Proton berjaya menempa nama di peringkat dunia dalam industri automotif. - Foto ihsan Proton
PROTON Holdings Bhd mencatatkan penjualan sebanyak 14,989 unit kenderaan di pasaran tempatan dan eksport pada bulan lalu.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan 26.2 peratus berbanding Februari dengan penguasaan pasaran mencapai 23.5 peratus.
“Syarikat mencapai jumlah jualan terkumpul 32,826 unit (suku pertama 2021) dan angka tertinggi dalam penguasaan pasaran sejak Mac 2012,” memetik kenyataan dikeluarkan Proton, hari ini.
Sementara itu, Proton meningkatkan pengeluaran bagi model X50 dan X70 selepas kedua-duanya mendapat permintaan tinggi di pasaran.
Pada Mac, Proton telah mengeluarkan lebih 3,513 unit X50 dan manakala model X70 sebanyak 2,337.
Setakat ini, Proton Saga kekal sebagai model paling laris dengan penjualan lebih 5,589 unit pada bulan lalu.
Untuk rekod, Proton berjaya mengekalkan kedudukan kedua dalam jadual kedudukan penjualan pada suku pertama tahun ini.
Justeru, syarikat pengeluar kereta nasional itu bertekad untuk meningkatkan pengeluaran dengan memberi fokus penyampaian produk berkualiti tinggi.