BYD, Geely mahu realisasikan PHEV ultra cekap, jarak gerak cecah 2,000 km!

Dua gergasi automotif China, BYD dan Geely dilaporkan mahu berlumba-lumba untuk menghasilkan model plug-in hybrid (PHEV) dengan jarak gerak cecah 2,000 km dalam masa terdekat.

 

 

Menurut BYD, kereta PHEV dengan jarak gerak yang sangat jauh itu akan dibangun menggunakan teknologi sedia ada, dan bakal dilancarkan pada tahun 2025.

Sebagai perbandingan, kereta PHEV BYD Song Plus DM-i yang wujud dalam pasaran mampu menawarkan jarak gerak sejauh 1,151 km (data CLTC), terima kasih kepada gandingan enjin 1.5 liter, motor elektrik, transmisi CVT, tangki bahan api 60 liter dan pek bateri berkapasiti 18.32 kWh.

Sementara itu, Geely juga mendakwa model PHEV dengan jarak gerak 2,000 km itu akan dibina menggunakan unit rangkaian kuasa yang sudah wujud pada model Galaxy L6.

 

Sedan PHEV berkuasa 358 hp tersebut menampilkan enjin 1.5 liter yang dipadankan dengan motor elektrik, pek bateri lithium-ion 19.1 kWh, serta transmisi dual-hybrid tiga kelajuan.

Dalam mod EV, Galaxy L6 mampu bergerak sejauh 124 km, dan jika digandingkan dengan tangki bahan api sebesar 60 liter, sedan ini mampu beregerak sejauh 1,370 km secara keseluruhannya.

Perkembangan terbaharu ini memperlihatkan peranan penting yang dimainkan oleh enjin pembakaran dalaman (ICE) untuk menggerakkan umat manusia, dan pengeluar kini mula sedar EV bukanlah satu-satunya cara untuk terus kekal relevan.

Geely dedah gambar acah Galaxy E5 SUV, bakal muncul di Beijing Auto Show 2024

Salah satu sub-jenama di bawah naungan Geely, Galaxy baru sahaja menyiarkan gambar acah model SUV yang bakal dilancarkan kelak di Beijing Auto Show bulan depan.

Galaxy E5 SUV – biarpun sarat dengan balutan pelekat samaran berwarna biru – memperlihatkan elemen rekaan tersendiri termasuklah unit lampu LED yang tajam, muka hadapan tanpa bukaan jeriji, padanan plastik pelindung pada gerbang roda, serta unit lampu belakang yang ringkas.

Profil sisi SUV ini tidak menampilkan sebarang garis badan yang keterlaluan, dengan pemegang pintu yang tertanam kemas itu mengekalkan imej bersih dan masih lagi mampu menarik perhatian orang ramai.

Geely masih lagi belum mendedahkan perincian rangkaian kuasa yang bakal dimuatkan pada Galaxy E5 SUV ini.

 

 

Besar kemungkinan SUV elektrik ini membawakan spesifikasi yang sama ditawarkan pada sedan elektrik Galaxy E8, seperti senibina elektrik 400- dan 800-voltan, diikuti dengan tiga pilihan saiz kapasiti bateri LFP.

Di pasaran China, sedan itu turut dimuatkan dengan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang menghasilkan 268 hp, sementara versi mercu dibekalkan dengan motor elektrik berkembar berkuasa 637 hp.

Lebih banyak perincian bakal diketahui menjelang pengenalan rasmi model ini di acara pameran Beijing Auto Show 2024 kelak.

Untuk makluman, Galaxy merupakan satu jenama baharu yang telah ditubuhkan sejak 14 bulan yang lalu.

Biarpun masih lagi berusia muda, Galaxy sudah pun mempunyai kira-kira 650 cawangan di seluruh China, dan berjaya menjual sebanyak 83,497 unit kenderaan sepanjang tahun lepas.

 

Geely Galaxy E8 dilancar di China – pek bateri 800 volt, jarak pemanduan sehingga 665km

GEELY baru melancarkan Galax E8 di China, ianya merupakan model ketiga dalam siri Galaxy. Sedan EV ini dibina pada pelantar Sustainable Experience Architecture (SEA) Geely dengan bentuk badan yang sleek dan sporti.

Sudah tentu bentuk ini bukan astetik semata-mata, sebaliknya Galaxy E8 dilaporkan mempunyai pekali seretan (drag coefficient) hanya 0.199, lebih rendah dari Mercedes EQS (0.202) dan Nio ET7 (0.208).

Seperti biasa, tiada gril di depan tetapi Geely Galaxy E8 mendapat sepasang lampu dan DRL yang tajam. Bahagian sisi juga tiada sebarang objek terkeluar yang akan mengganggu aliran udara, malah pembuka pintu juga adalah jenis retractable.

Bahagian kabin lebih menyerlah. Terdapat skrin besar bersaiz 45-inci dengan resolusi 8K yang ditarik memanjang selebar papan pemuka. Syarikat China memang gemar skrin-skrin besar ini tuan-tuan.

Galaxy E8 juga dilengkapi dengan stereng flat-bottomed dan flat-top, bermakna ia tidak bulat. Konsol tengah pula ringkas sahaja dengan enam butang, satu tombol rotari bulat, pad pengecas tanpa-wayar, dan ruang simpanan. Ciri lain termasukla lampu ambien dan bumbung panoramik.

Untuk bahagian mekanikal pula, Geely Galaxy E8 boleh didapati dengan beberapa konfigurasi. Yang pertama ialah versi 400 volt dengan bateri lithium phosphate (LFP) 62kWh, motor gandar belakang272hp, dan jarak pemanduan 550km.

Satu lagi versi dengan motor 272hp tetapi dibekalkan dengan pek bateri lebih besar iaitu 76kWh, menambah jarak pemanduan kepada 665km.

Varian tertinggi mempunyai bateri 800 volt, motor depan 224hp, motor belakang 421hp, dan pek bateri 76kWh. Varian ini mampu dipandu sejauh 665km sekali cas.

Jiyue 07 – sedan elektrik kerjasama Geely dan Baidu, platform SEA, pesaing Tesla Model 3

Geely nampaknya sangat serius untuk bersaing dengan Tesla di pasaran China.

Selepas pengenalan model Jiyue 01 sebagai pesaing terus kepada Tesla Model Y, pasaran China kini menerima kehadiran model baharu Jiyue 07, sebuah sedan fastback berkuasa elektrik yang bakal memberikan cabaran kepada Tesla Model 3.

 

Jiyue 07 berkongsi platform Sustainable Experience Architecture (SEA) yang sama digunakan pada Volvo EX90, EX30, Polestar 4, dan kebanyakan model Zeekr.

Secara standard, varian asas 07 dilengkapi dengan motor elektrik 268 hp dan pel bateri 71.4 kWh, sementara versi pacuan semua roda pula hadir dengan motor elektrik berkembar 536 hp dan pek bateri 100 kWh.

 

Rekaan luaran 07 ini banyak berkongsi dengan SUV 01 yang telah diperlihatkan sebelum ini, di mana ia mendapat sepasang lampu utama yang agresif, bar LED melengkung, diikuti unit lampu belakang yang hampir sama.

Berdasarkan imej teaser yang dibekalkan sebelum ini, ruang kabin 07 pula menampilkan susun atur yang minimalis, bermula dengan skrin tunggal yang memanjang, diikuti dengan rekaan roda stereng jenis yoke.

Geely akan labur USD10 bilion di Tanjung Malim – Anwar Ibrahim

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa Geely akan membuat pelaburan sebanyak USD10 bilion (RM45.6 bilion) untuk menjadikan Tanjung Malim sebagai kota automobil terbesar di rantau ini.

Menurut Anwar, hasrat gergasi automotif dari China itu, yang dinyatakan menerusi surat yang disampaikan kepada beliau baru-baru ini, akan membuka ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini.

“Ini pertama kali saya nyatakan Geely yang bersama-sama mengeluarkan kereta dengan Proton telah menulis surat sebanyak 10 halaman kepada saya,” katanya.

“Syarikat itu memaklumkan mahu meneruskan untuk menjadikan Tanjung Malim sebagai kota automobil kereta yang terbesar di rantau ini dan akan memulakan (pelaburan) sebanyak AS$10 bilion atau RM40 bilion,” tambah beliau lagi.

“Untuk apa semua ini…untuk saya ambil komisen atau hadiah? Atau untuk menjamin ekonomi kita naik dan ribuan anak kita akan mendapat kerja,” katanya.

Anwar juga berkata bahawa kerajaan Arab Saudi dan syarikat minyak dan gas (O&G) Aramco dari negara itu akan menumpukan pelaburan dan perkembangan operasinya di Malaysia.

Gambar oleh: Malay Mail

“Ketua Pegawai Eksekutif Aramco Amin Nasser berjumpa saya dan memaklumkan bahawa Aramco sekarang senang dengan dasar dan pimpinan kerajaan dan membuat keputusan untuk menjadikan Malaysia hab perkembangan O&G bagi Arab Saudi di Asia Tenggara.

“Kebetulan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menunaikan haji (baru-baru ini), dan baginda duduk di sebelah Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman Al Saud dan memberitahu pelaburan Arab Saudi untuk Asia tertumpu pusatnya di Malaysia,” katanya.

3-silinder ‘makan’ 4-silinder, Geely Coolray (Proton X50) menang drag dengan Honda Civic

ANDA masih ragu-ragu dengan kemampuan enjin 3-silinder? Mungkin video yang kami paparkan ini boleh mengubah persepsi anda.

Ini kerana sebuah Geely Coolray (kembar Proton X50) telah mengalahkan Honda Civic dalam acara lumba drag di Filipina. Seperti yang semua tahu, Proton X50 dikuasakan oleh enjin 1.5-liter 3-silinder manakala Honda Civic EG dipacu enjin 1.6-liter 4-silinder.

Menurut video pendek yang dikongsi dalam forum Proton X50 Community Malaysia (PX50CM) di Facebook, acara itu merupakan kejuaraan National Drag Race Championship Filipina (NDRC PH) yang berlangsung di Clark International Speedway.

Dapat dilihat sebaik lampu bertukar hijau, dapat dilihat Geely Coolray memecut dengan lebih ‘clean’ mungkin kerana adanya Traction Control. Honda Civic pula bergelut sedikit dengan cengkaman, kerana dapat dilihat asap pada kawasan tayar depan.

Geely Coolray itu terus meninggalkan Civic dalam acara sejauh 400 meter itu.

Kami tidak pasti akan spesifikasi setiap kenderaan, apakah modifikasi yang dilakukan pada kedua-dua kenderaan tersebut. Geely Coolray nampak agak ‘standard’, manakala Civic pula nampak cukup ‘perang’ dengan hos kemasukan udara di lampu depan kanan.

“Honda Civic dengan ram air system berentap dengan Coolray turbo, dari Geely, pembuat Volvo. Pengecas turbo, tiga silinder, kawan. Dan pemenangnya ialah Geely,” kata pengulas perlumbaan.

Enjin Proton X50 di pasaran Malaysia varian paling berkuasa dengan enjin TGDI menghasilkan sekitar 175hp dan 255Nm tork, mungkin lebih tinggi dari Civic jika menggunakan enjin B-Series. Tetapi X50 juga lebih berat.

Apa pun, menarik untuk kita tontoh kenderaan berenjin 3-silinder memecut lebih pantas dari kenderaan berenjin 4-silinder.

Geely gandakan pegangan saham dalam Aston Martin

GEELY kini menjadi pemegang saham ketiga terbesar dalam Aston Martin Lagonda (AML). Selepas mula menjadi pemegang saham pada September 2022, gergasi automotif China itu telah menaikkan pegangannya dari 7.6 kepada 17 peratus.

Pengerusi Aston Martin, Lawrence Stroll telah menyerahkan 42 juta saham bernilai 2.31 Pound (RM13.08) setiap satu kepada 3.35 Pound (RM18.96) seunit. Konsortium Stroll, Yew Tree turut melanggan 28 juta saham pada harga sama.

Ketika ini, konsortium Yew Tree milik pengerusi Aston Martin, Lawrence Stroll ialah pemegang saham terbesar syarikat itu, diikuti oleh Public Investment Fund (PIF) Arab Saudi.

 

 

“Geely Holding, yang pada mulanya menjadi pemegang saham tahun lalu, melihat potensi besar untuk pertumbuhan dan kejayaan jangka panjang Aston Martin,” kata Stroll dalam satu kenyataan.

“Mereka menawarkan kepada kami pemahaman mendalam mengenai pasaran pertumbuhan strategik utama yang diwakili oleh China, serta peluang untuk mengakses rangkaian teknologi dan komponen.”

Sebagai pertukaran dari dana, akses dan teknologi, Geely juga akan mendapat kerusi Lembaga. Ini penting kerana Geely merupakan syarikat penaung jenama-jenama seperti Volvo, Lotus, Polestar dan Proton.

Buat masa ini, pegangan saham Geely terhad kepada 22 peratus dalam Aston Martin sebelum Ogos 2024. Mereka juga mempunyai saham dalam Mercedes-Benz, yang juga mempunyai pegangan dalam AML. Menarik.

Imej terperinci Geely Boyue Cool didedah, boleh jadi X70 versi sport?

GEELY baru-baru ini telah mendedahkan gambar dan spesifikasi terperinci SUV kompak mereka, iaitu Boyue Cool. Pra-jualan akan bermula awal bulan ini dan dijangka dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi.

Boyue Cool disasarkan khas untuk kumpulan pelanggan muda, dengan nama “Cool” bermaksud Creative, Opening, Outdare, dan Love – menurut Geely.

Rekaan keseluruhan SUV ini menampilkan bahasa rekaan “Starbust Vision” geely, memberikan bentuk-bentuk bersegi dan garisan tajam padanya. Empat warna akan ditawarkan iaitu putih, biru, hijau, dan kelabu dengan dua pilihan warna kabin – kelabu dan beige.

Dari segi dimensi, Boyue Cool mempunyai ukuran 4,510mm panjang, 1,865mm lebar, 1,650mm tinggi, dengan jarak roda 2,701mm. Terdapat 39 ruang simpanan dalam kenderaan dengan kapasiti kargo 571 liter.

Geely Boyue Cool akan dipacu oleh enjin 1.5-liter 4-silinder turbo dengan output 178hp dan 290Nm, serta dipadankan dengan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan. Geely mendakwa pecutan 0-100km/j boleh dibuat dalam 7.9 saat.

Ruang dalaman mendapat panel instrumen 10.25-inci, paparan tengah menegak 13.2-inci, bumbung panoramik, dan lampu suasana dengan 72 warna.

Untuk keselamatan, Geely Boyue Cool didatangkan dengan sistem ADAS level 2 bersama 13 ciri termasuklah Intelligent Cruise Control, Autonomous Emergency Braking Pedestrian, dan Emergency Lane-Keeping.

Menurut Geely, akan terdapat beberapa kemaskini OTA (over the air) yang akan menyokong fungsi-fungsi tambahan seperti pengecaman muka untuk menghidupkan enjin dan pelarasan posisi tempat duduk secara automatik.

Mungkinkah Boyue Cool sesuai dijadikan Proton X70 versi sport? Komen pendapat anda.

Produksi Geely RADAR RD6 kini bermula, trak pikap EV untuk gaya hidup outdoor

GEELY telah memulakan pemasangan dan pengeluaran trak pikap elektrik RADAR RD6 yang mula diperkenalkan kira-kira empat bulan lalu. Ia merupakan trak pikap China pertama yang menggunakan platform EV sepenuhnya.

Trak pikap ini menggunakan binaan unibody Sustainable Experience Architecture (SEA) milik Geely. Jadi dari aspek ini, RD6 lebih dekat dengan Proton Arena atau Honda Ridgeline berbanding Toyota Hilux yang menggunakan casis ladder-frame.

Radar RD6 dilengkapi dengan pakej kuasa “tiga-dalam-satu berkuasa-tinggi” 200kW, yang mampu memberikannya pecutan 0-100km/j dalam 6 saat.

Ia menggunakan bateri Ni55 dengan ketumpatan kuasa yang tinggi, membolehkannya mencapai jarak pemanduan sejauh 610km dan mempunyai daya caj maksima sehingga 120kW. Ini bermakna baterinya mampu memberikan jarak 120km selepas mengecaj selama hanya 15 minit.

RADAR RD6 menggunakan suspensi independent di kesemua empat roda, dengan ukuran panjang hampir 5.3 meter, diameter belokan 12.2 meter, dan mendapat sunroof panoramik sebesar 55-inci.

Untuk versatiliti, trak pikap EV ini juga menampilkan tiga ruang kargo utama, termasuk kotak simpanan tersorok di depan bersaiz 70 liter, ruang simpanan di tempat duduk belakang 48 liter, dan ruang kargo utama belakang 1,200 liter.

Terdapat soket nyah-caj berkuasa tinggi 6kW di ruang kargo belakang untuk kegunaan perkakasan dan aksesori elektrik.

Dari segi teknologi, RADAR RD6 dilengkapi dua skrin besar 12.3-inci di kabin dan sebuah skrin 9-inci untuk fungsi head-up dispay (HUD) yang juga menyokong fungsi arahan suara.

Aktiviti luar kini menjadi trend di China, maka pengenalan RADAR ini dikatakan sangat bertepatan dengan permintaan semasa.

Di masa depan juga, jenama ini akan memfokus kepada kenderaan seperti trak pikap EV pelbagai saiz, SUV untuk off-road, ATV, dan sebagainya.

Geely RADAR – Trak pikap elektrik pesaing Tesla Cybertruck?

BAGI mereka yang masih belum tahu, Geely mempunyai sub-jenama baharu yang mengkhususkan dalam segmen trak pikap iaitu RADAR. Model pertama di bawah jenama ini merupakan sebuah trak pikap elektrik yang dijadualkan untuk pelancaran pada bulan hadapan.

Sedikit maklumat mengenai RADAR, ia mula menjadi sebutan pada November tahun lalu dan pada bulan berikutnya, khabar angin mengenai kewujudan jenama itu menjadi lebih kukuh apabila Geely dilaporkan telah memfailkan paten untuk sebuah trak pikap elektrik. Kemudian pada Mei lalu, nama RADAR buat pertama kalinya tertiris dalam talian.

Menurut laporan, RADAR dioperasikan oleh dua buah syarikat yang bernaung di bawah Hangzhou Geely Automobile Research and Development iaitu Geely Pickup Truck Auto Parts (Shandong) dan Geely Pickup Truck Auto Sales (Shandong). Hangzhou Geely Automobile Research and Development pula dimiliki sepenuhnya oleh Zhejiang Geely Holding Group.

Berdasarkan pembentangan rasmi yang dibuat baru-baru ini, RADAR akan diposisikan sebagai jenama trak pikap EV untuk mereka yang gemarkan aktiviti lasak dan gaya hidup ‘outdoor’.

Apa yang menarik, setiap huruf dalam nama RADAR membawa maksud tersendiri. R untuk Rational, A untuk Alone, D untuk Discovery, A untuk Accompany dan R untuk Romantic.

Pengenalan jenama ini dilihat sebagai langkah Geely untuk mengambil kesempatan ke atas populariti trak pikap yang semakin meningkat di China. Ini berikut pembatalan larangan ke atas kenderaan itu yang diumumkan oleh beberapa bandar seperti Hebei, Liaoning, Yunnan dan Xinjiang.

Berbalik kepada trak pikap tersebut, gambar yang tertiris pada pembentangan tersebut menunjukkan ia mempunyai lampu seakan Geely Hao Yue, dengan jalur LED bersambung sehingga ke gril ala Volkswagen. Rekaan bampar hadapan pula tidak ubah seperti Bo Yue (X70).

Setakat ini, masih tiada perincian teknikal mengenai trak pikap berkenaan namun menurut Ash Sutcliffe, pengurus perhubungan awam luar Geely, saiznya hampir sama dengan Toyota Hilux. Ini bermakna ia mempunyai ukuran panjang kira-kira 5.3 meter dan tapak roda 3.1 meter.

Gambar intipan ruang dalamannya pula mendedahkan elemen-elemen seperti tuil gear X70 CKD, tombol rotari (berkemungkinan untuk pacuan atau mod pemanduan), serta skrin untuk sistem infohibur dan kluster instrumen.

Media di China juga menjangkakan yang trak pikap itu dibina menggunakan platform SEA milik Geely dan juga teknologi hibrid Leishen Hi-X, walaupun ia sebuah trak pikap elektrik. Mungkinkah ini boleh jadi pesaing dan alternatif untuk Tesla Cybertruck?

Geely masuki bidang ketenteraan, hasilkan satelit untuk operasi kereta pandu-sendiri

ZHEJIANG Geely Holding Group telah memulakan pengeluaran satelit untuk menghasilkan rangkaian navigasi berketepatan-tinggi yang akan membantu kereta pandu-sendiri.

Pengeluaran besar-besaran telah bermila di Taizhou, Zhejiang Province, menandakan kemasukan pengeluar automotif China itu dalam bidang yang sebelum ini dipelopori oleh tentera.

Satelit-satelit ini dibangunkan sendiri oleh Geespace, iaitu syarikat dari kumpulan Geely dengan sasaran pengeluaran tahunan 500 unit.

Geely merancang untuk membina rangkaian satelit orbit rendah yang akan menghantar maklumat posisi tepat untuk kereta-kereta pandu-sendiri (self-driving cars).

Industri aeroangkasa China mempunyai hubungan rapat dengan People’s Liberation Army. Tetapi syarikat-syarikat swasta Amerika Syarikat (AS) juga telah mula membuat penglibatan signifikan dalam industri angkasa, terutamanya yang melibatkan automotif.

Jadi, Geely melihat keperluan untuk menceburkan diri dalam bidang ini untuk mengembangkan operasi automotif global mereka.

Pengasas dan pengerusi Geely, Li Shfu juga berkhidmat dalam National People’s Congress dan dikatakan rapat dengan presiden China, Xi Jinping.

Beberapa syarikat swasta di Zhejiang Province juga akhir-akhir ini telah membuat pelaburan dalam bidang seperti nuklear.

Geely sasar buka 5,000 stesen penukaran bateri EV di China

SYARIKAT subsidiary Geely iaitu Geely Technology Group bercadang membina lebih 5,000 stesen penukaran bateri electric vehicle (EV) di China.

Sasaran dibuat selepas syarikat itu berjaya menghasilkan proses perkhidmatan penukaran bateri E-Energee sebelum ini.

Pada acara Wuzhen Internet Conference 2021, Geely Technology Group menunjukkan bahawa mereka berjaya menghasilkan proses penukaran bateri dalam tempoh kurang seminit.

Foto ihsan Geely

Apa yang menarik, Geely Technology Group mendakwa proses penukaran bateri hanya mengambil masa 59 saat berbanding 90 saat.

Pelanggan boleh melakukan pembayaran secara dalam talian dan lebih mudah, pemandu tidak perlu keluar dari kenderaan ketika proses penukaran bateri dibuat.

Setakat ini, Geely Technology Group telah membina lebih 10 stesen E-Energee dengan hub pertama dibina di Chongqing pada September 2020.

Foto ihsan Geely

Untuk rekod, terdapat sebuah lagi syarikat automotif China dikenali sebagai NIO turut mempunyai sistem penukaran bateri EV.

Bagaimanapun, proses penukaran lengkap memakan masa lebih tiga minit.

Geely Xingyue L umpama kuda “Zooro”, mampu cari pemandu secara auto

GEELY Auto menambah satu lagi model kenderaan utiliti sukan (SUV) dikenali sebagai Xingyue L.

Ditayangkan buat pertama kali di Shanghai Auto Show 2021, Xingyue L dikatakan antara SUV paling canggih pernah dihasilkan syarikat itu.

Xingyue L antara SUV terhebat pernah dilahirkan Geely. – Foto ihsan Geely

Sehubungan itu, tidak hairan jika setakat ini lebih 30,000 tempahan telah dibuat dalam tempoh tiga bulan sahaja.

Menarik tentang Xingyue L

Model ini merupakan SUV ketiga selepas Xingyue S dan Preface.

SUV ini dibina menggunakan platform CMA (Compact Modular Architecture) yang turut digunakan oleh Volvo XC40, C40 dan Polestar 2.

Bagaimanapun, Xingyue L mempunyai ukuran tapak roda atau wheelbase jauh lebih panjang berbanding model XC40, C40 dan Polestar 2 iaitu 2,845 mm.

Ukuran titik tengah roda kiri dan kanan (wheel track) pula adalah 1,610 mm sekaligus memberikannya penampilan lebih besar dan gagah.

Di bawah hud, terdapat enjin turbo empat silinder sebaris berkapasiti 2.0 liter yang dihasilkan menerusi kerjasama antara Geely dan Volvo.

Enjin tersebut boleh didapati dalam dua versi iaitu 215 hp/325 Nm dan 235 hp/380 Nm.

Transmisi juga didatangkan dalam dua pilihan iaitu automatik klac berkembar tujuh kelajuan yang dibangunkan sendiri oleh Geely dan automatik lapan kelajuan daripada Aisin.

Prestasi pecutan 0-100 km/j kedua-dua versi tersebut tidak jauh berbeza iaitu 7.7 saat untuk versi 235 hp dan 7.9 saat untuk versi 215 hp.

Menurut Geely, Xingyue L mempunyai pembahagian tork 50:50 yang dicapai menerusi sistem pacuan empat roda keluaran BorgWarner.

Ia juga didatangkan dengan lima mod pemanduan iaitu Eco, Norm, Sport, Snow dan Off-Road.

Xingyue L versi hibrid 

Semua model Star termasuk Xingyue L ditawarkan dengan sistem tren kuasa hibrid sekaligus selari dengan inisiatif Blue Geely.

Versi hybrid akan diperkenalkan pada suku keempat 2021 ini menawarkan kecekapan termal 43.2 peratus dan penjimatan bahan api melebihi 40 peratus.

Berikut antara teknologi canggih lain terdapat pada Xingue L:-

  • Sistem operasi Milky Way
  • Head up display realiti terimbuh (AR) 25.6 inci
  • Sistem audio Bose dan pencahayaan ambien

Sistem valet automatik

Sementara itu, Xingyue L juga mempunyai sistem valet automatik yang menggunakan teknologi 5G.

Penggunaan sistem ini membolehkan kenderaan masuk ke petak parkir tersebut dengan sendiri.

Apa yang lebih gempak, ia juga boleh keluar dari petak parkir dan bergerak secara automatik kepada pemandu dalam lingkungan jarak 200 meter!

Pada masa sama, model ini juga mempunyai Highway Assisted Driving (HWA) yang berfungsi memantau keadaan di sekeliling kenderaan.

Selain itu, sistem ini memberikan pemanduan autonomi Tahap 2 yang membolehkan ia menukar lorong dan mengekalkan jarak selamat dengan kenderaan lebih besar secara automatik.

Bagi memastikan sistem dan teknologi berfungsi pada tahap optimum setiap masa, segala perisian akan dikemas kini secara atas udara atau Over The Air (OTA).

Hebat Geely!

Reka bentuk belakang yang sangat menarik dan eksklusif. – Foto ihsan Geely

Harga Geely Geometry A Pro tak masuk akal, bakal dieksport waktu terdekat

SYARIKAT pengeluar kenderaan gergasi China Geely nampaknya semakin serius dalam menghasilkan kenderaan pintar.

Memperkenalkan model Geometry A Pro, ia bukan sahaja mesra alam tetapi turut didatangkan dengan teknologi canggih demi kepuasan pemanduan.

Sebenarnya, Geometry A Pro merupakan kesinambungan daripada model Geometry A yang dilancarkan pada tahun lalu.

Geometry A Pro sudah pasti memiliki beberapa penambahbaikan dengan peningkatan teknologi terkini serba canggih.

Memetik maklumat didedahkan Geely UnCut, Geometry A Pro yang didatangkan dengan bateri 70 kWh dapat menjimatkan 20 peratus ruang meskipun mempunyai kapasiti lebih tinggi.

Mengikut kitaran NEDC, Geometry A Pro mampu mencapai jarak pemanduan mencecah 600 kilometer.

Sementara itu, Geometry A Pro juga didakwa mampu memecut 0-100 km/j hanya dalam masa 6.9 saat.

Apa lagi menarik mengenai Geometry A Pro?

Geometry A Pro juga memiliki teknologi iBooster terbaharu keluaran Bosch.

Teknologi ini mampu memberi daya tahan lebih lama kepada kenderaan terutama ketika dipandu dalam bandar.

Setakat ini, Bosch mendakwa iBooster mampu menghasilkan tekanan secara pantas untuk jarak henti lebih pendek selain memberi “rasa pedal terbaik” yang boleh dilaras.

Geometry A Pro dijual pada harga sekitar 148,000 yuan atau bersamaan RM95,116.