fbpx

Toyota USA sah tamatkan penjualan GR Supra 2.0 liter

2022-GR-Supra-2.0_004-scaled-1-1500×1000

Belum pun sempat menikmati usia dua tahun, penjualan kereta sports Toyota GR Supra bernadikan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter untuk pasaran Amerika Syarikat telah pun ditamatkan pada bulan ini.

Dalam satu siaran media, Toyota USA mengesahkan model GR Supra 2025 hanya boleh didapati dengan enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo berkuasa 382 hp dan 499 Nm sahaja.

Mujur pembeli masih lagi boleh mendapatkan GR Supra 2025 dengan pilihan transmisi manual enam nisbah kelajuan, atau automatik lapan nisbah kelajuan.

 

 

Toyota memperkenalkan GR Supra dengan nadi 2.0 liter turbo (255 hp/400 Nm) pada tahun 2022 sebagai alternatif yang lebih murah, namun langkah tersebut dilihat tidak membantu meningkatkan prestasi jualan yang sedia perlahan.

Sepanjang tahun 2023, Toyota hanya berjaya menjual sebanyak 2,652 unit GR Supra secara keseluruhan (gabungan model manual dan automatik).

Berbalik semula kepada GR Supra 2025, Toyota menawarkan kelengkapan yang hampir sama dengan model tahun 2024, seperti tempat duduk sport balutan kulit/kemasan Alcantara atau opsyen kulit berwarna perang, skrin sentuh 8.8 inci, pengecasan peranti pintar tanpa wayar, serta sistem audio JBL 500 watt dengan 12 pembesar suara.

 

 

Kesemua model dibekalkan dengan balutan getah Michelin Pilot Super Sport, kawalan cengkaman TRAC, Sistem Pra-pelanggaran, Amaran Keluar Lorong, Kawalan Kestabilan Kenderaan, Bantuan Suluhan Tinggi Automatik, Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS), serta Kawalan Jelajah tradisional.

Sementara model AT pula didatangkan dengan fungsi Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC).

Harga jualan juga meningkat daripada $56,495 (RM266,487) pada tahun lalu kepada $57,345 (RM270,496), sementara model 3.0 Premium pula kini berharga $60,495 (RM285,355).

Berdasarkan semakan ringkas di internet, Toyota GR Supra 2.0 liter masih lagi dijual di pasaran Jepun, namun model tersebut hanya boleh didapati dengan padanan transmisi automatik sahaja.

Mereka yang mahukan kotak gear manual perlu mendapatkan GR Supra dengan nadi enam silinder sebaris.

 

Toyota GR Supra 3.0 2025

 

Lihatkan Ulasan (2)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved