fbpx

Volvo Trucks lancar trak FM Low Entry, model pertama wujud dalam versi elektrik sahaja

volvo-fm-low-entry3

Volvo Trucks terus komited dalam menawarkan barisan trak berkuasa elektrik menerusi pengenalan model baharu Volvo FM Low Entry.

Ia juga merangkap model pertama Volvo Trucks yang hanya ditawarkan dalam versi elektrik sahaja.

Tidak seperti trak FM yang lain, FM Low Entry dioptimasikan untuk pemanduan yang lebih cekap dan selamat di dalam bandar, dengan menawarkan jarak penglihatan yang baik serta keupayaan untuk mengangkut muatan yang berat.

 

 

Menyumbang kepada manfaat tersebut ialah rekaan kabin FM Low Entry itu sendiri yang agak rendah dan diposisikan lebih ke hadapan, selain tangga injak masuk yang lebih rendah untuk mencipta persekitaran kerja yang lebih ergonomik.

Tidak menghairankan apabila Volvo FM Low Entry ini memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh London 5-star Direct Vision Standard.

Selain itu, ia juga turut dilengkapi dengan sistem stereng dinamik (Volvo Dynamic Steering) yang mampu mengurangkan gegaran sewaktu mengemudi jentera berat ini, serta Camera Monitor System.

 

 

Terdapat tiga opsyen tempat duduk yang ditawarkan dalam ruang kabin FM Low Entry, iaitu Pemandu, Pemandu + 1 Penumpang, atau Pemandu + 3 Penumpang.

Tidak kira apa jua konfigurasi yang ditetapkan, kedudukan tempat duduk penumpang yang diletakkan di belakang kabin mampu mengurangkan titik buta dan menyumbang kepada medan penglihatan yang lebih luas.

Secara standard, Volvo FM Low Entry dikuasakan oleh motor elektrik berkuasa 330 kW (443 hp) dengan empat pek bateri berkapasiti 360 kWh, di mana jarak gerak mampu mencecah sejauh 200 km – bergantung kepada beban muatan, corak pemanduan, suhu, topografi dan sebagainya.

 

 

Volvo FM Low Entry juga turut menyokong pengecasan AC sehingga 43 kW, atau pengecasan pantas DC sehingga 250 kW.

Terdapat dua spesifikasi ketinggian kabin (berdiri) yang ditawarkan iaitu Sleeper Cab (1,575 mm) atau Extended (1,945 mm), serta lima konfigurasi gandar yang tersedia iaitu 4X2, 6X2, 6X4, 8X2 dan 8X4.

Volvo FM Low Entry ini akan mula dijual di Eropah, termasuklah pasaran Turki dan Korea Selatan pada suku pertama 2024, sementara produksi dijadualkan bermula pada suku kedua.

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved