fbpx

VinFast buka tempahan EV cilik VF 3, harga dari RM44 ribu tanpa pek bateri di Vietnam

VinFast VF3 02

VinFast bakal melancarkan model kenderaan elektrik yang paling comel untuk pasaran Vietnam dalam masa terdekat, iaitu VF 3.

VinFast VF 3 merupakan sebuah hatchback tiga pintu yang ditawarkan dengan pakej langganan bateri yang boleh disesuaikan mengikut keperluan.

 

1. Dimensi lebih kecil berbanding Jimny

Dari segi saiz, VF 3 berukuran sepanjang 3,190 mm, lebar 1,697 mm, tinggi 1,622 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,075 mm.

Jarak kelegaan tanah pula adalah setinggi 191 mm.

Ia menjadikan VF 3 jauh lebih besar jika dibandingkan dengan model EV tiga pintu Wuling Hongguang Mini EV, akan tetapi dimensi lebih kecil berbanding Suzuki Jimny 3 pintu.

 

2. Harga dari RM44 ribu.. tanpa pek bateri

Di Vietnam, VinFast menjual VF 3 dengan harga bermula dari VND 240 juta, itu pun jika anda mahu membawa pulang kereta kecil ini tanpa sebarang pek bateri dibekalkan.

Untuk sebuah VF 3 yang lengkap dengan bateri, ia dijual pada harga bermula dari VND 322 juta.

Terdapat juga perkhidmatan langganan bateri disediakan dengan tiga pelan berasingan, bermula dari VND 900,000 (RM166.28) untuk pemanduan kurang 1,500 km sebulan, atau sehingga VND 2 juta (RM369.51) untuk pemanduan melebihi 2,500 km sebulan.

 

3. Mahu warna kustom? Tambah RM2,771!

Secara standard, VF 3 ditawarkan dengan rim bersaiz 16 inci rekaan aerodinamik, plastik pelindung badan, rekaan bumbung terapung, tiang yang digelapkan serta pelbagai pilihan warna yang menarik termasuklah empat warna standard dan lima opsyen yang berbeza.

Terdapat juga pilihan untuk melayangkan warna kustom sekiranya anda mampu menambah VND 15 juta (RM2,771) ke dalam bajet anda.

 

4. Rekaan papan pemuka yang ringkas

Untuk ruang kabin, VF 3 didatangkan dengan kelengkapan seperti skrin paparan tunggal bersaiz 10 inci, roda stereng dua jejari, sistem pendingin hawa kawalan manual, serta tempat duduk balutan fabrik.

Tempat duduk baris kedua pula boleh dilipat untuk menyediakan ruang kargo sebesar 285 liter.

 

5. EV dengan sistem pacuan roda belakang

Menariknya, VinFast VF 3 dilengkapi dengan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang berkuasa sekitar 43 hp dan 110 Nm.

Ia membenarkan pecutan.. err.. 0-50 km/j dalam masa 5.3 saat sahaja.

Kuasa itu disalurkan oleh pek bateri lithium-ion berkapasiti 18.64 kWh yang membenarkan jarak gerak sejauh 210 km (data NEDC).

Ia turut menyokong pengecasan dari 10-70 peratus dalam masa 36 minit sahaja.

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved