fbpx

Zeekr 009 Grand, EV 4 tempat duduk, jarak gerak 702 km, pesaing Lexus LM!

Zeekr 009 Grand 06

Jenama EV di bawah naungan Geely, Zeekr baru sahaja melancarkan model minivan ultra-mewah 009 Grand, di mana model tersebut cuba untuk menandingi apa yang ditawarkan oleh Lexus LM.

Tidak seperti minivan 009 standard yang sudah pun wujud di pasaran, Zeekr 009 Grand membawakan spesifikasi yang jauh lebih premium dan mampu memuatkan empat orang sahaja pada satu-satu masa.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas berkenaan minivan Zeekr 009 Grand:

 

1. Pecutan 0-100 km/j dalam 3.9 saat

Secara standard, Zeekr 009 Grand dibekalkan dengan dua motor elektrik dan sistem pacuan semua roda yang disokong oleh senibina elektrik 800 voltan.

Dengan kuasa sekitar 778 hp, Zeekr 009 Grand mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat sahaja.

 

2. Jarak gerak elektrik sejauh 702 km

Dengan pek bateri 108 kWh Qilin buatan CATL, 009 Grand mampu bergerak sejauh 702 km untuk sekali cas penuh.

Pengecasan (pantas) selama 12 minit pula membolehkan pemilik menambah jarak gerak sejauh 500 km, nak balik kampung memang tidak menjadi satu masalah besar.

 

3. Rim 20 inci dengan kemasan ukiran laser

Daripada sudut luar, 009 Grand membawakan kemasan unik.

Seperti contoh, jeriji hadapan keluli tahan karat buatan tangan yang mengambil masa 30 jam untuk digilap.

Set rim tempa bersaiz 20 inci rekaan cakera ala Rolls-Royce itu turut proses gilapan sebanyak 10 tahap yang mengambil masa 20 jam, sebelum permukaan tersebut dihiasi dengan 240 ukiran laser bagi memastikan kesan pantulan cahaya yang baik ketika bergerak atau sedang dalam keadaan pegun.

 

4. Kemasan marmar Himalaya dalam ruang kabin

Menjadikan penawaran 009 Grand ini lebih gah ialah kemasan super mewah yang biasanya wujud pada model-model yang lebih mahal, seperti Rolls-Royce dan Bentley.

Pada bahagian kabin belakang, Geely telah menggandingkan penggunaan marmar asli daripada pergunungan Himalaya yang turut digilap menggunakan tenaga manusia.

Terdapat dua tempat duduk yang sangat selesa dimuatkan pada ruang tersebut, dengan sokongan sehingga 12 zon dan larasan sehingga 24 tahap.

 

5. TV pintar dengan sistem audio Yamaha!

Melengkapi pengalaman mewah di bahagian belakang ialah peti sejuk 18 liter dengan fungsi pensterilan ultraungu, kehadiran skrin paparan 4K bersaiz 43 inci dan sistem audio Yamaha Surround Sound, di mana sehingga 31 pembesar suara dimuatkan untuk pengalaman tontonan seakan di panggung wayang.

Sistem infohibur minivan mewah ini dikuasakan oleh dua cip pemprosesan Qualcomm 8295, masing-masing untuk kabin depan dan belakang yang mampu menawarkan pengalaman interaktif unik, selain menyokong fungsi kepintaran buatan (AI), interaksi suara dan kawalan penjejakan mata.

 

6. Kaca privasi canggih yang pertama di dunia

Untuk memastikan tahap privasi penumpang terjaga dengan baik, Zeekr 009 Grand mempunyai satu lagi ciri canggih – kaca privasi dengan fungsi tirai cahaya (LC).

Ia menawarkan tetapan sehingga 10 tahap kecerahan/kegelapan yang boleh dilaraskan, dengan tahap respons sepantas 1.5 saat sahaja.

Dalam keadaan gelap, cermin tersebut akan berubah menjadi hitam sepenuhnya dengan tahap penembusan cahaya sekitar 0.5 peratus sahaja.

 

7. Ciri keselamatan ADAS termaju

Zeekr 009 Grand mempunyai fungsi bantuan pemanduan pintar termaju, terima kasih kepada kehadiran kelengkapan seperti LIDAR, sistem kamera definisi tinggi dan radar gelombang milimeter.

Ini bermakna, Zeekr 009 Grand turut menyokong sistem pemanduan semi-autonomi untuk kegunaan di atas lebuh raya.

 

8. Harga

Di pasaran China, Zeekr 009 Grand dijual pada harga bermula dari RMB 789,000 (RM521,397).

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved