Kei car: Daihatsu kalah, Suzuki kini nombor satu di Jepun!

Berikutan skandal ujian keselamatan yang menggemparkan dunia tahun lalu, Daihatsu kini bukan lagi kuasa utama di dalam segmen kenderaan mini (kei car) di Jepun.

Menurut laporan NHK, untuk pertama kalinya dalam tempoh 18 tahun, kedudukan Daihatsu Motor sebagai jenama kei car paling laris telah pun dipintas oleh Suzuki Motor.

 

 

Data daripada Japan Light Motor Vehicle and Motorcycle Association menunjukkan pesaing Daihatsu, Suzuki Motor berjaya menjual sebanyak 552,251 unit kenderaan baharu pada tahun fiskal yang berakhir Mac lalu, atau peningkatan sebanyak 7 peratus.

Sebagai perbandingan, Daihatsu sekadar menjual sebanyak 443,694 unit kei car, dengan penurunan sebanyak 22 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Daihatsu sebelum ini telah menghentikan sementara operasi pemasangan kenderaan di semua kilangnya di Jepun selepas didapati bersalah melakukan pemalsuan data dalam ujian keselamatan kemalangan.

 

Daihatsu sambung semula penghantaran Rocky dan Toyota Raize di Jepun

DAIHATSU Motor Co mengumumkan bahawa penghantaran bagi tiga model – Daihatsu Rocky, Toyota Raize, dan Subaru Rex – akan disambung semula di Jepun.

Ini susulan penggantungan jualan dan penghantaran model-model tersebut berikutan krisis keselamatan tahun lepas.

Walaubagaimanapun, dalam perkembangan terbaharu, Kementerian Pengangkutan mengumumkan bahawa penggantungan itu ditarik balik kerana kenderaan-kenderaan tersebut mematuhi standard Undang-Undang Kenderaan Darat.

Menurut laporan oleh carwatch, ujian telah dilakukan oleh kementerian itu sendiri.

Daihatsu berkata mereka akan kembali mengeluarkan dan menghantar kenderaan-kenderaan tersebut secara beransur-ansur. Persiapan kini dibuat bersama dengan syarikat jualan dan pembekal.

Tahun lepas, sebanyak 56,111 unit Toyota Raize dan 22,329 Daihatsu Rocky terlibat dalam isu manipulasi ujian perlanggaran.

Dalam ujian perlanggaran berkenaan, keputusan untuk tiang yang digunakan untuk mengukur impak di sebelah kiri digunakan juga di sebelah kanan sedangkan kedua-dua bahagian perlu diuji.

Kedua-dua model berkenaan didapati menjalani ujian UN R135 yang tidak sempurna. Dalam kes ini, Daihatsu membuat ujian perlanggaran hanya di bahagian penumpang dan tidak di bahagian pemandu.

Penemuan itu menjejaskan kira-kira 78,000 kenderaan hibrid yang dijual di Jepun.

Daihatsu umum pelantikan kepimpinan baharu berikutan skandal ujian keselamatan

DAIHATSU Motor Co. Ltd, yang diselubungi isu penyelewengan ujian keselamatan sejak tahun lalu, telah mengumumkan struktur baharu yang akan mengambil alih kepimpinan syarikat itu bermula 1 Mac ini.

Struktur kepimpinan baharu ini akan menyaksikan pengerusi Daihatsu iaitu Sunao Matsubayashi dan presidennya iaitu Soichiro Okudaira meletakkan jawatan masing-masing.

Matsubayashi akan digantikan oleh Masahiro Inoue yang merupakan ketua pegawai eksekutif Toyota Motor Corporation Amerika Latin dan Caribbean, manakala tempat Okudaira akan diambil alih oleh ketua projek promosi elektrifikasi Lexus di Lexus International Co iaitu Masanori Kuwata.

Sementara itu, timbalan ketua pegawai di kumpulan Toyota Customer First iaitu Keiko Yanagi akan menggantikan Masahiro Yamamoto sebagai pengarah bukan residen Daihatsu.

Daihatsu dan Toyota, dalam satu kenyataan bersama berkata mereka akan melaksanakan langkah-langkah yang menyeluruh untuk mencegah penyelewengan itu daripada berulang dan berusaha ke arah pemulihan Daihatsu.

“Kami sekali lagi ingin memohon maaf yang sedalam-dalamnya kepada pelanggan, pembekal, peniaga, komuniti di mana kilang kami berada, dan banyak pihak berkepentingan kami yang lain atas kesulitan dan kebimbangan yang disebabkan oleh isu penyelewengan pensijilan baru-baru ini.

“Walaupun semua kilang Daihatsu di Jepun menggantung operasi berikutan pengumuman kami yang dibuat pada 20 Disember, kami dapat menyambung semula pengeluaran dan penghantaran beberapa kenderaan setakat semalam,” kata syarikat itu.

Daihatsu akui palsukan keputusan ujian keselamatan sejak 1989

CNN melaporkan bahawa Daihatsu mengakui telah memalsukan keputusan ujian keselamatan untuk kenderaan kenderaan mereka selama lebih 30 tahun, dengan kes terawal dikesan sejak 1989.

Seorang jurucakap Daihatsu memberitahu agensi berita itu bahawa pengeluar kenderaan kompak itu telah menghentikan pengeluaran di semua empat kilangnya sejak Selasa lalu, termasuk satu yang terletak di ibu pejabatnya di Osaka.

Penutupan itu dijangka berlanjutan sehingga sekurang-kurangnya akhir Januari depan dan bakal menjejaskan kira-kira 9,000 orang kakitangan yang bekerja di bahagian pengeluaran domestik.

Langkah ini diambil ketika Daihatsu bergelut dengan skandal keselamatan yang semakin mendalam yang dikatakan “telah menggoncang asas syarikat”, menurut Toyota.

Minggu lalu, Daihatsu mengumumkan jawatankuasa bebas pihak ketiga telah menemukan bukti sebanyak 174 kes penyelewengan data ujian keselamatan melibatkan 64 model, termasuk yang dijual di bawah jenama Toyota.

Sehubungan dengan itu, Daihatsu berkata ia akan menangguhkan sementara semua penghantaran kenderaan domestik dan antarabangsa.

Menurut laporan itu, kes terawal dikesan pada 1989, dengan peningkatan bilangan kes yang semakin ketara sejak 2014.

Skandal ini dilihat sebagai satu lagi tamparan kepada syarikat itu, yang pada April lalu turut mengakui telah melanggar piawaian ujian perlanggaran ke atas lebih 88,000 kereta yang kebanyakannya dijual di bawah jenama Toyota di Malaysia dan Thailand.

Pada Mei lalu, pengeluar kenderaan itu menemui lebih banyak salah laku melibatkan pemalsuan data ujian perlanggaran untuk dua model hibrid yang telah dihentikan jualannya.

Daihatsu mengaku ‘menipu’ dalam ujian perlanggaran keselamatan

DAIHATSU telah mengaku akan ‘kesalahan’ dalam ujian keselamatan perlanggaran yang dibuat untuk pematuhan piawaian melibatkan empat model. Ini merangkumi Perodua Axia 2023, Toyota Vios (dikenali sebagai Yaris Ativ di beberapa pasaran seperti Thailand), Toyota Agya, dan sebuah model yang belum dilancarkan.

Anak syarikat Toyota itu mengakuinya dalam satu kenyataan, dan menambah bahawa lebih 88,000 unit berkenaan setakat ini telah terjual di Malaysia, Thailand, Indonesia, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, dan Mexico. Penghantaran baharu telah dihentikan.

“Kami benar-benar minta maaf kerana mengkhianati kepercayaan pelanggan dan pemegang saham kami dan kerana mengakibatkan kesulitan serta kerisauan,” tulis kenyataan oleh Daihatsu itu.

Sementara itu, Toyota juga mengeluarkan kenyataan berasingan. “Kesalahan Daihatsu melibatkan hal keselamatan, iaitu aspek paling penting bagi kenderaan.

“Kami menganggap ini sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima kerana ia mengkhianati kepercayaan pelanggan-pelanggan kami,” kata Akio Toyoda, Pengerusi Ahli Lembaga Toyota.

“Kami akan bermula dengan membuat siasatan terperinci dengan mengumpul data bagi memahami situasi, menentukan penyebab sebenar, dan bekerja keras mengelakkan ia dari berulang.

“Kami juga akan secepat mungkin memaklumkan kepada umum perkara-perkara yang kami temui sepanjang siasatan kami,” tambah Akio.

Menurut Reuters, kenderaan yang terlibat dikatakan telah dimodifikasi dengan “lekuk” untuk mengurangkan risiko dalam ujian agar bahagian dalam pintu tidak pecah dengan serpihan tajam dan mencederakan penumpang jika beg udara sisi diaktifkan dalam perlanggaran.

Modifikasi ujian itu tidak menjadi sebahagian dari kenderaan produksi.

Toyota berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan kemalangan atau kecederaan membabitkan perubahan bahagian sisi itu.

Juga masih belum jelas siapa bertanggungjawab mengubah pintu itu untuk ujian perlanggaran, seberapa ramai dalam Daihatsu yang tahu akan perkara ini, dan sama ada terdapat pihak atasan yang meluluskan perubahan ini.

Daihatsu Gran Max kekal pilihan rakyat Malaysia dalam segmen kenderaan komersial ringan

DAIHATSU Malaysia telah mengumumkan prestasi jualan bagi tahun 2022 dengan sejumlah 1,190 unit pikap dan van panel Gran Max (dalam versi manual dan automatik) berjaya diserahkan.

Menurut syarikat itu, pencapaian ini menjadikan Gran Max model pikap dan van panel pilihan nombor satu di Malaysia bagi segmen kenderaan komersial ringan bawah 2.0L.

Van panel Gran Max mengekalkan kedudukannya sebagai varian paling laris dan penyumbang terbesar kepada jualan keseluruhan Daihatsu Malaysia dengan catatan 54 peratus.

Walaupun industri automotif berdepan cabaran di peringkat global yang diakibatkan oleh gangguan rantaian bekalan dan kelembapan ekonomi, Daihatsu Malaysia masih mencatat prestasi jualan yang memberangsangkan terima kasih kepada pengenalan Gran Max Minor Change (MC) pada Jun tahun lalu.

Kedua-dua model pikap dan van panel Gran Max dikemas kini dengan beberapa ciri baharu seperti tingkap kuasa, sistem pemain multimedia, kamura undur dan port pengecas USB 12V-24V.

Arman Mahadi, Pengarah Urusan Daihatsu (Malaysia) Sdn. Bhd. berkata pihaknya menyasarkan untuk memberikan pengalaman pemanduan menyeluruh dengan menyediakan keselesaan, kebolehpercayaan, keselamatan serta kemudahan dan praktikaliti.

“Kami sentiasa berterima kasih kepada semua pelanggan korporat dan individu kami atas sokongan berterusan mereka terhadap jenama Daihatsu dan penghargaan ikhlas kami juga ditujukan kepada semua pengedar Daihatsu, rakan niaga yang berjaya mengharungi tahun yang mencabar bersama-sama,” tambah beliau.

Bagi tahun 2023, Daihatsu Malaysia akan memulakan pelan transformasi perniagaan dan pengembangan rangkaian peniaga di Utara, Selatan dan Timur Malaysia.

Daihatsu Ayla EV muncul di Indonesia, bakal jadi Axia EV?

PT Astra Daihatsu Motor (ADM) menyertai pameran Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2022 dengan membawakan sembilan model menarik. Salah satu daripadanya adalah model kompak elektrik sepenuhnya iaitu Ayla EV.

Ya, kembar kepada Perodua Axia yang juga dikategorikan sebagai Low Cost Green Car (LCGC) di Indonesia itu kini mempunyai trenkuasa elektrik. Menurut otomotif.kompas.com, ia dibangunkan sepenuhnya oleh pasukan penyelidikan dan pembangunan ADM sejak 2020.

 

Bagaimanapun, jangan terlalu teruja kerana Ayla EV masih lagi dalam peringkat konsep dan ADM juga masih belum mengumumkan sebarang perancangan untuk menjadikannya model produksi.

Untuk projek ini, ‘nadi’ asal Ayla iaitu petrol enjin 1.2-liter tiga silinder telah dikeluarkan dan digantikan dengan sebuah motor elektrik yang mampu menjana 80.5 hp dan pek bateri berkapasiti 32 kWj. Perincian lain seperti jarak pemanduan, kelajuan maksimum dan pengecasan tidak didedahkan.

Modifikasi turut dilakukan pada bahagian casis, di mana Ayla EV dipasangkan dengan sistem suspensi yang lebih kukuh bagi menampung berat tambahan daripada bateri. Selain itu, bahagian bawah badan kereta konsep ini turut diubah suai, kemungkinan besar untuk meningkatkan aspek aerodinamik.

Dari segi penampilan, Ayla EV tampil jauh lebih bergaya berbanding versi standard dengan jalur LED yang merentasi bahagian depan ala Volkswagen Golf Mk8, rekaan bampar tertutup sepenuhnya dan warna dwi-tona yang dikontraskan dengan perincian berwarna kuning.

Gambar ruang dalaman pula menampakkan sepasang skrin kecil yang memaparkan suapan (feed) dari kamera cermin sisi, tombol rotary untuk pemilihan gear, kluster instrumen digital serta perincian kuning pada corong pendingin hawa dan butang mula/henti.

Untuk mengatakan yang kemunculan Ayla EV ini akan membuka jalan kepada pembangunan Perodua Axia versi elektrik masih lagi terlalu awal, namun ia setidak-tidaknya menunjukkan yang Daihatsu mempunyai kepakaran untuk menghasilkan EV dan bersedia untuk menceburi segmen itu apabila tiba masanya.

Sumber foto: otomotif.kompas.com

Banjir: Daihatsu tawar diskaun hingga 40 peratus untuk alat ganti, subsidi tunda RM100

DALAM meringankan beban mereka yang terjejas disebabkan banjir, Daihatsu (Malaysia) Sdn Bhd melancarkan Daihatsu Flood Relief Programme.

Ia khas untuk kenderaan Daihatsu dan sah bermula 22 Disember 2021 hingga 28 Februari 2022 untuk tujuan servis dan baik pulih, sama ada pemilik persendirian atau syarikat.

Program bantuan banjir Daihatsu ini merangkumi subsidi sehingga RM100 untuk khidmat tunda dan diskaun sehingga 40 peratus untuk alat ganti terpilih. Diskaun juga diberikan untuk caj upah iaitu sebanyak 20 peratus.

Kerja-kerja baik pulih ini akan dilindungi oleh jaminan setahun atau 20,000km, yang mana dahulu.

Untuk tambahan, Daihatsu juga akan menghantar pasukan Mobile Service terus ke kenderaan pelanggan mengikut masa dan lokasi diminta (terhad kepada jangkauan tertentu).

Untuk maklumat lanjut atau mendapatkan bantuan, hubungi 1-300-88-3667 untuk khidmat tunda atau 03-55123411 untuk Daihatsu Mobile Service.

Daihatsu hasilkan kompak hybrid elektrik sepenuhnya menjelang 2030

SYARIKAT Daihatsu Motor Co. mengumumkan akan menukar strategi perniagaan dengan menghasilkan kenderaan hybrid elektrik sepenuhnya menjelang 2030.

The Japan Times melaporkan, Daihatsu turut bercadang melancarkan kereta kompak elektrik penuh (EV) menjelang tahun 2025 bermula di pasaran Jepun terlebih dahulu.

Foto ihsan Daihatsu

Setakat ini, model EV kompak berkenaan dianggarkan akan dijual sekitar RM37,000 sehingga RM74,000.

Presiden Daihatsu mengakui, persaingan sengit penghasilan kenderaan EV sedikit sebanyak mendorong syarikat itu untuk mengubah pelan perniagaannya.

Hal ini terbukti apabila Nissan, Mitsubishi, Honda dan Suzuki dikhabarkan bakal memperkenalkan model EV kompak masing-masing seawal April 2022.

Foto ihsan Daihatsu

“Daihatsu perlu menghasilkan kenderaan elektrifikasi atau EV ini dan ia tidak boleh dielak.

“Untuk itu, kami akan menggunakan kelebihan kepakaran kenderaan hibrid dalam membangunkan kereta elektrik ini nanti,” kata Soichiro Okudaira.

Soichiro berkata demikian pada pelancaran model baharu van Hijet Cargo di Jepun pada Isnin.

Pada November, Daihatsu telah melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak terbaharunya iaitu Rocky e-Smart Hybrid di Jepun.

Ia memiliki sistem hibrid jenis range extender dengan enjin tiga silinder 1.2 liter WA-VEX.

Teknologi ini membolehkan ia mengecas kuasa elektrik dan disimpan dalam bateri lithium ion berkapasiti 4.3 Ah.

Secara tidak langsung, Rocky e-Smart Hybrid boleh mencapai penggunaan bahan api serendah 28 km/l (3.6 l/100 km)!

Foto ihsan Daihatsu

Sementara itu, model ini juga mempunyai sistem Smart Pedal, iaitu mod pemanduan menggunakan hanya satu pedal.

Sebelum ini, Rocky e-Smart Hybrid pernah dibawa ke Malaysia untuk diuji oleh Perodua.

Jadi, adakah selepas ini kembar kepada Rocky e-Smart Hybrid iaitu Ativa bakal menerima teknologi serupa?

Sama-sama kita nantikan!