fbpx

Mercedes-Benz S73 T AMG – Wagon ‘sleeper’ dengan enjin supercar!

mercedes s73 t amg 07

SULTAN Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah terkenal dengan koleksi kereta mewah baginda yang dipercayai antara yang terbesar di dunia.

Sudah tentu, daripada ribuan yang tersimpan di garaj Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan, ada sejumlah kereta yang dihasilkan khusus untuk baginda dan tidak boleh dibeli oleh orang lain.

Salah satu daripadanya adalah Mercedes-Benz S-Class versi wagon yang dikenali sebagai S73 T AMG. Sekilas pandang, tiada apa yang istimewa sangat mengenai kereta ini, selain bahagian hadapan yang diambil daripada 600SEC Coupe dan bentuk badannya yang membuatkan ia kelihatan unik.

Namun, buka bonet dan anda akan dapat lihat apa yang menjadikan wagon ini begitu istimewa.

Ini kerana ia dikuasakan oleh enjin 7.3-liter V12 yang turut digunakan pada Pagani Zonda C12S dan juga Mercedes-Benz SL73 AMG, model edisi khas yang pengeluarannya terhad kepada 85 unit sahaja.

Enjin aluminium buatan tangan yang dikenali dengan kod M120 itu ditala bagi menjana 565hp dan 750Nm.

Jumlah itu mungkin tidak begitu mengujakan pada zaman kini namun 24 tahun yang lalu, ia sudah cukup untuk menggerunkan sesiapa sahaja yang memandunya, lebih-lebih lagi apabila 100 peratus output disalurkan ke roda belakang sahaja.

Tugas ini diserahkan kepada kotak gear automatik 5-kelajuan. Masa pecutan 0-100km/j tidak diketahui namun wagon ‘gila’ ini dikatakan mampu mencapai kelajuan melebihi 300km/j.

Selain itu, Mercedes turut menggunakan sistem suspensi sport AMG, rim aloi monobloc berukuran 19-inci, sistem brek yang dinaik taraf dan sistem ekzos sport.

Untuk ruang dalaman pula, selain tombol gear yang diperbuat daripada gentian karbon, ia tampak tidak jauh berbeza dengan S-Class biasa.

Menurut khabar angin, Sultan Brunei memesan sebanyak 15 buah SL 73 T AMG tetapi hanya 10 sempat disiapkan dan diserahkan kepada baginda.

Tiada siapa tahu keadaan terkini wagon-wagon tersebut namun ada yang mengatakan ia terbiar reput tanpa diselenggara bersama-sama dengan kereta-kereta lain, yang mana kebanyakannya dimiliki oleh Pengiran Muda Jefri Bolkiah, adik kepada Sultan Hassanal.

Bagi peminat AMG, anda tidak perlu gusar kerana angka ‘73’ dalam barisan divisyen itu tidak akan mati begitu sahaja.

Ini kerana pada 2018, Daimler AG dilaporkan telah memfailkan tanda dagang bagi ‘S73’ yang dikatakan akan digunakan pada model hibrid plug-in yang mempunyai lebih 800hp dan 1,000Nm.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved