fbpx

Brabus 900 Rocket Edition Mercedes-AMG GLE63 S Coupe

brabus 900 rocket edition 01

DENGAN 612PS dan 850Nm, Mercedes-AMG GLE63 S Coupe boleh dikatakan sangat berkuasa untuk sebuah SUV moden. Namun, bagi syarikat tuner yang terkenal dengan rekaan-rekaan yang ekstrem seperti Brabus, angka ini masih boleh dipertingkatkan ke satu tahap yang lebih tinggi. Maka dengan itu, terhasillah Brabus 900 Rocket Edition.

Sudah tentu, tumpuan utama jentera ini terletak di bawah bonet, di mana kapasiti enjin biturbo V8 telah diperbesarkan dari 4.0-liter kepada 4.5-liter.

Digabungkan dengan pelbagai naik taraf lain, enjin tersebut kini menghasilkan 900PS dan 1,050Nm. Ini membolehkannya melakukan pecutan 0-100km/j dalam hanya 3.2 saat dengan bantuan daripada transmisi automatik 9-kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic+.

Bergantung kepada kombinasi tayar yang digunakan, 900 Rocket Edition mampu mencapai kelajuan 330km/j sebelum pengehad elektronik diaktifkan. Menariknya, enjin tersebut mampu menjana kuasa kilas sehingga 1,250Nm, namun ia dikurangkan bagi melindungi enjin dan transmisi.

Untuk perbandingan, GLE63 S Coupe ‘biasa’ memerlukan 3.8 saat untuk mencapai kelajuan 100km/j dari kedudukan pegun, manakala kelajuan maksimumnya pula ‘hanyalah’ 280km/j.

Menurut Brabus, antara komponen yang digunakan bagi mendapatkan peningkatkan kuasa termasuklah piston tempaan, pengecas turbo Brabus dengan unit pemampat 52mm, pam bahan api bertekanan tinggi serta adapter injap blow off.

Selain itu, SUV ini juga mendapat sistem ekzos karbon titanium dengan injap yang dikawal secara elektronik dan downpipe bersaiz 75mm. Gabungan ini sudah tentunya menghasilkan bunyi yang lebih agresif, sesuai dengan gelaran Rocket yang diberikan.

Pemilik bagaimanapun tidak perlu khuatir mereka akan mengganggu ketenteraman awam, terutamanya apabila pulang ke rumah pada waktu malam, kerana sistem ekzos ini juga dilengkapi dengan ciri Coming Home.

Seperti jentera-jentera keluaran Brabus yang lain, Rocket 900 Edition GLE63 S dihiasi dengan pelbagai elemen yang diperbuat daripada gentian karbon. Ini termasuk kemasan di sekeliling lubang ambilan udara, gerbang roda, spoiler, diffuser serta cakera aero pada rim 24-inci.

Melengkapkan lagi imej agresifnya adalah warna Superior Grey, logo Brabus pada gril, lencana Rocket Edition pada tailgate dan jalur merah pada gril dan rim.

Ruang dalaman pula menampilkan gabungan upholsteri kulit dan Alcantara, trim gentian karbon serta kemasan merah ‘Rocket Red’ di segenap sudut. Seperti biasa, pelanggan akan diberi keistimewaan untuk memilih upholsteri, kemasan, trim dan warna kegemaran mereka ketika membuat pesanan.

Pengeluaran model ini terhad kepada 25 unit sahaja untuk pasaran global. Ia dijual pada harga bermula dari 381,243 Euro (kira-kira RM1.8 juta).

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved