Berdasarkan data pendaftaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi laman sesawang data.gov.my, tahun 2024 merupakan satu tempoh yang cemerlang buat Perodua.
Sepanjang tempoh tersebut, jenama itu mencatatkan pendaftaran kenderaan sebanyak 358,100 unit, sekaligus menduduki tangga pertama untuk kesekian kalinya.
Tempat kedua pula disandang oleh Proton dengan jumlah pendaftaran mencecah 147,587 unit, manakala Toyota pula di tempat ketiga dengan 127,202 unit didaftarkan.
Menariknya, dalam senarai 10 pengeluar teratas, jenama automotif China juga sudah mula memunculkan diri bagi mengenepikan jenama yang suatu ketika dahulu popular.
Seperti contoh, Chery berada di tempat kelima mengalahkan Mitsubishi dan Mazda, manakala BYD pula berjaya menyelit di tempat kesepuluh bagi mendahului Nissan yang berada di tangga ke-11.
Namun, tahukah anda senarai 10 buah kereta paling popular di Malaysia untuk tahun 2024?
Sepanjang tahun 2024, Toyota Motor Corp telah menjual sebanyak 10.82 juta unit kenderaan, menyaksikan pengeluar itu kekal menjuarai takhta global untuk tahun kelima berturut-turut.
Biarpun angka tersebut turun 3.7 peratus berbanding tahun 2023, Toyota menjelaskan terdapat permintaan yang tinggi terhadap kenderaan hibrid jenama itu.
Tempat kedua disandang oleh kumpulan Volkswagen, dengan jumlah jualan 9.03 juta unit manakala kumpulan Hyundai pula mencatatkan angka 7.23 juta unit.
BYD buat kali pertama berjaya memintas Honda, Nissan dan Suzuki dengan jumlah jualan sebanyak 4.27 juta unit pada tahun lepas.
Sebagai perbandingan, Honda menjual sebanyak 3.81 juta unit, diikuti Nissan sebanyak 3.35 juta unit dan Suzuki sebanyak 3.25 juta unit.
Tidak termasuk jenama-jenama di bawah naungan seperti Hino dan Daihatsu, angka jualan kenderaan jenama Toyota sahaja sudah mencecah angka 10.16 juta unit, turun 1.4 peratus selepas terbabit dalam isu skandal pensijilan kenderaan, diikuti produksi sesetengah model yang terpaksa dihentikan buat sementara waktu.
Di pasaran utama, Toyota mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 4.3 peratus kepada 2.73 juta unit kenderaan di Amerika Utara, diikuti peningkatan 3.6 peratus kepada 1.17 juta unit kenderaan di Eropah.
Angka jualan Toyota di China menyaksikan penurunan 6.9 peratus kepada 1.78 juta unit kenderaan disebabkan oleh perang harga berterusan oleh pengeluar utama domestik.
Para peminat Land Cruiser 70 Series di Australia boleh menarik nafas lega apabila model SUV off-road klasik moden itu kini ditawarkan semula dengan kotak gear manual.
Disebabkan undang-undang emisi yang lebih ketat, Toyota menamatkan penjualan LC70 yang dilengkapi dengan nadi V8 4.5 liter, sekaligus menghentikan penawaran model bertransmisi manual.
Namun begitu, Toyota kini menawarkan kembali kotak gear manual untuk Land Cruiser 70 Series yang dikuasakan oleh enjin diesel turbo 2.8 liter berkuasa 201 hp dan 450 Nm.
Biarpun kurang empat silinder, enjin 2.8 liter tersebut menawarkan kuasa kuda dan tork yang hampir sama berkuasa dengan model V8.
Di pasaran Australia, LC70 boleh juga didapati dalam versi auto enam-kelajuan, di mana angka daya kilas meningkat kepada 500 Nm pada putaran enjin yang lebih awal, sekitar 1,600 rpm berbanding 2,400 rpm pada versi manual.
Untuk model manual, ia mempunyai nisbah gear yang unik, di mana nisbah yang lebih pendek untuk gear satu hingga tiga untuk prestasi yang dipertingkatkan, sementara gear lima pula mempunyai nisbah yang lebih panjang untuk kecekapan bahan api dan mengurangkan bunyi bising enjin.
Toyota turut memasang komponen flywheel baharu, namun terpaksa membuang fungsi kawalan menurun cerun.
Land Cruiser 70 Series versi manual dijual pada harga bermula dari AU$77,800 (RM221,033).
Selain daripada pasaran Australia, Land Cruiser 70 Series yang sudah berusia 40 tahun itu turut ditawarkan di pasaran Jepun dan Emiriah Arab Bersatu.
Bagi yang belum mengetahui, Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 akan membuka tirainya dari 5 hingga 11 Disember 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Menurut penganjur iaitu Persatuan Automotif Malaysia (MAA), acara yang hadir dengan tema ‘Beyond Mobility’ itu bakal menampilkan hampir 70 pempamer, dengan kawasan pameran meliputi hampir 30,000 kaki persegi di dua aras bangunan MITEC.
Bagi mereka yang merancang untuk mengunjungi, berikut adalah antara beberapa kenderaan menarik yang akan membuat kemunculan mereka di acara berkenaan:
Perodua EMO-II
Tidak syak lagi, Perodua bakal mencuri tumpuan pengunjung dengan model konsep berkuasa elektrik mereka iaitu EMO-II (Electric Mobility Online). Ia memberi bayangan kepada versi produksi kenderaan elektrik pertama Perodua yang akan dilancarkan ke pasaran pada penghujung tahun ini.
Proton e.MAS 7
Walaupun tidak diumumkan secara rasmi, EV pertama Proton iaitu e.MAS 7 berkemungkinan besar akan membuat kemunculan sulungnya di KLIMS 2024. Ia boleh didapati dengan dua pilihan pek bateri, dengan harga anggaran RM120,000.
Honda Prelude Concept
Satu lagi jenama yang pastinya akan menjadi tarikan di KLIMS 2024 adalah Honda. Di samping barisan model terkininya, Honda Malaysia mengumumkan bahawa ia juga akan mempamerkan Prelude Concept. Ini sekaligus menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di peringkat Asia selain Jepun yang mempamerkan model coupe hibrid tersebut.
Mazda CX-60
Bagi peminat setia Mazda, Bermaz Motor akan mempamerkan dua model SUV yang menarik iaitu CX-60 dan CX-80. Dibina di atas platform SkyActiv Multi Solution Scalable Architecture, model ini boleh didapati dengan pilihan trenkuasa petrol, diesel dan hibrid plug-in (PHEV), dengan pacuan roda belakang dan semua roda.
Mazda CX-80
Seperti CX-60, CX-80 juga merupakan sebahagian daripada kumpulan Large Product pengeluar dari Jepun itu namun ia menawarkan tiga barisan tempat duduk. Pilihan trenkuasa juga hampir sama dengan CX-60, terdiri daripada enjin petrol dan diesel enam silinder sebaris, PHEV, transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem AWD atau RWD.
Toyota Camry
Susulan pelancarannya di Thailand pada Oktober lalu, Toyota Camry generasi kesembilan (XV80) akan membuat kemunculan sulungnya di Malaysia minggu ini. Sedan segmen D itu dikuasakan oleh gabungan enjin hibrid 2.5-liter dan transmisi jenis e-CVT yang menghasilkan 227 PS.
Toyota Corolla Cross
Selain Camry, UMW Toyota Motor juga akan membawakan Corolla Cross versi facelift yang sebenarnya sudah pun dibuka untuk tempahan pada November lalu. Selain reka bentuk luaran yang lebih segar, SUV ini juga mendapat beberapa kelengkapan baharu termasuk brek parkir elektronik, Auto Hold dan sistem bantuan pemandu yang dipertingkatkan.
Nissan Kicks e-Power
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Nissan Kicks e-Power akan hadir dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand, dengan dua pilihan varian iaitu VL dan VLT. Ia menampilkan enjin petrol 1.2-liter tiga silinder yang bertindak sebagai penjana untuk mengecas pek bateri bagi menggerakkan motor elektrik pada gandar depan.
MG Cyberster
Antara kereta yang bakal menonjol di KLIMS 2024 adalah MG Cyberster, roadster elektrik yang dikuasakan oleh dua motor elektrik dengan kuasa keseluruhan berjumlah 503 PS dan 725 Nm. Ini membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.2 saat.
GWM Wey 80
Wey merupakan sub-jenama mewah yang bernaung di bawah Great Wall Motor (GWM). Sama ada ia akan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan atau tidak masih belum dapat dipastikan, namun jika MPV mewah ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung, tidak mustahil ia akan terjadi.
Untuk pertama kalinya dalam sejarah, syarikat automotif China BYD berjaya menjual lebih banyak kenderaan berbanding jenama Ford.
Sepanjang tempoh suku ketiga (Julai-September), sebanyak 1.13 juta unit kenderaan dijual oleh BYD dengan peningkatan sebanyak 38 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Sebagai perbandingan, untuk tempoh yang sama Ford menjual kurang 40,000 unit kenderaan, menyebabkan pengeluar itu jatuh satu anak tangga untuk menjadi pengeluar nombor tujuh dunia.
Namun untuk tempoh Januari-September, Ford masih lagi mendahului BYD dengan jumlah jualan 3.3 juta unit, lebih sedikit berbanding BYD (3.25 juta unit).
Tidak mustahil pada penghujung tahun jualan BYD mampu mencecah angka 4 juta untuk mengatasi jualan Ford secara keseluruhan bagi tahun 2024.
Selain BYD, beberapa syarikat automotif China turut mencatatkan peningkatan jualan yang mampu membimbangkan syarikat automotif Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat.
Seperti contoh, sepanjang Q3 Geely mencatatkan peningkatan jualan 14 peratus kepada 820,000 unit kenderaan, mendahului Nissan dan berada di belakang Honda di tempat kesembilan.
Pengeluar ketiga terbesar China, Chery turut merekodkan peningkatan jualan 27 peratus kepada 550,000 unit, sekaligus meletakkannya di tangga ke-12.
Jualan Toyota pula menurun 4 peratus kepada 2.73 juta unit, walaupun gergasi Jepun itu masih lagi mendahului carta di hadapan VW Group yang merekodkan penurunan 7 peratus kepada 2.17 juta unit kenderaan.
Biarpun Hyundai Motor Group masih lagi selesa di tempat ketiga, namun mereka turut mencatatkan penurunan jualan 3 peratus kepada 1.77 juta unit.
Berada di tangga kelima, Stellantis nampaknya perlu bekerja dengan lebih keras disebabkan perbezaan jualan dengan BYD cuma sekitar 10,000 unit sahaja.
Kita perlu berterima kasih kepada Toyota kerana masih lagi sudi menghasilkan barisan model kereta berprestasi tinggi dalam era moden untuk dinikmati para peminatnya.
Setelah bertahun-tahun khabar angin tersebar, Toyota akhirnya mengesahkan plet nama ikonik Celica akan membuat kemunculan semula.
Pengumuman tersebut dibuat oleh naib presiden eksekutif Toyota, Yuki Nakajima bersempena dengan penganjuran Rally Japan baru-baru ini.
“Sejujurnya, tiada sebarang tanda-tanda (Celica) pada ketika ini. Namun, terdapat ramai pihak di dalam syarikat yang sedang menantikan kehadiran Celica.
“Jadi, saya tertanya-tanya sama ada boleh mengatakan hal ini di dalam forum awam, tapi kami sedang membangunkan Celica!”
Perkembangan terbaharu ini muncul beberapa minggu selepas Toyota mendedahkan petunjuk dalam siri animasi GRIP berhubung kemunculan beberapa kereta sports baharu termasuklah Celica, GR GT3 dan MR2, serta mengemaskini barisan sedia ada (GR86, GR Supra).
Menariknya, untuk acara pameran SEMA 2024, Toyota turut mengambil kesempatan mempamerkan sebuah kereta konsep dinamakan sebagai GR86 Rally Legacy Concept (gambar utama) yang mengambil inspirasi daripada Celica GT-Four era 90-an.
Selain daripada liveri stail Castrol, GR86 ini dilengkapi dengan enjin GR Yaris berkuasa 300 hp/370 Nm yang dipadankan dengan sistem pacuan semua roda GR-Four bagi menepati tema Celica yang cuba dibawakan.
Adakah anda teruja dengan kemunculan semula nama Celica?
Selain daripada siri animasi Jepun “Initial D” dan “MF Ghost” yang memaparkan watak utama memandu sebuah kereta berjenama Toyota, terdapat juga siri animasi yang dihasilkan secara rasmi oleh pengeluar tersebut.
Siri anime “GRIP” yang boleh ditonton secara halal di saluran YouTube kini sudah pun masuk musim kedua dan ia mempunyai telur Easter yang mampu menggembirakan hati para peminatnya.
Dikongsikan dalam laman forum Supra MKV, telur Easter tersebut muncul pada papan contengan dalam satu babak di mana terdapat senarai kereta sports GR yang mungkin akan muncul kelak, iaitu Supra Mk6, Celica Mk8, MR2 Mk4, GR86 Mk3 dan GR GT3.
Jika anda perasan, nama GR Yaris dan GR Corolla langsung tidak tercatat dalam senarai tersebut, diikuti dengan GR Starlet yang digembar-gemburkan sebagai alternatif mampu milik kepada model hatchback GR Yaris.
Berdasarkan beberapa laporan terdahulu, Toyota Gazoo Racing akan menghidupkan semula beberapa nama ikonik yang pernah menjadi sebahagian daripada sejarah sukan permotoran jenama itu.
Celica dijangka akan muncul sebagai sebuah coupe pacuan semua roda dengan enjin 2.0L turbo 400 hp, manakala MR2 pula berkemungkinan besar hadir sebagai kereta sports berenjin tengah berdasarkan model konsep FT-Se.
Selain daripada GR86 dan GR Supra yang muncul dalam generasi baharu, terdapat juga GR GT3/Lexus LFR yang mungkin sekali dikuasakan oleh nadi V8.
Sumber gambar: Best Car Web JP
Toyota juga mahu menghasilkan sebuah lagi model pantas GR Starlet yang diposisikan sebagai pelengkap kepada barisan hot hatch sedia ada (GR Yaris, GR Corolla).
Tidak seperti dua model dengan sistem pacuan GR-Four, GR Starlet akan menggunakan enjin tiga silinder sebaris berkuasa sekitar 150 hp dan 220 Nm untuk memacu roda hadapan sahaja.
Toyota Hilux BEV telah diperkenalkan di Thailand beberapa tahun lepas dengan membawakan konfigurasi badan kabin tunggal.
Untuk lebih disesuaikan dengan kerja-kerja di tapak perlombongan, Toyota membuat keputusan untuk memperkenalkan unit prototaip Hilux BEV berdasarkan bentuk badan kabin tunggal.
Menerusi kerjasama dengan syarikat perlombongan BHP, Toyota mahu unit prototaip Hilux BEV ini memberikan data-data yang cukup berharga untuk membentuk model produksi yang sebenar.
Untuk tempoh 12 bulan akan datang, trak pikap Hilux BEV ini akan digunakan untuk menggantikan peranan trak diesel untuk pelbagai jenis operasi di Port Hedland, salah satu tapak perlombongan bijih besi terbesar di dunia.
Unit prototaip Hilux BEV double-cab ini mempunyai rupa paras yang sama sahaja dengan versi enjin diesel, dan hanya dibezakan menerusi kehadiran port pengecasan pada fender hadapan.
Selain itu, Toyota telah memasang bull-bar di bahagian hadapan, lengkap dengan lampu LED tambahan.
Setakat ini, Toyota masih lagi merahsiakan spesifikasi Hilux BEV prototaip ini daripada pengetahuan umum.
Toyota Hilux BEV SEA Electric
Toyota Land Cruiser 70 Series BEV
Namun ini bukanlah kali pertama kita mendengar berita tentang penggunaan Hilux elektrik menggantikan trak berkuasa diesel di kawasan perlombongan.
Beberapa tahun lepas, Toyota Australia telah menghasilkan trak pikap Land Cruiser 70 Series berkuasa elektrik sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan emisi.
Tahun lepas, syarikat SEA Electric dan MEVCO telah mengumumkan kerjasama bernilai AU$1 bilion untuk membangunkan 8,500 unit EV menggunakan Hilux dan Land Cruiser sebagai asas untuk digunakan oleh industri perlombongan.
Malah di UK, Toyota sendiri menjalankan inisiatif menguji sehingga 10 unit prototaip Toyota Hilux yang dikuasakan oleh unit pacuan sel bahan api (FCEV) yang disesuaikan daripada sedan hidrogen Toyota Mirai.
Beberapa bulan yang lalu, media automotif antarabangsa melaporkan bahawa BMW akan berhenti menghasilkan Z4 selepas Mac 2026. Berita ini membuatkan peminat kepada kembarnya iaitu Toyota GR Supra tidak senang duduk. Adakah Toyota akan mengikut jejak langkah BMW?
Nampaknya peminat GR Supra kini boleh menarik nafas lega kerana dalam perkembangan terbaru, Toyota nampaknya akan terus menawarkan kereta sport itu sekurang-kurangnya untuk satu generasi lagi.
Bercakap kepada CarExpert, naib presiden jualan, pemasaran dan operasi francais Toyota Australia, Sean Hanley berkata tanggapan bahawa Supra akan dihentikan adalah spekulatif semata-mata.
“Tiada rancangan untuk menghentikan jenama Supra dalam syarikat kereta ini. Saya tahu itu. BMW bukan Toyota.”
“Dan, terus terang, saya tidak menjangka bahawa jenama Supra akan hilang. Sama sekali,” ujar Hanley.
Tambah beliau lagi, Supra mempunyai sejarah yang panjang, sekali gus menjadikannya model yang penting dalam rangkaian model GR.
Selain GR Supra, rangkaian model GR turut terdiri daripada GR Yaris, GR Corolla dan GR86.
Ini satu perkembangan yang menarik kerana seperti yang kita semua tahu, Z4 dan GR Supra dibangunkan secara bersama oleh BMW dan Toyota. Kedua-duanya juga dipasang oleh Magna Steyr di kilang yang terletak di Graz, Austria.
Jika BMW menghentikan pengeluaran Z4, ini bermakna Toyota perlu mencari rakan teknikal baharu untuk membangunkan GR Supra generasi seterusnya. Anda rasa, siapakah ‘calon’ yang paling sesuai untuk projek yang mengujakan ini?
Toyota Motor Corp dalam satu kenyataan Jumaat lalu mengesahkan jumlah produksi keseluruhan di peringkat global pada bulan Ogos menurun 11.2 peratus kepada 709,571 unit berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Penurunan ini adalah disebabkan oleh skandal ujian persijilan kenderaan serta penutupan sementara kilang akibat ribut taufan yang melanda Jepun pada lewat bulan Ogos.
Selain itu, angka pengeluaran domestik juga menurun 22.2 peratus kepada 185,680 unit apabila pengeluaran model popular seperti Corolla Axio, Corolla Fielder dan Yaris Cross kekal digantung sejak Jun lepas.
Toyota menyambung kembali operasi pemasangan tiga model tersebut pada awal bulan September selepas pihak kementerian pengangkutan Jepun mengesahkan aspek keselamatan kenderaan tersebut.
Prestasi jualan domestik Jepun juga mencatatkan penurunan 9.1 peratus kepada 109,505 unit.
Sementara itu, produksi kenderaan Toyota di luar Jepun turut mencatatkan penurunan, merosot 6.5 peratus kepada 523,891 unit selepas kempen panggil semula melibatkan model Grand Highlander dan Lexus TX di Amerika Utara.
Pengeluar Jepun itu berdepan persaingan yang sengit di Tanah Besar China, di mana jualan di China menjunam 13.5 peratus.
Selain Toyota, Nissan mencatatkan penurunan 15.5 peratus kepada 236,016 unit disebabkan jualan SUV X-Trail yang lemah di China, manakala Honda pula menyaksikan penurunan 11.3 peratus kepada 307,870 unit.
Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, Toyota sedang membangunkan siri enjin empat silinder sebaris generasi baharu 1.5 dan 2.0 liter untuk mencapai sasaran neutral karbon.
Dengan saiz yang lebih kompak dan ringan, enjin generasi baharu itu dijangka lebih berkuasa dan dalam masa yang sama menawarkan tahap penjimatan bahan api yang lebih baik.
Toyota mempunyai harapan yang cukup tinggi pada enjin baharu ini, sehinggakan salah seorang daripada jurutera syarikat itu berpendapat ia mampu mengatasi enjin 2JZ yang sangat popular dalam kalangan peminatnya.
Perkara itu didedahkan oleh wartawan Kuruma News yang menghadiri acara yang dianjurkan oleh Lexus baru-baru ini.
Enjin enam silinder sebaris 2JZ
Di sana, para pengamal media Jepun diberikan peluang untuk menguji Toyota Hilux dan Lexus IS yang dilengkapi dengan enjin baharu 2.0 liter turbo.
Kedua-dua model tersebut mempunyai talaan kuasa yang berbeza, di mana Hilux berkuasa 300 hp dengan garis merah 6,200 rpm, sementara Lexus IS pula berupaya menghasilkan 400 hp dengan garis merah yang lebih tinggi (7,100 rpm).
Menurut Kuruma News, walaupun dengan talaan yang berbeza, kedua-dua model hampir tidak mempunyai sela turbo dan dalam masa yang sama menawarkan pemanduan yang menyeronokkan.
Sebuah lagi outlet media Jepun, Best Car Web mendedahkan Lexus mungkin sedang membangunkan prototaip Lexus RC berkuasa 600 hp.
Model prototaip tersebut dikatakan mempunyai kotak gear manual enam nisbah kelajuan, dan dibangunkan untuk sukan permotoran.
Tidak mustahil satu hari nanti model prototaip RC 600 hp ini akan turut ditawarkan di bawah divisyen prestasi tinggi Lexus F.
UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan ia telah menjual sebanyak 8,500 unit kenderaan pada bulan Ogos 2024, menunjukkan penurunan sebanyak 500 unit berbanding 9,000 unit yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
Pencapaian terbaru ini menjadikan jualan semasa tahunan setakat Ogos 2024 (YTD) kepada 64,000 unit. Tiga model yang menjadi penyumbang utama adalah Vios, Hilux dan Corolla Cross.
Pada 16 Ogos lalu, UMWT membuka tempahan untuk Hilux, Fortuner dan GR86 yang ditambah baik untuk model tahun 2024.
Hilux kini didatangkan dengan Vehicle Stability Control untuk varian 2.4 Single Cab, serta ciri Remote Engine Start dan Panoramic View Monitor untuk varian-varian terpilih.
Fortuner pula tampil dengan pakej kit badan GR (Gazoo Racing) dan Remote Engine Start, manakala GR86 diberikan penambahbaikan dari segi pengendalian dan respon pendikit.
Bukan itu sahaja, kereta sport dua pintu itu kini juga dilengkapi dengan perakam video digital (DVR) pada bahagian depan dan belakang.
“Prestasi jualan Ogos 2024 serta penambahbaikan yang dibuat pada ketiga-tiga model tersebut, mencerminkan komitmen kami terhadap menyediakan solusi mobiliti yang memacu inovasi dan kepuasan pelanggan,” kata Datuk Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor.
Bagi bulan September 2024, UMWT memperkenalkan promosi “Move in Harmony” di mana pelanggan berpeluang menikmati pelbagai penjimatan termasuk promosi bernilai sehingga RM9,500 untuk Yaris, dengan ansuran bulanan serendah RM658.
Bukan itu sahaja, program Toyota Service Savers pula menawarkan kemudahan dalam bentuk ansuran bulanan bermula serendah RM31.
Bagi peminat sukan permotoran, pusingan kedua Toyota Gazoo Racing musim ketujuh bakal kembali ke Litar Antarabangsa Petronas Sepang dari 27 hingga 29 September ini.
Bergantung kepada pasaran, Toyota GR Supra boleh didapati dengan pilihan enjin BMW, sama ada nadi empat silinder sebaris 2.0 liter (258 PS/400 Nm) atau enjin enam silinder sebaris 3.0 liter dengan kuasa mencecah 387 PS/500 Nm.
Namun untuk tujuan perlumbaan, Toyota bakal mengenepikan khidmat nadi buatan Jerman itu dan mengutamakan enjin bentangan V8 untuk dimuatkan dalam perut GR Supra.
Jentera lumba GR Supra bernadi V8 itu akan bertempur di dalam acara Supercars Championship di Australia bermula tahun 2026, di mana Toyota menjadi pengeluar ketiga yang menyertai perlumbaan tersebut menentang jentera lumba Ford Mustang dan Chevrolet Camaro.
Menurut laporan, jentera lumba GR Supra itu dibangun secara dalaman oleh Toyota Australia di Altona untuk memenuhi peraturan GEN3 Supercars Championship.
Enjin V8 yang dimaksudkan itu sebenarnya telah pun wujud dalam jentera berprestasi tinggi Lexus, seperti IS F, GS F, LC 500 dan RC-F.
Nadi aluminium 5.0 liter aspirasi semula jadi itu (kod 2UR-GSE) mampu menghamburkan kuasa setinggi 481 PS/535 Nm pada model RC-F, atau 477 PS dengan daya kilas 540 Nm pada model LC 500.
Berbalik semula kepada jentera lumba GR Supra V8, ia akan menampilkan liveri perlumbaan pasukan Walkinshaw Andretti United (WAU) dan dikendalikan oleh pelumba Chaz Mostert dan Ryan Wood.
Pasukan WAU sebelum ini berlumba dengan jenama Holdens dari 1987 hingga 2023, sebelum beralih kepada jenama Ford untuk tempoh tiga musim, dan akan bekerjasama dengan Toyota bermula tahun 2026.
Usah gembira terlalu awal, kerana GR Supra dengan enjin V8 ini hanya akan wujud dalam versi perlumbaan sahaja.
GR Supra versi jalanan masih lagi akan dikekalkan dengan penawaran enjin enam silinder sebaris sehinggalah produksinya ditamatkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Namun sebelum itu, Toyota dilapor akan melancarkan model Supra GRMN dengan enjin enam silinder yang telah ditala semula, casis yang lebih tegar serta aspek aerodinamik yang telah ditambah baik.
Kes tertinggal anak di dalam kereta sudah terlalu kerap berlaku, bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara-negara lain.
Menyedari keseriusan perkara ini, Toyota telah memperkenalkan sistem Advanced Rear Seat Reminder yang berupaya mengesan pergerakan pada kerusi belakang selepas enjin dimatikan dan pintu dikunci.
Model pertama yang menerima sistem ini adalah Toyota Sienna 2025, MPV tiga baris tempat duduk yang dijual di pasaran Amerika Utara.
Sistem peringatan tempat duduk belakang bukanlah inovasi baharu dalam dunia automotif namun Advanced Rear Seat Reminder lebih canggih kerana ia mampu membuat panggilan ke telefon pengguna.
Menurut Toyota, sistem ini menggunakan sensor yang disembunyikan di dalam pelapik bumbung dan radar 60 GHz untuk mengesan sebarang pergerakan pada tempat duduk barisan kedua dan ketiga.
Jika sistem mengesan pergerakan selepas gear P dimasukkan dan enjin dimatikan, serta pintu pemandu dibuka dan ditutup dan kenderaan dikunci, ia akan memasang lampu kecemasan dan membunyikan penggera pintu sebanyak sembilan kali.
Jika masih terdapat pergerakan yang dikesan dan pintu masih belum dibuka 90 saat selepas amaran awal dicetuskan, Advanced Rear Seat Reminder akan membunyikan hon pula.
Pengguna yang mengaktifkan notifikasi Advanced Rear Seat Reminder pada aplikasi Toyota dan mempunyai langganan Safety Connect yang aktif akan menerima notifikasi dan pesanan teks SMS empat minit selepas hon dibunyikan.
Akhirnya, jika masih tiada apa-apa tindakan selepas dua minit, sistem akan cuba membuat panggilan telefon secara automatik.
Walau bagaimanapun, jika pintu tidak dikunci, lampu kecemasan tidak akan dihidupkan manakala penggera pintu dan hon tidak akan dibunyikan. Sebaliknya, pengguna akan dimaklumkan menerusi SMS selepas 10 minit dan panggilan telefon dua minit selepas itu.
Adakah Toyota akan memperkenalkan Advanced Rear Seat Reminder pada pasaran-pasaran lain? Kami berharap begitu kerana ia berpotensi menyelamatkan banyak nyawa.
Seperti pengeluar yang lain, Toyota juga turut terkesan dengan penurunan permintaan terhadap kenderaan elektrik.
Menurut laporan terbaharu daripada akhbar Jepun The Mainichi, Toyota telah menurunkan sasaran produksi global bagi kenderaan elektrik menjelang tahun 2026 sebanyak 30 peratus.
Pengeluar tersebut kini menyasarkan produksi sekitar 1 juta unit, berbanding 1.5 juta unit EV dalam perancangan asal.
Toyota yang sebelum ini disifatkan sebagai pengeluar yang ‘degil’ telah mengubah strategi elektrifikasi mereka awal tahun lepas, di mana presidennya Koji Sato mengumumkan sasaran jualan EV sebanyak 1.5 juta unit menjelang tahun 2026.
Pasaran EV global pada mulanya menikmati pertumbuhan rancak, terima kasih kepada model popular yang dihasilkan oleh Tesla dan BYD.
Namun, jualan dalam segmen sifar emisi tersebut bergerak perlahan memandangkan ia gagal untuk menarik minat golongan selain pengguna terawal disebabkan kos yang tinggi serta masalah kekurangan infrastruktur pengecasan.
Sepanjang tahun 2023, Toyota berjaya menjual sebanyak 104,000 unit EV dengan peningkatan sebanyak empat kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Angka tersebut dilihat sangat kecil jika dibandingkan dengan jumlah jualan kenderaan secara keseluruhan melebihi 10 juta unit.
Berbanding EV, kenderaan hibrid Toyota dilihat mendapat sambutan yang cukup hangat disebabkan ia menawarkan penyelesaian yang lebih praktikal dalam memacu misi neutral karbon.
Disebalik perancangan untuk mengurangkan produksi EV, Toyota akan bertindak balas terhadap permintaan pasaran semasa dengan meningkatkan angka produksi bagi kenderaan plug-in hybrid.
Bagi kebanyakan jenama automotif di Malaysia, inisiatif pemasangan tempatan atau CKD memainkan peranan penting dalam memastikan mereka terus berdaya saing dalam pasaran automotif tempatan.
Pengeluar kenderaan tempatan iaitu Proton dan Perodua sudah tentu mempunyai kilang pemasangan masing-masing di negara ini tetapi bagi jenama-jenama luar, operasi CKD membolehkan mereka menawarkan produk pada harga yang lebih kompetitif.
Menerusi sokongan dan pelbagai insentif yang ditawarkan oleh kerajaan, Malaysia kini menjadi ‘tuan rumah’ kepada beberapa kilang pengeluaran kenderaan dari jenama-jenama terkemuka. Berikut adalah lima kilang pengeluaran automotif di negara ini yang anda patut tahu:
Proton Shah Alam & Tg. Malim
Kilang pemasangan kenderaan Proton di Shah Alam mula beroperasi pada 1985 iaitu tahun yang sama Proton Saga dilancarkan. Selain Saga, kilang ini juga mengeluarkan banyak model penting lain seperti Wira, Waja, Exora dan Satria.
Proton dilaporkan akan memindahkan keseluruhan operasi pemasangannya dari Shah Alam ke Proton City, Tanjung Malim menjelang 2027. Kilang berharga RM1.8 bilion itu dibuka pada 2003 dan terletak di kawasan seluas 517 hektar. Selain mengeluarkan model-model terkini seperti X50 dan X70, kilang itu juga memasang enjin 1.5 TGDI.
Perodua Sg. Choh, Rawang
Ibu pejabat Perodua terletak di kawasan seluas 522 ekar di Sg Choh, Rawang. Selain bangunan korporat, kemudahan R&D, litar ujian dan pelbagai fasiliti lain, ia juga menempatkan dua kilang pemasangan iaitu Perodua Manufacturing Sdn Bhd (PMSB) dan Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd (PGMSB) yang dibuka pada 2016.
Menurut Perodua, kedua-dua kilang itu mempunyai kapasiti pengeluaran kenderaan sehingga 320,000 unit setahun. Perodua juga mempunyai kilang pengeluaran enjin dan transmisi, kedua-duanya terletak di Sendayan TechValley.
Toyota Shah Alam & Bukit Raja
Kenderaan pemasangan tempatan pertama Toyota adalah Corolla KE10 yang dipasang di kilang Champion Motor di Shah Alam. Pada 1975, kilang berkenaan dinamakan sebagai Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) yang kekal digunapakai sehingga hari ini.
Dengan permintaan yang semakin meningkat serta keperluan untuk mempunyai kilang baharu yang lebih moden, UMW Toyota membuka kilang pemasangan keduanya di Bukit Raja, Klang di mana-mana model-model terkini seperti Vios, Yaris dan Corolla Cross dihasilkan.
Honda Pegoh, Melaka
Honda memulakan operasi CKD-nya di negara ini pada 2003 menerusi Honda CR-V generasi kedua yang dipasang di Pegoh, Melaka. Kilang itu dibina di atas kawasan seluas 46,543 kaki persegi dan boleh mengeluarkan sehingga 50,000 kereta setahun.
Pada 2014, jalur pemasangan kedua dilancarkan, membolehkan Honda Malaysia menggandakan pengeluaran tahunan mereka kepada 100,000 unit setahun dan 400 unit sehari.
Volvo Shah Alam
Untuk pengetahuan anda, kilang Volvo Car Manufacturing Malaysia yang terletak di Shah Alam merupakan kilang pemasangan automotif yang tertua di Malaysia. Ia mula beroperasi pada Mac 1967 menerusi pemasangan Volvo 144.
Apa yang menarik, ia juga merupakan kilang Volvo pertama yang dibuka di luar negara asal Volvo iaitu Sweden. Hari ini, kilang itu mengeluarkan barisan kereta PHEV dan BEV Volvo seperti XC90 Recharge, XC60 Recharge, XC40 Recharge dan C40 Recharge.
UMW Toyota Motor (UMWT) baru-baru ini melancarkan pusat 3S Toyota baharu yang terletak di Kota Samarahan, Sarawak.
Kemudahan terbaru ini dikendalikan oleh Borneo Mobility (Samarahan) Sdn Bhd yang telah dilantik sebagai rakan pengedar UMWT sejak 2020.
Ia terletak di lokasi strategik 30 km dari tenggara Kuching dan bakal memenuhi permintaan yang semakin meningkat di kawasan yang mempunyai populasi lebih daripada 130,000 orang itu.
Selain ruang pameran, pusat 3S ini juga menyediakan lima ruang servis bagi menyediakan perkhidmatan selepas jualan kepada pelanggan Toyota di sekitar Kota Samarahan dan kawasan berhampiran.
Menurut UMWT, pusat ini dijangka akan menyumbang 12% kepada jumlah jualan Borneo Mobility.
Dikenali dengan jolokan ‘Kota Pengetahuan’, Kota Samarahan kini berkembang pesat dengan dua buah universiti terkemuka, kawasan perumahan, pusat komersial dan projek infrastruktur, menjadikannya lokasi yang menarik untuk membangunkan perniagaan.
Datuk Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor berkata, “Pusat servis 3S baharu ini adalah cara kami membawa jenama Toyota lebih dekat kepada pelanggan kami, di mana sahaja mereka berada, sambil memastikan mereka mempunyai akses mudah kepada perkhidmatan kami pada bila-bila masa.”
Pusat 3S Toyota baharu ini beralamat di Lot 9040-9043, Block 26, 15-20 Uni Alam Commercial Centre, Jalan Datuk Mohamad Musa, 94300 Kota Samarahan, Sarawak.
Waktu operasi adalah 8 pagi hingga 5.30 petang dari Isnin hingga Jumaat, dan 8 pagi hingga 1 petang pada Sabtu.
UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan tempahan untuk Hilux, Fortuner dan GR86 baharu telah dibuka hari ini, menampilkan beberapa pembaharuan dan naik taraf.
Toyota Hilux
Raja trak pikap di Malaysia, Toyota Hilux diperbaharui dengan Vehicle Stability Control (VSC) pada model 2.4 Single Cab.
Ia juga mendapat Remote Engine Start untuk varian terpilih, dan ciri ini merupakan yang pertama untuk model Toyota. Daiktifkan menggunakan aplikasi Toyota My, fungsi ini juga mampu menghidupkan pendingin hawa untuk anda menyejukkan kabin sebelum memasuki kenderaan.
Hilux 2.8 GR Sport, Rogue, dan 2.4V juga dilengkapi dengan Panoramic View Monitor, manakala GR Sport dan Rogue mendapat ciri pengecas tanpa-wayar.
Varian 2.8 GR Sport dipacu oleh enjin 2,755cc dengan output 224PS dan 550Nm tork, manakala 2.8 Rogue mempunyai output 204PS dan 500Nm. Sementara itu, Hilux 2.4 menghasilkan 150PS dan 400Nm tork.
Toyota Hilux ditawarkan dengan harga bermula RM104,880.
Toyota Fortuner
Toyota Fortuner kini hadir dengan kit badan GR sebagai aksesori tambahan untuk 2.7 SRZ dan 2.4. Kit ini merangkumi skirting bampar depan, kemasan lampu kabus, dan skirting bampar belakang.
Remote Engine Start kini didapati pada Fortuner 2.8 VRZ dan 2.7 SRZ.
SUV ini masih ditawarkan dengan pilihan enjin petrol dan diesel. Unit petrol 2.7 SRZ menghasilkan 166PS dan 245Nm tork, manakala diesel 2.8 VRZ menjana 150PS dan 400Nm tork.
Toyota Fortuner 2024 boleh menjadi milik anda pada harga bermula RM195,800.
Toyota GR86
Bagi kereta coupe sports GR86, kedua-dua varian automatik dan manual dikemaskini untuk pengendalian dan respon lebih baik.
Respon pendikit minyak telah ditala semula untuk kawalan lebih tepat, manakala suspensi diperhalusi untuk respon pengendalian dan feel jalanan. Sistem stereng juga dikalibrasi semula untuk rasa lebih telus.
Bagi transmisi automatik, talaan baharu membolehkan downshift pada rpm lebih tinggi. Ini memberikan kawalan lebih baik untuk pemandu.
Harga bagi Toyota GR86 2024 bermula pada RM295,000.
UMW Toyota Motor (UMWT) mencapai prestasi jualan yang kukuh pada Julai tahun ini dengan lebih 9,000 unit terjual.
Menurut syarikat itu, pencapaian terbaru ini menjadikan jumlah jualan keseluruhan setakat tahun ini (Januari hingga Julai) kepada lebih 55,800 unit.
Menggunakan momentum ini, UMWT telah memperluas barisan Lexus menerusi pengenalan dua model menarik bulan lalu iaitu Lexus RZ 450e, kenderaan elektrik bateri (BEV) pertama, dan SUV hibrid entry-level iaitu Lexus LBX.
Menerusi pelancaran tersebut, UMWT memperdalam fokus mereka dengan kempen “More than Electric” dan menyerlahkan dedikasinya terhadap strategi elektrifikasi yang luas yang merangkumi kenderaan hibrid dan elektrik sepenuhnya.
Melalui inisiatif ini, Lexus Malaysia mentakrifkan semula kemewahan dengan fokus ke arah masa depan yang mampan dan elektrik.
Datuk Ravindran K., Presiden UMWT berkata prestasi jualan pada Julai adalah bukti pendekatan strategiknya dan kepercayaan yang diberikan pelanggan kepada jenama itu.
“Kami komited untuk berterusan memberikan nilai luar biasa dan penyelesaian mobiliti inovatif yang memenuhi keperluan pelanggan kami yang semakin berkembang,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk meningkatkan pengalaman pembelian, UMWT memperkenalkan promosi “Discover Merdeka Exclusives” untuk bulan Ogos 2024.
Pelanggan boleh menikmati pelbagai penjimatan, termasuk promosi bernilai sehingga RM8,000 untuk Corolla Cross Hybrid Electric, dengan ansuran bulan bermula dari RM1,058.
Selain itu, program Toyota Service Savers menawarkan ansuran bulan bermula serendah RM31.
UMWT juga akan meraikan Hari Kemerdekaan Malaysia dengan acara bertemakan patriotik Merdeka Showroom Weekender pada 17 dan 18 Ogos, di semua bilik pameran Toyota di seluruh negara.
UMW Toyota Motor menjemput rakyat Malaysia yang berminat dengan perlumbaan simulasi Gran Turismo 7 untuk menyaksikan sendiri pusingan akhir Toyota Gazoo Racing GT Cup 2024 musim ketujuh yang akan berlangsung di Sunway University Campus 27 hingga 28 Julai ini.
Acara selama dua hari itu terbuka kepada umum, di mana pusingan separuh akhir akan berlangsung pada 27 Julai untuk memilih pelumba simulasi terpantas akan akan bertempur pada 28 Julai untuk merebut hadiah terkumpul bernilai RM120,500.
Peringkat separuh akhir bakal menyaksikan 20 pelumba memandu Toyota GR Corolla MORIZO Edition di litar Alsace, Perancis, serta Toyota GR Supra RZ di litar Deep Forest Raceway, Switzerland.
10 peserta terpantas akan mara ke peringkat akhir untuk mengendalikan jentera prototaip GR010 di Litar Monza, Itali dan jentera lumba GR Supra Racing Concept di litar Circuit De La Sarthe Le Mans, Perancis.
Antara yang bakal mencuri tumpuan umum pada tahun ini ialah Taj Izrin Aiman Taj Madira yang sedang memburu gelaran juara untuk kali keempat menentang naib juara tahun lalu Danesh Wigneswaran dan Chong Kai Chang, serta Muhammad Iqbal selaku juara tahun 2022.
Pusingan akhir GR GT Cup ini juga bakal menampilkan perlumbaan khas melibatkan TGR Rookies, para pengamal media, serta 10 pelumba terpantas dari GR Tour yang terdiri daripada pelajar Sunway University, USM Nibong Tebal, MMU, UKM dan UiTM Pasir Gudang.
Orang ramai juga dijemput untuk mencabar kemahiran diri berlumba dan berpeluang membawa pulang hadiah istimewa.
Terdapat juga pameran model kenderaan diecast Tomica serta barangan eksklusif Gazoo Racing untuk dibeli, serta pameran kenderaan-kenderaan terkini Toyota.
Menurut Presiden UMW Toyota, Datuk Ravindran K berkata, “perlumbaan simulasi terus berkembang di peringkat global, dan kini diiktiraf sebagai langkah penting untuk mana-mana individu yang berhasrat untuk beralih kepada perlumbaan sebenar.
“Ia juga turut menjadi pra-syarat penting dalam pemilihan dan latihan calon yang mahu menyertai Program Pembangunan Pelumba Muda Gazoo Racing untuk peluang bertempur sebagai seorang Rookie dalam GR Vios Challenge,” ujarnya lagi.