fbpx

Volkswagen ID.7 Tourer diperkenalkan – 282 hp, jarak pandu 685 km

The all-electric Volkswagen ID.7 Tourer

MASIH ingat dengan Volkswagen ID.7 yang diperkenalkan pada April tahun lalu? Ini adalah versi wagonnya yang dikenali sebagai ID.7 Tourer dan ia merupakan wagon elektrik pertama dari jenama Jerman itu.

Kebiasaannya, wagon mempunyai ukuran yang lebih panjang jika dibandingkan dengan sedan namun tidak dalam kes ini. Ukuran ID.7 Tourer sama sahaja dengan ID.7 iaitu 4,961 mm panjang, 1,862 mm lebar dan 1,536 mm tinggi. Malah, ukuran tapak rodanya juga tidak berubah iaitu 2,971 mm.

Bagaimanapun, bumbung yang panjang memberikan ID.7 Tourer kelebihan dari segi ruang. Dalam konfigurasi standard, wagon elektrik ini mempunyai ruang kargo sebesar 605 liter, 73 liter lebih besar berbanding ID.7.

Jika tempat duduk belakang dibaringkan sepenuhnya, ia mendapat ruang sebesar 1,714 liter atau 128 liter lebih besar berbanding sedan tersebut. Jika ini tidak mencukupi, pelanggan boleh mendapatkan kotak bumbung berkapasiti 460 liter.

Seperti yang dijangka, ID.7 Tourer menampilkan rekaan ruang kabin yang sama dengan versi sedan. Ini bermakna ia mempunyai skrin tengah 15 inci, paparan head-up dengan realiti terimbuh (AR) dan konsol tengah yang kemas dengan ruang simpanan yang besar di bawahnya.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan kerusi ergoActive dengan fungsi urutan, corong pendingin hawa yang dioperasikan secara automatik dan bumbung panoramik dengan kaca pintar yang boleh ditukar menjadi telus atau legap.

Volkswagen akan menawarkan dua pilihan bateri untuk ID.7 Tourer iaitu 77 kWj dan 86 kWj, dengan jarak pandu maksimum mencecah 685 km mengikut kitaran WLTP.

Pek bateri yang lebih besar itu menyokong pengecasan pantas DC dengan kapasiti maksimum sehingga 200 kW yang membolehkan bateri dicas dari 10% hingga 80% dalam kurang 30 minit.

Pacuan pula dibekalkan oleh sebuah motor elektrik pada gandar belakang yang menjana 282 hp (210 kW) dan 585 Nm tork, sama seperti yang terdapat pada versi sedan.

Seperti ID.7 dan ID.4, ID.7 Tourer akan dipasang di kilang pemasangan Volkswagen di Emden, Jerman. Buat masa ini, model ini akan ditawarkan di Eropah sahaja.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved