Arkib Tag: Tengku Zafrul

Kerajaan pertimbang wajibkan penggunaan selimut pemadam api EV

PEMILIK kenderaan elektrik (EV) mungkin akan diwajibkan oleh kerajaan untuk menggunakan selimut pemadam api sebagai langkah keselamatan.

Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketetapan itu bagaimanapun tertakluk kepada hasil perbincangan pihaknya dengan Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Jawatankuasa EV.

Tambah beliau, selimut pemadam api yang berharga kira-kira RM4,800 hingga RM5,000 seunit itu bukan sahaja mampu mengawal kebakaran dengan mengekang haba sehingga 1,000 darjah Celsius malah boleh menghalang pelepasan gas toksik.

“Hari ini saya menyaksikan demonstrasi penggunaan selimut pemadam api EV yang merupakan perkhidmatan terbaharu SIRIM QAS International Sdn. Bhd. (SIRIM) bagi meningkatkan keselamatan kenderaan EV yang akan memenuhi jalan raya di negara kita tidak lama lagi.

“SIRIM melakukan ujian ke atas selimut pemadam api EV dan meluluskan penggunaannya,” katanya selepas demonstrasi selimut pemadam api oleh SIRIM dan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada Jumaat lalu.

Tengku Zafrul memberitahu, produk keselamatan tersebut buat masa ini diwajibkan untuk dimiliki operator stesen pengecas EV sahaja. Namun, beliau berharap rumah pemilik EV, pejabat swasta dan kerajaan turut wajib dimiliki produk sama.

“Ujian ke atas produk itu membuktikan komitmen kerajaan untuk menjadikannya sebagai langkah merangka garis panduan keselamatan bagi penggunaan kenderaan EV seperti saranan oleh KPKT.

“Kita di MITI juga akan memastikan produk keselamatan ini ada di pasaran dan menepati syarat-syarat dan piaiwaian yang ditetapkan oleh SIRIM,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul menegaskan, SIRIM dalam proses untuk merangka Piaiwaian Keselamatan Selimut Kebakaran Untuk Industri agar garis panduan tersebut juga digunapakai oleh pihak pelabuhan dan pengendali logistik membabitkan kenderaan jenis tersebut.

Perodua keluarkan EV mampu milik hujung 2025 – Tengku Zafrul

TENGKU Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam satu hantaran melalui media sosial berkata Perodua dijadual mengeluarkan secara besar-besaran kenderaan elektrik (EV) mampu milik pada hujung 2025.

Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu, ia selaras dengan pelantikan Perodua untuk menerajui pengeluaran kenderaan elektrik mampu milik di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

“Projek kenderaan elektrik Perodua. Perodua telah bekerjasama dengan sebuah syarikat automotif antarabangsa untuk menghasilkan prototaip EV berkenaan.

“Terima kasih syarikat Perodua kerana membantu Malaysia dalam memajukan teknologi kenderaan elektrik dan memperkukuhkan mobiliti mampan Malaysia,” katanya.

Pada 29 November lalu, Perodua umum menyasar EV dan hibrid jenamanya menyumbang sehingga 20 peratus daripada jualan keseluruhan kereta baharu menjelang 2030.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, angka jualan itu mungkin boleh dicapai “jika semua pemain industri boleh bekerjasama.”

“Kami bekerjasama dengan kerajaan dan rakan kongsi yang lain. Kami juga telah dilantik dalam pelan perindustrian baharu untuk menerajui pembangunan EV di Malaysia.

“Kita perlu menghasilkan produk baharu. Kita belum memuktamadkan masa pengeluarannya, tetapi sasaran yang diberikan oleh kerajaan – 20 peratus menjelang 2025 atau 2030 akan menjadi kenyataan jika semua pihak memberi kerjasama,” katanya.

20 peratus kenderaan dijual di Malaysia adalah EV menjelang 2030 – Tengku Zafrul

Kerajaan menetapkan sasaran nasional dimana 20 peratus jualan tahunan kereta baharu Malaysia akan terdiri daripada kenderaan elektrik (EV) menjelang 2030, 50 peratus menjelang 2040 dan 80 peratus menjelang 2050.

Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, ia bagi mempercepat Pelan Hala Tuju Peralihan Negara (NETR) yang dilancarkan pada Ogos tahun ini.

“Komitmen MITI untuk membawa Malaysia ke hadapan dalam revolusi kenderaan elektrik boleh dilihat melalui Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP2020).

“NAP2020 menyediakan industri automotif tempatan hala tuju yang jelas untuk persiapan masa depan, melalui pembangunan kenderaan generasi akan datang termasuk EV yang cekap tenaga dan mesra alam,” kata Zafrul.

Sumber gambar: Facebook/Tengku Zafrul

Dalam pada itu, Malaysia mencatatkan pertumbuhan jualan EV yang kukuh setiap tahun dan kerajaan optimis momentum positif itu akan berterusan sehingga penghujung 2023, kata Zafrul.

Menurut beliau, setakat ini, Malaysia merekodkan lebih daripada 100,000 kenderaan elektrik berdaftar.

“Lebih 12,000 kenderaan elektrik bateri (BEV) telah didaftarkan sejak 2011 dengan bilangan BEV yang didaftarkan pada tahun ini sahaja telah melebihi 9,000 unit,” katanya dalam ucapan beliau semasa majlis pelancaran awal Malaysia Autoshow 2024 (MAS 2024) semalam.

Bagi tempoh 10 bulan pertama 2023, jualan kenderaan Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh meningkat sebanyak 11.6 peratus kepada hampir 647,000 unit.

Tengku Zafrul berkata beliau percaya kenderaan elektrik akan menjadi pemangkin kepada eksport industri pembuatan Malaysia.

“Oleh itu terdapat banyak potensi dalam kenderaan generasi baharu yang memerlukan lebih banyak komponen, sebagai contoh, komposit semikonduktor, komponen cip dalam kereta hari ini, malahan kereta hibrid adalah kira-kira 1,500 cip dalam sesebuah kereta,” katanya.

Kerajaan yakin Proton dan Perodua hasilkan EV nasional menjelang 2025 – MITI

KERAJAAN optimistik bahawa Proton dan Perodua akan menghasilkan kereta elektrik (EV) nasional pertama menjelang 2025. Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI), Tengku Zafrul Abdul Aziz, dan dilaporkan oleh rakan media kami, Paultan.org.

“Di MITI, mereka telah berkongsi perkembangan terkini berkenaan pelan mereka. Pihak kami juga terlibat dalam memahami kemajuan ini,” katanya.

“Setakat ini, ia nampak seperti boleh dicapai. Menurut taklimat oleh pengeluar-pengeluar nasional ini, kita akan mencapai matlamat ini, pada 2025.”

Berkenaan EV mampu milik, Zafrul berkata kerajaan menggalakkan pengeluar mempunyai pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia untuk membolehkan mereka menawarkan EV pada harga lebih rendah.

“Kerajaan memberikan banyak insentif untuk EV, tetapi seperti disebut tadi, insentif mestilah dinikmati oleh semua rakyat Malaysia, bukan hanya yang mampu memilikinya.

“Kita mahu meluaskan penggunaan EV, memastikan lebih ramai rakyat mampu memiliki EV,” tambah Zafrul.

Sebelum ini, timbalan menteri di MITI, Liew Chin Tong berkata polisi kerajaan adalah untuk membangunkan industri automotif dengan kandungan tempatan (komponen).

Dia berkata kerjaan mengalu-alukan semua pengeluar untuk membuka pusat jualan di Malaysia, dan EV CKD tidak akan mempunyai sekatan harga – merujuk kepada harga minimum RM100k untuk EV diimport CBU.

Kerajaan akan pastikan EV ‘mampu dibeli’, dasar seiringan dengan pelan hala tuju peralihan tenaga

KERAJAAN akan memastikan pemilikan kenderaan elektrik (EV) adalah tersedia untuk semua kumpulan berpendapatan menerusi subsidi bersasar dan bantuan kewangan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sumber gambar: Facebook/Tengku Zafrul

Beliau turut berkata kerajaan akan turut bertindak memperluas usaha serta meningkatkan prasarana berkaitan pengecasan EV di negara ini.

“Dalam mengambil kira masa depan serta Belanjawan 2024, tumpuan kita jelas kepada keterangkuman yang seiring dengan dengan Rangka Kerja Ekonomi MADANI,” katanya semalam.

Tengku Zafrul juga menekankan bahawa pelaksanaan dasar dan inisiatif itu memberi impak positif ke atas industri automotif tempatan, sekali gus memaparkan komitmen kerajaan dalam membangunkan ekosistem EV yang holistik di Malaysia.

Bilangan kenderaan EV berdaftar telah meningkat kepada lebih 3,400 unit pada 2022 dan melebihi 7,500 unit setakat September 2023 berbanding purata 300 unit pada tahun-tahun sebelum ini.

“Malah, pelaburan dalam industri EV kita juga mencecah paras memberangsangkan sebanyak RM26.2 bilion bagi tempoh 2018 sehingga Mac lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul juga meningatkan bahawa dasar EV perlu seiringan dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Baharu 2030 (NETR 2030) yang dilancarkan baru-baru ini.

“Ini penting kerana tiada gunanya mempunyai ribuan unit EV di atas jalan sekiranya Malaysia tidak bertindak menghijaukan grid tenaga sewajarnya dengan membangunkan lebih banyak sumber tenaga boleh baharu (TBB),” katanya.

Atas alasan itu, beliau berkata, NETR menyasarkan untuk memacu pelaburan dalam infrastruktur grid menerusi inisiatif bagi pembangunan TBB.

Tengku Zafrul terima GWM Ora Good Cat untuk pandu uji

GREAT Wall Motor (GWM) Malaysia telah menyerahkan sebuah Ora Good Cat kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Bin Tengku Abdul Aziz.

Kenderaan elektrik (EV) itu akan digunakan untuk pandu uji lanjutan dan sepanjang tempoh itu, jabatan berkaitan di bawah MITI akan mengkaji corak penggunaan harian EV. Inisiatif ini bertujuan untuk mempercepatkan pembangunan EV selaras dengan keutamaan semasa.

Dalam rancangannya untuk mendorong pasaran EV, Menteri Tengku Zafrul berkata kerajaan menyasarkan untuk menarik pelaburan EV sebanyak RM20 bilion menjelang 2025.

Sebagai hab pembuatan elektrik dan elektronik terkemuka di ASEAN, Malaysia mempunyai tenaga kerja berbakat, dasar NAP dan ekosistem EV sedia ada. Ini menjadikan Malaysia pasaran yang ideal untuk pembangunan industri EV yang mampan.

GWM Malaysia, menerusi EV flagship-nya iaitu Ora Good Cat, komited untuk menyokong usaha kerajaan Malaysia untuk menjadi negara bebas pelepasan gas rumah hijau.

Tengku Zafrul dalam satu kenyataan berkata industri EV mesti dilihat secara holistik, termasuk faktor-faktor seperti perisian, teknikal, kelengkapan, kejuruteraan dan lain-lain. Ini kerana ia memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran sifar pelepasan gas rumah hijau menjelang 2050.

Sementara itu, presiden rantau ASEAN Great Wall Motor, Elliot Zhang berkata bahawa beliau menyokong sepenuhnya kenyataan Tengku Zafrul mengenai potensi membina asas EV yang kukuh di negara ASEAN dan khususnya di Malaysia.

“Kerjasama strategik dengan kerajaan Malaysia akan membantu mempercepatkan pertumbuhan dan penggunaan pengangkutan mampan di rantau ini,” katanya.

GWM telah mengumumkan komitmennya untuk mempromosikan solusi mobiliti mampan di negara ini dan bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk memperkenalkan kenderaan yang lebih mesra alam ke pasaran.

Tengku Zafrul: Golongan T20 nikmati RM8 bilion subsidi bahan api

MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan bahawa golongan T20 menikmati kira-kira RM8 bilion subsidi bahan api, RM2 bilion lebih tinggi berbanding jumlah yang dimanfaatkan oleh golongan B40.

Tengku Zafrul, yang sebelum ini pernah berkata bahawa subsidi menyeluruh lebih menguntungkan golongan kaya berbanding golongan miskin, berkata kerajaan akan melaksanakan mekanisme subsidi bahan api yang lebih bersasar.

Dalam jawapan bertulis parlimen, beliau berkata mekanisme tersebut itu sedang diuji.

“Ujian (awal) akan disusuli dengan ujian yang lebih meluas,” katanya sambil menambah kerajaan mahu memastikan kebolehlaksanaan mekanisme itu di kawasan bandar dan luar bandar.

“Ia (ujian) dijangka mengambil masa antara tiga dan enam bulan sebelum sistem baharu itu dilaksanakan di seluruh negara,” katanya menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) mengenai apa yang kerajaan lakukan untuk memastikan subsidi disasarkan dengan lebih baik.

Tambah Tengku Zafrul lagi, mekanisme subsidi bahan api bersasar akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan ia tidak menyebabkan inflasi atau menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

Tahun ini, subsidi bahan api dijangka mencecah RM30 bilion.

Harga runcit RON95 di Malaysia masih rendah, kata Menteri Kewangan

MENTERI Kewangan menjelaskan harga runcit RON95 yang terlalu rendah di Malaysia merupakan antara faktor penyumbang kepada aktiviti penyeludupan petrol.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ketika ini harga runcit RON95 amat rendah jika dibandingkan dengan negara jiran.

“Perbezaan besar antara harga runcit petrol dalam negara berbanding negara jiran akan membuka ruang kepada aktiviti penyeludupan petrol,” katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bukit Bendera Wong Hon Wai di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2022. – Foto ihsan Malay Mail

Terdahulu, Tengku Zafrul berkata harga RON95 di Malaysia juga masih rendah berbanding di kebanyakan negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Katanya, harga runcit petrol di Arab Saudi adalah RM2.59 seliter, Indonesia (RM3.74 seliter), Thailand (RM5.63 seliter) dan Singapura (RM9.16 seliter).

Sementara itu, jumlah subsidi petrol oleh kerajaan dijangka bertambah kepada RM28 bilion tahun ini berbanding RM11 bilion pada 2021.

Senario itu mungkin berlaku sekiranya harga minyak mentah dunia kekal melebihi US$100 setong.

“Kenaikan kos subsidi perlu diimbangi dengan pertambahan hasil dan penjimatan perbelanjaan.

“Maka, wujud keperluan kerajaan menyusun semula subsidi supaya ia lebih bersasar kepada kelompok yang layak dan memerlukan,” katanya.

Harga minyak mentah menjadi penentu kepada kenaikan harga barang. – Foto ihsan Petronas

Minggu ini, terdapat kenaikan 30 sen seliter bagi harga runcit bagi RON97 menjadikan ia RM3.75 seliter.

Harga itu berkuatkuasa bermula hari ini sehingga 16 Mac nanti.

Namun, harga runcit bagi RON95 masih kekal pada RM2.05 seliter.

Insentif pengecualian cukai jualan kereta tinggal empat bulan sebelum tamat

TINGGAL kurang empat bulan untuk rakyat negara ini menikmati insentif pengecualian cukai jualan kereta bagi pembelian keluaran tempatan atau import sedan.

Perkara itu diumumkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, hari ini.

Jelasnya, Kementerian Kewangan, menerusi Bajet 2022 telah melanjutkan tempoh insentif pengecualian cukai jualan kereta sehingga 30 Jun, 2022.

Ia bagi menggalakkan pemilikan kereta, merangsangkan pertumbuhan ekonomi tempatan dan memacu momentum perkembangan sektor automotif.

“Pengecualian cukai jualan kereta kekal seperti mana sebelum ini iaitu pengecualian cukai jualan 100 peratus ke atas kereta penumpang pemasangan tempatan (CKD).

“Manakala, pengecualian cukai jualan sebanyak 50 peratus diberikan ke atas kenderaan penumpang pemasangan luar negara (CBU).

“(Ia) termasuk MPV (kenderaan pelbagai guna) dan SUV (kenderaan utiliti sukan) merangkumi CBU import baharu dan CBU import terpakai,” katanya.

Tengku Zafrul berkata berkata demikian dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-86.

Rangkuman Belanjawan 2022: Apa industri automotif dapat?

KERAJAAN akan melanjutkan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi pembelian kenderaan penumpang pemasangan tempatan (CKD) sehingga 30 Jun 2022.

Perkara itu diumumkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan turut memberikan diskaun 50 peratus bagi SST kenderaan import baharu dan recond.

Jelasnya, langkah ini diambil kerajaan bagi meningkatkan ekonomi industri automotif tempatan.

Sebelum ini, tarikh asal pengecualian SST adalah pada 31 Disember 2021.

Sementara itu, kerajaan turut memberikan subsidi 50 peratus atau RM150 bagi pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak.

Diskaun ini diberikan kepada keluarga tergolong dalam kategori B40.

Secara keseluruhan, kerajaan memperuntukkan RM30 juta dan memberi manfaat kepada lebih 188 ribu keluarga B40.

Belanjawan 2022 turut menyaksikan pengecualian penuh terhadap duti import, eksais dan cukai jualan bagi kenderaan elektrik (EV).

Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 turut diberikan ke atas kos pembelian dan pemasangan, sewaan dan sewa beli kemudahan serta bayaran yuran kemudahan pengecasan EV.

Langkah ini sebagai sokongan dan dorongan terhadap penggunaan kenderaan EV bagi mengurangkan pencemaran udara akibat daripada asap kenderaan.

Bank diarah beri moratorium tanpa faedah bermula Okt sehingga Dis 2021

KEMENTERIAN Kewangan mengarahkan institusi perbankan negara ini segera memberikan pengecualian faedah bayaran bagi penerima moratorium pinjaman bank.

Memetik laporan The Edge, ia melibatkan penerima moratorium dari segmen B50.

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pengecualian bayaran faedah akan diberikan selama tempoh tiga bulan dalam suku keempat tahun 2021.

Jun lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi perdana menteri mengumumkan moratorium pinjaman bank untuk tempoh enam bulan kepada semua warga negara Malaysia.

Ia adalah inisiatif di bawah pakej Pemulih seperti yang diberikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama, tahun lalu.

Individu hanya perlu memohon dengan bank bagi membolehkan penangguhan bayaran kepada tarikh kemudian tanpa pengecualian daripada kadar faedah.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata langkah diambil kerajaan ini diharap dapat memulihkan keadaan ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Perubahan terhadap peraturan ini akan dibentang di Dewan Rakyat pada Oktober.

“Ia untuk mengukuhkan sistem kesihatan awam sekaligus mengekang Covid-19. Pada masa sama dapat memperbaiki bantuan tunai secara langsung kepada rakyat,” katanya.