Arkib Tag: toyota gr supra

Hampir separuh Toyota GR Supra yang terjual di AS adalah manual!

HAMPIR separuh dari Toyota GR Supra 2023 yang terjual di Amerika Syarikat (AS) adalah dari unit dengan kotak gear manual. Perkara ini diberitahu oleh jurucakap Toyota kepada Road & Track.

Sebanyak 1,216 unit GR Supra yang terjual sejak model 2023 dilancarkan adalah dengan model tiga-pedal, bersamaan 43 peratus.

GR Supra yang mula dilancarkan pada 2019 tidak datang dengan pilihan manual, sebaliknya hanya dengan automatik 8-kelajuan. Tetapi para peminat telah menyuarakan kehendak mereka yang mahukan kotak gear untuk pemandu sejati.

Kotak gear yang digunakan ialah unit manual 6-kelajuan (6MT) dari BMW 3-Series tetapi nisbah gear dari M3, menurut jurutera Toyota. Linkage dan tombol gear adalah baharu, dan Toyota membangunkan sendiri perisian rev-matching iMT.

Enjin dikongsi dengan model automatik, iaitu 3.0-liter 6-silinder sebaris dengan output 388hp dan 500Nm tork. Konsol tengah pula telah direka semula untuk memuatkan kotak gear itu. Selain itu, nisbah gear akhir dinaikkan dari 3.15 kepada 3.46.

Kami amat teruja dengan berita sebegini, menunjukkan Toyota mendengar kata peminat dan para penggiat kereta. Hal ini juga sama dengan Porsche yang menurut kehendak peminat mereka yang mahukan pilihan manual dalam model prestasi seperti 911 GT3 dan Cayman GT4.

Buat peminat pula, mereka benar-benar beli kereta sebegini, bukan sekadar sembang “Save the manuals” atau “Real men drive three-pedals”. Diharapkan lebih banyak model sports bertransmisi manual dengan harga mampu milik memasuki pasaran Malaysia.

Jentera lumba Toyota GR Supra GT500 yang anda boleh pandu dari Tamiya

TAMIYA terus mendedahkan model-model baharu RC (kawalan radio) berasaskan casis TT-02, yang terkini ialah Toyota GR Supra GT500. Jentera ini dibangunkan untuk kelas perlumbaan GT500 sebagai ganti kepada Lexus LC500 yang telah berentap selama tiga musim dari 2017 hingga 2019.

Dengan rekaan aerodinamik diambil dari GR Supra versi jalanan, jentera lumba ini menampilkan bingkai monocoque karbon, komponen aerodinamik khas, kotak gear, dan dipacu enjin 2.0-liter turbo 4-silinder dengan suntikan terus bahan api.

Badan pada model kereta RC ini dihasilkan dari polycarbonate manakala beberapa komponen plastik ABS untuk spoiler dan cermin sisi. Ia mendapat pelekat livery pasukan Tom’s GR Supra.

Casis TT-02 merupakan kit permulaan mesra pengguna yang baru berjinak-jinak dengan perlumbaan touring. Casis ini menggunakan susun atur menegak dengan pek bateri di kiri, dan motor serta elektronik di bahagian kanan.

Kit dengan pacuan shaf ini juga bukan sahaja seimbang, malah rekaan lengan-lengan suspensi serta kotak gearnya direka agar mudah dipasang dan diselenggara.

Ia mempunyai dimensi panjang 466mm, lebar 188mm, tinggi 125mm, dan jarak roda 257mm. Anda juga boleh membuat sedikit pelarasan memandangkan ia menawarkan dua tetapan jarak roda, dua tetapan kelegaan tanah dan lebih 10 kombinasi nisbah gear.

Untuk dipadankan dengan badan Tom’s GR Supra tadi, casis ini diberikan rim 12-bilah dengan tayar slick perlumbaan.

Kit ini hadir dengan motor standard Tamiya 540 dan ESC THW-1060. Ia memerlukan anda menyediakan sistem radio, servo stereng, bateri 7.2 hingga 7.4 volt, dan cat semburan Tamiya PS.