Arkib Tag: X70

Berang isu gear ‘tersengguk’ tak selesai, pemilik Proton X70 mahu hantar surat guaman

BERANG dengan isu kotak gear ‘tersengguk’ yang tidak selesai, seorang pemilik X70 didakwa akan menghantar surat guaman kepada pihak Proton.

Imej oleh: Facebook Summer Yippie Yap

“Fed up already with the jerking issue. Sending lawyer letter to Proton Cars”, tulis Summer Yippie Yap di group Facebook X70OCM (Proton X70 Owner Club).

Menurut rakan media kami di Mekanika dan Funtasticko, Summer yang juga merupakan seorang peguam pernah bertanya kepada ahli-ahli lain X70OCM berkenaan isu jerking atau ‘tersengguk’ pada X70 CBU.

Menurutnya, Proton X70 miliknya itu bergetar dan tersekat-sekat apabila kereta diperlahankan ke gear 4 tanpa menekan brek. Isu ini juga dikatakan semakin kerap berlaku.

Summer dan beberapa orang rakannya akan menggunakan khidmat firma guaman Tan, Tan & Tan Associates dan surat bertarikh 22 Disember 2021 itu dialamatkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar yang beribu pejabat di Centre of Excellence, Subang Jaya, Selangor.

Tajuk atau isi surat itu walaubagaimanapun tidak didedahkan.

Adakah anda di kalangan pemilik Proton X70 CBU yang mengalami masalah sama?

Jualan Proton naik, mungkin keluar model baharu sebelum pengecualian SST tamat

PROTON berjaya menjual lebih 13,362 unit kenderaan pada Oktober.

Jumlah itu termasuk unit eksport yang secara keseluruhan menyaksikan peningkatan lebih 28.7 peratus berbanding jualan bulan September.

Memetik kenyataan dikeluarkan Proton, jualan tahunan syarikat itu setakat ini adalah 86,739 unit dan angka itu melebihi 1.6 peratus berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 84,999 unit bagi tempoh 10 bulan.

Model Saga menjadi yang terlaris dengan 5,107 unit berjaya diserahkan kepada pembeli pada bulan Oktober lalu.

Foto ihsan Proton

Sementara itu, kenderaan utiliti sukan (SUV) X50 telah terjual lebih 3,839 unit sementara X70 adalah 2,165 unit.

Berikut jumlah unit model Proton yang lain terjual pada bulan Oktober:

Exora 359 unit

Persona 1,393 unit

Iriz 492 unit

Terdahulu, Ketua Pegawai Operasi (CEO) Proton Edar Roslan Abdullah berkata, pihaknya tidak terkecuali berdepan masalah kekurangan bekalan komponen.

Namun, pihaknya yakin masalah terbabit dapat diatasi segera sekaligus memberi jaminan ia tidak akan berlanjutan dengan tempoh lebih lama.

“Walaupun kami gembira dengan populariti Saga dan dua SUV terbaharu, kami juga agak terkesan dengan kekurangan bekalan komponen beberapa model.

“Permintaan pasaran dijangka akan terus kukuh hingga hujung tahun, jadi kami sedang berusaha keras menuju penutup 2021 ini,” katanya.

Foto ihsan Proton

Dalam perkembangan lain, Roslan turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang melanjutkan pengecualian cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sehingga 31 Jun 2022.

Jelasnya, langkah itu memberi peluang kepada pengguna mendapatkan kenderaan dengan harga lebih murah sekaligus membantu pengusaha industri permotoran kekal berdaya saing.

“Proton berterima kasih kepada kerajaan kerana melanjutkan tempoh pengecualian SST ini.

“Ia memberi peluang kepada kami untuk memenuhi tempahan yang telah diterima dan tidak akan membebankan pelanggan yang inginkan penjimatan itu.

“Lanjutan tempoh itu juga kami percaya akan merancakkan lagi jualan kenderaan pada separuh pertama tahun lalu, mungkin ada model bahari akan diperkenalkan” katanya lagi.

Kilang pemasangan Proton di Pakistan mula operasi, jualan melonjak

PROTON mencatatkan peningkatan perdagangan dan aktiviti eksport hasil pengeluaran model Saga yang dikendalikan Al-Haj Automotive di Pakistan.

Pemasangan Saga oleh Al-Haj Automotive dilakukan di kilang pengeluaran baharunya di Karachi yang dianggarkan bernilai US$20 juta.

Jelas Proton, pasaran Pakistan diyakini mampu melonjak penawaran Saga sekaligus membuka peluang kepada permintaan terhadap model lain.

“Berdasarkan kapasiti tahunan permulaan sebanyak 25,000 unit.

“Potensi jualan di pasaran Pakistan menjadi aspek penting bagi rancangan Proton untuk melonjakkan eksport pada masa depan,” menurut Proton dalam satu kenyataan.

Saga merupakan model pertama Proton yang dipasang oleh Al-Haj Automotive pada tahun ini.

Foto ihsan Proton

Sebelum ini, majlis pelancaran Saga di Pakistan telah dirasmikan oleh Presiden Pakistan Dr Arif Alvi.

Sementara itu, Proton bakal melancarkan model X70 di Paksitan sekaligus menjadi model kedua dipasang di negara tersebut.

Pada 17 Oktober lalu, Proton telah melakukan penghantaran terakhir sebanyak 154 unit X70 import sepenuhnya (CBU) ke Paskistan.

Foto ihsan Proton

Proton X70 mendapat liputan meluas di Pakistan kerana kombinasi reka bentuk, teknologi dan ciri keselamatannya.

Setakat ini, pihak Al-Haj telah menerima 2,500 unit tempahan bagi Saga dan lebih 2,000 unit tempahan untuk X70.

Proton X70 SE dilancar, ini 5 perkara anda perlu tahu

PROTON hari ini secara rasmi melancarkan satu edisi istimewa untuk SUV popular mereka, X70. Walaupun ada beberapa intipan dalam beberapa minggu lepas, kali ini kita perincikan apa yang anda perlu tahu mengenai Proton X70 SE ini berbanding varian-varian biasa lain.

Sebelum itu, perkara terpenting, harganya. Proton X70 SE ditawarkan pada harga RM123,800 dengan jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan dan 5-kali servis upah percuma.

Harga ini adalah RM4,000 lebih dari varian Premium 2WD biasa. Jadi apa yang istimewa dan berbeza?

1. Diasaskan dari varian Premium 2WD

Proton X70 SE dibangunkan dari varian Premium 2WD, bermakna tiada bumbung suria atau sunroof padanya.

2. Terhad 2,000 unit sahaja

Edisi ini terhad kepada 2,000 unit sahaja, jadi boleh dikatakan agak rare juga lah, kan?

3. Penampilan khas yang unik

X70 SE datang dengan dua pilihan warna khas, iaitu Ocean Blue (baharu) dan Ruby Red. Untuk lebih unik, SE ini dikemaskan dengan warna hitam untuk cermin sisi, spoiler belakang dan bumbung, menjadikannya dwi-tona.

Oh, terdapat juga lencana SE di pintu but, dan X70 ini mendapat rim 19-inci baharu.

4. Kemasan kabin baharu

Di bahagian dalam, X70 SE tampil berbeza dari X70 biasa dengan kemasan kulit Nappa hitam baharu dan jahitan putih sebagai kontra. Selain itu, ia turut diberikan karpet lantai dengan lencana SE.

5. Aspek mekanikal dikekalkan

Tiada perbezaan untuk powertrain, bermakna Proton X70 SE baharu ini dikuasakan oleh enjin 1.8-liter turbo yang menjana 181hp dan 300Nm tork.

Unit ini digandingkan dengan kotak gear automatik dwi-klac 7-kelajuan.

Kelengkapan lain juga dikekalkan untuk X70 SE, iaitu lampu LED depan dan belakang, paparan instrumen LCD 7-inci, pendingin hawa dwi-zon dengan sistem pembersih udara, dan sistem audio dengan sembilan pembesar suara.

Ciri keselamatan pula merangkumi enam beg udara, ABS, EBD, ESC, Traction Control, dan rangkain sistem ADAS.

Proton tangguh operasi susulan PKP, pasaran Pakistan terjejas

PENUTUPAN sementara operasi Proton menyaksikan berlaku kelewatan penghantaran produknya ke pasaran Pakistan.

Perkara itu diumum Al-Haj Automotive yang merupakan syarikat menguruskan penjualan kenderaan Proton di negara itu.

Mengakui aktiviti perniagaan terjejas teruk, Al-Haj Automotive pada masa sama meminta para pelangannya bersabar dengan situasi berlaku.

“Keseluruhan aktiviti perniagaan terjejas teruk. Kami jangkakan penghantaran untuk pelanggan akan mengalami kelewatan.

“Kami akan memantau dengan dekat situasi tidak menentu ini. Semoga para pelanggan dapat menanti penuh sabar dengan situasi ini,” memetik satu kenyataan.

Sebelum ini, Proton memaklumkan penutupan sementara operasinya susulan perintah kawalan pergerakan menyeluruh bagi membendung Covid-19.

Ketika ini, dua model telah dilancarkan Proton di pasaran Pakistan.

Dua model tersebut adalah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 dan jenis sedan iaitu Saga.

Komited untuk terus bersaing di pasaran Pakistan, sebuah kilang produksi akan dibina di Karachi bermula suku ketiga tahun ini.

Apa yang menarik, pembukaan kilang itu nanti bakal menyaksikan pembuatan Proton X50 bagi pasaran Pakistan.

Pembukaan kilang pengeluaran Proton dijangka mampu menghasilkan 25,000 unit kenderaan dan membuka lebih 2,000 peluang pekerjaan.

Proton jual 9,440 kenderaan pada Mei, hadapi masalah kurang bekalan cip

KEKURANGAN bekalan cip menyaksikan jualan kenderaan Proton Holdings Bhd (Proton) susut 37.1 peratus pada Mei.

Laporan dikeluarkan syarikat itu menunjukkan hanya 9,440 unit kenderaan terjual pada Mei lalu.

Selain itu, ia juga dipercayai didorong oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar berkata, syarikat itu kekal berada di kedudukan kedua tertinggi mencatatkan jualan kenderaan setakat ini.

“Jualan kami mencukupi untuk kekal di tempat kedua secara keseluruhan.

“Kami juga menerima sumbangan daripada bahagian eksport yang berjaya mencapai jualan tertinggi dalam tempoh 98 bulan,” kata Roslan Abdullah.

Proton Saga mengakhiri bulan Mei dengan jualan terbanyak bagi segmen-A apabila 3,786 unit diserahkan kepada pemilik.

Proton X50 pula mencapai 1,899 unit pada bulan Mei sementara Proton X70 sebanyak 1,523 unit jualan.

Terdahulu, Roslan berkata jualan Proton di luar negara terus membina momentum meskipun pasaran antarabangsa mempunyai pelbagai langkah kawalan pergerakan.

“…669 unit merangkumi Proton Saga, X50 dan X70 dieksport pada bulan Mei, pencapaian ini merupakan bulan terbaik untuk jualan antarabangsa,” katanya lagi.

Sementara itu, Proton menjangkakan jualan kenderaan akan tergendala untuk tempoh sekurang-kurangnya dua minggu ekoran pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

Namun, perkhidmatan selepas jualan (servis) masih beroperasi dengan kadar minimum.

Pelanggan diminta untuk membuat temu janji awal bagi mengelak sebarang kesulitan.

Tiada lagi CampPro CFE, Proton dijangka hasil enjin 1.5 Turbo di Malaysia

SAPURA Industrial mendedahkan Proton bakal menghasilkan enjin 1.5 liter tiga-silinder atau dikenali sebagai Global Engine Petrol 3 (GEP3).

Perkara itu dimaklumkan Sapura Industrial menerusi laporan tahunan 2021.

Menerusi laporan berkenaan, Sapura Industrial mengesahkan menerima surat penganugerahan membekalkan berberapa komponen enjin GEP3 kepada Proton.

Antara komponen itu termasuk penyerap getaran kilasan, serta aci sesondol bagi injap kemasukan dan ekzos.

Enjin GEP3 dijangka menggantikan sepenuhnya enjin 1.6 turbo CampPro CFE.

Penggunaan enjin GEP3 membuka peluang buat Proton memasuki semula pasaran eksport yang mengenakan standard emisi lebih ketat.

Setakat ini, enjin GEP3 digunakan pada model X59 dan X70 yang dieksport ke pasaran Pakistan.

Proton sudah menggunakan enjin GEP3 dalam dua versi di negara ini iaitu suntikan bahan api pelbagai titik menjana 150 PS (148 hp) dan tork maksima 226 Nm untuk X50.

Sementara itu, versi 177 PS (175 hp) dan 255 Nm dipadankan pada X50 varian tertinggi Flagship serta X70 1.5 T-GDI.

Dua enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear klac-berkembar jenis basah tujuh-kelajuan oleh CEVT (China Euro Vehicle Technology).

Pemasangan enjin GEP3 dijangka akan dihasilkan di kilang milik Proton dekat Tanjung Malim, Perak.

Saga model kedua tembus pasaran Pakistan selepas X70

PROTON Holdings Bhd melancarkan model terlarisnya, Proton Saga di pasaran Pakistan.

Selepas berjaya memasarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) X70 tahun lalu, Proton yakin model Saga mampu mendapat permintaan tinggi sekaligus memenuhi kehendak pasaran negara itu.

Terdapat tiga varian ditawarkan di pasaran Pakistan iaitu  Saga MT, Saga AT dan Saga Ace AT.

Proton turut menawarkan 100 unit Proton Saga R3 edisi terhad dengan pilihan transmisi MT atau AT.

Setakat ini, semua kenderaan Proton di Pakistan merupakan unit Completely BuiltUp atau CBU.

Bagaimanapun, Proton menjangkakan dapat melaksanakan pemasangan tempatan bagi kesemua model di Pakistan pada suku ketiga tahun ini.

Ia adalah hasil kerjasama dengan rakan kongsinya Al-Haj Automotive yang bakal membuka kilang di Karachi dengan kapasiti pengeluaran 25,000 unit setahun.

Setakat ini, Proton telah menembusi pasaran antarabangsa di beberapa negara termasuk Brunei, Bangladesh, Mesir, Jordan, Kenya, Mauritius, Nepal dan Pakistan.

Proton catat jualan tertinggi sejak tujuh tahun, 32,826 unit terjual pada suku pertama 2021