fbpx

Kenapa jet pejuang buat u-turn atas lapangan terbang sebelum mendarat?

jet pejuang overhead

PERNAHKAH anda lihat beberapa buah jet pejuang tiba di lapangan terbang, kemudian seakan-akan membuat bulatan atau pusingan-U sebelum berpusing semula menghadap landasan untuk mendarat?

Ini sedikit berbeza dengan pesawat komersial yang kita biasa naiki, yang terus perlahan dari jauh menuju lapangan terbang dan terus mendarat sebaik tiba.

Secara asasnya, sama ada anda perasan atau tidak, jet pejuang membuat approach atau ketibaan ke lapangan terbang dalam bentuk bulatan manakala pesawat komersial terbang dalam laluan lurus sahaja.

Teknik approach jet pejuang ini dinamakan Overhead Break Pattern. Persoalannya, mengapa?

Imej oleh: DVIDS

Overhead Break Pattern ini mempunyai dua tujuan utama. Pertama adalah untuk ‘buang’ kelajuan. Jet pejuang sangat aerodinamik untuk terbang pada kelajuan tinggi, maka ia memerlukan masa untuk diperlahankan mendekati lapangan terbang.

Jadi, belokan tajam 180-darjah ke belakang semasa ‘break’ sangat membantu memperlahankan pesawat dengan cepat sebelum gear pendaratan dibuka.

Keduanya, ‘break’ ini membolehkan formasi ‘dipecahkan’ untuk pesawat mengambil giliran mendarat satu per satu. Sela masa ‘break’ beberapa saat dari formasi untuk setiap pesawat memberikan mereka jarak sesuai untuk giliran mendarat.

Sesebuah formasi jet pejuang (bergantung kepada angkatan udara) akan tiba di pangkalan pada kelajuan sekitar 350 hingga 500 knot, di ketinggian kira-kira 1,000 kaki.

Kemudian mereka ‘break’ atau berpecah satu demi satu membentuk barisan dengan jarak kira-kira 30 saat antara mereka untuk mengambil giliran mendarat.

Dalam video di bawah, anda dapat lihat dengan jelas pesawat-pesawat pejuang dalam formasi sebelum berpecah mendarat mengikut giliran. Formasi ini adalah dari Eksesais PARADISE antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF).

Dari sudut lain pula, jika dalam situasi peperangan, Overhead Break Pattern membolehkan juruterbang melihat secara visual keadaan landasan dari atas sebelum berpusing dan melakukan pendaratan.

Teknik ini juga lebih sesuai dalam situasi peperangan kerana juruterbang lebih peka dengan keadaan sekeliling.

Pergerakan pesawat juga lebih sukar dijangka pihak musuh berbanding jika terbang rendah dan perlahan dalam garisan lurus menuju ke lapangan terbang untuk mendarat.

KAI FA-50 Block 20

Aset utama pesawat pejuang dalam situasi peperangan bukanlah senjatanya, tetapi kelajuan dan altitud (ketinggian). Jadi, juruterbang pejuang seboleh-bolehnya mahu mengelak berada dalam posisi rendah dan perlahan untuk tempoh yang lama.

Sukhoi Su-30 MKM milik TUDM.

Selain itu, jika dalam situasi aman, teknik Overhead Break Pattern ini membolehkan juruterbang pejuang ‘show off’ sedikit kepada juruterbang biasa yang lain. Ibarat kita memandu kereta sports dan ‘belanja’ bunyi atau pecutan kepada pengguna jalan raya lain!

Kini, anda sudah tahu ilmu baharu! Jika anda berminat untuk lebih banyak info sebegini, boleh nyatakan di ruangan komen.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved