Semua kiriman oleh Hanif Su'ib

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.

Honda Access lancar pakej aksesori “Bulldog Style” untuk Super-ONE, imbau kenangan City Turbo II

Bakal pembeli Honda Super-ONE EV kini boleh dapatkan pakej aksesori tulen “Bulldog Style” daripada Honda Access.

Ia direka untuk menonjolkan karakter yang lebih sporti, serta personaliti unik untuk EV kompak ini.

Senarai aksesori menarik untuk Super-ONE

Sekali imbas, ia dilihat sebagai satu penghormatan kepada model klasik Honda City Turbo II 1983 yang turut digelar “Bulldog” oleh golongan peminatnya.

Lebih-lebih lagi jika dilihat pada set decal sisi Bulldog yang menggunakan semula gaya tulisan City Turbo II.

Model asal memaparkan tulisan “Turbo II With Intercooler”, namun pada Honda Super-ONE ia membawakan mesej era baharu: “Bulldog With Electric Power”.

Terdapat juga spoiler tailgate berlekuk untuk imej yang lebih agresif, diikuti lampu kabus dwi-warna (putih atau kuning), serta rim ME-027 saiz 15 inci.

Akhir sekali, Super-ONE ini dikemaskan dengan pakej logo H hitam, serta emblem nama model dalam kemasan gelap.

Pelancaran rasmi tahun ini

Honda dijangka akan melancarkan model ini di pasaran Jepun menjelang pertengahan tahun ini.

Dengan berat sekitar 1,090 kg, Super-ONE EV merupakan antara kereta elektrik yang ringan di dalam kelasnya.

Ia juga mempunyai titik graviti yang lebih rendah berbanding kereta petrol setara, dan mampu mencapai jarak pemanduan sejauh 274 km (data WLTC).

EV ini juga menawarkan mod pemanduan khas “Boost” yang mampu melonjakkan kuasa daripada 63 hp kepada 94 hp untuk pecutan yang lebih bertenaga.

Selain itu, ia mampu mensimulasikan penukaran gear tujuh-kelajuan dan sistem kawalan bunyi aktif yang meniru bunyi enjin pembakaran dalaman.

Mengikut laporan rakan media Paultan, model ini juga dijangka masuk pasaran Malaysia kelak.

Pusat 3S Leapmotor Glenmarie Cycle & Carriage dibuka secara rasmi

Cycle & Carriage mengumumkan pembukaan rasmi pusat 3S penuh pertama Leapmotor di Lembah Klang yang terletak di Glenmarie.

Ia merupakan outlet Leapmotor Cycle & Carriage yang kedua di Lembah Klang dan yang keempat di seluruh negara.

Kemudahan tersedia

Pusat 3S Leapmotor Glenmarie ini menampilkan identiti korporat yang terkini yang menawarkan persekitaran yang moden dan premium.

Dengan keluasan 22,497 kaki persegi dan keluasan binaan 14,120 kaki persegi, ia menawarkan kemudahan seperti:

  • ruang pameran yang boleh memuatkan tujuh kenderaan
  • ruang istirehat pelanggan
  • ruang mezanin
  • bilik perbincangan peribadi
  • bilik serahan khas
  • ruang pejabat khusus

Bahagian bengkel pula menempatkan lima ruang servis dan pembaikan, ruang cuci kereta dan ruang perincian kereta yang disokong oleh gudang alat ganti yang besar.

Terdapat sehingga 18 ruang parkir, dua pengecas AC dan satu pengecas DC yang disediakan.

Waktu operasi adalah seperti berikut:

  • Isnin-Sabtu (8 pagi-6 petang)
  • Ahad & Cuti Umum (11 pagi-5 petang)

Pusat servis pula dibuka dari jam 8 pagi-5 petang setiap Isnin hingga Jumaat, dan 8 pagi-12 tengah hari setiap Sabtu. Ia ditutup setiap Ahad & cuti umum.

Pusat 1S dan 3S baharu

Cycle & Carriage turut merancang memperluas rangkaian Leapmotor dengan pusat 3S dan 1S baharu pada masa akan datang.

Ia termasuklah pusat 3S di Johor Bahru serta pusat 1S tambahan di Petaling Jaya dan tanah besar Pulau Pinang.

Honda Vario 125 Street 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – harga RM7,468

Boon Siew Honda mengumumkan ketibaan model skuter baharu Honda Vario 125 Street 2026 untuk pasaran Malaysia.

Ia ditawarkan dalam pilihan warna putih atau ungu dengan harga jualan dari RM7,468.

Spesifikasi Vario 125 Street

Skuter ini dipacu oleh enjin silinder tunggal 125 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 11.3 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 11.9 Nm @ 5,000 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi automatik CVT.

Skuter ini tampil unik dan tersendiri, disumbangkan oleh lampu utama LED yang tajam dan agresif yang digandingkan dengan rekaan bar hendal terdedah yang diilhamkan daripada skuter kembara.

Sistem suspensi terdiri daripada fork hadapan teleskopik dan penyerap hentak tunggal di belakang.

Skuter ini menggunakan sistem brek kombinasi (CBS) cakera hidraulik dan dram mekanikal.

Antara kelengkapan lain yang tersedia termasuklah:

  • skrin paparan digital LCD
  • port pengecasan USB Type-C
  • sistem pencahayaan LED penuh
  • ruang bawah pelana 18 liter
  • sistem kunci pintar
  • rim 14 inci
  • tinggi pelana 769 mm
  • tangki bahan api 5.5 liter

Proton X50 kini ditawarkan dalam warna baharu Quartz Black

Proton mengumumkan penawaran warna baharu Quartz Black bagi model SUV Proton X50.

Ia merupakan susulan kepada kejayaan pengenalan model X50 Black Edition yang dilancarkan Mac lepas, dengan 200 unit habis terjual.

Momentum jualan kukuh

Sepanjang Mac 2026, Proton X50 terus mencatatkan momentum jualan yang kukuh dengan 3,265 unit terjual.

Ia sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai SUV popular di Malaysia bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini (7,571 unit).

Proton turut menawarkan pakej komitmen selepas jualan yang komprehensif bagi memberikan kemudahan dan ketenangan minda kepada pemilik.

Antaranya ialah:

  • servis asas pantas dalam tempoh 90 minit bagi pelanggan yang membuat tempahan awa
  • jaminan kenderaan disiapkan dalam tempoh 24 jam untuk kerja penyelenggaraan menyeluruh
  • kereta gantian & servis percuma (termasuk kos upah & alat ganti) jika pembaikan mengambil masa lebih tiga hari bekerja

Proton X50 facelift dilancarkan secara rasmi pada Julai tahun lepas, menampilkan perubahan besar luar dan dalam.

Ia turut hadir dengan enjin empat silinder 1.5 liter turbo menghasilkan 181 PS dan 290 Nm, dipadankan dengan kotak gear DCT 7-kelajuan.

Untuk pasaran tempatan, SUV ini dijual pada harga seperti berikut:

• Proton X50 Executive – RM89,800
• Proton X50 Premium – RM101,800
• Proton X50 Flagship – RM113,300

Wing Hin Motorsports tonjol aksi cemerlang di pusingan pembukaan TGR GR86/BRZ Clubman Series Jepun

Wing Hin Motorsports menunjukkan aksi cemerlang di pusingan pembukaan Toyota Gazoo Racing GR86/BRZ Clubman Series yang berlangsung baru-baru ini.

Program pembangunan pemandu Wing Hin Motorsports menampilkan Mitchell Cheah (Malaysia) yang dibantu oleh rakan sepasukan Jordan Johan (TGR Indonesia).

Untuk info, Wing Hin Motorsports merupakan juara keseluruhan bagi Toyota Gazoo Racing GR86/BRZ Clubman Series yang berlangsung tahun lepas.

Aksi debut mantap

Biarpun kali pertama berlumba di Jepun, Chean, 28 tahun menunjukkan aksi mantap dengan menamatkan perlumbaan di tangga kedua.

Menurut Cheah, antara persiapan yang dibuat termasuklah menghabiskan masa dengan simulator untuk membiasakan diri dengan Litar Autopolis.

Beliau juga turut menjalani ujian singkat dengan jentera tersebut sebelum minggu perlumbaan, memandangkan ia bukanlah sebuah kereta yang senang untuk dikuasai.

Rakan sepasukannya, Jordan Johan menghabiskan perlumbaan di tangga keenam, naik satu posisi daripada kedudukan ke-7 dalam pusingan kelayakan.

Kedua-dua pelumba tersebut dibimbing oleh Masahiro Sasaki, pelumba Gazoo Racing dan Rookie Racing yang turut menerajui usaha Wing Hin Motorsports membuka laluan pembangunan bakat Asia.

Medan sebenar tajam kemahiran pemandu

Menurut Pengurus Pasukan Wing Hin Motorsports, program ini bukan sekadar memberikan masa ujian dan latihan, tetapi perlumbaan sebenar untuk mempercepat pembelajaran dan mempertajam kemahiran pemandu.

“Ini merupakan keputusan yang kukuh untuk memulakan musim ini, namun proses pembangunan akan diteruskan, dan kedua-dua pemandu mengakui cabaran di hadapan akan menjadi lebih sukar.

Terdapat tujuh pusingan dalam kalendar TGR GR86/BRZ Cup 2026 untuk tahun ini:

  • Autopolis (pusingan pembukaan)
  • Sugo (16-17 Mei)
  • Okayama (27-28 Jun)
  • Tokachi (8-9 Ogos)
  • Fuji (5-6 September)
  • Suzuka (3-4 Oktober)
  • Motegi (21-22 November)

Jaecoo 7 model terlaris di UK sepanjang Mac 2026, varian PHEV paling laku!

Jaecoo 7 dinobatkan sebagai kenderaan yang paling laris terjual di pasaran UK sepanjang Mac 2026.

Ini merupakan kali pertama sebuah model buatan China menerajui pasaran tersebut.

Varian PHEV paling laku

Sepanjang bulan lepas, Jaecoo mencatatkan pendaftaran 7 sebanyak 10,064 unit, mengalahkan model-model popular lain seperti
Ford Puma, Nissan Qashqai, Kia Sportage dan Vauxhall Corsa.

Dengan 15,559 unit didaftarkan setakat tahun ini, Jaecoo 7 kian menghampiri pemegang rekod Ford Puma dengan jualan sebanyak 16,128 unit.

Menurut Jaecoo, versi plug-in hybrid (PHEV) merupakan varian yang paling laku, menyumbang kepada 85 peratus daripada jumlah jualan sepanjang Mac.

Di UK, Jaecoo 7 dijual pada harga bermula £29,105 (RM155k) untuk versi petrol, dan mencecah £35,175 (RM188k) untuk versi PHEV.

Angka jualan meningkat

Pasaran UK juga menyaksikan peningkatan prestasi jualan sebanyak 6.6 peratus kepada 380,627 unit.

Berikut merupakan pecahan bagi setiap segmen kenderaan sepanjang bulan tersebut:

  • Petrol – 43.6 peratus
  • Kenderaan elektrik (EV) – 22.6 peratus
  • Hibrid (HEV) – 15.8 peratus
  • Plug-in hybrid (PHEV) – 13 peratus
  • Diesel – 4.9 peratus

10 kenderaan terlaris sepanjang Mac 2026:


1. Jaecoo 7 (10,064 unit)
2. Ford Puma (9,193 unit)
3. Nissan Qashqai (8,718 unit)
4. Kia Sportage (7,310 unit)
5. Vauxhall Corsa (6,315 unit)
6. Volvo XC40 (6,311 unit)
7. MG HS (6,135 unit)
8. VW Golf (5,890 unit)
9. Tesla Model Y (5,177 unit)
10. BMW 1-Series (4,936 unit)

 

10 kenderaan terlaris setakat tahun 2026:


1. Ford Puma (16,128 unit)
2. Jaecoo 7 (15,569 unit)
3. Kia Sportage (14,190 unit)
4. Nissan Qashqai (12,853 unit)
5. Vauxhall Corsa (10,552 unit)
6. Volvo XC40 (9,288 unit)
7. VW Golf (9,176 unit)
8. MG HS (9,147 unit)
9. Nissan Juke (8,512 unit)
10. MINI Cooper (8,109 unit)

 

 

Autobacs Super GT 2026 Pusingan Malaysia ditangguhkan

GTA Co. Ltd bersama Haro Sports & Entertainment Sdn Bhd mengumumkan penangguhan acara Autobacs Super GT 2026 Pusingan Malaysia yang sepatutnya diadakan pada pertengahan tahun ini.

Keputusan tersebut dibuat setelah penilaian menyeluruh terhadap situasi global semasa terutama konflik di Timur Tengah.

Ia memberikan cabaran besar dari segi operasi dan logistik, memandangkan Malaysia merupakan satu-satunya lokasi penganjuran Super GT di luar Jepun.

Selain itu, peningkatan mendadak kos kargo antarabangsa dan tambang penerbangan menjejaskan kemampuan untuk menganjurkan perlumbaan pada standard yang dijangkakan oleh kejuaraan, rakan kongsi serta para peminat.

Autobacs Super GT akan kembali ke Malaysia

Fahrizal Hassan, Rakan Kongsi Pengurusan Haro Sports & Entertainment mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas kefahaman mereka dalam situasi mencabar ini.

“Perlumbaan (Super GT) akan kembali ke Malaysia, dan kami komited untuk menjadikannya dua kali lebih hebat,” jelasnya lagi.

Masaaki Bandoh, Presiden dan CEO GTA menambah, “Keputusan ini memang sukar, namun kami menghargai kefahaman peminat Jepun, peserta, penaja dan media.

“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan Haro Sports dan semua pihak di Malaysia agar peminat di sini dapat menikmati aksi Super GT sekali lagi,” ujarnya.

Kedua-dua pihak GTA dan Haro Sports menegaskan komitmen mereka untuk membawa semula Super GT ke Malaysia apabila keadaan kembali stabil dan selamat.

Maklumat lanjut akan dikongsikan dari semasa ke semasa.

Auto Bavaria lancar dua MINI Countryman edisi terhad

Bersempena musim perayaan, Auto Bavaria memperkenalkan dua model MINI Countryman edisi terhad, iaitu Shadowline dan Stealth.

Dihasilkan dalam unit terhad, setiap satu direka bagi pelanggan yang menghargai keistimewaan individu yang tersendiri.

MINI Countryman Edisi Shadowline membawakan kemasan luar hitam berkilat, digandingkan dengan jalur bonet untuk penampilan yang anggun.

Pemilik juga akan menerima kamera Leica Edisi Terhad sebagai badiah eksklusif.

Sementara MINI Countryman Edisi Stealth pula menampilkan kemasan luar hitam kusam,

Seiring dengan keunikannya, pemilik akan menerima set hadiah eksklusif berupa:

  • Beg kembara MINI
  • Pakaian premium MINI John Cooper Works
  • Tinta Solar Premium

Pelanggan yang mendapatkan MINI Countryman edisi Shadowline atau Stealth juga berpeluang menikmati tawaran perayaan menarik serta menyertai Sime Motors Raya Gold Rush.

Kedua-dua model edisi terhad ini boleh didapati di bilik pameran Auto Bavaria MINI di seluruh negara dalam tempoh tertentu sahaja.

MINI Countryman Shadowline

MINI Countryman Stealth

Mitsubishi Xforce 2026 rasmi di Malaysia – harga dari RM109,980

Mitsubishi Motors Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan SUV terbaharu mereka, iaitu Mitsubishi Xforce 2026.

Berikut merupakan senarai harga bagi setiap varian yang ditawarkan:

  • Urban – RM109,980
  • Ultimate – RM119,980

Promosi pelancaran

MMM turut melanjutkan promosi Early Bird, sah sehingga 12 April 2026 yang merangkumi:

  • rebat tunai RM5,000 untuk pembeli terawal
  • rebat tunai tambahan RM1,000 untuk pemilik Mitsubishi sedia ada atau pekerja kerajaan
  • kos penyelenggaraan 5-tahun cuma RM3,900 serta pengecualian kos buruh sebanyak tiga kali
  • peraduan “Beli 1 Percuma 1” di mana setiap pelanggan yang membuat tempahan sebelum pelancaran April ini berpeluang untuk membawa pulang Mitsubishi Xforce Ultimate

MMM turut menawarkan tiga pakej aksesori berikut:

  • Excitement (RM4,000) – kit badan depan, sisi dan belakang.
  • Fashion Roof Rail (RM2,200)
  • Practical (RM700) – dulang kargo & mud guard

Sempena pelancaran Xforce, MMM menawarkan diskaun 20 peratus terhad kepada 50 pelanggan pertama.

Spesifikasi Xforce

Xforce dikuasakan enjin MIVEC empat silinder sebaris (kod 4A91) 1.5 liter dipadankan dengan kotak gear CVT dan pacuan roda depan.

Kuasa mencecah 103 hp @ 6,000 rpm dan daya kilas 141 Nm @ 4,000 rpm.

Xforce menawarkan sehingga 4 mod pemanduan iaitu Normal, Gravel, Mud, dan Wet.

Dari segi ukuran, Mitsubishi Xforce 2026 membawakan panjang 4,390 mm, lebar 1,810 mm dan tinggi 1,660 mm.

Jarak antara roda pula sekitar 2,650 mm sementara jarak lega bumi 222 mm.

SUV ini turut menawarkan sudut pendekatan 21 darjah serta sudut pelepasan 30.5 darjah, sesuai untuk pemanduan off-road ringan.

Kapasiti kargo pula sebesar 410 liter.

Kelengkapan

SUV ini menggunakan tetapan topang MacPherson di depan dan torsion beam di bahagian gandar belakang.

Dari sudut luaran, Xforce mendapat ciri seperti:

  • lampu utama LED berserta DRL
  • lampu belakang LED
  • spoiler belakang
  • rim aloi 18 inci
  • tayar Toyo Proxes CR1 saiz 225/50 R18
  • pintu tailgate berkuasa elektrik (varian Ultimate sahaja)

 

Untuk ruang kabin, Xforce hadir dengan kelengkapan seperti:

  • upholsteri leatherette
  • skrin kluster digital 4.2 inci
  • skrin infohibur 8 inci
  • sokongan Apple CarPlay/Android Auto berwayar
  • enam pembesar suara
  • kawalan iklim dua zon automatik

Untuk varian Ultimate pula mendapat kelengkapan tambahan:

  • upholsteri kulit sintetik dengan aksen mocha
  • tempat duduk larasan manual
  • skrin kluster digital 8 inci
  • skrin Display Audio 12.3 inci
  • sokongan Apple CarPlay dan Android Auto
  • sistem audio Dynamic Sound Yamaha Premium dengan 8-pembesar suara
  • port pengecasan USB
  • sistem pencahayaan ambien
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar

Keselamatan

Secara standard, Xforce didatangkan dengan empat beg udara, peranti perakam video pemanduan, serta dua fungsi keselamatan aktif iaitu amaran titik buta (BSW) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

Varian Ultimate pula mendapat kelengkapan berikut:

  • enam beg udara
  • peranti perakam video pemanduan depan dan belakang
  • sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)
  • kawalan jelajah adaptif (ACC)
  • sistem mitigasi pelanggaran hadapan (FCM)
  • notifikasi pergerakan kereta hadapan (LCDN)
  • bantuan suluhan tinggi automatik (AHB)

Kia Carnival 2026 versi 8-tempat duduk diperkenalkan di Malaysia – harga RM238,888

Kia Sales Malaysia (KSM) memperkenalkan Kia Carnival 8-tempat duduk untuk pasaran tempatan, dengan harga jualan RM238,888.

Kehadiran varian baharu ini melengkapi penawaran sedia ada terdiri daripada varian 11-tempat duduk (RM188,888) dan 7-tempat duduk (RM248,888).

Ciri baris kedua yang unik

Varian 8-tempat duduk ini menawarkan konfigurasi 2-3-3 dengan kemasan leatherette lembut.

Baris kedua pula hadir dengan nisbah 40:20:40, fungsi gelongsor jarak jauh dan boleh dilaras untuk menghadap ke depan atau belakang.

Baris ketiga pula boleh dilipat dengan nisbah 60:40 untuk membolehkan susunan kargo dan penumpang yang lebih fleksibel.

Kelengkapan setara varian 7-tempat duduk

Varian baharu ini turut dilengkapi dengan panel melengkung yang menggabungkan skrin kluster digital 12.3 inci dan skrin infohibur 12.3 inci.

Selain itu, ia turut didatangkan dengan sistem audio Bose dengan 12- pembesar suara.

Kia Carnival 8-tempat duduk ini masih kekal dengan nadi diesel turbo 2.2 liter Smartstream menghasilkan 202 PS @ 3,800 rpm dan 440 Nm @ 1,750-2,750 rpm.

Kadar penggunaan bahan api pula adalah sekitar 6.5 liter/100 km (data WLTP), di mana setangki penuh membenarkan pemanduan sehingga lebih 900 km.

Ciri keselamatan termasuklah 8 beg udara, serta sistem ADAS yang sama seperti varian 7-tempat duduk termasuklah:

  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Hadapan (FCA 2.0)
  • Bantuan Had Kelajuan Pintar (ISLA)
  • Bantuan Pemanduan Lebuh Raya (HDA 2)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Bantuan Mengikut Lorong (LFA)
  • Amaran Tumpuan Pemandu (DAW)
  • Bantuan Suluhan Tinggi (HBA)
  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Titik Buta (BCA)
  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Trafik Silang (RCTA)
  • Amaran Penumpang Belakang (ROA)

Terdapat empat pilihan warna luaran iaitu:

  • Meteor Grey
  • Snowflake White Pearl
  • Astra Blue
  • Jet Black

Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan 5-tahun atau had perbatuan 150,000 km (yang mana tiba dahulu).

KSM turut menawarkan kadar faedah serendah 1.98 peratus setahun untuk tempoh pembiayaan sehingga 9 tahun atau kredit minyak RM6,000 menerusi inisiatif ‘We Fuel You’.

Menerusi Kia Cares, KSM menawarkan pakej insurans komprehensif dengan manfaat seperti:

  • nilai dipersetujui sehingga 15 tahun
  • kelulusan tuntutan bawah RM30 ribu dalam tempoh 24 jam
  • penambahbaikan percuma sehingga 10 tahun serta tanpa caj lebihan bagi insiden terpilih

Topi keledar Yohe 868-2 diperkenalkan di Malaysia – harga dari RM319

Rakyat Malaysia kini dihidangkan dengan satu lagi jenama topi keledar baharu, iaitu Yohe dan model pertama yang diperkenalkan ialah Yohe 868-2.

Jenama dari China ini dibawa masuk secara rasmi oleh Hodaka Motoworld Malaysia Sdn Bhd.

Yohe 868-2 merupakan sebuah topi keledar jet dengan harga jualan dari RM319 (warna solid) hingga RM339 (versi grafik).

Antara ciri-ciri topi keledar baharu Yohe ini:

  • visor setebal 2.2 mm yang memanjang ke bawah untuk mengurangkan bunyi bising dan seretan aerodinamik
  • visor matahari dalaman
  • dua saiz cangkerang ABS, iaitu XS-M dan L-XXXL dengan lapisan EPS berketumpatan pelbagai
  • span dalaman hipoalergenik yang boleh ditanggalkan
  • pengikat gelang-D berganda

Selain itu, ia juga menyediakan saluran bersepadu untuk pemasangan pembesar suara interkom Bluetooth.

Paling penting, topi keledar ini mematuhi standard homologasi ECE R22.06 yang ketat bagi memastikan ia mematuhi peraturan keselamatan global terkini.

Denza Malaysia buka pendaftaran minat bagi model SUV off-road Denza B8

Denza Malaysia mengumumkan pembukaan pendaftaran minat bagi model SUV baharu Denza B8 yang bakal tiba tidak lama lagi.

Ini merupakan model ketiga Denza Malaysia selepas MPV Denza D9 serta Denza Z9GT yang juga bakal dilancarkan kelak.

Spesifikasi Denza B8

SUV ini dikuasakan oleh unit rangkaian kuasa PHEV Dual Mode Off-Road (DMO), terdiri daripada:

  • enjin 2.0L turbo
  • dua motor elektrik
  • pek bateri LFP 36.8 kWh

Sistem ini mampu menjana kuasa keseluruhan sehingga 738 hp dan 760 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 4.8 saat.

Jarak pergerakan sifar emisi adalah sejauh 115 km (data NEDC), sementara jarak untuk setangki penuh (dan bateri penuh) boleh mencecah sehingga 1,200 km (data CLTC).

Casis body-on-frame B8 ini disokong dengan sistem suspensi udara DiSus-P.

Untuk info, Denza B8 merupakan SUV saiz penuh yang membawakan ukuran sepanjang 5,195 mm, lebar 1,994 mm, dan tinggi 1,905 mm.

Jarak antara roda pula sepanjang 2,920 mm.

Menurut Denza Malaysia, terdapat tiga pilihan warna iaitu Dawn Gold, Eclipse Black dan Nebula Silver.

Sementara ruang kabin pula mendapat dua pilihan warna iaitu Jasper Brown dan Onyx Black.

Di pasaran China, ia lebih dikenali sebagai Fangchengbao 8.

Mforce umum program rebat RM2,400 untuk pembelian motosikal elektrik

Mforce Bike Holdings mengumumkan inisiatif Mforce.Cas bagi menggalakkan penggunaan motosikal elektrik di kalangan rakyat Malaysia.

Program tersebut menawarkan rebat sehingga RM2,400 sebagai alternatif untuk menghadapi ketidaktentuan harga bahan api yang dihadapi pada ketika ini.

Tempoh terhad

Program Mforce.Cas ini akan berlangsung bermula 1 April 2026 hingga 30 Jun 2026.

Menerusi program ini, pengguna boleh menikmati rebat bagi pembelian motosikal elektrik daripada jenama-jenama seperti EZI, Zeeho, Yadea dan QJMotor.

Kesemua motor elektrik yang ditawarkan di bawah program ini mempunyai sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia.

Permohonan dalam talian

Rakyat Malaysia yang berminat boleh memohon menerusi portal rasmi dalam talian https://mforcecas.my.

Pendaftaran adalah percuma sepenuhnya dan proses kelulusan akan dibuat dalam tempoh 24 jam sahaja.

Hyundai Motor Malaysia rasmi pusat pengedar baharu di Petaling Jaya

Hyundai Motor Malaysia (HMY) merasmikan pembukaan pusat pengedar baharu yang terletak di Petaling Jaya.

Ia merupakan satu lagi langkah penting dalam usaha HMY memperluaskan rangkaian di seluruh negara serta memperkukuh komitmen untuk meningkatkan pengalaman premium pelanggan di Malaysia.

Kerjasama lebih dua dekad

Pusat pengedar baharu ini dikendalikan oleh Palm Motor Sdn Bhd yang telah menyertai rangkaian pengedar Hyundai sejak 2002 lagi.

Ia mempunyai keluasan 4,200 kaki persegi dan menampilkan keseluruhan barisan model Hyundai sedia ada termasuklah Santa Fe, Tucson dan Staria.

Sempena majlis pembukaan, Palm Motor turut meraikan penyerahan pertama sebuah Hyundai Tucson 1.6T HEV kepada pelanggan.

Grand Launching Bonanza

Hyundai PJ menganjurkan Grand Launching Bonanza bermula 10-12 April ini yang menawarkan pelbagai ganjaran menarik.

Seorang pemenang akan dipilih untuk menikmati pakej percutian ditanggung sepenuhnya ke perlawanan bola sepak terbesar di dunia untuk dua orang.

Selain itu, pelanggan juga berpeluang menyertai cabutan bertuah bernilai sehingga RM10,000, terdiri daripada:

  • Hadiah utama: iPhone 17
  • Hadiah kedua: TV pintar Sharp 40 inci
  • Hadiah ketiga: Pembesar suara Bluetooth Xiaomi
  • Hadiah saguhati: Dashcam, pakej servis percuma, produk penjagaan kereta, pakej tinted, barangan Hyundai, baucar petrol, kad TnG, SmartTag dan banyak lagi.

Hyundai PJ turut menawarkan promosi trade-in bernilai sehingga RM5,000 serta rebat unit demo sehingga RM38,888.

Palm Motor Petaling Jaya terletak di alamat Lot 23-A & 25, 13/2, Jalan Kemajuan, Seksyen 13, 46200 Petaling Jaya, Selangor dan beroperasi dari jam 9 pagi-6 petang (Isnin-Sabtu), dan 10 pagi-5 petang (Ahad & Cuti umum).

30 sekolah terpilih sertai Toyota Eco Youth 2026

UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan Toyota Eco Youth kembali untuk tahun 2026.

TEY edisi ke-25 menyaksikan sambutan luar biasa dengan 327 penyertaan diterima daripada sekolah menengah di seluruh negara.

Ia membuktikan minat tinggi para pelajar untuk menangani isu alam sekitar di komuniti masing-masing.

Platform pupuk kesedaran alam sekitar

TEY terus berkembang sebagai sebuah platform nasional yang memupuk kesedaran alam sekitar dan menggalakkan penyelesaian masalah secara praktikal.

Program ini mencabar peserta mengenal pasti isu setempat dan melaksanakan penyelesaian mampan berdasarkan Toyota Problem Solving Methodology.

30 sekolah disenarai pendek

Daripada ratusan penyertaan, sebanyak 30 buah sekolah telah disenarai pendek untuk menyertai fasa bengkel dan pelaksanaan projek.

Setiap sekolah diberikan geran bernilai RM3,000 bagi menyokong pembangunan projek, dengan jumlah keseluruhan geran bernilai RM90,000.

Para pelajar dan guru pembimbing akan menerima latihan intensif, bimbingan dan panduan untuk memperkemas projek, merangka pelan pelaksanaan dan memantau kemajuan.

Fasa bengkel ini menekankan kerja berpasukan, kreativiti dan kepimpinan alam sekitar melalui aplikasi dunia sebenar.

15 sekolah terbaik ke peringkat akhir

Setelah sesi penilaian, 15 buah sekolah terbaik akan mara ke peringkat akhir di TEY 2026 Convention & Exhibition pada 2-4 November.

TEY 2026 menawarkan hadiah wang tunai RM80,000, menjadikan jumlah keseluruhan pembiayaan program mencecah RM170,000.

Hadiah utama TEY 2026:

  • Juara – RM30,000
  • Naib Juara – RM20,000
  • Tempat Ketiga – RM10,000

Datuk Ravindran. K, Presiden UMWT berkata, “Melalui TEY, pelajar bukan sahaja mempelajari isu alam sekitar, akan tetapi turut mengembangkan kemahiran dan kemahiran mereka.

“Selain itu, mereka juga turut menerima sokongan bimbingan untuk mengambil tindakan bermakna dalam komuniti mereka.

“Sempena Edisi ke-25, kami berbangga dapat memberikan ruang kepada golongan muda ini untuk menterjemah idea kepada projek sebenar yang dapat memberi impak,” jelasnya lagi.

 

Proton e.MAS 7 PHEV 2026 kini tersedia dalam warna Emerald Green

Pro-Net, anak syarikat milik penuh Proton mengumumkan warna baharu Emerald Green bagi model Proton e.MAS 7 PHEV 2026.

Menurut Salawati Yusoff selaku Ketua Pegawai Penjenamaan Pro-Net, selain memberi lebih pilihan kepada pelanggan, warna baharu ini menyerlahkan lagi reka bentuk dan identiti SUV ini.

e.MAS 7 PHEV menggunakan unit rangkaian kuasa Super Hybrid EM-i Geely, terdiri daripada enjin 1.5 liter NA (98 hp/125 Nm) dan motor elektrik tunggal (215 hp/262 Nm).

Kuasa keseluruhan mencecah 258 hp dan 262 Nm yang memacu roda depan.

Terdapat dua pilihan kapasiti bateri untuk e.MAS 7 PHEV.

Varian Premium Plus menggunakan bateri bilah pendek Aegis 29.8 kWh yang menawarkan jarak gerak 170 km (data NEDC), selain menyokong pengecasan pantas DC 60 kW.

Pengecasan 30-80 peratus hanya mengambil masa kurang 16 minit.

Sementara varian Premium dan Prime pula menggunakan bateri CATL 18.4 kWh dengan jarak pandu sejauh 105 km, serta pengecasan DC sehingga 30 kW.

Sistem PHEV ini menawarkan tiga mod hibrid iaitu Series Hybrid Mode, Parallel Mode dan Direct Drive Mode.

Secara keseluruhan, e.MAS 7 PHEV boleh bergerak sejauh 1,065 km.

Selain warna Emerald Green, pembeli e.MAS 7 PHEV boleh memilih warna seperti Obsidian Black, Lithium White, Mercury Silver, Galena Grey dan Azure Blue.

Nissan Serena e-Power 2026 catat 1,300 tempahan selepas sebulan dilancarkan

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mengumumkan pihaknya telah menerima 1,300 tempahan bagi model MPV generasi baharu Nissan Serena e-Power 2026.

Setakat ini, sebanyak 250 unit MPV tersebut telah diserahkan kepada pemilik masing-masing sejak dilancarkan secara rasmi Mac lalu.

Menurut Christopher Tan, Naib Presiden Eksekutif ETCM, “Untuk kebanyakan keluarga hari ini, mobiliti adalah lebih sekadar pengangkutan – ia sebahagian daripada gaya hidup kita setiap hari.

“Nissan Serena e-Power mencerminkan komitmen Nissan untuk memastikan teknologi maju harus memperkayakan perjalanan dunia sebenar dan keperluan keluarga.

Jelasnya lagi, MPV ini sememangnya direka untuk menangani realiti harian yang dihadapi golongan ibu bapa, kanak-kanak dan warga tua yang kerap merasa tidak selesa, pening atau keletihan dalam kenderaan tradisional.

Nissan Serena e-Power 2026 ditawarkan dengan lima varian iaitu:

  • Serena X – RM154,800
  • Serena X Plus – RM159,800
  • Serena Highway Star – RM169,800
  • Serena Premium Highway Star – RM174,800
  • Serena Shiro Premium Highway Star – RM179,800

Melihatkan sambutan yang cukup menggalakkan, pihak ETCM melanjutkan tawaran rebat sehingga RM5,000 dan pakej aksesori bernilai RM8,000.

Toyota bX4X 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – harga RM220,000

Sebuah lagi SUV elektrik dilancarkan oleh UMW Toyota Motor (UMWT), iaitu Toyota bZ4X 2026.

SUV yang dibina berdasarkan falsafah Beyond Zero (bZ) ini dijual pada harga RM220,000.

Spesifikasi Toyota bZ4X 2026

Toyota bZ4X merupakan model pertama yang dibangun menggunakan pelantar e-TNGA.

Ia dipacu motor elektrik tunggal menghasilkan kuasa 224 hp dan daya kilas 269 Nm, serta dua mod iaitu Normal & Eco.

Pek bateri lithium-ion 73.1 kWh menawarkan jarak pandu sejauh 525 km untuk sekali cas penuh.

bZ4X turut menyokong pengecasan AC 22 kW, serta pengecasan pantas DC 150 kW, membolehkan bateri dicas sehingga 80 peratus dalam masa 30 minit.

Luaran

Reka bentuk luaran bZ4X menerapkan tema Hi-Tech & Emotion, menampilkan muka hadapan yang diinspirasikan daripada ikan yu kepala tukul.

Ia turut dilengkapi dengan ciri seperti lampu LED berserta lampu nyalaan siang (DRL), spoiler bumbung, spoiler ekor itik, dan rim aloi saiz 20 inci.

Terdapat lima warna pilihan iaitu Precious Metal, Attitude Black MC, Emotional Red, DK. Blue MC dan Platinum White Pearl MC.

Kabin

Ruang kabin Toyota bZ4X 2026 menempatkan ciri seperti:

  • skrin kluster digital 7 inci
  • skrin infohibur 14 inci
  • sokongan Apple CarPlay dan Android Auto
  • upholsteri kulit berliang dengan sistem ventilasi terbina
  • tempat duduk hadapan larasan 8-tahap berkuasa
  • sokongan tulang belakang untuk pemandu
  • penapis partikel nanoe X
  • sistem pencahayaan ambien 64 warna
  • bumbung kaca panorama kekal

Untuk memastikan ruang kabin kekal senyap, bZ4X menampilkan ciri seperti kaca kalis bunyi dan fungsi pengurangan bunyi bising angin.

Keselamatan

Secara standard, bZ4X hadir dengan kelengkapan keselamatan Toyota Safety Sense (TSS) merangkumi fungsi berikut:

  • Sistem Pra-Pelanggaran (PCS)
  • Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC) kelajuan penuh
  • Bantuan Pengesanan Lorong (LTA)
  • Bantuan Suluhan Tinggi Adaptif (AHS)
  • Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM)
  • Bantuan Parkir Pintar (IPA)
  • Sokongan Brek Parkir (PSB)
  • Bantuan Keluar Selamat (SEA)
  • Bantuan Papan Tanda Trafik (RSA)

Selain itu, SUV ini dilengkapi dengan sistem pemantauan keliling (PVM) 360 darjah, serta lapan beg udara SRS.

Toyota Urban Cruiser 2026 rasmi di Malaysia – harga RM198,000

UMW Toyota Motor (UMWT) melancarkan model SUV segmen B berkuasa elektrik Urban Cruiser 2026 untuk pasaran Malaysia.

Unit import sepenuhnya (CBU) dari India ini ditawarkan pada harga RM198,000.

Urban Cruiser hadir dengan jaminan kenderaan selama 5-tahun tanpa had perbatuan.

Sementara komponen bateri dan pacuan elektrik pula dilindungi jaminan 8-tahun tanpa had perbatuan.

Spesifikasi Urban Cruiser EV

SUV ini dipacu oleh motor elektrik tunggal yang mampu menjana 174 PS dan 193 Nm.

Empat mod pemanduan disediakan iaitu Eco, Normal, Snow dan Sport, serta pemanduan pedal tunggal.

Pek bateri lithium-ion phosphate 61.1 kWh mampu menawarkan jarak pandu sejauh 426 km (data WLTP).

Urban Cruiser menyokong pengecasan AC 7 kW dengan tempoh pengecasan 9.5 jam dari 15-100 peratus, serta pengecasan DC sepantas 50 minit (15-80 peratus).

Terdapat mod pengecasan ‘My Room’ membolehkan pemandu menikmati pendingin hawa dan sistem audio dengan selesa dalam kabin.

Luaran

SUV segmen B ini membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,285 mm, lebar 1,800 mm, tinggi 1,635 mm dan jarak antara roda 2,700 mm.

Walaupun jarak antara roda yang panjang, SUV ini boleh mencapai radius putaran sekecil 5.2 meter.

Suspensi terdiri daripada topang MacPherson di depan dan tetapan multi-link di belakang.

Muka depan menampilkan rekaan ikan yu kepala tukul yang sinonim dengan rekaan semasa Toyota.

Antara ciri luaran lain termasuklah lampu utama bi-LED, lampu belakang LED, lampu DRL serta rim aloi 18 inci.

Empat warna pilihan tersedia iaitu Pearl Arctic White, Pearl Bluish Black, Grandeur Grey dan Land Breeze Green.

Kabin

Ruang kabin Urban Cruiser membawakan kombinasi warna perang dan hitam, diikuti trim perak gelap, piano black dan satin metalik.

Antara ciri yang tersedia:

  • skrin kluster digital 10.25 inci
  • skrin infohibur 10.1 inci
  • sokongan Apple CarPlay/Android Auto
  • sistem audio premium JBL
  • pad pengecasan peranti pintar tanpa wayar
  • slot pengecasan USB Type-A & Type-C
  • sistem pencahayaan ambien
  • bumbung kaca panorama

Ruang kargo adalah sebesar 238 liter dan boleh mencapai kapasiti sebesar 562 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Ruang sebesar 807 mm antara tempat duduk depan dan belakang boleh mencapai sehingga 967 mm, terima kasih kepada tempat duduk baris belakang yang boleh dilaraskan kedudukannya.

Keselamatan

Toyota Urban Cruiser hadir dengan kelengkapan keselamatan termaju yang dibantu oleh sistem kamera monokular, penderia keliling dan radar.

Antara ciri keselamatan yang wujud termasuklah:

  • Sistem Sokongan Brek (BSS)
  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Bantuan Suluhan Tinggi Adaptif (AHS)
  • Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • kamera 360 darjah
  • 7 beg udara SRS

Toyota Hilux BEV 2026 rasmi dilancarkan – harga dari RM226,300

UMW Toyota Motor (UMWT) baru sahaja melancarkan model trak pikap elektrik Toyota Hilux BEV 2026 untuk pasaran tempatan.

Unit yang dipasang di kilang Thailand (CBU) ini dijual pada harga dari RM226,300.

Ia hadir dengan jaminan 5-tahun dengan had perbatuan sehingga 150,000 km dan jaminan bateri 8-tahun yang boleh dilanjutkan untuk tahun ke-9 dan 10.

Prestasi Hilux BEV

Trak pikap elektrik ini dikuasakan oleh motor elektrik berkembar, masing-masing menghasilkan 206 Nm didepan dan 267 Nm di belakang.

Secara keseluruhan, ia mampu menjana kuasa setinggi 196 PS dan 343 Nm.

Pek bateri lithium-ion 59.2 kWh mampu menawarkan jarak pandu sejauh 315 km (data NEDC) untuk sekali cas penuh.

Hilux BEV ini menyokong pengecasan AC 10 kW dengan tempoh masa pengecasan 10-100 peratus dalam masa 6.5 jam.

Dengan pengecasan pantas DC 150 kW, tempoh masa tersebut dipendekkan kepada 30 minit (10-80 peratus).

Luaran


Hilux BEV membawakan ukuran dimensi sepanjang 5,320 mm, lebar 1,855 mm, tinggi 1,865 mm dan jarak antara roda sepanjang 3,085 mm.

Tema ‘Cyber Sumo’ diterapkan pada rupa Hilux baharu ini, dengan rupa depan menampilkan struktur jeriji tertutup, diikuti dengan rim aloi 17 inci yang unik.

Selain itu, terdapat juga sistem pencahayaan LED yang merangkumi unit projektor, serta lampu nyalaan siang (DRL) yang mempunyai ciri iluminasi sekunder.

Kabin

Kokpit Hilux BEV membawakan ciri berikut:

  • sistem stereng kuasa elektrik (EPS)
  • kemasan kombinasi upholsteri kulit dan trim sentuh lembut
  • tempat duduk pemandu larasan 10-tahap
  • tempat duduk penumpang depan larasan manual 6-tahap
  • skrin kluster digital 12.3 inci
  • skrin infohibur 12.3 inci
  • sokongan Apple CarPlay & Android Auto
  • port pengecasan USB Type-C (X2)

Keupayaan

Hilux BEV mempunyai had muatan 750 kg, berbeza dengan keupayaan Hilux diesel yang mampu membawa muatan sehingga 1,000 kg.

Menurut Toyota, keupayaan tersebut memberikan keseimbangan yang optimum antara jarak pandu, kuasa dan kegunaan.

Sudut pendekatan dan pelepasan Hilux BEV adalah mirip kepada model Hilux standard, dan mampu meredah air sedalam 700 mm.

Aspek pemanduan turut ditambah baik dengan penambahan struktur crossmember, serta tetapan suspensi belakang jenis de Dion.

Selain itu, Hilux BEV turut mendapat tetapan Multi-Terrain Select (MTS) dengan lima mod tersedia untuk senario pemanduan berbeza.

Pemandu boleh memilih tetapan seperti Rock, Sand, Mud, Dirt dan mod Mogul yang khusus untuk laluan beralun.

Keselamatan

Trak pikap ini didatangkan standard dengan kelengkapan Toyota Safety Sense (TSS), merangkumi fungsi berikut:

  • Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC)
  • Bantuan Pengesanan Lorong (LTA)
  • Pemantauan Titik Buta (BSM)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Bantuan Suluhan Tinggi (AHB)

Hilux elektrik ini juga turut dilengkapi sistem pemantauan keliling (PVM) yang amat berguna ketika di kawasan parkir.