Arkib Tag: 911

Porsche 993 Speedster Remastered by Gunther Werks – Ikon klasik dengan sentuhan moden

PORSCHE 911 generasi 993 sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam hati peminat jenama itu kerana ia merupakan model generasi terakhir dengan enjin penyejukan udara (air-cooled).

Sepanjang tempoh pengeluarannya dari 1994 hingga 1998, ia boleh didapati dalam beberapa varian dan bentuk badan seperti Coupe, Cabriolet, Targa, Turbo, GT2 dan Turbo Cabriolet.

Tidak seperti model generasi sebelumnya iaitu 964, tidak ada varian Speedster yang ditawarkan bagi 993 namun Porsche sebenarnya pernah menghasilkan dua unit. Satu untuk Ferdinand “Butzi” Porsche, cucu kepada Ferdinand Porsche, dan satu lagi untuk bintang televisyen terkenal Jerry Seinfeld.

Bagaimanapun, mereka yang betul-betul ingin memiliki 993 Speedster kini berpeluang untuk mendapatkannya menerusi Gunther Werks, iaitu sebuah syarikat kustom terkenal yang berpangkalan di California. Hanya 25 unit versi ‘Remastered’ ini akan dihasilkan, dengan pengeluaran dijadualkan bermula awal tahun hadapan.

Unit yang pertama telah pun dipertontonkan kepada orang ramai pada acara Monterey Car Week yang berlangsung baru-baru ini. Ia menampilkan warna Peninsula Cypan, upholsteri kulit berwarna Mandarin Orange dan rim rekaan ala Fuchs berukuran 18-inci.

Membina 993 Speedster Remastered bukanlah satu kerja mudah kerana Gunther Werks perlu berhadapan dengan isu ketegaran casis yang timbul selepas bumbung dipotong. Lebih teruk lagi, mereka tidak mempunyai model asal daripada Porsche untuk dijadikan contoh.

Bagi mengatasinya, syarikat itu menambah struktur pengukuh pada bahagian belakang, berserta dengan tonneau cover, roll hoop dan sangkar keselamatan. Turut digunakan adalah cermin penghadang angin daripada 964 Speedster, dengan bingkai yang diperbuat daripada gentian karbon dan keluli.

Selain itu, terdapat juga splitter gentian karbon pada bampar hadapan, ducktail spoiler pada bahagian belakang, cermin sisi aluminium serta muncung ekzos Inconel yang dihasilkan menerusi proses pencetakan 3D. Ruang dalaman pula menampilkan papan pemuka dan stereng gentian karbon, serta kemasan kulit dan Alcantara.

Tersembunyi di bahagian belakang adalah enjin boxer 4.0-liter enam silinder yang digandingkan dengan transmisi Getrag G650 enam kelajuan.

Walaupun tidak dilengkapi dengan pengecas turbo, enjin tersebut mampu menghasilkan 435hp dan 454Nm dengan adanya modifikasi seperti ECU Motec dan sistem ekzos stainless steel.

Dari segi pengendalian, 993 Speedster Remastered dilengkapi dengan sistem suspensi adaptif keluaran JRZ yang mempunyai tiga mod iaitu Composed, Sport dan Sport Plus. Turut disertakan adalah anti-roll bar depan dan belakang daripada Eisenlohr Racing. Tugas membrek pula diserahkan kepada angkup Brembo GTR enam dan empat piston.

Porsche 911 Targa 4S Heritage Design Edition kereta sports moden dengan gaya retro, 450hp, RM1.7 juta

PORSCHE 911 dikenali sebagai sebuah kereta sports yang membawakan imej dan elemen klasik. Dengan bentuk tidak berubah sejak lebih 50 tahun, ia mengekalkan resepi asal sambil ditambahbaik saban tahun.

Tetapi terdapat satu edisi 911 dengan gaya yang lebih klasik dan retro, iaitu Heritage Design Edition. Untuk 2021, edisi ini diberikan pada 911 Targa 4S, dengan aksesori dan teknologi dari Porsche Exclusive Manufaktur.

Pakej yang diberikan pada Porsche 911 Heritage Design Edition adalah:

  • Balutan kulit dwi-tona dengan warna Bordeaux Red dan Atacama Beige
  • Bahagian tengah tempat duduk dan panel pintu dengan kemasan corduroy
  • Kluster instrumen Heritage Design
  • Jam Sport Chrono Heritage Design
  • Tulisan Historical Porsche pada perehat kepala
  • Logo “Porsche Exclusive Manufaktur” pada penutup ruang simpanan
  • Tali pinggang keledar dengan warna Atacama Beige
  • Lencana 911 berwarna perak
  • Pemijak tepi aluminium dengan logo 911

Porsche 911 Targa 4S Heritage Design Edition dibawakan secara rasmi ke Malaysia oleh Sime Darby Auto Performance (SDAP) dengan harga jualan RM1,677,409 (termasuk pengecualian cukai SST).

Dari segi mekanikal, Heritage Design Edition ini masih diasaskan dari 911 Targa 4S yang bermakna ia dikuasakan oleh enjin boxer 3.0-liter twin-turbo yang menjana 450hp dan 460Nm tork.

Enjin ini dipadankan dengan kotak gear dwi-klac PDK 8-kelajuan dan pacuan semua-roda, dan membolehkan 911 ini memecut ke 100km/j dalam 3.6 saat sahaja. Kelajuan maksima pula ialah 304km/j.

Selain dari warna Cherry Metallic dengan gaya 50an, edisi ini boleh dipilih dengan tiga warna lain iaitu Black, Guards Red, GT Silver Metallic dan satu warna istimewa Crayon. Sebagai tambahan, anda juga boleh kustom kereta ini mengikut citarasa untuk menjadikannya lebih eksklusif.

Satu ciri khas pada edisi Heritage Design ini ialah grafik Spears pada bahagian depan, iaitu pelekat putih rekaan khas. Grafik ini hanya ditawarkan pada model-model terhad seperti 911 Speedster.

Memandangkan ini model Targa, terdapat bar unik di belakang kabin yang menjadi identitinya. Tetapi khas untuk Heritage Design Edition, bar ini dikemaskan dengan tulisan berwarna emas di belakangnya.

Ciri lain pada 911 ini termasuklah rim Carrera Exclusive Design berwarna hitam berkilat (atau pilihan satin Platinum) bersaiz 20- dan 21-inci, angkup brek berwarna hitam, lencana Porsche Heritage dan ekzos sports berwarna perak.

Intip: Porsche 911 dengan spring lebih tinggi, versi Safari bakal kembali?

TIDAK cukup dengan berpuluh variasi 911 yang Porsche tawarkan, ada lagi beberapa tambahan yang sedang dibangunkan oleh pengeluar Jerman itu.

Antaranya ialah varian hibrid, tetapi bukan model itu yang hendak kita bincangkan hari ini. Sebaliknya imej-imej intipan menampakkan 911 yang sangat berbeza.

Tiada powertrain hibrid di sini (setakat yang kita tahu) tapi yang pasti, nampaknya ia mempunyai ground clearance lebih tinggi dari 911 biasa. Tetapi ia tidak setinggi 911 Safari yang pernah dikeluarkan dulu.

Imej-imej intipan di Nurburgring ini menampakkan satu dari dua konsep Safari yang dibina berdasarkan 911 generasi terbaharu. Selain dari suspensi lebih tinggi, prototaip ini juga mengenakan gerbang roda tambahan yang mungkin memberi petunjuk kepada gandar depan dan belakang lebih lebar.

911 Safari sebelum ini mendapat pacuan semua-roda (AWD), jadi tidak mengejutkan ia akan diasaskan dari varian Carrera 4S. Adakah ia akan menjadi varian kekal untuk 911, juga masih belum diketahui.

Memandangkan prototaip pertama mula dilihat pada Oktober 2020, boleh disimpulkan bahawa pelancaran rasmi mungkin dibuat menjelang hujung tahun ini atau awal 2022 nanti.