fbpx

Subsidi petrol ikut cc kenderaan: Langkah mudah tanpa pemahaman mendalam? – Suara Engear

subsidi petrol bersasar

Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Salahuddin Ayub menyatakan bahawa mekanisma untuk memberikan subsidi bahan api petrol secara bersasar sudah hampir lengkap.

Menurutnya, mekanisma subsidi itu akan menggunakan data dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengenal pasti mereka yang layak menerima bantuan tersebut.

“Jadi dari segi data itu (subsidi bersasar) sudah hampir lengkap untuk kita berikan data itu kepada Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) tentang bagaimana kita boleh buat subsidi bersasar ini,” kata Salahuddin.

Menurut beliau, pangkalan data JPJ boleh digunakan untuk pelaksanaan subsidi petrol RON 95 memandangkan kerajaan dapat mengenal pasti golongan yang layak menerima subsidi berdasarkan jenis kuasa kuda (cc) kenderaan dimiliki.

Tambahnya, “Perdana menteri sudah memberikan arahan supaya perkara itu (mekanisme subsidi bersasar) diteliti. Tetapi buat masa ini kerajaan masih lagi meneruskan polisi yang ada iaitu kita tidak menarik balik (subsidi) ataupun tidak menaikkan sebarang tarif yang kita rasa boleh membebankan rakyat.”

Langkah mudah tanpa pemahaman mendalam?

Walaubagaimanapun, kami rasakan mekanisma ini tidak akan dapat mencapai sasarannya dengan berkesan kerana ianya tidak melibatkan pemahaman mendalam untuk perkara ini.

Pertamanya, kuasa kuda bukanlah cc, berbeza sama sekali. Kuasa kuda ialah salah satu dari unit yang digunakan untuk mengukur output sesuatu enjin. Antara unit yang biasa digunakan adalah kuasa kuda (hp), PS, kW, dan bhp.

Sementara itu cc pula merujuk kepada cubic centimeter atau sentimeter persegi, iaitu unit ukuran kapasiti enjin. Lebih tepat lagi, kapasiti udara dan bahan api yang boleh dimuatkan dalam ruang silinder enjin.

Kita tidak akan jadi terlalu geek untuk menyentuh terlalu teknikal untuk aspek kapasiti enjin kali ini, tetapi dalam masa sekarang, cc lebih besar tidak bermakna kuasa lebih tinggi. Ia tidak berkadar terus.

Sebagai contoh, Proton Persona dengan kapasiti 1,597cc atau 1.6-liter menghasilkan 107hp dan 150Nm. Tetapi Toyota GR Yaris pula dengan kapasiti 1,618cc, juga 1.6-liter tetapi menghasilkan 257hp, lebih dua kali ganda dari Persona.

Mercedes-AMG F1 W13 E Performance. - Foto ihsan mercedesamgf1.com
Mercedes-AMG F1 W13 E Performance. – Foto ihsan mercedesamgf1.com

Mahu lebih contoh, enjin Formula 1 satu juga berkapasiti 1.6-liter, tetapi menjana lebih 1,000hp. Jadi, jelas di sini cc enjin tidak bersamaan dengan kuasa kuda kenderaan.

Seterusnya, menyentuh kembali berkenaan mekanisma subsidi bersasar, ia pastinya akan direka untuk memberi manfaat kepada golongan yang layak sahaja.

Masalahnya, cc kereta juga tidak berkadar terus dengan harga kenderaan. Dalam erti kata lain, tidak semestinya cc besar bermakna kereta itu lebih mahal.

Kita ambil contoh kenderaan dengan kapasiti 1.5-liter, iaitu Perodua Myvi kesayangan rakyat Malaysia. Ia berharga RM58,800 untuk varian tertinggi AV.

Honda Civic idaman jejaka dan para gadis seMalaya juga menggunakan 1.5-liter, dan ia dijual bermula pada harga RM130,700 untuk varian permulaan E. Terdapat juga kereta jenama premium dengan 1.5-liter, contohnya BMW 2-Series gran Coupe, berharga RM213,690.

Jadi, antara pemilik kenderaan-kenderaan ini (Myvi, Civic dan 2-Series GC), siapakah antara mereka yang layak menerima subsidi petrol bersasar jika menggunakan mekanisma cc? Adakah ketiga-tiga mereka layak?

Bagaimana pula dengan pemilik Proton Perdana V6? Sedan eksekutif berusia 20 tahun ini berkapasiti 2.0-liter dan boleh dibeli pada harga bawah RM10,000.

Adakah mekanisme subsidi petrol bersasar pada masa ini kurang tepat? Perlukah kementerian berkaitan menjalankan kajian lebih mendalam bagi memastikan keberkesanannya?

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2021 © ENGEAR TV | All Rights Reserved