Sistem Advanced Rear Seat Reminder Toyota berpotensi selamatkan nyawa kanak-kanak
Kes tertinggal anak di dalam kereta sudah terlalu kerap berlaku, bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara-negara lain.
Menyedari keseriusan perkara ini, Toyota telah memperkenalkan sistem Advanced Rear Seat Reminder yang berupaya mengesan pergerakan pada kerusi belakang selepas enjin dimatikan dan pintu dikunci.
Model pertama yang menerima sistem ini adalah Toyota Sienna 2025, MPV tiga baris tempat duduk yang dijual di pasaran Amerika Utara.
Sistem peringatan tempat duduk belakang bukanlah inovasi baharu dalam dunia automotif namun Advanced Rear Seat Reminder lebih canggih kerana ia mampu membuat panggilan ke telefon pengguna.
Menurut Toyota, sistem ini menggunakan sensor yang disembunyikan di dalam pelapik bumbung dan radar 60 GHz untuk mengesan sebarang pergerakan pada tempat duduk barisan kedua dan ketiga.
Jika sistem mengesan pergerakan selepas gear P dimasukkan dan enjin dimatikan, serta pintu pemandu dibuka dan ditutup dan kenderaan dikunci, ia akan memasang lampu kecemasan dan membunyikan penggera pintu sebanyak sembilan kali.
Jika masih terdapat pergerakan yang dikesan dan pintu masih belum dibuka 90 saat selepas amaran awal dicetuskan, Advanced Rear Seat Reminder akan membunyikan hon pula.
Pengguna yang mengaktifkan notifikasi Advanced Rear Seat Reminder pada aplikasi Toyota dan mempunyai langganan Safety Connect yang aktif akan menerima notifikasi dan pesanan teks SMS empat minit selepas hon dibunyikan.
Akhirnya, jika masih tiada apa-apa tindakan selepas dua minit, sistem akan cuba membuat panggilan telefon secara automatik.
Walau bagaimanapun, jika pintu tidak dikunci, lampu kecemasan tidak akan dihidupkan manakala penggera pintu dan hon tidak akan dibunyikan. Sebaliknya, pengguna akan dimaklumkan menerusi SMS selepas 10 minit dan panggilan telefon dua minit selepas itu.
Adakah Toyota akan memperkenalkan Advanced Rear Seat Reminder pada pasaran-pasaran lain? Kami berharap begitu kerana ia berpotensi menyelamatkan banyak nyawa.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.