Renault Grand Koleos muncul di Korea Selatan sebagai kembar Geely Xingyue L
Renault mengumumkan hasil kerjasama pertama mereka dengan Geely menerusi pengenalan model SUV hibrid terbaharu Grand Koleos bertempat di Busan Motor Show, Korea Selatan.
Tidak ada sebarang kaitan langsung dengan Koleos sedia ada, Grand Koleos 2025 merupakan sebuah SUV versi tukar lencana yang menggunakan Geely Xingyue L sebagai asas.
Ia bukanlah sekadar proses tukar lencana semata-mata di mana Renault telah memberikan identiti yang tersendiri untuk model Grand Koleos ini.
Seperti contoh, rekaan jeriji yang lebih futuristik, grafik LED lampu utama yang telah diolah semula, rekaan tingkap suku yang lebih bersegi, diikuti dengan perubahan kecil pada bampar dan pintu tailgate.
Renault Grand Koleos mempunyai ukuran sepanjang 4,780 mm dengan jarak antara roda mencecah 2,820 mm, yang terpanjang di dalam kelasnya.
Selain itu, susun atur lima tempat duduk membolehkan Grand Koleos menawarkan kapasiti kargo sebesar 633 liter.
Renault turut sama mempamerkan varian Esprit Alpine yang lebih premium, menampilkan aksen biru, lencana Alpine, rim aloi sebesar 20 inci, diikuti dengan kemasan kabin tema gelap berserta kemasan Alcantara dan jahitan biru.
Kesemua varian didatangkan dengan tetapan tiga skrin bersaiz 12.3 inci yang merangkumi hampir keseluruhan dimensi papan pemuka.
Berkongsi platform CMA yang sama dengan Volvo XC40 dan beberapa model Geely dan Lynk & Co, Renault Grand Koleos turut mempunyai pilihan enjin yang hampir serupa.
Model plug-in hybrid (PHEV) dibekalkan dengan enjin 1.5 liter turbo yang dipadankan dengan dua motor elektrik dan transmisi DHT, menghasilkan kuasa keseluruhan 245 hp.
Terdapat juga pilihan enjin 2.0 liter turbo berkuasa sehingga 208 hp yang dipadankan dengan transmisi DCT tujuh kelajuan.
Renault Grand Koleos akan mula dijual di pasaran Korea pada musim luruh tahun ini.
Geely Xingyue L
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.