biasa’ memerlukan 3.8 saat untuk mencapai kelajuan 100km/j dari kedudukan pegun, manakala kelajuan maksimumnya pula ‘hanyalah’ 280km/j.

Menurut Brabus, antara komponen yang digunakan bagi mendapatkan peningkatkan kuasa termasuklah piston tempaan, pengecas turbo Brabus dengan unit pemampat 52mm, pam bahan api bertekanan tinggi serta adapter injap blow off.

Selain itu, SUV ini juga mendapat sistem ekzos karbon titanium dengan injap yang dikawal secara elektronik dan downpipe bersaiz 75mm. Gabungan ini sudah tentunya menghasilkan bunyi yang lebih agresif, sesuai dengan gelaran Rocket yang diberikan.

Pemilik bagaimanapun tidak perlu khuatir mereka akan mengganggu ketenteraman awam, terutamanya apabila pulang ke rumah pada waktu malam, kerana sistem ekzos ini juga dilengkapi dengan ciri Coming Home.

Seperti jentera-jentera keluaran Brabus yang lain, Rocket 900 Edition GLE63 S dihiasi dengan pelbagai elemen yang diperbuat daripada gentian karbon. Ini termasuk kemasan di sekeliling lubang ambilan udara, gerbang roda, spoiler, diffuser serta cakera aero pada rim 24-inci.

Melengkapkan lagi imej agresifnya adalah warna Superior Grey, logo Brabus pada gril, lencana Rocket Edition pada tailgate dan jalur merah pada gril dan rim.

Ruang dalaman pula menampilkan gabungan upholsteri kulit dan Alcantara, trim gentian karbon serta kemasan merah ‘Rocket Red’ di segenap sudut. Seperti biasa, pelanggan akan diberi keistimewaan untuk memilih upholsteri, kemasan, trim dan warna kegemaran mereka ketika membuat pesanan.

Pengeluaran model ini terhad kepada 25 unit sahaja untuk pasaran global. Ia dijual pada harga bermula dari 381,243 Euro (kira-kira RM1.8 juta).

Mercedes-AMG E63S 4Matic+ 2021 tiba di Malaysia – V8 bi-turbo dengan 612hp, 0-100 dalam 3.4 saat, harga dari RM1.12 juta

MERCEDES-Benz Malaysia (MBM) hari ini mengumumkan ketibaan sedan eksekutif berprestasi tinggi mereka, E63 S 4Matic+. Ia bukanlah serba baharu, tetapi versi kemaskini yang diasaskan dari E-Class W213 facelift yang diperkenalkan di Malaysia dua bulan lepas.

Enjin V8 AMG hand-built

Sebagai sebuah AMG, kita ceritakan bab mekanikal dahulu. Ia dipacu oleh enjin 4.0-liter V8 bi-turbo yang mampu menghasilkan 612hp dan 850Nm tork, dimana enjin ini menghantar kuasa ke semua roda melalui kotak gear AMG Speedshift MCT 9-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda 4Matic+.

Dari segi prestasi, Mercedes-AMG E63 S mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam hanya 3.4 saat, dan kelajuan maksima pada 300km/j.

Sistem 4Matic+ ini juga menampilkan Drift Mode yang akan menjadikan E63 S ini sedan pacuan roda-belakang. Hanya masuk ke mode RACE, nyahaktif ESP dan guna mod manual, dan ia terus sedia untuk menjadi jentera drift.

Sama ada anda mahu keluar selekoh secepat mungkin atau drift dengan bergaya, differential belakang dengan kawalan elektronik akan mengawal tahap gelincir roda belakang mengikut keperluan. Sistem ini juga menambah kestabilan apabila kenderaan membrek dari kelajuan tinggi.

AMG Dynamic Select dan Dynamic Engine Mounts

E63 S boleh disesuaikan untuk semua keadaan pemanduan, dengan adanya pilihan mod Slippery, Comfort, Sport, Sport+, Individual dan RACE.

Sedan ini juga dilengkapi dengan Dynamic Engine Mounts, satu ciri penting yang mampu melaras cagak enjin dengan cepat bergantung kepada situasi, sama ada anda mahu keselesaan atau ‘feel’ pemanduan maksima.

Rupa lebih segar

Untuk menjadikan Mercedes-AMG E63 S nampak lebih baharu dan segar, ia diberikan lampu LED yang direka semula, gril AMG dengan baru menegak baharu, dan bampar depan agresif yang sporti. Bahagian belakang juga direka semula, termasuk lampu LED dan diffuser.

E63 S untuk pasaran Malaysia datang standard dengan kemasan Silver Shadow, AMG Night Package, rim aloi 20-inci 5-bilah, serta pilihan warna-warna baharu.

Sementara itu di bahagian dalam, AMG E63 S dilengkapi kemasan kulit Nappa, serta lencana AMG untuk rasa lebih sporti dari E-Class biasa. Bahan khas AMG ini juga diberikan sulaman berwarna kuning untuk kontra.

MBUX dengan ciri “Hey Mercedes”

Dari segi teknologi pula, Mercedes-AMG E63 S kini mendapat sistem infotainmen MBUX dengan pelbagai fungsi canggih terkini serta fungsi arahan suara “Hey Mercedes”.

Menariknya, sistem ini direka untuk menjadikan pemilik lebih intim dengan kereta dan tidak terlalu formal, serta mampu mengawal pelbagai operasi kenderaan.

Selain itu, terdapat menu AMG dimana pemandu boleh mendapat maklumat seperti Engine Data, G-Meter dan RACETIMER serta program telemetri untuk analisis pemanduan di litar.

Harga? Bermula dari RM1,118,888.00 sahaja. Ini atau BMW M5 jadi pilihan anda?

Will.I.Am dilantik jadi duta Mercedes-AMG GT63 S E Performance, kenapa?

MERCEDES-AMG baru-baru ini melancarkan sedan prestasi tinggi terbaharu mereka, GT63 S E Performance yang berkuasa 831hp dan kini hadir sebagai plug-in hybrid (PHEV).

Dengan itu, mereka turut melantik seorang duta, penyanyi popular Amerika yang juga pemenang anugerah Grammy tujuh-kali, iaitu Will.I.Am. Kenapa dia?

Menurut kenyataan media oleh Mercedes-AMG, Will.I.Am ialah “rakan niaga yang sesuai untuk Mercedes-AMG. Kerana dia bukan sahaja peminat kereta, dia juga membawa DNAsama dengan kami: sentiasa satu langkah ke depan, berinovasi dengan minat, dan melangkaui had dalam mencapat matlamat.”

Kami setuju penyanyi Black Eyed Peas itu seorang yang “sentiasa satu langkah ke depan, berinovasi dengan minat dan melangkaui had dalam mencapat matlamat”, tapi kami tak pasti dengan kenyataan dia peminat kereta.

Anda mungkin pernah tahu bahawa Will.I.Am mendakwa ‘mencipta’ kenderaan beliau sendiri menggunakan alat ganti Chrysler (ia sebenarnya DeLorean kustom, dihasilkan oleh West Coast Customs).

Will.I.Am juga pernah bekerja sama dengan Lexus pada 2014 untuk model NX, dan pada 2016, pernah mempertontonkan Tesla Model S yang agak luar biasa dengan fender lebar. Adakah dia seorang peminat kereta sebenar? Anda tentukan.

Menurut siaran ini, Will.I.Am akan bekerjasama dengan Mercedes untuk E Peformance, inovasi, dan beberapa projek muzik.

Mercedes-AMG GT63 S E Performance dikuasakan oleh enjin 4.0-liter V8 yang menjana 630hp dan 900Nm tork. Ini dibantu oleh motor elektrik dan bateri 4.8kWh yang membekalkan sehingga 201hp untuk 10 saat.

Secara keseluruhan, sistem ini menghasilkan 831hp dan 1,466Nm tork, menjadikan GT63 S E Performance sebagai model AMG paling berkuasa setakat ini. Kotak gear yang digunakan ialah automatik 9-kelajuan dengan sistem pacuan semua-roda 4Matic+.

GT63 S E Performance mampu mencapai 100km/j dalam hanya 2.9 saat, dan 200km/j kurang 10 saat.

Ciri lain pada sedan prestasi ini adalah suspensi udara dengan penyerap adaptif kawalan elektronik, tujuh mod pemanduan, brek karbon seramik, rim 20-inci depan dan 21-inci belakang, dan sistem infotainmen MBUX.

Jurutera AMG Petronas F1 suntik semangat pelajar Kolej Despark

USAHA mengembangkan ilmu kejuruteraan kepada pelajar diteruskan pasukan AMG Petronas Formula One (F1) menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Terbaharu, pasukan itu menampilkan jurutera bendalir En De Liow bagi berkongsi pengalaman bersama lebih 200 pelajar Kolej Despark, Petaling Jaya.

Menerusi program itu, pelajar didedahkan gambaran menyeluruh mengenai bidang automotif dari perspektif seorang jurutera bendalir.

De Liow merupakan antara sosok penting dalam memastikan aspek teknikal pasukan Mercedes AMG Petronas F1 berada dalam keadaan baik.

Antara peranan utama termasuk menganalisa bahan api Primax, minyak syntium dan bendalir fungsi Tutela yang digunakan dalam F1.

Terdahulu, Petronas Lubricants International berharap dapat terus melakukan program CSR bagi membantu pelajar menguasai bidang kejuruteraan automotif.

Pada masa sama, syarikat itu turut berharap lebih ramai bakat muda dapat diketengahkan di masa hadapan dalam memastikan kemajuan bidang automotif terus berkembang.