PORSCHE kian meningkatkan komitmen mereka di negara ini. Selepas pengenalan kilang CKD di Kulim, kini Sime Darby Auto Performance (SDAP) memperkenalkan pula Porsche Training Academy-Apprentice Program (PTAAP).
Pusat latihan ini ditubuhkan dengan kerjasama TOC Automotive College (TOC) dengan harapan melahirkan bakat dan kemahiran teknikal di kalangan generasi muda.
Mereka yang keluar dari akademi ini akan terus sedia untuk menyokong tenaga kerja berkualiti tinggi di pusat servis Porsche seluruh negara.
Pelajar-pelajar akan diberikan program latihan seimbang 2+1 yang merangkumi pengetahuan teori dan kemahiran teknikal (amali). Pembelajaran akan terbahagi di kelas-kelas TOC serta Porsche Centre.
Kurikulum dalam kelas dan bengkel akan memfokuskan kepada kemajuan teknologi kenderaan-kenderaan Porsche terkini dan akan datang.
Di hujung tempoh dua tahun, pelajar akan diberikan peluang mempraktikkan kemahiran mereka dengan latihan on-the-job 1-tahun di Porsche Centre seluruh negara.
Mereka yang lulus program 2+1 ini akan diberikan sijil Porsche Certified Technician Bronze Level berserta Diploma atau Master dari TOC.
Kemasukan akan bermula Februari 2022 depan. Untuk maklumat lanjut, layari www.toc.edu.my atau hubungi 03-79608833.
PORSCHE telah melancarkan sebuah model yang mungkin dikatakan sebagai jentera mid-engined paling hardcore pernah mereka hasilkan, iaitu 718 Cayman GT4 RS.
Jadi, apa yang membolehkan Cayman ini akhirnya menerima lencana RS?
Segalanya mengenai kereta ini sangat fokus dan agak hardcore; lebih kuasa, lebih keras, lebih ringan, lebih pantas.
Mekanikal berjiwa motorsport
Nadi kepada Cayman GT4 RS ini ialah enjin 4.0-liter naturally-aspirated flat-six yang mampu rev sehingga 9,000rpm.
Cayman GT4 ‘biasa’ sebelum ini sudah cukup berkuasa dengan 420hp dan 420Nm tork. Tetapi untuk GT4 RS, output ditingkatkan kepada 500hp dan 450Nm tork, terima kasih kepada enjin yang diambil dari 911 GT3.
Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui kotak gear dwi-klac PDK 7-kelajuan sahaja, malangnya tiada pilihan manual 6-kelajuan kali ini.
Dari segi prestasi, Cayman GT4 RS mampu memecut ke 100km/j dalam hanya 3.4 saat dan mempunyai kelajuan maksima 319km/j.
Seperti model-model GT Porsche sebelum ini, Cayman GT4 RS juga telah diuji di litar Nurburgring. Ia mencatat masa pusingan 7 minit 9.300 saat, dipandu oleh Jörg Bergmeister.
Pada konfigurasi lebih pendek 20.6km di litar sama, GT4 RS ini berjaya mencatat masa 7 minit 4.511 saat, iaitu 23 saat lebih pantas dari 718 Cayman GT4 sebelumnya.
Diet untuk menjadi ringan
Porsche 718 Cayman GT4 RS telah menjalani proses ‘diet’ untuk menurunkan beratnya agar mencapai prestasi mantap di jalanan dan di litar.
Beratnya cumalah 1,415kg dengan tangki penuh tanpa pemandu (mengikut standard DIN), dan ini 35kg lebih ringan dari Cayman GT4 ‘biasa’.
Terdapat juga banyak penggunaan gentian karbon untuk komponen seperti bonet depan, sayap depan, selain karpet dan bahan penebat bunyi ringan.
Cermin belakang juga menggunakan kaca lebih ringan, selain pembuka pintu jenis kain yang juga menyumbang kepada pengurangan berat.
Aerodinamik dan casis fokus
Cayman GT4 RS dilengkapi spoiler belakang jenis swan-neck yang diinspirasikan dari 911 GT3 dan jentera lumba RSR GT.
Kemudian, terdapat juga sirip di sekitar gerbang roda depan, panel bawah badan yang disambung dengan diffuser, serta beberapa elemen yang boleh dilaras. Kesemua ini memberikan 25 peratus lebih downforce.
Spring dan anti-roll bar juga telah ditala khas untuk pengendalian tepat dan lebih jitu.
Pakej Weissach
Sebagai tambahan, Porsche 718 Cayman GT4 RS boleh ditambah dengan pakej Weissach. Ini merangkumi kemasan gentian karbon pada bonet depan, ruang kemasukan udara, penyejuk, cermin sisi, dan spoiler belakang.
Barangan lain adalah ekzos titanium, roll-cage dari titanium, dan bahan balutan papan pemuka dari Race-Tex, serta logo Porsche di cermin belakang.
Akhir sekali, pakej ini memberikan rim magnesium 20-inci berbanding rim aluminium pada model standard.
Dari segi luaran, Cayenne CKD dilengkapi lampu LED Porsche Dynamic Light System (PDLS), lampu belakang LED, dan rim RS Spyder bersaiz 21-inci. Tiga pilihan warna badan ditawarkan, dengan kemasan kontra hitam berkilat.
Di bahagian kabin, Porsche Cayenne ini didatangkan dengan dua pilihan balutan kulit, BOSE Surround Sound System, tempat duduk dengan pelarasan 14-arah dan tirai untuk tingkap belakang.
Sebagai sebuah SUV yang sporti untuk pemandu tegar, terdapat Porsche Advanced Cockpit untuk maklumat pemanduan serta stereng sports dengan paddleshifters dan Direct Touch Control.
Ia juga dilengkapi Comfort Access, Porsche Communication Management System dengan paparan 12-inci, bantuan parkir ParkAssist, serta sambungan Porsche Connect dan Apple CarPlay.
Porsche Cayenne ini dikuasakan oleh enjin 3.0-liter V6 yang menghasilkan 340hp pada 5,300-6,400rpm dan 450Nm tork pada 1,340-5,300rpm.
Oh, jika anda mahu lebih eksklusif, Porsche Cayenne anda boleh dilengkapkan dengan Exclusive Manufaktur Package.
Ia merangkumi sistem ekzos sport, SportDesign Package, lampu depan dan belakang ‘smoked’ yang lebih gelap, dan lampu LED pada pintu dengan logo Porsche. Anda juga boleh menaiktaraf rim kepada lebih besar iaitu 22-inci.
Pra-tempahan kini dibuka untuk Cayenne CKD pada harga bermula RM550,000 dan penghantaran dijangka mula dibuat pada Mac 2022 depan.
Porsche Cayenne mempunyai peminat tersendiri serata dunia termasuk Malaysia. – Foto ihsan Porsche
PORSCHE 718 Cayman GT4 akan mendapat ‘adik’ yang lebih hardcore, iaitu Cayman GT4 RS yang akan membuat kemunculan global secara rasmi November ini.
Untuk fasa ujian akhir dan pemanduan penilaian, jentera ini mempamerkan prestasi dinamik dan potensinya di litar Nurburgring.
Merupakan 718 pertama yang ‘memakai’ lencana RS, Cayman ini mencatatkan masa 7:09.300 minit di litar Green Hell, dipandu oleh Jörg Bergmeister.
Ia juga sebelum ini mencatatkan masa 7:04.511 di bahagian litar lebih pendek, bermakna ia 23.6 saat lebih pantas dari 718 Cayman GT4 ‘biasa’.
Untuk melindungi pemandunya dalam catatan masa ini, jentera berenjin tengah ini dilengkapi dengan tempat duduk perlumbaan. Tayarnya adalah Michelin Pilot Sport Cup 2 R, iaitu tayar pilihan khas untuk kereta ini.
“Semasa pembangunan, kami memberikan 718 Cayman GT4 RS segalanya memberikannya karakter RS sebenar: ringan, lebih downforce, lebih kuasa, dan sudah tentu lebih respon untuk pemandu,” kata Andreas Preuninger, pengarah GT Model Line.
“Catatan masa di Nordschleife ini satu bukti kukuh tentang betapa ketaranya penambahbaikannya pada dinamik pemanduan.”
Menurut pemandu ujian, Jörg Bergmeister, 718 Cayman GT4 RS ialah jentera pemanduan yang tiada komporomi. “Ia terasa lincah seperti go-kart di jalan pergunungan, tetapi tetap stabil dan seimbang di litar.”
“GT4 RS ini antara jentera Porsche paling responsif pernah dihasilkan. Dan anda hanya perlu merasai sendiri bunyinya yang menakjubkan,” tambah Bergmeister yang juga telah menghabiskan lebih 500 jam dalam pembangunan 718 Cayman GT4 RS.
PORSCHE hari ini telah mendedahkan konsep Mission R iaitu jentera lumba elektrik (EV) pertama mereka. Ia menampilkan visi masa depan untuk perlumbaan dengan pelepasan (emisi) sifar, penggunaa bahan lestari dan menawarkan prestasi litar yang menyaingi jentera pembakaran dalaman (petrol) sedia ada.
Ia membuat kemunculan di IAA (International Motor Show of Germany) 2021 di Munich dan Porsche turut bercakap mengenai kemungkinan siri perlumbaan one-make di masa depan.
Nadi kepada Mission R ialah pakej motor elektrik generasi baharu dengan jumlah output 800kW (1,073hp) dalam mod Qualification seperti yang Porsche gelarkan. Sistem pacuan semua-roda padanya cukup untuk memacu Mission R dari 0 ke 100km/j dalam 2.5 saat, manakala kelajuan maksima ialah 300km/j.
Secara umum, Porsche berkata prestasi Mission R di litar mampu menyamai 911 GT3 Cup.
Kuasa maksima yang disebut di atas ialah jumlah puncak yang mampu dihasilkan, tetapi kuasa berterusan ialah sekitar 500kW (680hp). Kuasa dibekalkan oleh teknologi bateri terkini iaitu unit 900-volt dengan sejukan cecair, membolehkan ia dicaj ke tahap 75 peratus dalam hanya 15 minit.
Sementara itu, rekaan luarnya menampilkan komponen aerodinamik aktif termasuklah tiga corong pada kedua-dua sisi kemasukan udara di muncung depan, serta panel belakang boleh-laras.
Bercakapa mengenai badannya, Porsche berkata ia dihasilkan dari plastik yang diperkukuh dengan gentian asli (Natural Fiber Reinforced Plastic) dan bahan sama digunakan pada kabin. Struktur keselamatan jentera pula dihasilkan dari bahan komposit gentian karbon.
Apa yang menarik lagi ialah kokpit Mission R ini boleh digunakan sebagai platform latihan simulator e-sports. Saiz Mission R juga tidak begitu besar, malah lebih pendek sedikit dari Porsche 718 Cayman.
Porsche masih belum mempunyai sebarang perancangan untuk menjadikan konsep ini sebagai realiti. Tetapi kita boleh jangkakan sebuah jentera lumba yang akan datang membawakan teknologi hampir serupa.
PORSCHE 911 dikenali sebagai sebuah kereta sports yang membawakan imej dan elemen klasik. Dengan bentuk tidak berubah sejak lebih 50 tahun, ia mengekalkan resepi asal sambil ditambahbaik saban tahun.
Tetapi terdapat satu edisi 911 dengan gaya yang lebih klasik dan retro, iaitu Heritage Design Edition. Untuk 2021, edisi ini diberikan pada 911 Targa 4S, dengan aksesori dan teknologi dari Porsche Exclusive Manufaktur.
Pakej yang diberikan pada Porsche 911 Heritage Design Edition adalah:
Balutan kulit dwi-tona dengan warna Bordeaux Red dan Atacama Beige
Bahagian tengah tempat duduk dan panel pintu dengan kemasan corduroy
Kluster instrumen Heritage Design
Jam Sport Chrono Heritage Design
Tulisan Historical Porsche pada perehat kepala
Logo “Porsche Exclusive Manufaktur” pada penutup ruang simpanan
Tali pinggang keledar dengan warna Atacama Beige
Lencana 911 berwarna perak
Pemijak tepi aluminium dengan logo 911
Porsche 911 Targa 4S Heritage Design Edition dibawakan secara rasmi ke Malaysia oleh Sime Darby Auto Performance (SDAP) dengan harga jualan RM1,677,409 (termasuk pengecualian cukai SST).
Dari segi mekanikal, Heritage Design Edition ini masih diasaskan dari 911 Targa 4S yang bermakna ia dikuasakan oleh enjin boxer 3.0-liter twin-turbo yang menjana 450hp dan 460Nm tork.
Enjin ini dipadankan dengan kotak gear dwi-klac PDK 8-kelajuan dan pacuan semua-roda, dan membolehkan 911 ini memecut ke 100km/j dalam 3.6 saat sahaja. Kelajuan maksima pula ialah 304km/j.
Selain dari warna Cherry Metallic dengan gaya 50an, edisi ini boleh dipilih dengan tiga warna lain iaitu Black, Guards Red, GT Silver Metallic dan satu warna istimewa Crayon. Sebagai tambahan, anda juga boleh kustom kereta ini mengikut citarasa untuk menjadikannya lebih eksklusif.
Satu ciri khas pada edisi Heritage Design ini ialah grafik Spears pada bahagian depan, iaitu pelekat putih rekaan khas. Grafik ini hanya ditawarkan pada model-model terhad seperti 911 Speedster.
Memandangkan ini model Targa, terdapat bar unik di belakang kabin yang menjadi identitinya. Tetapi khas untuk Heritage Design Edition, bar ini dikemaskan dengan tulisan berwarna emas di belakangnya.
Ciri lain pada 911 ini termasuklah rim Carrera Exclusive Design berwarna hitam berkilat (atau pilihan satin Platinum) bersaiz 20- dan 21-inci, angkup brek berwarna hitam, lencana Porsche Heritage dan ekzos sports berwarna perak.
TIDAK cukup dengan berpuluh variasi 911 yang Porsche tawarkan, ada lagi beberapa tambahan yang sedang dibangunkan oleh pengeluar Jerman itu.
Antaranya ialah varian hibrid, tetapi bukan model itu yang hendak kita bincangkan hari ini. Sebaliknya imej-imej intipan menampakkan 911 yang sangat berbeza.
Tiada powertrain hibrid di sini (setakat yang kita tahu) tapi yang pasti, nampaknya ia mempunyai ground clearance lebih tinggi dari 911 biasa. Tetapi ia tidak setinggi 911 Safari yang pernah dikeluarkan dulu.
Imej-imej intipan di Nurburgring ini menampakkan satu dari dua konsep Safari yang dibina berdasarkan 911 generasi terbaharu. Selain dari suspensi lebih tinggi, prototaip ini juga mengenakan gerbang roda tambahan yang mungkin memberi petunjuk kepada gandar depan dan belakang lebih lebar.
911 Safari sebelum ini mendapat pacuan semua-roda (AWD), jadi tidak mengejutkan ia akan diasaskan dari varian Carrera 4S. Adakah ia akan menjadi varian kekal untuk 911, juga masih belum diketahui.
Memandangkan prototaip pertama mula dilihat pada Oktober 2020, boleh disimpulkan bahawa pelancaran rasmi mungkin dibuat menjelang hujung tahun ini atau awal 2022 nanti.